Kawan aku tersalah faham tema kayuhan “Rambo” sebagai “Rainbow”. Panjang lebar aku ceritakan asal usul filem Rambo (1982) arahan Ted Kotcheff yang diadaptasi daripada novel First Blood (1972) karya David Morrell, tetapi dia pula mencadangkan supaya aku memakai kemeja-T tie-dye berwarna-warni, mengambil inspirasi daripada tujuh warna pelangi. Beginilah jadinya apabila Gen X berbual dengan Gen Y. Zaman Gen Y sudah tiada lagi cerita toxic masculinity.
Misi Bikepacking Risik Sungai Emas, Kahang berlangsung pada 1 hingga 2 November (Sabtu–Ahad) dengan kekuatan pasukan seramai 17 peserta. Cuma dua hari satu malam. Seperti biasa, Jeneral Puak Pelampau, Cikgu Nazri, merancang strategi perjalanan dengan kemas. Objektif utama misi ini ialah meninjau kawasan dengan tema Rambo. Peserta digalakkan berpakaian celoreng atau berlenggeng terus.
Kayuhan bermula dari tempat letak kereta Masjid Ladang Zamrud pada jam 9.00 pagi, meliputi jarak anggaran 15 kilometer sehala. Kami tiada maklumat rupa bentuk muka bumi dan keadaan kem. Kami hanya berpandukan cerita-cerita lisan dan beberapa potongan video di Internet daripada kumpulan pacuan empat roda dan scrambler. Kami akan meneroka dan meneka dalam kesamaran. Peserta dinasihatkan menggunakan kelengkapan ringan dan kalis air kerana laluan dijangka melibatkan banyak anak sungai, selain denai yang berlumpur. Seperti biasa, jeneral turut mengingatkan semua peserta agar menjaga konsep dan maruah sepanjang ekspedisi.
Kayuhan hadapan diketuai oleh Irwan selaku pakar rintis, dibantu oleh Baan, manakala Radzi dan Coxi bertugas sebagai sweeper peloton belakang. Semua pengayuh bersemangat memulakan kayuhan dengan tafsiran busana Rambo masing-masing. Ada yang mengikat kepala dengan kain, ada yang memakai hijau tentera, dan ada yang berbaju celoreng. Aku hanya mengenakan singlet gelap dan seluar lycra ketat agar tidak dihinggap pacat, disarungkan dengan seluar pendek supaya tidak kelihatan tersembul anu.
Tujuh kilometer pertama ialah jalan berturap yang masih dalam pembinaan, menghubungkan pekan Kahang dengan Jalan Kampung Peta. Laluannya mudah dan hampir tiada kenderaan. Sesekali kami berselisih dengan jentera berat yang sedang mengerjakan struktur tanah. Kami singgah di kantin Ladang Bukit Cantik. Ada kawan-kawan yang bersarapan nasi di situ tetapi tidak aku. Usai Subuh tadi aku sudah makan roti telur dan sardin. Perutku masih penuh, jadi aku hanya menceduk ayam goreng dan nasi buat bekalan. Beberapa yang lain juga buat begitu. Rambo-rambo ini makan nasi bungkus rupanya. Lari konsep betul.
Perjalanan diteruskan sehingga melepasi kawasan ladang, lalu memasuki hutan simpan. Kami menyusuri Sungai Emas sejauh lapan kilometer. Jika jalan berturap, jarak itu boleh dihabiskan santai dalam 30 minit, tetapi denai hutan Sungai Emas menuntut lima jam daripada aku. Begitulah sifirnya.
Ulu Sungai Emas terletak jauh di timur, dalam kawasan Taman Negara Endau Rompin. Airnya mengalir membelah bukit-bukau sebelum bercantum dengan Sungai Endau dan akhirnya ke Laut China Selatan. Denai hutan tropika ini menyusur sungai yang berliku di lereng bukit. Muka buminya tanah liat padu dengan tompok-tompok lumpur berselang taman batu-batan sebesar kepala budak. Setiap setengah kilometer, kami bertemu lekuk tanah laluan air dari bukit menuju ke sungai.
Dalam gegar kayuhan, bungkusan nasi Megat jatuh dan digilis rodanya sendiri. Tamatlah riwayat bungkusan nasi Kantin Ladang Bukit Cantik itu.
Sebagai laluan pacuan empat roda, denai ini dikategorikan sangat rumit. Denainya panjang bergelombang manja, tetapi lekuk tanah airnya agak dalam hingga boleh menenggelamkan kereta. Sepanjang kayuhan, kami berselisih dengan tujuh buah pacuan empat roda. Dua buah tersadai di awal denai, seolah-olah ditinggalkan — entah apa rosaknya. Ke hadapan sedikit, kami jumpa pula sebuah pacuan empat roda yang tercabut tayar depannya. Beberapa geng pacuan empat roda bertungkus-lumus membaikinya. Jauh sedikit lagi, kedengaran sebuah lagi pacuan empat roda mengaum menarik rakannya yang tersangkut di dalam lubang. Seorang daripada mereka berseloroh apabila bertemu kami, “Mungkin lebih baik naik basikal sahaja.”
Sebagai laluan basikal, denai ini cukup sedap dan mencabar. Kayuhannya panjang dengan sesekali turun mendaki dan mendorong di kawasan berlumpur atau berlubang besar. Ada bukit bukau tetapi tiada tanjakan yang terlalu tinggi. Adatlah, kalau mampu, kami kayuh; kalau tidak, kami tolak. Kalau separuh yakin, kami tetap ambil risiko menguji kecekapan teknikal. Aku terkucil sekali ketika cuba mengayuh keluar dari lubang, Cikgu Nazri pula tergelincir sewaktu melarung lumpur. Ada juga ahli lain yang jatuh, walau bukan di depan mata aku. Selagi tiada patah tangan, jatuh-jatuh kecil ini jadi bahan jenaka. Undang-undangnya: jangan bangun terlalu cepat apabila jatuh — berpose dahulu kerana kawan-kawan pasti mahu ambil gambar. Gembira ketawakan orang, gembira juga ketawakan diri sendiri.
Tapi kadang-kadang, bila kau sudah terlalu penat mahu ketawa pun tidak larat. Dalam perjalanan pulang, giliran Yem menjadi sweeper. Kalau ada basikal mahu jatuh, dia laju menyambar. Aku lambat sikit mahu bertindak balas. Banyak juga detik-detik manis komrad jatuh tergolek kita nikmati dengan mata sahaja. Tanpa rakaman.
Hubungan pengayuh basikal hutan dengan pemandu pacuan empat roda memang rumit. Kami berterima kasih kerana merekalah yang membuka laluan dari semak belukar, dan jika berlaku kecemasan, kepada merekalah kami memohon bantuan. Namun tayar-tayar pacuan empat roda yang besar dan rakus turut menghakis tanah hingga meninggalkan lubang lumpur dalam. Tidak pasal-pasal kami terpaksa turun pelana dan menolak basikal. Turun-naik pelana inilah punca paha kejang. Jadi, kami benci tapi rindu dengan pacuan empat roda. Namun bila berselisih di jalanan, tidaklah kami bertengkar. Santai, berbasa-basi sahaja.
Ketika mengayuh masuk aku berada dalam peloton belakang, begitu juga ketika keluar. Peloton belakang lambat sampai kerana banyak berehat, namun panjang nikmat perjalanannya. Kata orang, nikmat berada diperjalanan, bukan destinasi. Cahaya matahari menembusi celah dedaunan menjadi halwa mata. Bunyi burung dan desiran air berpadu membentuk lagu alam yang menenangkan. Ranting pokok menjalar merentasi laluan, sesekali menggarit kulit pengayuh seolah-olah memberi salam. Bau lembap tanah dan dedaun gugur membuat pengembara terasa kerdil. Dalam perjalanan pulang, hujan mencurah menyejukkan badan yang kepanasan. Hujan air sahaja pun, tiada sebab untuk terburu-buru.
Sekali peristiwa, kumpulan hadapan menunggu hampir sejam peloton belakang. Kami berpakat agar kumpulan hadapan teruskan perjalanan dan biar dua orang menunggu. Aku dan Azfar menjadi penunggu. Aku ambil kesempatan menemubual Azfar tentang petualangan Peninsular Divide-nya. Maklumat itu akan berguna untuk sesi kongsi cerita malam nanti.
Sekonyong-konyong tibalah peloton belakang. Alhamdulillah, tiada kemalangan dan tiada kerosakan sepanjang perjalanan. Gembira sekali melihat mereka muncul, kerana dalam kepala aku pelbagai sangkaan buruk sudah bermain. Perstiwa pendaki ditinggalkan di Gunung Liang sehingga mati kedinginan menghantui aku.
Peloton belakang juga gembira melihat aku — the usual suspect — menambah sedikit kemeriahan peloton belakang.
Kami tiba di kem yang disasarkan pada pukul empat petang. Kawasan perkhemahan berjarak 30 meter dari gigi sungai. Di sini, Sungai Emas membuat selekoh; batu dan pasir berkumpul di satu tebing membentuk pantai panjang. Air di hulu deras kerana sungai menyempit, tetapi mengalir lesu ke hilir yang lebih lebar. Aku perlahan-lahan mendirikan khemah dan menggantung hammock. Selesai menguruskan tempat tidur, aku ke sungai membasuh basikal, menanggalkan lumpur yang melekat. Beberapa kawan turut berada di kawasan air deras. Beberapa “Rambo” berseluar dalam sahaja bermain air seolah-olah meraikan Hari Lelaki Sedunia.
Yem mengajak aku makan nasi tetapi aku belum lapar. Nasi yang aku beli pagi tadi pun belum terusik, lalu aku berikan kepada Toi yang lebih memerlukan. Kemudian, Megat pun dapat nasi pemberian kawannya.
Di dalam hutan, hari cepat gelap. Matahari tenggelam di balik bukit.
Biasanya aku dengar Megat bernyanyi — suaranya boleh tahan. Antara lagu yang kerap diulang:
Sudah diinai-inaikan
Sudah diandam-andamkan
Tanda pengantin berseri-seri muka
— A. Ramlie
Namun kali ini, apabila masuk waktu Maghrib, Megat melaungkan azan. Sedap sekali suaranya. Jika Angkatan Tentera Malaysia ada Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), maka eloklah skuad Puak Pelampau melantik Megat sebagai ketua KAGAT mereka.
Selepas Maghrib barulah aku makan. Yem yang sediakan nasi untuk aku. Itu pun aku paksakan diri untuk makan kerana mahu mengelak perut masuk angin. Tony bergurau mengatakan aku rindu masakan Akak Kau. Mungkin juga.
Pukul sembilan malam, bulan terang di dada langit. Kami berkumpul di dalam sungai tanpa baju. Sesi bercerita kali ini diadakan dalam deruan air Sungai Emas. Semua diarahkan menutup lampu, dan aku sebagai moderator memulakan acara. Dalam samar cahaya bulan, aku menjemput ahli baharu, Nad, memperkenalkan diri. Walaupun beliau ini alumni Audax dan Ironman, kata-katanya tidak sombong. Orangnya tertib dan merendah diri.
Kemudian kami teruskan dengan kisah Azfar masuk petualangan Peninsular Divide. Dia bercerita panjang, dari persediaan berlumba hinggalah keputusan getir untuk tidak menghabiskan perlumbaan — Did Not Finish (DNF) — di kilometer 1300, dua ratus kilometer dari garisan penamat.
Mula-mula aku tenang mendengar cerita. Bila terasa seperti ada sesuatu mencubit-cubit kaki, aku masih sabar. Aku syak itu udang atau ikan. Namun selepas sejam dalam air dingin, betisku kejang. Aku angkat kaki ke atas permukaan air menahan sakit.
Azfar terus bercerita.
Akhirnya, ada yang menegur, “Jomlah sambung di khemah.” Maka Rambo-Rambo pun bergerak pulang ke khemah.
Di khemah, Azfar menyambung cerita tentang kayuhannya membelah Semenanjung Malaysia, dari satu titik periksa ke satu titik lain. Benarlah kata Ibnu Battuta: seorang pengembara akan pulang menjadi tukang cerita. Hampir tiga jam Azfar bercerita. Bila jarum jam tegak menunjukkan dua belas tengah malam, aku terpaksa menamatkan sesi. Yang masih teguh mendengar hanya Mor, Megat, Shahril, dan Coxi. Yang lain sudah “DNF” awal, malah ada yang mula berdengkur.
Apa pun, kami sebulat suara menggulung bahawa kami tetap bangga mempunyai seorang kawan yang telah menyertai acara kayuhan ultra Peninsular Divide, walaupun dia kecundang di kilometer 1300 atas sebab-sebab tertentu. Kau ada? Kalau kau tiada kawan untuk ditumpangi bangga, kasihan juga. Katakan sahaja kau ada kawan yang menulis tentang kawannya — seorang pengayuh ultra.
Sekitar jam satu pagi, aku masuk ke dalam hammock dan berlayar ke alam mimpi.
Oleh sebab jalur ini dinamakan Jalur Sungai Emas, tentulah tidak lengkap jika aku tidak mengambil peluang keemasan menutup karangan ini dengan permainan kata “emas”. Kami tidak menjumpai emas di sini, seperti tiadanya emas di hujung pelangi. Namun aku bersyukur dapat bermain di sini bersama kawan-kawan. Yang pastinya, setiap seorang memiliki hati emas yang murni lagi suci. Ingin aku menjadi sahabatmu hingga akhir hayat nanti.
Am
Kembara
D G
Puas sudah ku mengembara
Am
Ke mana
D G
Perginya oh cahaya
Am
Mencari
D G
Hati emas bukannya mudah