Rabu, Februari 09, 2022

020 Kalau Berpacaran

 Bila anak meningkat dewasa kau tidak boleh anggap dia macam budak-budak lagi. Kau kena jadi kawan dia agar dia tidak berahsia dengan kau. 

Anak gadis aku yang kerja di Kuala Lumpur kerap juga menelefon akak kau. Dia melaporkan aktivitinya di sana. Dengan aku, dia cuma bercakap kalau nak minta duit. 

Satu malam, tiba-tiba sahaja akak kau hulurkan telefon, "Anak nak cakap dengan awak."

Sebagai seorang ayah, aku rasa gembira bila anak yang jauh di mata bertanya khabar.

"Papa, I am seeing someone."

Aku kaget sebentar mendengar kata-kata anak aku. Tiba-tiba terbayang hari pertama menatang dia sebagai bayi. 

Detik-detik dia mula bertatih. 

Kali pertama dia menyebut papa. 

Hari aku menyaksikan persembahan tadikanya. 

Hari-hari bertemu guru mengambil kad laporan sekolah.

Duduk melihat majlis konvokesyen.

Detik-detik penting itu terbayang macam trailer sebuah filem. Babak 1 dan 2, tanpa 3. Risau aku kalau ada plot twist.

Aku ikat kegusaran dan kebimbangkan aku. Aku simpulkan mati. Aku kumpul kesabaran dan masuk semula watak seorang ayah tua. Aku tanyakan soalan-soalan lazim. 

Macam mana kenal?

Orangnya solat tak?

Mak ayahnya ada lagi?

Kerja apa?

"Baru kenal hati budi. Kawan-kawan dulu. Belum declare pun lagi."

"Papa tiada halangan tapi jagalah batas-batas"

Kemudian aku nyanyi lagu Kalau Berpacaran. Akulah Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet sekali gus. Siap rap.

Kemudian akak kau bagi isyarat dia nak bercakap. Aku bagi telefon semula kepada dia.

Akak kau tanya soalan cepu emas, "Dia main basikal tak?"

Okay. Itu sahaja aku nak cerita.


Apr 4, 2021



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...