Rabu, Februari 23, 2022

025 BUKIT BUKAU SEPANJANG JALAN

 Menurut pakar fizik, kayuhan mendaki bukit tidaklah susah sangat jika kau ada pengetahuan. Kau cuma perlu congak berat badan, nisbah gigi gear (depan dan belakang),  cerun bukit, pusingan kayuhan, keperluan kelajuan, tenaga perlu dan panjang batang pedal. Dalam masa yang sama pastikan kau tidak melampaui maksima detak per minit yang dibenarkan untuk usia jantung kau. 

Sibai! Bundek! Putoh! Hark Puiihhhh! 

Saintis ingat aku ada masa ke nak buat kira-kira? Keputusan terakhir ujian matematik tambahan aku 4/100! Itu pun markah kasihan tulis jawapan betul di ruang tulis nama. 

Aku dah berkayuh setahun jagung sekarang. Aku kira sudah masanya bagi petua-petua sebenar panjat bukit dengan praktikal untuk kalian. 

Mula-mula kau buka butang baju agar lebih banyak angin kena ke kulit. Bila kulit sejuk, hati kurang panas. 

Kedua, kau perlahankan kelajuan tetapi masih boleh mengimbang. Jika kau paksa kelajuan di tanah rata ketika mendaki, kau perlu tambah tenaga kaki dengan banyak. Kau terus paksa diri begitu, betis dan peha akan meletup. Dan kawan-kawan akan  maki kau kerana terpaksa kutip cebisan-cebisan daging di denai.

Ketiga, kau perlu lawan mata dengan kontor cerun bukit di depan kau. Kau laras gear depan dan belakang paling sedap untuk cerun yang nak cari gaduh dengan kau. Jika aku berkayuh belakang kau, kira nasib kau baik. Aku akan perhatikan gear kau dan menasihati kau jika ada gear berbaki yang belum digunakan. Inilah senior-senior sebelum ini buat kepada aku. 

Tidak seperti penunggang basikal jalanan handle jatuh, penunggang basikal bukit handle tanduk kerbau balau akan bertemu longkang air tengah denai. Ya, longkang air bukan tepi denai. Denai off road biasanya dwi-fungsi  sebagai sistem aliran air. Kau elakkan tayar masuk longkang itu. Jika terjadi, pusingan roda pastinya terhalang dan kau terpaksa mengalah. Bila kaki jejak tanah kira game over, the floor is lava. Tolak sahaja basikal itu ke puncak. 

Jika kau menolak basikal ketika mendaki, tolong ke tepi sikit sebab aku yang di belakang mahu memotong. Jangan halang jalan aku. Get out of my way. 

Akhir kata, hadapi bukit itu slow and steady. Biasanya dua tiga kali kau bergelut dengan bukit yang sama dan dua tiga kali kaki krem, kau akan menang juga akhirnya. Kau kayuhlah pada tempo yang seragam sambil berzikir. (Ed. Menunggang basikal sambil menunggang agama nampak.)

Wait the minute kata kau, "Baru setahun jagung dah nak bagi nasihat cara membalas dendam dengan bukit." Beginilah dik, umur aku dah berapa sekarang? Kalau aku tunggu 20 tahun lagi, itu bukan nasihat tetapi wasiat namanya.


17/08/21



024 Berbasikal di Kejiranan

 Ada kemas kini SOP PKP. Sekarang berbasikal di kawasan kejiranan dengan mengambil kira jarak selamat dibenarkan.

Selasa. 20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijjah 1442H bersamaan Hari Raya Haji.  Petang itu aku kayuh 15km kawasan kejiranan menyusuri jalan khidmat projek HSR (High Speed Railway). Jalannya rata, peluh tidak pecah dan tidak penat. Not bad untuk orang yang dua bulan tidak bersenam. 

Khamis malam Jumaat. 22 Julai 2021 bersamaan 12 Zulhijjah 1442H bersamaan bulan terang 94%, aku kayuh 15km lingkaran berbukit Devil's Peak. Aku sudah biasa tempat ni sebelum PKP dulu - puncak pertama 110m, puncak kedua 120m, dan condong maksima 11% tetapi kali ini rasa agak jauh pula berbanding selalu. Lemak total lockdown masih lekat padu. 

Sabtu 24 Julai aku, Akak kau, Zam, Edi dan Bob buat kayuhan lingkaran lebih besar - Devil's Peak + Jeram Rahsia Umum dengan jumlah jarak 27km. Kayuh separuh, berendam dalam air gunung separuh dan sambung kayuh pulang. 

Dalam perjalanan pulang aku mula tertekan kerana matahari terpacak atas kepala. Dan laluan yang aku rancang pula terputus. Menurut Komoot, Strava dan Google Map ada terowong bawah yang menyambung Lingkaran Jeram Rahsia Umum dan Devil's Peak tetapi tuan punya tanah sudah korek parit dan pasang kawat duri pula. Kami teruskan juga laluan itu, angkat basikal dan turun parit. 

Oleh kerana denai itu sudah lama ditinggalkan, belukar sudah semakin menebal. Belukar pula jenis pokok berduri macam semalu tetapi lebih tinggi dari aku. Nasib baik Zam ada bawa pisau. Zam cantas mana yang patut bagi membolehkan  kami tembus ke jalan yang benar. Semasa menempuh belukar tayar aku tergelincir dan aku jatuh tetapi tiada kecederaan. Cuma ego sahaja yang tercalar. 

Seekor babi melintas di hadapan, aku buat tidak peduli.  Terus kayuh masuk kawasan Devil's Peak.

Baru 200m aku terpaksa berhenti kerana peha kanan kejang simpul biawak. Setelah rehat sekejap, kami teruskan lagi kayuhan. 1km kemudian, kejang merebak turun ke betis pula. Mungkin berendam air gunung lama sangat tadi. 

Aku mengambil keputusan untuk rehat kayuh dulu dan tolak basikal. Edi sukarela tolak basikal bersama aku. Dia pun hampir lengit juga rupanya. Ada la menolak dalam 20m.

Kemudian, aku teringat aku ada bawa ORS (Oral Rehydration Salt). Aku campurkan ORS dalam bekal 100+ dengan harapan air, garam dan minuman electrolyte boleh mengurangkan kejang.

Lantas, aku sambung kayuh lagi layan bukit terakhir Devil's Peak. Berjaya juga akhirnya aku melepasi puncak dan menuruni bukit ke garisan akhir dengan bantuan graviti.

Lemak dan kelesuan lockdown ini benar. Perlu ambil masa panjang untuk pecahkan lemak dan kembalikan kecergasan. Aku akan terus buat kayuhan jarak dekat harian dengan bekalan ORS, stand by. Mungkin juga aku perlu bawa pisau macam Zam, just in case. 


26 Julai 2021



023 Jatuh Lagi

 Semalam aku jatuh basikal MTB di pinggir hutan. Beberapa saat sebelum itu aku menunggang sambil berbisik dalam hati, "Inilah kali pertama aku dapat lalu denai ini tanpa menolak. Terimakasih MTB."

Sekonyong-konyong tayar belakang terangkat dan aku tersembam ke pasir. Nasib baik pasir, bukan akar kayu atau batu. Pasir masuk mulut tidak sakit tapi pedal kena belakang lutut, sampai sekarang sengalnya.

Kawan-kawan tanya,"Tok okay?" Aku jawab aku okay. "Aku jatuh sebab riak," jawab  aku ringkas.

Kembali kepada persoalan dari posting yang lepas, adakah musim basikal akan tamat?

Ya musim basikal akan tamat... 

- jika kau cedera. Aku berehat main basketball sebab lutut aku sakit. Jika aku cedera kerana basikal pula nampaknya aku pun kena rehat atau quit basikal. Mulai sekarang, aku kena ingatkan diri agar tidak riak dan menunggang dengan lebih cermat. Jangan, ciwi sangat. Jangan ikut sangat gaya penunggang muda. 

- jika ada undang-undang menyekat hobi basikal. Contohnya, kerajaan keluar SOP, dilarang berbasikal. Nama pun PKP, Perintah Kawalan Pergerakan. Berbasikal adalah pergerakan. Aku ni boleh bertahan juga kerana basikal bukan mata pencarian. Kasihannya kepada migran-migran yang berkayuh ke tempat kerja.

- jika ladang-ladang korporat menguatkuasakan larangan berbasikal di ladang atas alasan menceroboh. Di denai yang selalu aku lalu sudah mula pacak papan tanda larangan berbasikal. Aku tidak tahu kenapa bermusuh sangat dengan basikal sedangkan banyak aktiviti jahat lain yang berlaku dalam ladang seperti memburu binatang dan bermain scrambler. Tiada pula papan tanda untuk mereka. Sebenarnya ladang kena ambil kesempatan daripada basikal. Dia cuma perlu umumkan ladangnya mesra basikal. Itu sahaja sudah baik untuk bantu brand dia. It's a simple and cheap corporate social responsibility.

-jika para penunggang jumpa sesuatu yang lebih seronok dan time consuming daripada penunggang basikal, maka basikalnya bakal bersawang. Contohnya, dia jatuh cinta, sibuk berkencan, kemudian berkahwin, kemudian beranak, dan pastinya dia akan sibuk tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada keluarga. Tiada masa untuk basikal. 

-jika kau tidak punya kawan dengan minat yang sama. Kau nak berbasikal tetapi kawan-kawan kau minat futsal. Maka kau pun ikut mereka main futsal. Aku bertuah sedikit sebab Akak Kau pun minat basikal. Adik aku, Yem, pun minat basikal. Kami bertiga pun jadi. Dan setakat ini ramai kawan-kawan aku suka basikal.

-jika group basikal kau bubar. Tiada lagi pentol yang mahu menganjurkan acara berbasikal. Band Search yang fenomena tu pun berpecah, inikan pula komuniti berbasikal tanpa struktur yang jelas.

Ini semua jika atau kalau, tetapi jika kau main basikal lebih dari mengisi masa lapang, musim basikal tamat pun kau tetap berbasikal. Kau masuk  dalam kategori kemaruk ghairah berbasikal atau omputih panggil passionate.

Motivasi basikal kau mungkin adrenalin ketika berbasikal, tendangan dopomine dalam badan, badan, kaesihatan kerana berbasikal, atau kau dapat ketenangan dari bertukang membangun basikal. Sampai tualah kau berbasikal. Bila dah tak boleh kayuh, kau main kerusi roda pulak. Asal ada roda. 

Kembali kepada cerita jatuh basikal tadi. 

Aku tidak cerita dengan kawan-kawan satu cerita tentang kisah pinggir hutan itu. Ada seorang penunggang pernah tiba-tiba terasa ada tenaga menolak basikalnya dengan kuat dari arah depan hingga dia tersungkur. 

Dia tuduh jin yang tolak tanpa bukti. Sungguh katanya. Aku percaya katanya sekarang. 

Aku pun berat mengatakan aku jatuh tadi kerana gurauan jin. Satu, kelajuan aku sederhana lebih ke arah slow sebab aku mengelak-ngelak pokok. Mustahil boleh tertonggeng begitu teruk.

Dan duanya, basikal aku ini tayarnya berat, sukar nak wikang tanpa momentum. Aku perlu laju dan tekan brek belakang mengejut untuk wikang sebegitu. 

Ketiga, roda basikal ini juga besar, setakat akar besar lengan senang-senang dia panjat. Tak mungkin ada akar yang sekat tayar sehingga aku tersembam. 

Maka, secara logiknya pasti kemalangan aku itu gurauan jin. (Hmmm kelakar juga aku berhujah logik tapi menuduh makhluk halus). 

Takpe, ini hari dia usik aku. Esok lusa aku datang pinggir hutan ini lagi, aku akan usik dia pula.


27 Mei 2021



022 Musim Basikal

 2020 menyaksikan ledakan penggunaan basikal. Fenomena ini ada kaitan dengan pandemik covid19. Orang tidak boleh lakukan apa yang biasa dilakukan seperti melancong, beraya, bermain bola dan sebagainya (yang bersifat rapat sosial), mula beralih kepada berbasikal. Maka, berbasikal yang besifat penjarakkan pun menjadi popular.

Aku berbasikal sejak umur 9 tahun lagi namun begitu 2020 dan 2021 ini tahun paling banyak berbasikal. Hujung 2020 aku membeli sebuah basikal commute kerana aku fikir cuma mahu menunggang petang-petang sekitar tempat kerja. Dan berbasikallah aku ke sana ke sini. Kemudian, aku mendapati aku lebih gemar berbasikal offroad.

Beberapa kali aku jatuh dan cedera bila menuruni denai tanah merah yang tidak rata. Maka, masanya untuk saya mencari sebuah basikal MTB. 

Begitu galaknya trending berbasikal, basikal yang aku inginkan sudah kehabisan stok di kedai-kedai. Aku pun memilih untuk membeli basikal terpakai. Selepas seminggu mencari akhirnya jumpa di FB sebuah MTB saiz M dengan tayar 27.5 x 2.25. Penjualnya adalah seorang pemuda lewat 20an. 

Kata pemuda yang menjual itu dia mahu membeli basikal lipat kerana kawan-kawannya bermain basikal lipat dan kurang yang bermain MTB. Bersama basikal MTB itu diberikan kepada aku helmet dan lampu basikal seolah-olah dia sudah berpatah arang dengan hobi berbasikal.

Terfikir aku, musim berbasikal sekarang ini akan tamat juga. Bagaimanakah sesuatu musim itu boleh mati? 


24/5/2022



021 Balik Rumah

 #021

Dalam pukul 1.30 tengah hari mak aku jerit, "Balik rumah!" Tapi masa itu aku jauh merayau, mana nak dengar. Punyalah leka merayau tangkap ikan longkang sampai lupa makan tengah hari. 

Mak akan pesan dengan budak-budak yang melintas, kalau nampak aku suruh balik makan. Itu dahulu, masa kecik-kecik. 

Masa anak kecik-kecik aku dahulu susah nak tinggal rumah. Sekarang mereka dah besar panjang boleh mandiri. Setakat sehari dua mereka boleh hidup dengan bahan dari peti ais. Mereka tidak merungut selagi wifi di rumah tip top! 

Sekarang, sejak main basikal ini aku kerap merayau lagi. Mula-mula masuk ladang kelapa sawit belakang rumah. Kemudian ke Kulaifornia, teroka jeram dan lombong sana pula.

Asyik masuk tempat sama pun bosan. Aku, akak kau, dan Yem teroka pantai timur pengerang pula. Beberapa kali juga ke situ khatamkan Tanjung Sepang hingga Tanjung Balau. 

Biasanya kami masuk petang Jumaat dan berkhemah di Punggai. Dari situ kami berkayuh sambil layan warung-warung kampung.

Jalan kampung tepi laut sangat nyaman. Pokok-pokok kelapa menari ditiup angin. Cahaya suria menyapa di celah-celah bunga lalang. Kereta tidak laju dan tidak banyak di jalanan, pulak tu jalan rata tidak berbukit-bukau. Sungguh seru. 

Malamnya layan ombak sebelum lelap. Esoknya, Sabtu, sebelum tengah hari kami bertolak balik.

Minggu lepas, kami di Punggai lagi. Kebetulan ada kawan-kawan camper 4WD juga berkhemah di situ. Leka juga sembang sampai ke petang.

Tiba-tiba anak aku hantar teks via telefon, "Cukup-cukup la tu. Baliklah rumah."

13 April 2021




Rabu, Februari 09, 2022

020 Kalau Berpacaran

 Bila anak meningkat dewasa kau tidak boleh anggap dia macam budak-budak lagi. Kau kena jadi kawan dia agar dia tidak berahsia dengan kau. 

Anak gadis aku yang kerja di Kuala Lumpur kerap juga menelefon akak kau. Dia melaporkan aktivitinya di sana. Dengan aku, dia cuma bercakap kalau nak minta duit. 

Satu malam, tiba-tiba sahaja akak kau hulurkan telefon, "Anak nak cakap dengan awak."

Sebagai seorang ayah, aku rasa gembira bila anak yang jauh di mata bertanya khabar.

"Papa, I am seeing someone."

Aku kaget sebentar mendengar kata-kata anak aku. Tiba-tiba terbayang hari pertama menatang dia sebagai bayi. 

Detik-detik dia mula bertatih. 

Kali pertama dia menyebut papa. 

Hari aku menyaksikan persembahan tadikanya. 

Hari-hari bertemu guru mengambil kad laporan sekolah.

Duduk melihat majlis konvokesyen.

Detik-detik penting itu terbayang macam trailer sebuah filem. Babak 1 dan 2, tanpa 3. Risau aku kalau ada plot twist.

Aku ikat kegusaran dan kebimbangkan aku. Aku simpulkan mati. Aku kumpul kesabaran dan masuk semula watak seorang ayah tua. Aku tanyakan soalan-soalan lazim. 

Macam mana kenal?

Orangnya solat tak?

Mak ayahnya ada lagi?

Kerja apa?

"Baru kenal hati budi. Kawan-kawan dulu. Belum declare pun lagi."

"Papa tiada halangan tapi jagalah batas-batas"

Kemudian aku nyanyi lagu Kalau Berpacaran. Akulah Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet sekali gus. Siap rap.

Kemudian akak kau bagi isyarat dia nak bercakap. Aku bagi telefon semula kepada dia.

Akak kau tanya soalan cepu emas, "Dia main basikal tak?"

Okay. Itu sahaja aku nak cerita.


Apr 4, 2021



019 Kayuh Adik Beradik

 Pulang ke rumah selepas menunggang, badan aku bertukar seram sejuk. Aku rasa lemah satu badan. Sah aku demam.

Siang sebelumnya aku berkayuh 40 km bersama adik beradik ipar duai jiran tertangga dari Parit Raja ke Air Hitam. 8 orang penunggang semuanya. 

Highlight perjalanan tersebut adalah Kampung Sawah Sagil. Orang Johor jarang tengok sawah. Bila dapat bergambar tepi sawah, bukan main gembira lagi.

Anak aku tegur, "Tu la papa, kemaruk sangat kayuh basikal jauh-jauh tengahari buta."

Akak kau membidas, "Papa demam bukan sebab kayuh basikal."

Tidak penat mana pun. Parit Raja ni kawasannya rata, tiada bukit. Santai-santai sahaja. 

"Habis tu?"

"Kat gerai tadi dia order 2 mangkuk besar cendol, satu durian dan satu pulut. Sementara tunggu cendol, dia makan nasi lemak dan kopok lekor."

"Terlebih makan le tu."

Aku tarik selimut berselebung. Malas nak layan.


