Isnin, Januari 03, 2022

005 Jalan Kecik

 Afimon, selepas jatuh basikal.

Afimon: Papa la ni bawa ikut jalan kecik.
Aku: Maafkan papa. Nanti papa besarkan jalan.
#beskalku 23 Januari 2021


004 Afimon Naik Basikal

Kawasan sekitar kejiranan kami sentiasa sibuk dengan aliran trafik yang tidak pernah putus. Keadaan ini menyebabkan Afimon tidak berpeluang untuk belajar menunggang basikal sejak kecil. Namun, hari ini segalanya berubah. Usianya 17 tahun kini. 

Aku membawanya ke sebuah padang kawad yang luas dan lengang. Di situlah, buat pertama kalinya, dia belajar mengayuh. Dalam tempoh kurang lima minit, Afimon sudah pun meluncur dengan yakin di atas permukaan berturap, seolah-olah sudah lama mengenali basikal itu.

Lebih baik lambat daripada tidak langsung, aku berbisik dalam hati, bangga melihat pencapaiannya. Oh ya, aku juga sempat mengajarnya cara bergaya di hadapan kamera bersama basikal — kerana kenangan seperti ini wajar dirakam.


#beskalku 8 Januari 2021



003 Laporan Kemalangan

1 Januari 2020, dimulakan dengan kayuhan gravel. Ini kali pertama aku dan Tin buat kayuhan off road. Urusetianya Cabi Bikedaily. Turut menyerikan majlis adalah Endi, Kobis, Faiz, Apin dan Nik. Segan juga dengan team ini kerana mereka otai-otai dan ada juga mekanik basikal. Bagusnya tak perlu risau jika ada masalah mekanikal di perjalanan.


Rancangan asalnya mahu balik sebelum solat Jumaat tetapi hujan terlalu lebat dan kami mula kayuhan agak lewat. Kami bergerak dari Spring Lab, Eco Palladium masuk bawah lebuhraya E22 menuju ke Bukit Batu Gajah, ladang Felda Ulu Tebrau. Balik pula ikut Taman Impian Jaya, Kampung Maju Jaya dan masuk semula ke kawasan Eco-Eco. 70% masa kami berada off-road dan 30% atas jalanraya, lebih kurang 4 jam kayuhan dan 30 km jarak dilalui.

Tin ada basikal lipat, tidak sesuai untuk gravel. Malam sebelum itu, aku hubungi Idham Wkndrs. Dia ada 2 biji basikal gunung dan dengan gembiranya dia menawarkan satu basikal lamanya, Specialized 26er klasik. Di ambang tahun baharu aku ambil Specialized itu di Pulai Perdana dan siap-siap letak dalam kereta. Esoknya awal-awal pagi, aku sumbat basikal aku pula dalam kereta dan berdesup ke tempat permulaan.

Cuaca redup, hujan renyai dan lebat bersilih ganti. Kami seronok sebab dah memang hobi kami hiking dalam hutan hujan khatulistiwa. Bezanya kali ini kami sesuaikan diri bergerak dengan basikal. Kami uji apa basikal boleh buat dan apa yang basikal tak mampu buat. Pelan-pelan kayuh atas gravel, tidak berlumba pun. Tak larat kayuh mendaki, kami sorong basikal.

Tiada peristiwa luar biasa berlaku dalam jalan ladang. Benda biasa-biasa sahaja-  tayar Nik bocor, sandal Kobis putus, Endi jatuh basikal dan rokok basah kena hujan. Benda asam garam pengayuh basikal. Aku perhatikan otai-otai ini dan buat nota minda.

Berkayuh menempuh trafik Kampung Maju Jaya amat mengerikan bagi aku. Jalannya tidak berapa lebar tapi lori besar-besar lalu situ. Maklumlah kawasan industri berat berhampiran. Rasa amat lega bila keluar dari jalan itu dan masuk ke kawasan Eco-eco yang lebih mesra penunggang basikal. Siap ada lorong basikal lagi.

100 meter sebelum titik tamat sebuah kereta keluar simpang dan sauk tayar belakang Tini. Tini jatuh dan rim basikal pinjam dari Idham lari bentuk tapi alhamdullillah tiada kecederaan serius. Pemandu itu seorang remaja Cina. Dia nampak takut, gusar dan menyesal. Aku pula risaukan keselamatan Tin tapi kami semua orang yang sabar dan tenang. Kami tidak maki hamun atau pukul pemandu itu. Kami bincang baik-baik, tukar nombor telefon dan dia janji bayar ganti rugi. Aku snap foto pelekat cukai jalan kereta dan urusan selesai tanpa laporan polis.

Aku fikirkan Tin akan serik tapi tidak. Dia dah berkira-kira kalau berkayuh lagi, pastikan bajunya terang benderang. Pasang lampu lip-lap di basikal biar nampak macam basikal berhias agar pemandu nampak kita dan bertolak ansur sebagai pengguna jalanraya yang berhemah.

Terimakasih kawan-kawan yang prihatin dan cakna keadaan Tin selepas kemalangan. Ramai kawan-kawan bertanya tentang dia. Aku jawab,"Tu ada tu. Dia tengah scroll shoppee cari lampu basikal."

Episod akan datang (Macam K-drama saspen dia): Basikal cap beruang

#beskalku 4 Januari 2021




002 Akak Kau Kemalangan

Hari mendung dan hujan renyai-renyai. Tini berada 10 meter depan aku. Kami sedang berkayuh di lorong basikal di jalan Eco Palladium. 100 meter lagi kami akan sampai ke titik akhir kayuhan di Spring Labs. Tiba-tiba sebuah BMW Pacuan 4 roda berwarna putih keluar dari simpang tanpa menghiraukan papan tanda berhenti. Kereta itu melanggar Tini dan ia terus berhenti mengejut.

Dalam banyak anime, cerita bermula dengan seorang watak yang poyo ingin menyertai sesuatu yang baharu. Dari satu siri ke siri lain watak akan menempuh cabaran dan dugaan. Dia akan mengumpul kemahiran dan ilmu. Seterusnya dia akan mencapai kemuncak kecemerlangan, menang piala atau bunuh musuh ketatnya. 2021, aku berwawasan memulakan satu petualangan mencatat jurnal basikal. Aku sekarang seorang poyo baru masuk scene.
Bukanlah aku ini baru pandai mengayuh tetapi maksud aku baru dari sudut mula mengayuh untuk rekreasi. Kereta laju, pemandu mabuk dan lori makan jalan adalah musuh aku. Aku phobia sangat dengan benda-benda ini. Dan aku tak rasa di hujung cerita nanti aku boleh mengalahkan phobia ini. Mungkin hidup tak seindah anime.
1 Januari 2020, dimulakan dengan kayuhan gravel. Ini kali pertama kami buat kayuhan off road. Hari pertama inilah malang tidak berbau.

#beskalku 3 Januari 2020



001 TUA SEBELUM WAKTU


Awal pagi, akak kau sudah berkobar-kobar. Basikal lipat dimasukkan ke dalam kereta. Dia bersemangat mahu berkayuh di kawasan kampus tempat kami bekerja. Di sana lalu lintas hampir tiada, aman, dan memang syurga buat kaki basikal. Aku, sebagai suami mithali, membantu membuka pagar rumah. Angin pagi sejuk-sejuk manja. Tiba-tiba, dia turunkan tingkap kereta, dan dengan nada penuh ajakan dia berkata, “Jom, bang, kita tour!” Aku terpaku seketika. Otak aku terus memproses: Tua? Pagi-pagi buta nak ajak jadi tua sama-sama? Dengan muka serius tapi hati nakal, aku jawab, “Dalam hati, saya sentiasa mahu muda.” Dia mengangkat kening, lalu membalas tegas, mengeja satu-satu, “T. O. U. R… tour, bukannya tua!” Ketika itu aku hanya mampu tersenyum. Dalam kepala, aku terbayang betapa berisikonya kalau aku tersalah cakap, “Dalam hati saya sentiasa mahu yang muda.” Silap-silap, kereta itu terus mengundur, pagar terbuka, aku terus dilenyek di tempat kejadian. Tajuk berita esok: “Mangsa Salah Dengar Maut di Pagar Rumah Sendiri.” P.S. Akak Kau memang hebat. Berjaya menyempurnakan tour Johor–Melaka–Negeri Sembilan pada 22–26 Disember 2021. Aku tidak ikut. Masa itu aku belum kemaruk berbasikal.
#beskalku 4 Disember 2020

Sabtu, Januari 01, 2022

000 HARI INI DALAM SEJARAH

Pada usia sembilan tahun—umur aku ketika itu baru setahun jagung, belum cukup sedekad pun—aku belajar sendiri menunggang basikal. Basikal Raleigh milik abah menjadi teman setiaku. Setiap pagi, sebelum matahari terbit, aku akan menyorong basikal itu mengelilingi kampung. Lama-kelamaan, aku memberanikan diri untuk mengayuh. Sebelum emak sempat menjerit memanggil aku pulang untuk makan tengah hari, aku sudah pun pandai menunggang.

Sejak aku boleh menunggang, emak pun sudah mula menyuruh aku ke kedai membeli Sanita. Aku sendiri tidak tahu apa itu Sanita kerana pekedai membungkusnya kemas dengan surat khabar. Yang aku tahu, baki duit belanja itu menjadi hak milik aku untuk membeli jajan.

Jajan zaman dahulu tiada jenama. Aku tidak tahu nama-namanya. Kegemaran aku ialah bipang bertih beras. Bila mahu membeli, aku cuma perlu muncungkan mulut ke arah balang. Tidak perlu bersuara.

Eh... sudah bercerita tentang jajan pula. Lari daripada topik asal. Mari kita kembali kepada cerita basikal.

Abah kemudian menghadiahkan aku sebuah basikal baharu tanpa palang, khusus untuk aku kayuh ke sekolah. Orang sekarang mungkin memanggilnya basikal jenis city bike. Feminin benar rupanya. Aku malu juga dengan kawan-kawan yang bergaya dengan basikal Chopper dan BMX. Untuk kelihatan lebih ‘ganas’, aku ambil spanar dan cabut mudguard serta bakulnya. Togel habis basikal itu, amat macho sekali. Abah marah, tetapi aku tetap berkeras. Biasalah, anak nombor dua katanya memang keras hati.

Masa pun berlalu. Kalau ini sebuah filem, bayangkan helaian kalendar disiat satu demi satu.

Aku mula membeli motosikal. Kemudian jual motosikal, beli kereta terpakai. Jual pula kereta terpakai, beli kereta keluaran tempatan. Selepas itu, kereta tempatan pula dijual, diganti dengan kereta Jepun.

Kalendar terus disiat, sehelai demi sehelai dengan pantas. Musim berganti musim.

Suatu hari, kira-kira sepuluh tahun dahulu, aku ternampak basikal terpakai buatan Jepun dijual di Batu Pahat. Aku beli dua buah, kedua-duanya jenis mamachari—basikal bandar yang popular dalam kalangan ibu-ibu di Jepun. Sesuailah untuk dua orang anak perempuan aku belajar menunggang.

Namun, kemaruk mereka hanya sebulan. Musim berbasikal tidak pernah muncul kembali. Budak-budak Generasi Z mula leka dengan dunia Internet. Basikal-basikal itu akhirnya cuma mengumpul habuk di anjung rumah.

Kalendar disiat lagi. Putik bunga berkembang dan kemudiannya layu. Berulang-ulang kitaran masa.

Tahun 2020. Usia aku kini melebihi separuh abad. Pandemik COVID-19 melanda. Rakyat hidup dalam keresahan. Tiba-tiba, musim berbasikal kembali. Kawan-kawan mula berkayuh bergaya dengan basikal Polygon lipat, Tokyo Road Bike, Giant MTB, Canyon Gravel, dan macam-macam lagi. Mereka beli basikal dari kedai berhawa dingin. Aku pun teringin menyertai mereka dalam kayuhan santai.

Masalahnya, aku masih punya dua buah basikal mamachari buatan Jepun. Aku gunakan untuk ke kedai runcit. Sayang rasanya jika aku beli lagi yang baharu. Waktu aku hantar tukar tiub semalam, mekanik bengkel kata basikal itu masih elok. Gearnya pun masih molek.

Kawan-kawan begitu segak menunggang basikal lumba dan gravel mereka. Aku segan juga menunggang mamachari bila bersama kawan-kawan. Haruskah aku ambil spanar dan togelkan semula basikal itu?


Nov 8, 2020



84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempat...