Isnin, Oktober 16, 2023

67 JAMBORI


Kenapa kita namakan mamalia laut besar yang meloncat-loncat itu lumba-lumba? Sepatutnya kita ini yang dinamakan lumba-lumba dan mamalia loncat-loncat itu dipanggil manusia. Sebagai manusia, kita berlumba-lumba antara satu sama lain untuk mencapai kemenangan, sama ada kemenangan itu ditakrifkan dalam bentuk paling kaya, paling berkuasa, paling dominan, paling bergaya, atau paling podium. Hidup ini penuh perlumbaan. Tak gitu?

Selama ini aku mengelak jambori MTB kerana aku fikir usia dan tenaga aku tidak sesuai untuk perlumbaan dengan saingan sengit tetapi Mijer menawarkan pilihan yang mengundang dilemma. "Aku sudah beli tiket Kulai Jamboree 30km tetapi tidak boleh pergi sebab ada majlis lain. Kalau Tok tak ganti aku, dia hangus begitu sahaja," katanya. Aku fikir panjang tetapi kerana penasaran, aku terima tawaran. 

Ini pertama kali aku masuk jambori sejak aku mula main basikal.

8.00 pagi. Dalam keriuhan terdengar daripada corong pembesar suara DJ memainkan lagu tema filem Rocky, Eye of the Tiger. DJ membuat kiraan kebawah. 3,2,1... Hon permulaan dibunyikan. 600 peserta berlepas dari garis permulaan Kulai Jamboree. Aku berdebar memulakan kayuhan sambil berhati-hati mengelak peserta lain yang masing-masing sangat rapat jaraknya. 1 km pertama sudah ada pesaing yang tergelincir di aspal jalanan. Di kilometer kedua pula seorang lagi jatuh dan digilis peserta lain. Peserta lain tidak berhenti. Kami serahkan kepada marsyal jambori untuk membantu. Sengit betul saingannya. 

4 km, kami memasuki offroad dan jarak antara peserta semakin renggang. Aku lihat brader yang jatuh di kilometer pertama memotong aku. Kental mamat ni. Kemudian ada beberapa peserta wanita potong aku. Aku berbisik dalam diri, "Jangan tertekan. Kayuh ikut kemampuan." 

Pada waktu ini jarak pengayuh paling hadapan dan paling belakang adalah 9 minit.

Udara off road aku hirup segar. Denai menyelit-nyelit dalam ladang sawit dan kebun sayur boleh dianggap halwa kepada mata yang memandang. Jalur cahaya Matahari pagi menerombos dari celah dedaunan. Terdetik untuk keluarkan telefon untuk tangkap gambar tetapi ini adalah perlumbaan. Setiap detik adalah berharga.

5 km, kami bertemu bukit pertama. Ramai peserta menolak basikal  tetapi aku gagahkan kayuh. Berkat latihan di laman Bukit Hantu, aku mampu lepas tanpa menolak. Aku sedikit riak. Aku mula menambah markah imaginari untuk diri sendiri. Aku tambah markah setiap kali aku pintas penunggang dengan basikal mahal atau pengayuh lebih muda atau berkasut cleats atau pikul water bladder atau berpakaian baju seragam team basikal. Pendek kata, untuk motivasikan diri dengan memberi markah setiap kali aku mengalahkan orang yang aku andaikan lebih basikal daripada aku. Chaiyok!

15 km, aku agak bangga dapat berkayuh tanpa henti. Tiba-tiba aku lihat bacaan jam pintar mempamerkan degup jantung  175 BPM. Aku kena perlahankan kayuhan kerana untuk usia aku, kadar maksima yang dinasihatkan Chat GPT adalah 155 BPM. Orang muda kena jaga tempo kayuhan (cadence) tetapi atlit tua kena jaga tempo BPM. Apa pun, cut off time untuk checkpoint pertama adalah 10.30 pagi tetapi aku sampai jam 9.30 pagi. Awal sangat ni. Hidung aku kembang bangga.

Ada marsyal tegur, "Uncle, kalau nak naik lori belok kanan." Aku tidak pedulikan dia lantas belok ke kiri bersama ego ku. Ada beberapa penunggang yang sudah tidak larat mengayuh memilih memanjat lori. Hina betul lori itu, ada ke patut mereka hias dengan susunan sangkar ayam. Aku teruskan kayuhan dengan keyakinan bahawa aku boleh tamatkan jambori ini. Aku menuruni satu denai tunggal berliku dengan semak-semak rendah. "Ini makanan aku," bisik hati ku gembira. Bunyi angin laju berdesup di telinga. 

Tiba-tiba, di balik selekoh muncul satu lopak melintang di atas denai. Kalau tekan brek pun sudak tidak sempat. Pilihan yang ada cuma bunny hop kecemasan. Zasss.. basikal aku terbang tetapi malangnya tidak berjaya melepasi lopak. Tayar basikal hentam tebing lopak, air keroh merecik dan aku tergolek ke masuk belukar. Untuk beberapa saat aku terbaring merenung langit. Matahari pagi sudah tinggi. Tiada awan di dada langit. 

Aku menghela nafas dalam. Kemudian aku hembus. Aku gerakkan bahu dan kaki, tiada kecederaan teruk atau patah. Cuma lebam atas lengan. Aku bangkit dan periksa basikal. Alhamdulillah, tiada kerosakan dan masih boleh gerak. 

Bila aku kangkang kaki untuk duduk atas basikal terasa tanda-tanda kejang sudah datang. Mula-mula dia main di betis kanan kemudian dia naik ke peha. Lepas tu merayap pula ke kaki kiri. Penghujungnya kedua-kedua kaki aku keras dengan otot dalaman berdenyut-denyut. Kekejangan ini datang dan pergi daripada jarang-jarang kepada kerap-kerap sepanjang perlumbaan. 

Aku sudah ramal kekejangan akan datang bila otot ditekan dan suhu meningkat. Aku sudah minum air garam ORS banyak juga sepanjang jalan bagi mengelakkan kejang. Senjata akhir aku adalah semburan penenang otot bagi mengurang sakit. Bahan utama dalam semburan ini adalah menthol dan camphor. Bahan ini boleh menyejukkan otot yang kejang.

Aku sembur betis dan peha dari masa ke semasa.

Kayuhan aku mula lemah dan perlahan. Bagusnya kiraan degup jantung aku menurun tetapi buruknya pengayuh lain mula memotong mendahului. Markah imaginari aku makin merosot. Pedih betul kejang ini. Menyesal aku tak naik lori ayam masa berkesempatan tadi.

Matahari makin tinggi dan bilangan peserta makin kurang di denai. Gelombang haba makin di rasa. Aku terus mengayuh di jalan rata dengan hujung jari kaki menekan pedal dengan harapan kejang aku pulih. Bila jumpa bukit, aku tolak basikal. Kaki aku sudah mengalah dengan bukit-bukau, tidak lagi aku melawan mereka. 

20 km, aku terserempak seorang budak 20an duduk di tepi denai dengan darah mengalir dari hidung dan bibir. Beberapa peserta lain sedang merawatnya. Mereka tarik mangsa dan basikal ke tepi agar tidak dilanggar basikal lain. Aku lihat di tanah darahnya banyak tertumpah. Kemudian datang seorang marsyal dengan motorsikal mengambil mangsa untuk rawatan selanjutnya. 

(Selepas habis jambori aku jumpa mangsa di khemah rawatan. Ceritanya  Dia pinjam basikal kawan. Ini kayuhan pertamanya. Dia kalah dengan strok haba dan kepenatan lantas pitam semasa kayuh. Mangsa tidak ingat pun waktu dia jatuh. Sedar-sedar dia sudah membonceng motor marsyal. "Boleh dapat medal ke?" tanya mangsa)

Sesekali aku berselisih dengan kumpulan peserta saling membantu baiki basikal seperti tayar bocor atau rantai putus. Sikap mereka sangat terpuji. Mungkin mereka tidak kenal pun antara satu sama lain. Di denai ini mereka menjadi saudara. Ada juga peserta-peserta yang berehat di bawah teduh sambil bersembang dan bergurau sepertinya mereka bukan dalam perlumbaan. Santai sekali.

26 km, denai mula berubah dari kebun kelapa sawit yang redup kepada kebun lalang, kepada padang pokok menjalar dan kepada taman pasir bebatuan. Kemudian aku bertemu semula dengan jalan aspal di mana redup pokok menjadi langka. Cuaca hari itu mencapai 34 darjah celcius. Badan mandi keringat dan matahari makin menyengat. 

29 km, ada simpang masuk ke dari jalan aspal ke offroad semula. Di situ, aku lepaskan basikal dan rebah. Aku tidak mampu berdiri lagi kerana otot kaki sakit kekejangan. Aku bersandar di pokok. Marsyal simpang merawat dengan menyembur otot dan memberi air. Beberapa peserta lain yang kejang turut tumbang di tempat sama. Aku sudah tidak peduli siapa yang memintas aku. Rehat juga adalah cara merawat kekejangan.

Bila otot aku sudah lembut dan kendur, aku kembali mengayuh. 

Laluan akhir adalah offroad berselekoh dan muka bumi bergelombang. Tinggal 1 km lagi. Dari kejauhan sudah kedengaran sayup pembesar suara riuh meraikan pemenang-pemenang podium. 

Aku kayuh dalam tempo yang perlahan bagi mengelakkan kekejangan.

"Tolong! Tolong! Tolong!" aku dengar jeritan di balik selekoh yang dilindungi pepohon. 

Aku dapati seorang anak muda 20an kekejangan di atas basikal. Terlalu keras kakinya sehingga untuk turun basikal pun tidak boleh. Aku campak basikal aku dan perlahan-lahan rebahkan dia bawah redup pokok. Dia mengerang kesakitan sambil merungut tentang rekabentuk denai yang banyak bukit. Aku ulang-ulang sembur penyejuk untuk rehatkan ototnya. Aku picit-picit ototnya. 

Kami berteduh sebentar.

Bila kami cukup tenaga, kami gagahkan diri untuk tamatkan kayuhan. Riuh rendah keraian podium semakin jelas. Aku harap mereka tidak mulakan cabutan bertuah tanpa aku.

30 km. 12.30 tengahari, aku dihulurkan medal penamat. Tertera atas pingat, aku ini penamat ke-507. Aku fikir sekianlah derita otot aku untuk hari tersebut. Aku hari ini lebih baik dari yang semalam sebab sekurang-kurangnya aku kini pernah menghabiskan jambori (atau jambori menghabiskan aku.) 

Aku raba-raba saku dan beg basikal mencari telefon. Aku mahu sync data meter basikal dengan telefon tetapi telefon aku tiada. Sah cicir! Aduh! Aku ini macam Pak Kaduk sungguh. Terlalu berharapkan cabutan betuah, dapat pula cabutan malang.

Aku maklumkan seorang marsyal jambori jika terjumpa telefon, sila hubungi aku. Dia tawarkan untuk menyusur kembali laluan denai untuk mencari telefon itu dengan motor. Aku pun membonceng. Sepanjang jalan berselisih dengan beberapa sisa penunggang yang gigih mengagahkan diri menamatkan jambori.

Aku minta marsyal itu berhenti di tempat aku bantu orang kejang tadi. Alhamdulillah jumpa telefon di balik lalang. Mungkin cicir masa aku campak basikal ketika kecemasan tadi.

Sekonyong-konyong muncul seorang peserta menyorong basikal dan tumbang di tempat yang sama. Parah sangat kejangnya. Marsyal mencadangkan mangsa membonceng motornya dan aku kayuh basikal mangsa ke garis penamat. Aku akur walaupun kekejangan aku masih terasa.  Aku kayuh perlahan ke garis penamat sekali lagi tapi kali ini aku ikut jalan pintas aspal. Dua kali aku lalu garis penamat hari itu.

Hakikatnya lumba-lumba adalah haiwan yang berkerjasama. Saintis merakamkan bagaimana 5-6 ekor lumba-lumba bergotong royong mengepung dan mengumpul ikan untuk disambar. Mereka haiwan sosial berkawanan yang mungkin gagal jika hidup secara solo. 

Aku juga gagal jika hanya menumpukan kepada sengit persaingan. Aku berdamai dengan format jambori kerana selain medal fizikal yang diraikan, ada piala-piala tidak nampak dek mata yang aku kutip sepanjang denai 30km ini. 

Aku sync data kayuhan dari meter ke telefon. Jarak 31.07km. Purata kelajuan 13km/jam. Kutipan ketinggian 516m. Tempoh keseluruhan 4.30 jam. Tempoh pergerakan 2.23 jam. 

Aduhai! Tempoh berhenti lebih panjang dari tempoh bergerak.

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...