Rabu, Julai 02, 2025

81 NASI LEMAK


"Budak lagi tu, masak nasi pun mentah," begitulah kata orang tua apabila menolak lamaran. Aku kira peribahasa itu dicipta pada zaman orang memasak guna kayu api, bukan rice cooker. Tentunya tidak mudah menimbang suhu api dari kayu. Kematangan seorang wanita diukur dengan kemahiran menanak nasi. Bagaimana dengan ukuran kematangan seorang lelaki?

Kematangan seorang lelaki diukur dengan kemampuanya menyelesaikan masalah. Aku sebagai sebagai chef de mission (Bukan master chef) mencadangkan kami semua jadi Rambo. 

Buat julung-julung kalinya aku masuk hutan tidak ditemani Akak Kau. Dia sibuk dengan kerja. Sedikit sebanyak geng basikal lasak Bukit Hantu jadi kucar kacir kerana tiada master chef. Kita semua mesti masak bergilir dan makan bersama, jelatah atau bubur itu nombor dua. 

Maka masing-masing memilih menu yang kami selesa. Kami sendiri pilih bahan dan masak, sementara yang lain jadi pembantu "chef of the moment."

Berikut adalah menu kami.
Hari 1 7.00 Makan Malam [Tok: Nasi Lemak Pandan Origami & Acap: Sambal Sotong Sharifah]
Hari 2 7.00 Sarapan [ Yem: Menu: Cucur Pre-Tested & biskut sedap, nescafe panas] 12.00 Makan Tengahari di Air Terjun [Toy n Sharil: Mi Segera Tomyam Cendawan] 7.00 Makan Malam [Jo & Asri] Kerabu ikan bilis, telur dadar, ikan masin, sambal tumbuk bukan rezeki, keropok. Keropok kudapan [Asri]
Hari 3 7.00 Sarapan [Tok & Acap: Menu: Roti sapu majerin kaya layan diri]. Tidak sempat untuk masa lontongkerana masa persediaan pendek. Jam 9 nak bergerak keluar hutan.
Air sepanjang masa: Toni - Teh O Laici Tabib [Ramai dah minta menu dari Toni] + Kopi O

Sepatutnya kami bahagi-bahagi kos belanja pasar sama rata seperti kumpulan wanita tapi kami semua macam sehati sejiwa ikhlaskan sahaja sebagai sedekah. Inilah beza lelaki dan wanita. Ha ha ha... aku bakal dikecam kerana umpan kemarahan (rage bait) ini.

Ikut resmi padi makin berisi makin tunduk tapi aku bukan padi. Ini detik penting dalam hidup aku. Aku sekarang bukan yang dahulu, aku sudah pernah masak nasi lemak. Maka, aku nak gebang pengalaman pertama masak nasi lemak agar kalian boleh ambil belajar dari aku. Kisah ini mesti diceritakan kerana aku bukan guna rice cooker, ini tapak perkhemahan, pakai dapur butane sahaja.

Nasib baik dapur butane. Kalau pakai kayu api, aku hantar artikel ini ke surat khabar. 

Kita teruskan cerita.

Selain pakaian, alat dapur dan set hammock, aku bawa beban beras basmathi, santan kotak, daun pandan, halia dan garam dari rumah. Berbasikal dari Felda Selendang, singgah kampung Orang Asli Sungai Mok, disengat terik matahari jalur kerikil, langsung masuk ke hutan melintas 5 anak sungai serta bergelumang dengan lumpur denai hinggalah sampai ke tapak perkhemahan Jaang. Tidak mudah kawan. 

4 petang orang sudah mula lapar. Asri sudah mula goreng keropok dan cucur untuk makan petang. Aku biarkan sahaja. Giliran aku belum sampai. 

6 petang, aku masukkan beras 5 cawan dalam periuk. Aku hati-hati meredah air ke tengah sungai. Tanggung jawab aku besar. Kalau aku tergelincir memijak batu berlumut, alamatnya nasi jadi bubur. Makan biskut kering la geng Bukit Hantu malam itu. 

Aku bertenggek atas batu cedok air, gaul beras lawan jam seperti orang bertawaf — buang habuk, pasir, dan lebihan kanji. Aku ulang tiga kali macam sunat berwuduk.

Aku kembali ke tenda dapur di mana-mana kru lain sedang kebuluran. Aku gunakan perkataan "kebuluran" untuk sedapkan cerita agar lebih dramatik.

Aku tuang dua santan kotak dalam sukatan air sedia ada empat cawan. Aku lipat tiga helai daun pandan jadi bentuk merpati patah sayap. Masukkan hirisan halia nipis besar syiling seposen, dan tiga sudu garam. Aku guna serai tumbuk untuk gaul jadi rata. Kemudian aku tenggekkan periuk aluminium ke atas dapur butane api perlahan. 

Ingat ya sifir ini bagi yang mahu mencuba. 

Kru pembantu tidak bantu apa-apa sebab aku nak masak nasi solo ala Rambo. Aku mula berdebar macam ambil SPM. Okay la, Acap ada bantu tumbukkan serai dan hiris halia. 

Lepas lebih kurang 20 minit, tudung periuk mula menari-nari. Saat yang ditunggu-tunggu. Aku buka penutup. Bau dia sudah ada tapi masih jelatah. Peluh dingin Rambo mula mengalir.

Kru pembantu mula memberi ulasan selari. Dari ulasan mereka, aku tahu mereka lebih dahulu makan garam bab masak nasi ni. Tapi sengaja la mereka bagi aku peluang masak mandiri. 

Aku tidak panik. Memang aku sudah sedia pelan B. Aku tambah air secawan dan biarkan wap menanak nasi. 

Aku tinggalkan sekejap dan lawat tenda dapur Puak Pelampau. Cheh! Apa barang makan sardin. 

Aku kembali ke dapur sendiri dengan harapan kru dapur yang terer ada buat sesuatu untuk baiki nasi lemak aku. Hampeh! Mereka cuma bagi motivasi untuk aku terus berusaha. 

Aku cuba teknik tanak penguapan beberapa kali, masuk air dan tengok nasi. Buka-tutup tudung periuk buat wap lepas lantas melewatkan tanak. Akhirnya dua jam jugalah aku berusaha dapatkan fizikal nasi yang sempurna. 

Siap. Kawan-kawan hulurkan pinggan untuk dicedokkan nasi. Sambal yang Acap buat pun sudah lama menunggu. Telur rebus, kacang, bilis dan timun melengkapkan menu. Seperti master chef, aku tersenyum puas melihat orang menikmati nasi lemak aku. Tidaklah kawan-kawan jadi kerbau sakit perut seperti watak lagu Oh Bangau.  

Itulah kali pertama aku masak nasi lemak sendiri, jauh dari rice cooker rumah, dan terus jadi antara pengalaman paling bermakna dalam hidup aku. 

Rasa dia? Paling sedap dalam dunia Mungkin tak sesempurna masakan Akak Kau, tapi dengan udara hutan, bunyi sungai, dan tangan sendiri yang masak — sedap dia lain macam. Toy habiskan sampai kerak-kerak sekali. Jo buka origami pandan dah ratah nasi begitu sahaja. Licin.

Pencapaian ini mudah bagi ramai orang tetapi untuk aku ianya epik. Kalau aku ini anak dara, esok aku sudah boleh terima pinangan orang.


Nota kaki: 

A. Sebenarnya Akak Kau sudah sukatkan dan asing-asingkan bahan untuk aku. 

B. 5 cawan beras cukup untuk 8 orang dan muat-muat periuk saiz M.

81 NASI LEMAK

"Budak lagi tu, masak nasi pun mentah," begitulah kata orang tua apabila menolak lamaran. Aku kira peribahasa itu dicipta pada zam...