Mac 30, 2021



018 Pasir Lanun

 Hujung minggu Jumaat Sabtu aku berkayuh kayak dan basikal di Pasir Lanun. Sedap rasanya satu badan.

Malamnya tidur dalam hammock tapi kurang selesa sebab diganggu sand flies. Lepas aku sapu sanitizer satu badan, baru tertidur.

Akak kau dari dalam khemah komplen ada orang berdengkur kuat. Aku tak dengar pun. 

Ahad pula kerja. Malamnya layan AJL35. 

Nabila Razali buat kenyataan media minta maaf atas kekurangan persembahan di AJL35.

Aku maafkan.

Sebenarnya aku pun tidak tahu di mana silapnya lagu tu kerana awal-awal rancangan lagi dah tertidur. Kemudian akak kau kejutkan suruh masuk tidur dalam bilik agar audio TV tidak bersaing dengan dengkur aku.


Mac 15, 2021



017 Man-cave

 Tahun lepas aku kutuk orang pakai baju dan seluar ketat basikal. Mungkin boleh pejam sebelah mata kalau badan dia langsing tetapi badan macam nangka tu memang mencucuk mata siapa yang memandang.

Bila kelengkang aku mula melecet kerana berbasikal, baru aku faham kepentingan seluar basikal ketat berspan. Aku ada 3 pasang sekarang. 2 pasang darinya, ada iklan Shimano di bontot. Ingat bontot aku, ingat Shimano.

Dan.

Satu malam, masa bersembang di Man-cave, Asri bagi aku 3 helai baju basikal ketat. Dia banyak kumpul baju basikal dari acara-acara basikal yang disertai. Aku terus uji pakai.

Aku dapati baju ini praktikal. Ianya aerodinamik untuk menambah kelajuan 2-3 hun. Ia juga tidak panas sebab diperbuat dari bahan yang nipis dan ringan. Paling aku suka saku belakang dia memudahkan simpan coklat, botol air dan henpon. Pulak tu, mudah dicapai dan selamat dari tercicir.

Tapi PKP sudah tamat, sekarang aku sudah kembali kerja di pejabat. Masalah waktu pejabat adalah adanya waktu makan tengah hari. Bila sampai waktunya, otomatik perut berbunyi. 

Nampaknya spare tiub dipinggang ni bakal menampakkan diri. Maafkan aku kalau mencucuk mata kalian.

Mac 11, 2021



016 Degup Per Minit

 Secara amnya, 200 degup per minit masuk zon bahaya, boleh membawa maut. Untuk usia aku, too late to die young, 173 sudah kira bahaya.

Bila berkayuh naik bukit, aku kena pantau degupan jantung dengan melalui jam sukan. Bila degup nak cecah zon bahaya, kena bawa berehat. Jangan dipaksakan. 

Hari ini aku naik Bukit Gemilang yang pacak tak ingat. Sudahlah curam, permukaan laluan pula teknikal retak seribu. Minggu lepas aku tersungkur di sini tapi aku tidak serik. 

Aku tunjuk dengan Jo, bacaan degupan aku maksima 168 hari ini, low high performance zone. 

Jo puji aku, "Naik Bukit Gemilang, maintain bpm (beat per minute). Perghhh!"

Sebenarnya aku tak penat mana pun, aku turun dan tolak basikal sahaja naik Bukit Gemilang tadi. Jangan dipaksakan. 

#beskalku

Catatan lain yang tidak dipublickan. 

    1. Video Jo jatuh basikal masuk akta rahsia rasmi. 

    2. Semua orang sangka orang lain bawa pam. 

    3.Cabi bikin duathlon. 

    4.Bini dua tapi masih ada masa berbasikal. Tiada kena mengena dengan duathlon. 

    5.Rupanya ada jalan pintas. Kawan kena game. 

    6.Paku-paku sabotaj di jalanan. Tuan ladang marahkan budak basikal. 

    7.Asri bagi aku baju basikal yang aerodinamik. Aku tengah fikir cara sembunyikan perut.


Mac 5, 2021




015 Pulaidelphia ke Jeram

 Akak Kau tidak kayuh hari ini kerana dia berkerja. Aku tidak miliki basikal gunung, jadi aku ambil peluang ini untuk pinjam basikal gunung baharu dia.

Kayuhan hari ini dari Pulaidelphia ke Jeram Rahsia Umum kelolaan kawan gunung aku, Jo dan Asri. 

8 orang penunggang semuanya. Yang paling muda, anak Jo, usia 9 tahun. Aku paling tua, usia terlewat untuk mati muda. Namun begitu, dari sudut ketangkasan berbasikal budak ini lebih handal dari aku. Dengan basikal yang agak tinggi untuk saiz dia, selamba dia turun tanjakan curam. Tercalar ego aku. 

Petualangan anjuran Jo dan Asri memang tidak pernah tidak premium. Di garis permulaan sarapan sudah menunggu. Ada pilihan nasi lemak, mi kasar dan kuih muih. Kami pun bedal. 

Kayuhan bermula awal pagi ketika matahari belum segalah. Saat-saat begini kabus pagi masih merayap dan cahaya suria sedap mata memandang. 

Jalur yang dihidangkan pun nyaman. Ada tanah rata, berbonggol, dan ada yang berakar. Kami menyusur turun naik bukit sepanjang laluan. Bermula dengan ladang kelapa sawit tua dan tinggi membawa kepada kawasan kelapa sawit baharu dan panas berdenting. 

Menu utama hari ini adalah Bukit Pencawang Komunikasi. Pencawang komunikasi biasanya dibina di tempat paling tinggi di sesuatu kawasan. Mana-mana penunggang yang bergambar  dengan pencawang, kau kena tabik. Mereka mendaki bukan kerana mahu dapatkan liputan 3G tetapi kerana menyahut cabaran bukit. 

Seorang dari kami sudah awal-awal kibar bendera putih kerana dia sangat baharu dalam arena berbasikal. Perjalanan ke kaki Bukit Pencawang Komunikasi pun sudah buat dia tercunggap. Dia tunggu di bawah sahaja sehingga kami pulang. 

Anak Jo menyahut cabaran bukit itu tetapi awal-awal lagi dia dah kecundang. Bukan kerana dia penat tetapi susah gila dengan kaki pendek dia nak mengayuh ke atas bukit pacak itu. Terawat sikit calar ego aku melihat dia menyorong basikal ke bawah kaki bukit. 

Aku pun mendaki bukit pacak dengan denai berlekuk itu. Selepas 100m bukit, ada jalan rata 10m. Ini disambung dengan 100m lagi bukit.  Begitulah ceritanya bersambung, selepas bukit ada bukit sehingga kami sampai puncak. 50% aku kayuh, 50% lagi MTB, mari tolak basikal. Tetapi anak Jo tidak nampak, jadi ego aku selamat. 

30 minit agaknya kami mendaki. Turun pula hanya 5 minit. Basikal gunung Akak Kau beraksi cemerlang. Kalau aku datang dengan kuda hitam aku, harus aku pun menunggu di kaki bukit. Kata pujangga, prestasi berbasikal bergantung kepada mesin 75% dan kederat 25%. Selebihnya kita berserah. 

Berendam dalam Jeram Rahsia Umum jadi upah untuk penat lelah mendaki kami. Jo dan Asri keluarkan jajan dan bekalan makanan. Sambil-sambil itu aku minta la petua-petua berbasikal daripada mereka. 

Dipendekkan cerita, bila mentari tegak atas kepala kami sudah sampai ke garisan penamat perjalanan. Asri bancuh minuman oren dengan ais sebagai hidangan.

Ceri atas kek perjalanan premium ini adalah bila Asri keluarkan water jet. Kami pun basuh basikal hingga kilat. Terbike! 

Setibanya di rumah, aku terpandang kuda hitam aku masih berlumpur dari perjalanan sebelumnya. Kasihan dia. Kuda di hutan dimandikan, kuda sendiri busuk tak mandi.

Aku keluarkan basikal gunung Akak Kau dari kereta.

Akak Kau tegur, "Amacam trip?" 

Aku jawab, "Biasa-biasa sahaja, basikal awak tak kotor pun." 

Kalau aku jawab jujur, cemburu dia nanti. 🤫

Feb 28, 21



014 Babi Hutan

 Pagi tadi aku jumpa babi hutan. 

Dalam kayuhan pagi tadi, Aku dan Yem (adik bongsu aku) jadi penunjuk arah kepada kawan-kawan Akak Kau, 3 orang gadis Felda. 

Bukan, mereka bukan babi yang aku maksudkan. Aku jumpa babi hutan yang asli. 

Yem kayuh di depan sebagai penunjuk arah.  Tengah-tengah 4 orang perempuan termasuk Akak Kau. Aku di belakang sekali sebagai sweaper, memastikan tiada yang tertinggal.

Selain bertugas sebagai penunjuk arah, Aku dan Yem juga merangkap jadi jurufoto untuk mereka. Wanita, bab snap foto bukan boleh main-main. Kami petik banyak kali, mereka periksa, kalau okay baru boleh gerak ke destinasi selanjutnya.

Kadang-kadang belum disuruh, aku sudah tangkapkan gambar. Aku tahulah serba sedikit tentang pengcahayaan on point, latar yang baik, framing dan sebagainya. Ini semua berkat berkawan dengan ramai jurufoto. 

Kami juga merangkap bomoh basikal. Kalau tayar mereka kurang angin, kena pamkan. Kalau pedal mereka nak tercabut, kami ketatkan. Kalau mereka terlupa masuk gear bila berdepan dengan tanjakan, kami ingatkan.

Sekonyong-konyong, kami tersesat di belukar tebal. Ha ha ha, pemandu pelencong betul. Kami pun bukan mahir sangat dengan denai ini. Maklumlah, baru lalu sekali minggu lepas. Pokok-pokok ladang kelapa sawit ni sama sahaja rupanya. 

Bila kami pusing berpatah balik, aku yang tadinya ekor jadi kepala. Yem yang tadinya kepala, jadi ekor. Dan ketika itu muncullah seekor anak babi hutan. 

Anak babi hutan itu comel sekali. Warnanya coklat berjalur-jalur hitam. Dia maju ke depan ke arah basikal kami. Langsung dia tidak takut dengan aku yang menghalau dengan suara. 

Kata orang, jika ada anak babi, tentu ada ibunya. Aku perhatikan sekeliling kalau-kalau induknya ada. Risau juga kalau-kalau kami disondol. Lebih risau lagi, aku dan Yem merangkap pelindung kepada kaum hawa. 

Tiada babi besar kelihatan. 

Hampir sangat babi itu dengan aku, kalau diludah pasti kena. Mungkin anak babi kehilangan ibu, dan memandang aku sebagai ganti. 

Aku pun angkat tinggi tayar depan. Ini jurus beruang namanya. Beruang akan besarkan diri dengan berdiri takutkan lawan. Anak babi itu pun terkedek-kedek lari keluar dari laluan. 

Bersegeralah kami keluar dari jalur kesesatan itu. Setelah bertemu jalan yang benar, aku pun bertanya, "ada sesiapa ambil gambar anak babi tadi?" 

Haram seorang pun tidak snap foto. 

Wanita boleh buat apa lelaki buat. Lelaki naik basikal, wanita pun boleh naik basikal. Lelaki petik kamera, perempuan pun boleh petik. Kan? 

Namun, bila berdepan detik keemasan aku wheelie basikal berdepan anak babi yang comel, semua kaget tak teringat mahu petik kamera henpon. 😑


Feb 27, 2021



013 Lower Jockey Wheel

 Amaran: ini catatan teknikal. 

Akak kau baru sambar basikal gunung speed 12, terpaling gear dalam kategori Deore 2021. Hari ini basikal itu dirasmikan dengan merintis jalur ke Bukit Kuari, jeram Rahsia Umum dan Tasik Indahpura. 

Kami menunggang naik 7 bukit dan turun 7 lembah sambil mengagak-agak jalan. Sebenarnya aku tidak kira pun bukit yang banyak itu. Bila letak nombor 7 rasa lebih misteri. 

Arakian, jumpalah puncak Bukit Kuari dengan pemandangan tasik biru yang menawan sesiapa sahaja yang memandang. Inilah syurga dunia, upah bagi pengayuh yang lelah mendaki. 

Sekonyong-konyong, Akak Kau mula menyorong basikal. Katanya tidak boleh kayuh lagi. 

Aku periksa basikal Akak Kau dan mendapati dua gigi lower jockey wheel patah, derailleur hanger bengkok dan rantai berbelit di gigi gear. 

Kami menunggang berempat (dengan SOP penjarakkan ketat pastinya) tetapi tiada siapa pun bawa chain breaker. Sudahnya aku cabut set rear derailleur dengan multitool dan ikat rantai ke down tube guna cable tie.

Perjalanan ke Jeram Rahsia Umum dan Tasik Indahpura terpaksa dibatalkan. 

Aku tilik-tilik peta di google map dan meneka jalan pulang yang paling dekat dan menurun agar basikal Akak Kau tidak perlu disorong. 

Awal-awal lagi sudah jumpa cerun curam merangkap laluan air. Sudah tentunya permukaan jalur yang berlekuk-lekuk. Alkisah, aku tersungkur di pintu syurga. Seluar basikal koyak di lutut dan tapak tangan berdarah ala Jesus. 

Damn it. Tiada orang snap foto aku tersungkur untuk kenangan kerana mereka semua sudah di depan. Aku kibas-kibas seluar dari debu-debu di jalanan jadi teman setia dan terus mengayuh lagi. 

Oleh kerana basikal Akak Kau tidak boleh dikayuh, aku tolak pinggang dia dari belakang. Alhamdulillah, lebih banyak jalan menurun dan rata sehingga ke trail head. 

Kami masukkan basikal dalam kereta dan terus hantar ke bengkel. Dalam perjalanan pulang singgah pekena cendol sagu rumbia. Petang ini siap kata mekanik. 

Berakhirlah satu tengahari dengan pelajaran yang mahal. Inilah padah tidak ke masjid 3 Jumaat berturut-turut (Helah Bela Diri: PKP maaa, bagi peluang orang-orang alim penuhkan masjid yang terhad.)

*kata-kata teknikal yang aku guna ni baru je aku google sebelum tulis entri.


Feb 26, 2021




012 Scammed

 Sekatan keluar daerah punya pasal, aku asyik berkayuh di tempat yang sama. Aku dah tahu tiga laluan berbeza menuju ke Jeram Rahsia Umum. Bosan. Aku mahu petualangan baharu. 

Suatu hari, aku terserempak satu kumpulan pengayuh basikal gunung sebaik sahaja aku masuk jalur kelapa sawit menghala ke Jeram Rahsia Umum. 

Bos mereka bertanya, "Nak ke mana?" 

Aku buat lawak bodoh, "Dari belakang nak ke depan." 

Bos mereka yang berusia 50an balas, "Takde tujuan la tu. Jom ikut kami." 

Aku kerling imbas kumpulan mereka, 18 orang semuanya berjarak sosial yang selamat. Jenama basikal gunung mereka berharga RM3k hingga RM10k. Pakaian beragam, ada baju ketat dan ada baju jenis dry fit. Helmet lonjong aerodynamic. 

Aku pandang Akak Kau. Dia buat isyarat muka bermaksud, "jangan monyet."

Aku tanya bos, "Nak ke mana kita?" 

Bos jawab, "Ikut sahaja." 

"Basikal kawan hybrid, boleh ke ikut?" 

"Boleh, kita buat dia." 

Aku imbas lagi, ada beberapa orang tidak ramping dalam kumpulan itu. 3 orang darinya wanita. Aku serkap jarang ada antara mereka budak basikal baharu, lebih kurang aku sahaja. 

"Bolehlah," aku menyahut. Aku tidak pedulikan bantahan akak kau yang gerun melihat mereka. 

Aku terdengar budak-budak itu panggil bos mereka Pak Ayub. Rupanya inilah lagenda luar pintu Kulaifornia yang selalu aku dengar disebut orang. Umurnya 57 tetapi badannya persis atlit marathon. Ramah orangnya tetapi merendah diri. Hari itu Pak Ayub mengayuh seorang diri sebiji basikal gunung jenis tandem. Maksudnya basikal ini boleh dikayuh oleh dua orang serentak tetapi dia kayuh sendiri. Itu sahaja sudah cukup buat aku dan Akak Kau kagum. 

Awal-awal lagi Pak Ayub dah bawa kami naik bukit. Bukit pertama aku boleh layan tanpa gagal tetapi separuh nafas aku tercicir. Naik bukit kedua, ada beberapa ahli kumpulan parkir tepi dan suruh kami kayuh dulu. Lemah. 

Pak Ayub kayuh di depan bawa kami sampai puncak bukit kedua. Beberapa orang kecundang, termasuk aku, terpaksa tolak basikal separuh jalan. 

Pak Ayub senyum simpul, "MTB tu maksudnya Mari Tolak Basikal." 

Pak Ayub terus kayuh membelok menuruni bukit. Dia jerit, "Jangan tekan brek." 

Basikal gunung dengan suspension enjoy la tidak tekan brek. Basikal sepit udang keras aku ni bergegar-gegar melantun di permukaan denai berbonggol. 

Di bawah bukit kedua itu aku dapati kumpulan yang suruh kami kayuh dulu tadi masih di situ. Aku dah kena game, loop naik bukit kedua itu just for the sake of naik bukit. Because it's there. Kumpulan yang tunggu tu dah tahu loop itu tidak ke mana. Mereka dah tahu punch line game Pak Ayub. Scammed.

Rehat sekejap di kaki bukit sambil beramah mesra. Rupanya antara mereka ada yang baharu berbasikal (yang kena game naik bukit) tetapi kebanyakannya veteran basikal. Yang veteran basikal itu ada juga yang naik bukit tak ke mana tadi hanya untuk latihan. Seorang dari mereka wakil lumba basikal daerah Kulai. 

Kemudian, Pak Ayub bawa kami naik puncak bukit tertinggi kawasan itu. Yang kuat layan kayuh, yang lemah macam aku tolak basikal jika perlu. Atas puncak tertinggi nampak tasik kuari tinggal dan bukit bukau saujana mata memandang. Pemandangan indah ini sedikit sebanyak melupakan penat lelah mendaki. Akak Kau pun dah mula mesra dengan kawan-kawan baharu. 

Selepas hilang penat kami tinggalkan puncak tinggi itu, kami turun naik bukit-bukit kecil dengan slogan, "No brake!" Sempat juga aku tersungkur kerana tidak tekan brek ambil selekoh tajam. Luka sikit je. Parut ini akan buat aku lebih macho. Nak sangat petualangan, amik kau. 

Di hujung perjalanan, Pak Ayub bawa kami sampai ke tempat mandi manda.  Sekarang aku tahu empat laluan berbeza ke Jeram Rahsia Umum.


Feb 20, 2021




011 Seluar Basikal

 Bila kerap sangat kayuh basikal, datang satu penyakit bernama kelengkang melecet.

Ubatnya adalah tempahan seluar basikal berlapik span. Seminggu kemudian Mr. Hu kirim sampai ke rumah.

Aku buat beberapa test ride dengan seluar basikal itu. Ngam dan selesa.

Semalam, masa aku berkayuh sempena raya cina, hujan lebat turun. Orang putih panggil hujan catdog. Habis basah lencun satu badan serba berdiri. 

Sekarang aku tahu kenapa baby menangis bila lampin penuh. Korang boleh panggil aku baby.


Feb 13, 2021



010 Akak Kau Jatuh

 Biasanya aku suruh akak kau kayuh di depan. Aku mengekor dari belakang. Aku tahu tugas aku.

Tapi, kerap berlaku dia tertinggal belakang juga sebab dia tidak laju kerana kurang tangkas mengelak tunggul. 

Tadi, aku sudah terlajak ke hadapan dan dia tertinggal belakang. Nak jadi cerita, dia bergesel dengan basikal lain lantas jatuh.

Penunggang lain nak bantu dia bangun dan angkat basikal. Dia kata tak payah bantu.

"Lain kali kalau akak jatuh ambil gambar akak dulu."

Begitulah wanita. 

Kalau aku yang di belakang tadi, tahulah aku kerja aku itu.


Feb 13, 2021



009 Kawan Scientex Utama

Aku dapat tahu seorang kawan outdoor akan pindah ke Scientex Utama, selang dua taman perumahan dari rumah aku. Dia akan secara rasmi masuk rumah bulan depan.

Lantas, aku pun kayuh ke rumah yang bakal dia diami. Aku masukkan kad ucapan dalam peti surat agar dia tahu siapa abang kawasan. 


Feb 5, 2021



008 Sesat di Ladang

 Lebuhraya menghubungkan bandar dengan bandar. Namun begitu ia memisahkan kampung dengan kampung. 

Jika ada lebuhraya PLUS membelah tengah kampung, pastinya penduduk sebelah kanan kampung akan mula kurang melawat sebelah kiri. Vice versa. Itu pasal PLUS ada tebuk-tebuk terowong bawah lebuh raya agar komuniti tidak terpisah. 

Aku tahu ada  beberapa terowong yang membolehkan pengayuh melintas lebuh raya PLUS kerana aku banyak melayari google map. Aku menelaah jalur dan laluan ladang berhampiran. Tidak cukup dengan google map, aku download juga app peta Komoot dan Alltrails. 

Lewat sore, di terowong Scientex Utama, Aku dan Akak Kau  berkenalan dengan tiga pengayuh 20an dengan basikal gunung. Mereka kata, "Semalam, kita orang sudah rintis jalur ladang sawit dan mahu mengulanginya" 

Kami pun mengikut mereka. Seronok sekali masuk denai ladang sawit yang selama ini aku cuma tengok atas google map. Aku macam budak-budak dapat aiskrim atau anak kucing dapat kotak. Orang utara kata chiwi/kechiwi nak mampuih.

30 minit di dalam ladang, mereka pun berhenti dan berkata kali terakhir mereka meneroka sampai di situ sahaja.

Aku sebagai keyboard warrior malim peta pun bersuara dengan penuh keyakinan, "Abang tahu loop jalan pulang ikut terowong Sekolah Omega." 

Orang kata keyakinan itu seksi, maka mereka pun mengekori aku yang berkayuh berpandukan google map mode satelit. 

Tiada denai  lengkap di situ dalam app Komoot dan Alltrails. Peta satelit google map juga jumud tertinggal setahun. Aku cuma berpandukan imej lorong-lorong tanah merah yang kelihatan mengikut sudut pandang dari langit. Dalam skrin henpon, lorong-lorang banyak macam maze tapi terputus-putus kerana pokok sawit di situ rimbun meninggi. 

Bila jalan mati bertemu belukar, segera aku aku berpatah. "Google Map tak update jalan," helah bela diri aku. 

Bila laluan bertemu pagar kebun, aku mengulas, "Rakyat patut bina lebih banyak jambatan, bukan pagar." 

Bila bertemu anjing kebun sayur menyalak, aku mengacah melanggar mereka dengan basikal. "Amik kau anjing!"

"Jauh sangat ni. Pinggir Taman Teratai dah ni," Akak Kau seorang yang berani menegur bila kelihatan bumbung taman perumahan. 

"Relaxs, kita buat dia," jawab aku ringkas sambil menayangkan sengih aku yang lagenda. 

Azan maghrib sayup-sayup berkumandang. Loceng kuil hindu juga kedengaran berdenting-denting. Aku masih chiwi. 

"Alang-alang jumpa jalan raya ni, kita call rumah minta Sabrinamon datang amik dengan kereta," cadang Akak Kau. 

"Tak Rambo la balik naik kereta," bantah aku. 

Gelap malam mula berlabuh tirai. Nasib baik kami ada bawa lampu

Peluh makin berjurai. Basikal penuh lumpur. Botol air dah kering. Rantai basikal dah tiga kali tercabut. 

"Entah-entah kapel ni orang bunian nak sesatkan kita," terdengar suara seorang daripada pemuda berbisik kepada kawannya. 

"Bunian mana ada henpon," balas kawannya. 

Sekitar 8 malam, setelah basikal tergolek dan tersasar lorong beberapa kali, bertemulah kami terowong Sekolah Omega yang dicari-cari. 

"You see! Kita buat dia." 

Aku pesan dengan semua supaya telefon atau teks keluarga masing-masing agar tidak risau. Kami lewat sikit tapi sudah jumpa jalan pulang. 

Setibanya di jalan aspal Sekolah Omega, aku bertukar nombor telefon dengan salah seorang daripada mereka yang bernama Akhmal.

Aku pesan, "Jika ada trip roger." 

Kami pun berpisah. Aku menuju ke rumah dan mereka singgah warung beli air. Kehausan la tu. 

Esoknya Sabtu.

Tiada panggilan dari budak-budak basikal gunung itu. Aku yang keciwi jadi kecewa. 

Akak Kau kata, "Diorang serik le tu ikut Abang." 

Bak kata lagu joget Rafeah Buang:

Udang sama udang

Takkan sama anak tenggiri

Bujang sama bujang

Orang tua yang makan hati

Selepas maghrib, hari Sabtu masuk satu mesej whatsapp. 

"Salam bang. Pagi Ahad free?" ~ Akhmal


Feb 2, 2021








007 Afimon Makan Mi Segera

Petang itu Afimon jerang air nak rendam mi segera.

"Lapar ke?" tanya Akak Kau. 

"Ye la. Malam ni masak ayam kicap boleh?"

Sedap je dia order. Dia ingat ingat mak dia Food Panda ke?

"Ayam dan bahan mentah habis. Nanti mama gi beli sekejap," jawab Akak Kau memanjakan anak bongsu. 

Akak Kau pun sorong kuda besi keluar. 

"Nanti, abang temankan." Aku pun sorong kuda besi keluar. 

Kami kurang pergi pasar besar musim pandemik ni. Al maklumlah, menjaga SOP. Petang-petang kami biasa kayuh ke kedai runcit beli bahan mentah untuk masak. 

Dalam perjalanan ke kedai ada ternampak terowong bawah highway di Taman Scientex Utama tapi denainya gravel. Dulu Akak Kau kayuh basikal lipat, kami cuma teroka jalan tar sahaja. Kini kuda besinya jenis hybrid maka sudah boleh masuk gravel. 

Kami pun test masuk off road ikut terowong bawah lebuhraya PLUS itu. 100m gravel kemudian, kami jumpa pinggiran estet kelapa sawit. Kami berhenti kerana rasa gusar untuk teroka jalur gravel estet sawit tebal berdua sahaja. 

Sekonyong-konyong datang 3 orang pemuda umur awal 20 an dengan basikal gunung dari arah belakang kami. 

"Adik biasa ke trail ni?" 

"Semalam kami masuk sini dah bang."

"Boleh kami ikut?" 

"Yok." 

"I follow." 

Kami keluar dari estet itu sekitar 8.30 malam dan kedai-kedai dah tutup. 

Malam itu Afimon jerang air untuk rendam mi segera lagi.


Jan 31, 21



006 Marin Muirwoods


Kesilapan pertama aku adalah gopoh beli basikal lumba. Aku nampak di FB ada orang jual Robin Hood terpakai, satu jenama lama yang berprestij yang aku familiar. Terus aku sambar. Satu anjakan yang besar dari mamachari (basikal pasar) ke basikal lumba low bar handle. Aku lupa bahawa aku ini bukan orang muda dengan jiwa pelumba. Aku bukan mahu kayuh ligat untuk sampai dulu. Aku cuma nak kayuh santai petang-petang balik kerja dan sekali sekala meneroka denai rapat dengan alam sekitar.
Aku bagi Robin Hood kepada adik aku. Aku perlu cari basikal lain yang lebih sesuai.

Sebelum membeli basikal, aku kena tanya diri kenapa aku berbasikal. Seboleh-bolehnya aku kena padankan basikal yang aku beli dengan hobi hiking. Sebulan lamanya aku buat kajian basikal yang sesuai.

Pandemik buat aku termenung juga. Bukan sahaja rancangan untuk hiking dan perjalanan rekreasi terpaksa dibatalkan, pergerakan di kawasan tempatan pun terhad. Jadi, aku terjebak dengan hobi berbasikal dan mula shopping dan bertanya-tanya kawan-kawan malim basikal.

Stok basikal di kedai habis. Era penularan Covid-19 menyaksikan peningkatan 120% jualan basikal sejak Mac 2020 lagi. Orang melihat berbasikal sebagai pilihan terbaik untuk kecergasan dan keselamatan di zaman penjarakan sosial ini. Selain daripada jenama besar Trek, Specialized, Giant, dan Cannondale, jenama-jenama kecil juga mendapat perhatian pengguna.

Apa yang aku perlukan adalah sebuah hybrid bike, boleh kayuh badan tegak atas tar dan atas tanah. Setelah tanya sana sini dan buat penyelidikan google, aku pun bulat fikiran untuk sambar Marin Muirwoods. Mereka antara pelopor model hybrid. 

Aku mula-mula sedar  kewujudan Marin bila terjumpa documentary/coporate video mereka. Jelas sekali orang-orang di belakangnya sangat passionate terhadap basikal. 

Nama Marin ini diambil dari nama tempat mereka mulakan bengkel basikal mereka, Marin, California. Dan siri-siri model basikal mereka mengambil sempena denai-denai tempat mereka bermain basikal seperti Alpine Trail, Rift Zone, San Quentin, El Roy dan Bolinas. Ini macam kereta kebangsaan kita pakai nama Kereta Tanjung Malim, kilang terbesar proton di sana. Logo jenama Marin pula merupakan imej seekor beruang pegang bendera dengan bintang. Aku suka.

Laman pengulas sepeda bikeride.com bagi markah 92% untuk basikal hybrid Marin Muirwoods, atas 90 kira A+ untuk tar dan gravel. Berikut adalah ranking Muirwoods dalam pelbagai kategori:
  • Bikepacking rank 9
  • Komuter Bandar rank 16
  • Hybrid rank 4
  • Touring rank 3
  • Mesra Senior Citizen rank 6.
 (Ya, kita kena pilih basikal yang sesuai dengan usia)

Ya begitulah cara aku memilih basikal. Oleh kerana ianya serba hitam, aku namakan ia Kuda Hitam Aduh sempena lagu Hetty Koes Endang. Semasa aku menulis post ini, aku dah pakai Muirwoods sebulan. Satu bulan pertama ini aku berpuas hati dengan prestasi Marin Muirwood. 

Semalam, aku redah jalan gravel ladang kelapa sawit berbukau-bukau hingga cecah 122m. Semasa mendaki tayar belakang saiz 700 x 40 ligat berputar tapi basikal tak maju sebab bunga tayar tak gigit tanah.  Hmmm... haruskah aku upgrade tayar atau beli basikal gunung pula? 

Jan 29, 2021





73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...