Sabtu, Januari 01, 2022

000 HARI INI DALAM SEJARAH

Pada usia sembilan tahun—umur aku ketika itu baru setahun jagung, belum cukup sedekad pun—aku belajar sendiri menunggang basikal. Basikal Raleigh milik abah menjadi teman setiaku. Setiap pagi, sebelum matahari terbit, aku akan menyorong basikal itu mengelilingi kampung. Lama-kelamaan, aku memberanikan diri untuk mengayuh. Sebelum emak sempat menjerit memanggil aku pulang untuk makan tengah hari, aku sudah pun pandai menunggang.

Sejak aku boleh menunggang, emak pun sudah mula menyuruh aku ke kedai membeli Sanita. Aku sendiri tidak tahu apa itu Sanita kerana pekedai membungkusnya kemas dengan surat khabar. Yang aku tahu, baki duit belanja itu menjadi hak milik aku untuk membeli jajan.

Jajan zaman dahulu tiada jenama. Aku tidak tahu nama-namanya. Kegemaran aku ialah bipang bertih beras. Bila mahu membeli, aku cuma perlu muncungkan mulut ke arah balang. Tidak perlu bersuara.

Eh... sudah bercerita tentang jajan pula. Lari daripada topik asal. Mari kita kembali kepada cerita basikal.

Abah kemudian menghadiahkan aku sebuah basikal baharu tanpa palang, khusus untuk aku kayuh ke sekolah. Orang sekarang mungkin memanggilnya basikal jenis city bike. Feminin benar rupanya. Aku malu juga dengan kawan-kawan yang bergaya dengan basikal Chopper dan BMX. Untuk kelihatan lebih ‘ganas’, aku ambil spanar dan cabut mudguard serta bakulnya. Togel habis basikal itu, amat macho sekali. Abah marah, tetapi aku tetap berkeras. Biasalah, anak nombor dua katanya memang keras hati.

Masa pun berlalu. Kalau ini sebuah filem, bayangkan helaian kalendar disiat satu demi satu.

Aku mula membeli motosikal. Kemudian jual motosikal, beli kereta terpakai. Jual pula kereta terpakai, beli kereta keluaran tempatan. Selepas itu, kereta tempatan pula dijual, diganti dengan kereta Jepun.

Kalendar terus disiat, sehelai demi sehelai dengan pantas. Musim berganti musim.

Suatu hari, kira-kira sepuluh tahun dahulu, aku ternampak basikal terpakai buatan Jepun dijual di Batu Pahat. Aku beli dua buah, kedua-duanya jenis mamachari—basikal bandar yang popular dalam kalangan ibu-ibu di Jepun. Sesuailah untuk dua orang anak perempuan aku belajar menunggang.

Namun, kemaruk mereka hanya sebulan. Musim berbasikal tidak pernah muncul kembali. Budak-budak Generasi Z mula leka dengan dunia Internet. Basikal-basikal itu akhirnya cuma mengumpul habuk di anjung rumah.

Kalendar disiat lagi. Putik bunga berkembang dan kemudiannya layu. Berulang-ulang kitaran masa.

Tahun 2020. Usia aku kini melebihi separuh abad. Pandemik COVID-19 melanda. Rakyat hidup dalam keresahan. Tiba-tiba, musim berbasikal kembali. Kawan-kawan mula berkayuh bergaya dengan basikal Polygon lipat, Tokyo Road Bike, Giant MTB, Canyon Gravel, dan macam-macam lagi. Mereka beli basikal dari kedai berhawa dingin. Aku pun teringin menyertai mereka dalam kayuhan santai.

Masalahnya, aku masih punya dua buah basikal mamachari buatan Jepun. Aku gunakan untuk ke kedai runcit. Sayang rasanya jika aku beli lagi yang baharu. Waktu aku hantar tukar tiub semalam, mekanik bengkel kata basikal itu masih elok. Gearnya pun masih molek.

Kawan-kawan begitu segak menunggang basikal lumba dan gravel mereka. Aku segan juga menunggang mamachari bila bersama kawan-kawan. Haruskah aku ambil spanar dan togelkan semula basikal itu?


Nov 8, 2020



Tiada ulasan:

84 ULU KASAR

8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempat...