Sebelum bikepacking masuk hutan Sumalayang dahulu, rajin aku mengkaji media sosial kumpulan yang pernah masuk ke situ. Aku cuba fahamkan muka bumi denai di sana. Orang-orang dalam kumpulan yang selalu bikepacking ke dalam hutan pun mula sedar akan kewujudan dan kecenderungan aku.
Suatu hari, mereka menjemput aku untuk kayuhan masuk ke Taman Negara. Aku setuju walaupun aku tidak pernah jumpa mereka secara bersemuka.
Mereka ada buat sesi latihan persediaan untuk kayuhan ke Taman Negara dan aku ambil peluang untuk mengenali mereka secara lebih rapat.
Dalam sesi latihan Loop Air Tawar, aku dapati mereka sangat berdisiplin. Aku mesti bergerak ikut masa mereka hingga terpaksa tangguhkan sarapan.
Jika ada orang lewat, mereka tinggalkan dan tunggu di hadapan. Orang lewat mesti mengejar.
Ada peserta yang tidak cergas pada hari latihan dan kayuhannya perlahan. Perancangan aku adalah berkayuh di belakang bersama peserta yang tidak cergas itu agar aku boleh santai-santai. Malangnya peserta yang perlahan itu ambil keputusan untuk chicken out selepas berhenti sarapan. Aku terpaksa kembali ikut rentak kumpulan utama.
Kumpulan ini bukanlah laju berlumba macam atlit olimpik tapi disiplin mereka tegas. Mereka berhenti rehat tidak lama kerana ada mileage sasaran untuk hari itu. Ini mestilah dilengkapkan sebelum asar. Mereka cenderung untuk mencabar limit mereka sehingga kaki krem atau bonk. Aku pun terpaksa ikut rentak itu.
Aku dapati kayuhan lebih sedap jika kita menduga had kecergasan. Kayuhan hari itu bermula dari jam 7.30 pagi dan berakhir jam 5 petang. Kami meneroka Air Tawar 1, Sungai Layau, Air Tawar 5, Air Tawar 4, Tangga 7 dan Air Tawar 2. Rekod mencatatkan 60km offroad dan 1000m elevation gain. Selalunya untuk sesi latihan aku buat 1/3 usaha sahaja daripada rekod itu. Memanglah penat dan sakit tetapi puas mengayuh.
Aku syak sesi latihan ini lebih menduga berbanding perjalanan ke Taman Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan