Jauh di hulu hutan Rompin, Sungai Padang Batu bersatu dengan Sungai Kemelai lantas mengalir lesu di musim kemarau hingga bercantum dengan Sungai Anak Endau. Terus sampai di kuala, bersatu pula dengan Sungai Endau sebelum muntah ke Laut Cina Selatan.
Untuk petualangan Jaang-Padang Batu 3 hari 2 malam, barisan Komplot Bukit Hantu terdiri dari Shahril, Parktoy, Yem, aku, Akak Kau dan Tony. Untuk urusan dapur, Akak Kau jadi chief chef dan lain-lainnya membantu angkut peralatan dapur dan membasuh pinggan di sungai - memainkan peranan anak-anak. Sebenarnya, banyak lagi kerjanya, tapi nak cerita semua jadi tebal kamus pula penulisan ini. Komplot-komplot lain ada sistem penyediaan hidangan mereka tersendiri, masing-masing tapi tidak asing. Rasa macam kami ini sekampung Jakun.
Komplot lain terdiri dari Geng Bandar Seri Alam, Penawo, dan Puak Pelampau Air Tawar. Basikal pun pelbagai - MTB, gravel, fat bike dan e-bike sebiji. Jumlah kami termasuk guide, 25 semuanya.
Perkhemahan di Jaang-Padang Batu Rompin ini cukup rasa. Teringat pesan arwah ayah, “jangan suka sangat, nanti duka,” maka aku tunggu-tunggu apa celaka yang bakal menduga tapi sampai ke hujung tiada. Hanya calar-calar kecil yang tidak menganggu nikmat berbasikal, mendaki, berkhemah dan mencari air terjun. Seronok dapat bersama kawan-kawan yang kemaruknya sama. Cepat benar kami mesra, semalam asing hari ini dah saing. Ye lah, tak semua hamba diduga dengan petaka, ada juga yang diduga dengan nikmat. 🥰
Kembali kita ke hulu tempat kami berkhemah di tebing Sungai Kemelai yang mengalir malas hingga batunya mengumpul lumut. Satu jam hiking dari khemah, kita akan lalui Air Terjun Jaang Sungai Kemelai dan Air Terjun Padang Batu yang cantik tiada tolok bandingnya. Kedua-duanya punya lubuk besar gelap dalam hingga kaki tak jejak ke dasar. Air terjun pun cantik dan tinggi. Aku berani terjun dari tingkat atas Jaang (20 kaki) tetapi tidak di Padang Batu yang tingginya 30 kaki. Aku terlalu banyak fikir tetapi kalau kau beri sedikit motivasi, datang juga sifat berani mati itu.
Untuk yang kurang yakin berenang di air dalam, boleh la berlatih di Air Terjun Total Lost (Tak tahu nama sebenarnya, tapi ini gelaran yang kami beri.) Total Lost cuma 10 kaki tinggi dan lubuknya tidak luas. Sesuai untuk berlatih berenang. Walaupun tidak begitu gah, batu-batu di sini sama cantik seperti Jaang dan Padang Batu.
Batu-batu tebing Sungai Kemalai sifatnya berlapis-lapis dan berbongkah-bongkah. Aku dapat lihat batu-batu yang pecah kerana proses hakisan air dan angin berbentuk kotak-kotak. Kalau geografi kau lemah tetapi sejarah kau mantap, semudahnya aku temberang mengatakan hulu Sungai Kemalai ini dulu sebuah kompleks kota purba di mana warganya mahir bertukang batu. Batu-batu piramid Mesir diimport dari sini la.
Setiap yang bermula pastikan akan berakhir. Malam akan bertukar pagi walaupun kau tidak tidur. Malam itu kami sudah taklimatkan, selepas acara cerita-ceriti, tayar akan golek pulang jam 9.30 pagi. Awal pagi itu, Radzi Memerang siap kemas cepat sebab dia mahu ke air terjun untuk mandi. Sedang dia menyelam, dia ternampak satu jam tangan dalam air. Dia berjaya selam dan ambil jam itu, sejenis Garmin (RM2000). Bila pulang ke khemah, dia pun buat pengumuman. Rupanya itu jam Shahril yang dia sendiri pun tidak tahu di mana cicirnya. Alhamdulillah, kalau jodoh tak kat mana. Dah hilang dalam air pun boleh kembali.
Kami pun berkayuh pulang sambil menikmati oksigen pekat hutan hujan tropika.
Begitu mahirnya Layau mengendali basikal meniti perbatasan denai bekas laluan 4WD. Aku yang mengekori cuba meniru tapi aku gagal mengawal keseimbangan.
Roda aku tergelincir dari tebing denai dan basikal tumbang masuk lopak. Kaki kanan tersepit celah bingkai tapi aku tidak cedera.
Dari belakang Akak Kau jerit “Abang! Abang!” Tony campak basikalnya untuk tolong aku. Begitu juga Alif dan Layau.
Aku tenangkan semua, “Aku okay.” Akak Kau keluarkan telefon bimbit dan tangkap gambar. Tony pula posing buat peace.
Aku tidak cedera , cuma ego sahaja yang tercalar.
Kita teruskan kayuh pulang. Seperti biasa, akhirnya aku ikut pelonton paling belakang kerana aku tidak mahu petualangan ini cepat habis. Aku biarkan Akak Kau melaju mengejar apa yang dia hendak kejar.
Sesampainya di perkampungan orang asli Sungai Mok, Akak Kau telefon. Dia dan Parktoy mengadu sesat. Tenang-tenang sahaja, sesat ini mainan pengembara. Nasib baik sudah ada rangkaian internet. Aku bagi lokasi dan perintahkan mereka guna Google Map Satellite Mode untuk cari jalan pulang. Kaedah ini akan menampakan denai offroad dari atas langit. Sekonyong-konyong mereka pun sampai bersatu dengan pelonton akhir aku.
Kami terus kayuh hingga bergabung di titik akhir bersama semua pengayuh. Semuanya senyum ketawa gembira tetapi mengeluh terpaksa pulang ke pangkuan realiti esoknya kerja.