Ahad, Februari 19, 2023

057 GUGUSAN FELDA AIR TAWAR DAN TANGGA 7


Sebelum bikepacking masuk hutan Sumalayang dahulu, rajin aku mengkaji media sosial kumpulan yang pernah masuk ke situ. Aku cuba fahamkan muka bumi denai di sana. Orang-orang dalam kumpulan yang selalu bikepacking ke dalam hutan pun mula sedar akan kewujudan dan kecenderungan aku. 

Suatu hari, mereka menjemput aku untuk kayuhan masuk ke Taman Negara. Aku setuju walaupun aku tidak pernah jumpa mereka secara bersemuka.

Mereka ada buat sesi latihan persediaan untuk kayuhan ke Taman Negara dan aku ambil peluang untuk mengenali mereka secara lebih rapat.

Dalam sesi latihan Loop Air Tawar, aku dapati mereka sangat berdisiplin. Aku mesti bergerak ikut masa mereka hingga terpaksa tangguhkan sarapan.

Jika ada orang lewat, mereka tinggalkan dan tunggu di hadapan. Orang lewat mesti mengejar. 

Ada peserta yang tidak cergas pada hari latihan dan kayuhannya perlahan. Perancangan aku adalah berkayuh di belakang bersama peserta yang tidak cergas itu agar aku boleh santai-santai. Malangnya peserta yang perlahan itu ambil keputusan untuk chicken out selepas berhenti sarapan. Aku terpaksa kembali ikut rentak kumpulan utama.

Kumpulan ini bukanlah laju berlumba macam atlit olimpik tapi disiplin mereka tegas. Mereka berhenti rehat tidak lama kerana ada mileage sasaran untuk hari itu. Ini mestilah dilengkapkan sebelum asar. Mereka cenderung untuk mencabar limit mereka sehingga kaki krem atau bonk. Aku pun terpaksa ikut rentak itu.

Aku dapati kayuhan lebih sedap jika kita menduga had kecergasan. Kayuhan hari itu bermula dari jam 7.30 pagi dan berakhir jam 5 petang. Kami meneroka Air Tawar 1, Sungai Layau, Air Tawar 5, Air Tawar 4, Tangga 7 dan Air Tawar 2. Rekod mencatatkan 60km offroad dan 1000m elevation gain. Selalunya untuk sesi latihan aku buat 1/3 usaha sahaja daripada rekod itu. Memanglah penat dan sakit tetapi puas mengayuh. 

Aku syak sesi latihan ini lebih menduga berbanding perjalanan ke Taman Negara.

056 CABARAN TASIK MACHAP


Aku bandingan prestasi aku di Fun Ride Cabaran Tasik Machap 2022 vs 2023. Catatan 2023 lebih baik kerana kaki tidak krem walaupun tanda-tanda awal krem itu sudah ada.

Aku berjaya tamatkan Fun Ride lebih awal dari 2022, dan sempat bilas basikal dengan air bomba. Tahun lepas, bomba sudah balik baru aku sampai.

Hari itu aku pakai baju basikal ketat serba berdiri. Aku tengok foto aku, kurang manis.

Soalan untuk wanita: Jika seseorang menegur susu mu menonjol, perlukah kau nyatakan kebenaran bahawa ianya hanya span ilusi?

Soalan untuk persepeda ketat: Jika seseorang menegur bebird mu salah parking, perlukah kau berterus terang ianya hanya span alas agar kelengkang tak melecet?

Hadiah lucky draw utama Cabaran Tasik Machap fun ride 2023 ialah sebiji motor Modenas. Nombor naik 026. Nombor aku 025. Sipi! Tiada ong! 

Pulang dengan kaki sengal-sengal bergaduh dengan bukit. Pun begitu, malam itu aku masih tidur tersenyum. Puas kayuh.



055 PERIGI PORTUGIS


.

Melaka dijenamakan sebagai Bandar Bersejarah bertitik tolak dari pemulaan kerajaan kesultanan Melayu di tanah itu. Maka, banyaklah tinggalan sejarah dipelihara dandiwartakan sebagai artifak warisan bagi menarik minat pengembara

Ketika aku meneroka Google Map mencari-cari persinggahan menarik berhampiran dengan laluan Lahabau Tour, terjumpalah aku akan Perigi Portugis di Merlimau. Penasaran terdetik di hati aku kerana tempat ini jarang diuar-uar di media sosial. 

Setibanya aku dan kawan-kawan di lokasi, kami membaca maklumat tertampal. Perigi ini adalah tinggalan Portugis ketika mereka menjajah Melaka dahulu. Batunya khas diambil dari pulau berhampiran. Kegunaan perigi ini adalah menadah air minuman. Dikatakan perigi ini tidak pernah kering dan menjadi sumber air penduduk tempatan.

Bila aku menghampiri perigi, ianya hanya perigi buta dengan ke dalaman sekitar 2 meter dan dipenuhi pasir. Tiada air, hanya pasir dan sedikit rumput-rumput.

Tidak pernah kering? Melaka patut dijenamakan Bandar Sembang atau Bandar Mitos.


73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...