Rabu, Februari 23, 2022

024 Berbasikal di Kejiranan

 Ada kemas kini SOP PKP. Sekarang berbasikal di kawasan kejiranan dengan mengambil kira jarak selamat dibenarkan.

Selasa. 20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijjah 1442H bersamaan Hari Raya Haji.  Petang itu aku kayuh 15km kawasan kejiranan menyusuri jalan khidmat projek HSR (High Speed Railway). Jalannya rata, peluh tidak pecah dan tidak penat. Not bad untuk orang yang dua bulan tidak bersenam. 

Khamis malam Jumaat. 22 Julai 2021 bersamaan 12 Zulhijjah 1442H bersamaan bulan terang 94%, aku kayuh 15km lingkaran berbukit Devil's Peak. Aku sudah biasa tempat ni sebelum PKP dulu - puncak pertama 110m, puncak kedua 120m, dan condong maksima 11% tetapi kali ini rasa agak jauh pula berbanding selalu. Lemak total lockdown masih lekat padu. 

Sabtu 24 Julai aku, Akak kau, Zam, Edi dan Bob buat kayuhan lingkaran lebih besar - Devil's Peak + Jeram Rahsia Umum dengan jumlah jarak 27km. Kayuh separuh, berendam dalam air gunung separuh dan sambung kayuh pulang. 

Dalam perjalanan pulang aku mula tertekan kerana matahari terpacak atas kepala. Dan laluan yang aku rancang pula terputus. Menurut Komoot, Strava dan Google Map ada terowong bawah yang menyambung Lingkaran Jeram Rahsia Umum dan Devil's Peak tetapi tuan punya tanah sudah korek parit dan pasang kawat duri pula. Kami teruskan juga laluan itu, angkat basikal dan turun parit. 

Oleh kerana denai itu sudah lama ditinggalkan, belukar sudah semakin menebal. Belukar pula jenis pokok berduri macam semalu tetapi lebih tinggi dari aku. Nasib baik Zam ada bawa pisau. Zam cantas mana yang patut bagi membolehkan  kami tembus ke jalan yang benar. Semasa menempuh belukar tayar aku tergelincir dan aku jatuh tetapi tiada kecederaan. Cuma ego sahaja yang tercalar. 

Seekor babi melintas di hadapan, aku buat tidak peduli.  Terus kayuh masuk kawasan Devil's Peak.

Baru 200m aku terpaksa berhenti kerana peha kanan kejang simpul biawak. Setelah rehat sekejap, kami teruskan lagi kayuhan. 1km kemudian, kejang merebak turun ke betis pula. Mungkin berendam air gunung lama sangat tadi. 

Aku mengambil keputusan untuk rehat kayuh dulu dan tolak basikal. Edi sukarela tolak basikal bersama aku. Dia pun hampir lengit juga rupanya. Ada la menolak dalam 20m.

Kemudian, aku teringat aku ada bawa ORS (Oral Rehydration Salt). Aku campurkan ORS dalam bekal 100+ dengan harapan air, garam dan minuman electrolyte boleh mengurangkan kejang.

Lantas, aku sambung kayuh lagi layan bukit terakhir Devil's Peak. Berjaya juga akhirnya aku melepasi puncak dan menuruni bukit ke garisan akhir dengan bantuan graviti.

Lemak dan kelesuan lockdown ini benar. Perlu ambil masa panjang untuk pecahkan lemak dan kembalikan kecergasan. Aku akan terus buat kayuhan jarak dekat harian dengan bekalan ORS, stand by. Mungkin juga aku perlu bawa pisau macam Zam, just in case. 


26 Julai 2021



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...