Khamis, Oktober 16, 2025

91 PENINSULAR DIVIDE


 Aku jarang mahu peduli dengan acara perlumbaan basikal, tetapi tahun ini aku berdebar mengikuti perjalanan Peninsular Divide 2025. Kalau larian merentas desa 4 km, setiap sekolah buat. Tercungap tidak lariannya? Namun begitu ini jauh beza. Ini merupakan acara ultracycling merentasi Semenanjung Malaysia yang menguji ketahanan fizikal, mental dan strategi peserta secara mandiri dalam jarak 1500 km. Perlumbaan bermula dari Pengerang, Johor dan tamat di Wang Kelian, Perlis.

Aku menulis ini pada hari ketiga daripada tujuh hari perlumbaan. La Tartaruga dari Itali sedang mendahului, dan 10 km di belakangnya Handika dari Indonesia sedang mengejar. Mereka berada lebih kurang 300 km dari garis penamat.

Bagi aku yang mentah ini, aspek yang paling menonjol dalam Peninsular Divide ialah penggunaan teknologi dan kecekapan pengurusan acara. Sistem penjejakan satelit membolehkan penganjur dan peminat memantau setiap pergerakan peserta secara langsung melalui satu aplikasi telefon.

Aku kagum melihat bagaimana teknologi, termasuk media sosial, menghubungkan semua pemegang taruh dalam satu ekosistem. Namun, aku juga menyedari bahawa tanpa nyala rasa, disiplin, kerja berpasukan dan kesungguhan menjayakan acara, semua sistem itu tidak akan bermakna. Tahniah kepada semua yang terlibat.

Dalam kalangan 39 peserta dari serata dunia, kenalan aku bernama Azfar menjadi lambang kegigihan yang aku tabik. Ini kali pertama dia menyertai Peninsular Divide, dan dia merealisasikan mimpinya setelah merancang serta melalui rejim latihan yang keras. Pernah satu pagi aku terserempak dengannya bersarapan di Senai sedangkan rumahnya di Waha, Kota Tinggi. Kemudian, dia menyambung kayuhan.

Daripada Azfar, aku belajar bahawa keberanian untuk memulakan lebih penting daripada jaminan untuk menang. Dalam dunia yang sering menilai kejayaan berdasarkan pencapaian podium, Azfar mengingatkan aku bahawa mengambil langkah pertama itu adalah kemenangan kecil yang bermakna.

Saat ini, 10 daripada 39 peserta telah terkeluar daripada perlumbaan atas sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, Handika, juara bertahan Peninsular Divide, memberi dimensi lain kepada perlumbaan. Dia bukan sahaja berkayuh dengan laju dan konsisten, tetapi yang lebih mengagumkan aku, dia berkayuh sambil berdakwah.

Banyak catatan dan gambar yang dikongsinya di media sosial memaparkan rasa syukur, ketenangan dan tanggungjawab terhadap Pencipta. Dalam dunia yang mudah dipenuhi dengan ego, Handika menunjukkan bahawa mengejar kemenangan tidak harus menafikan kerendahan hati. Dalam satu hantaran di media sosial, dia berkongsi foto suasana di sebuah masjid di Cameron Highlands dengan ungkapan, “Dunia bisa menyusul, santai sahaja.” Semua ini berlaku ketika kedudukannya bersaing sengit dengan seorang pelumba dari Itali.

Aku menghormati semua pelumba, hatta yang sudah terkeluar daripada perlumbaan. Cabaran yang mereka lalui bukan calang-calang.

Pun begitu, tidak terlintas untuk aku menyertai Peninsular Divide. Bukan kerana tua, kerana ada peserta yang 10 tahun lebih tua daripada aku. Bukan juga kerana basikal aku tidak cukup canggih, ada peserta yang menggunakan basikal fixie.

Aku hanya bukan seorang yang kental bersaing dengan orang lain. Cukuplah jika aku hari ini menang mengalahkan aku yang semalam. Itu pun aku kerap kecundang.

88 SMOLGATH2025 Bahagian 3/5

Kami menunggu kelompok belakang tetapi tidak kunjung tiba. Berleha-leha betul mereka. Maklumlah, tiada apa pun nak kejar. Cut off time pun 3 petang. Sekarang baru jam 1 tengahari. Kami meneruskan kayuhan bersama peloton hadapan yang diketuai oleh Cikgu Nazry sambil tercari-cari tompok rehat kedua. Khabarnya, satu warung tepi jalan di Kampung Simon. 

Akhirnya jumpa warung juga itu. Di situ Smolgath menyajikan dua balang air, satu warna hijau dan satu lagi kuning. Dan satu peti ais penuh aiskrim Malaysia. Ini semua masuk dalam pakej yuran. Tapi kalau peserta nak nasi, bayar sendiri. 

Aku cedok nasi, asam pedas ikan dan sayur dan tunjuk kepada tauke. Tauke kata RM6.  Murah sangat ni, kalah subsidi MyBudi. Kalau di Johor Bahru, lauk segini harga RM15. Aku nak scan bayar guna QR tapi kodnya tersorok belakang plastik jajan tergantung seolah-olah tidak mahu orang membayar lagaknya.

Sebelum makan baca doa dan tangkap foto makanan. Terus aku muat naik ke Instagram. Aku tandakan lokasi warung dan memberikan lima bintang. Kalau kalian mahu cari kedai ini kelak, tersorok di dinding warung tertulis MySepakat Enteprise dan ada bunting Eskim Wawa tergantung di pohon berhampiran. Kalau warung itu masih berniaga, sila sokong. Makanan sedap dan aiskrim mantap. Semua peserta setuju.

Selepas makan Cikgu Nazry memimpin peloton hadapan ke arah kem. Akak Kau ikut sekali. Aku biarkan mereka berlalu kerana mahu menunggu dan berbasa-basi dengan peserta lain. Lagi pun perut aku sedang penuh ni. 

Dipendekkan cerita, 1.50 pm sampailah aku ke tempat yang dituju, kem Teratak  Pantai Ru namanya. Jumlah kayuhan, 35 km sahaja. Detak jantung masih normal. Kaki tidak kejang. Aku masih hidup. Tidaklah seteruk yang aku sangka.  

Kem Teratak Pantai Ru ini bersih, prasarana asas seperti soket, surau dan tandas tersedia. Jika tidak berkhemah, boleh berteduh dalam pondok-pondok yang disediakan. Puak Pelampau pilih satu pondok, empat orang boleh muat tidur dalam pondok dan tiga muat di beranda. Selebihnya pacak khemah belakang pondok. 

Melihat keadaan acara, kalau aku datang sehelai sepinggang pun lepas. Semuanya sudah tersedia. Tidak perlu bawa pinggan mangkuk dan segala pekakasan ikhtiar hidup di dalam hutan. Terimakasihlah Smolgath kerana memberi kami bumbung dan lantai. Mewah sungguh dimanjakan sebegini. Orang gasar seperti kami biasa berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi. Qada hajat gali lubang dan bertaharah guna air sungai. 

Smolgath2025 menyajikan sukaneka di waktu petang. Sesungguhnya menunggang basikal dan menyertai sukaneka membawa orang dewasa kembali kepada rasa riang yang lama hilang. Bila pasir melekat di kulit dan tawa pecah di pantai, kami lupa seketika tentang kerja, bil, dan segala tanggungjawab orang besar. Saat berlumba siapa kalah dia menang (basikal lambat), memasang tiub basikal, dan balut tembakau, terasa seperti pulang ke zaman kanak-kanak. Bebas, polos, dan berdekah. Dalam detik itu, usia tidak lagi penting; yang tinggal hanyalah keseronokan tulen yang mengikat hati sesama manusia. Bak motto kolektif basikal PNWO - “Bersekutu bertambah lucu.” Pun begitu, aku cuma ambil bahagian sebagai tukang sorak.

Cikgu Nazry podium acara memasang tiub basikal. Acara merebut lontaran hadiah juga dia jaguhnya. Beliau suami isteri menang besar cabutan bertuah dan acara tangkap hadiah. Rezekinya murah hari itu. Aku? “Ala, setakat botol basikal aku ada 20 dalam gerobok,” aku memujuk diri. Orang tua berjiwa kanak-kanak memang senang lengit. 

Dahulu aku seorang pemain bola keranjang yang lincah. Memetik bola di udara ini mainan harian aku tetapi semenjak lutut sudah mereput, ada perkara yang di luar jangkauan aku. Setakat meloncat masih boleh tapi mendarat akan terhempas. Sekali peristiwa, aku sudah besedia dengan kuda-kuda untuk menangkap lambungan hadiah. Kebetulan waktu itu satu hadiah berupa lampu kem sebesar penumbuk terbang ke arah aku. Aku yakin ini rezeki aku tetapi hadiah itu bolos antara jari-jari runcing. Aku sepatutnya tangkap pakai gigi tetapi hadiah itu jatuh atas mata kiri. Sekelip mata aku pejam bagi mengelakkan cacat buta. Lampu itu melantun jatuh ke pasir dan disambar oleh Lia (isteri Cikgu Nazry). 

Begitulah nasib aku. Redholah dalam rezeki kita, ada rezeki orang. Kalau sudah bukan rezeki, nasi dalam mulut pun boleh jatuh.



89 SMOLGATH2025 Bahagian 4/5

Menjelang malam, Faqeh muncul membawa satu jag air kopi, sos cili dan sebesen cucur udang. Mak mentua yang goreng katanya. Kami pun menyatakan kasih sayang kami kepada beliau dan ramai-ramai mendoakan mak mentuanya dimurahkan rezeki.

Sedang aku menulis nukilan ini, perut aku berbunyi  terkenang cucur udang tersebut. Masih terngiang-ngiang cucur itu memanggil nama aku. 

Cuaca baik sepanjang acara. Jelas kelihatan bulan mengambang di dada langit. 

8.30 malam, kami dihidangkan nasi goreng, ayam dan kambing BBQ. Bahaya juga dimanjakan sebegini — boleh lupa diri. Biasalah, sudah diberi betis, mahu paha pula. Sudah diberi kambing panggang, hendak disuap pula. Untuk yuran secubit, macam tidak adil dimewahkan begini. Kalau berniaga boleh rugi. Mungkin ini bukan perniagaan, ini sedekah namanya. Semoga kru Smogath2025 dimurahkan rezeki dan dikurniakan keberkatan yang melimpah-ruah selepas ini. Aku tidak menang lucky draw pun tidak mengapa, bertemu kalian dan kawan-kawan sudah rezeki yang banyak.  

Malam semakin larut. Di atas pantai ada kain rentang acara berbingkai buluh dengan imej ayam jantan sedang merokok. Ini mengingatkan aku kepada pantun lama, “Ayam berkokok atas batang, ada rokok bak sebatang.” Imej yang sama juga ada atas t-shirt acara. Kain rentang ini dihias dengan lampu. Di hadapannya ada set dram, gitar dan alat siaraya. Peserta mula dihiburkan dengan muzik dari artis-artis tempatan berselang-seli dengan wacana. Onen bertindak sebagai hos rancangan dan juga juruteknik audio.

Persembahan paling comel jatuh kepada Ali dan Fyda yang bersila sambil berduet nyanyi lagu tema Kluang Man. 

Kecuali lagu dangdut Yang Penting Hepi, aku tidak pandai ikut bernyanyi sama. Mereka banyak mendendangkan lagu yang bukan zaman aku. Mereka anak-anak era rock alternatif dan grunge. Tidak mengapalah, nanti sepanjang jalan pulang ke rumah, aku bakal pasang klasik FM. 

Onen sebagai juruacara majlis dengan sangat cekap mengawal suasana. Aku juga dipanggil ke depan untuk berkongsi pengalaman berbasikal. 

Awal-awal aku bagi amaran kepada Onen agar jangan tanya soalan teknikal. Untuk nisbah bilangan gigi gear depan dan belakang kena tanya Cabi Bikedaily. 

Aku cuma berkongsi serba sedikit benda yang aku baru belajar. Intinya:- Rasulullah telah bersabda:

“Ada tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang teraniaya, doa musafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.” – Riwayat Tirmidzi

Maka jika kita bermusafir, contohnya berbasikal lebih dua marhalah, banyakkanlah berdoa. 

Lewat malam Megat tiba dengan basikal dan baju kerja basah dengan keringat. Dia kayuh ikut jalur siang kami Penawar-Sungai Rengit-Pengerang sendirian di malam buta. Dia ni antara orang terpaling kayuh yang aku kenal. 

Menjelang dinihari embun jantan pun turun. Faqeh pun bergegas pulang ke rumah, dia tidak tidur di kem. Dia tertinggal sos cili dan jag kopi. Akak Kau, Lia dan Cikgu Nazry sudah tidur dalam pondok. Megat tidur dalam hammock yang diikat antara tiang pondok dan pokok rhu.

Aku masih terkebil-kebil. Selalunya waktu begini, Tony akan layan aku berbual sambil menjerang teh longan. Tapi kali ini Tony tidak turut serta. 

Baan yang berbaring atas katil kanvas sebelah Rahimi di beranda pondok menegur, “Tak tidur lagi Tok?” 

Aku jawab, “Aku tidur berdengkur.”

“Dan?”

“Kalau aku tidur, orang lain akan terjaga.”

“Takpe Tok. Biasa tu.”

Selepas Baan memujuk, barulah aku sedap hati masuk tidur sebelah Akak Kau beralas tilam angin nipis. Sekejap  sudah lena. Maklum la, siangnya penat bermain macam budak-budak.

3.30 pagi. 

Tiba-tiba ada bunyi bising orang bergaduh di luar pondok. Aku abaikan sahaja. Kemudian, bunyi bising itu bertukar kepada ketukan kuat bertalu-talu atas lantai. Aku bangkit dan jenguk ke luar jendela pondok.

Rahimi melaporkan, “Baan disengat lipan.” Ketukan tadi rupa-rupanya Rahimi membunuh lipan dengan botol sos cili. Lipan itu panjang sejengkal. Ia terlentang di lantai dengan kaki masih bergoyang (Bukan Rahimi, lipan).

Baan tanya siapa bawa asam jawa untuk meredakan bisa sengatan. Aku tidak boleh membantu kerana kelopak mata terlalu berat. Terpaksalah Baan tanya ChatGPT tentang rawatan bila digigit lipan. 

ChatGPT menjawab, “Langkah pertama merawat gigitan lipan ialah segera membersihkan kawasan gigitan dengan air bagi mengelak jangkitan. Seterusnya, rendam bahagian yang digigit dalam air suam selama 15 minit untuk mengurangkan bisa, kemudian tuam ais bagi menyejukkan dan mengurangkan bengkak. Mahukah saya beri versi yang lebih puitis?”

Awal pagi aku bangun, Baan tiada di atas katilnya. Dia sudah pindah tidur ke dalam kereta. Cikgu Nazry dan isteri juga tiada. Mereka pasang khemah dan tidur dalam khemah. 

Cikgu menjelaskan, “Aku tidak tahan nyamuk.”  Aku harap itu bukan alasan kepada tidak tahan bunyi dengkur. 

Rahimi ada di katil kanvasnya di beranda, masih nyenyak sambil memeluk trofi raja bukit.




90 SMOLGATH2025 Bahagian5/5

Selepas mandi, kami pun berkayuh ke warung Sungai Musuh untuk sarapan. Tidak jauh, 100 m sahaja. Usai makan ada orang mengumumkan makanan sudah dibayar. Botak belanja. Semoga beliau murah rezeki.  Amin.

Aku dan Akak Kau mengambil kesempatan uji tunggang basikal tandem Cikgu. Kini aku faham apa yang Cikgu maksudkan perlu ada kerjasama dan kepercayaan antara penunggang belakang dan hadapan. Aku sebagai pengayuh depan dengan yakinnya mengemudi tetapi Akak Kau menjerit-jerit takut jatuh. Apa yang berlaku adalah penunggang belakang hanya pegang handle kaku keras.  Dia jadi panik bila basikal maju di luar kawalannya. 

Aku perhatikan isteri Cikgu kadang-kadang bertenggek sahaja di belakang tanpa kakinya menekan pedal. Dia pasrah kepada arah tujuan Cikgu. Dia di belakang main telefon. 

Pagi pun masih muda. Kami pun merayau dari Sungai Musuh sampai ke Lubuk Sepang. Pergi-balik sekitar 8 km. 

Antara Lotus Seaview Resort dan Lubuk Sepang ada kebun kelapa dan padang lalang. Inilah 1 km paling cantik untuk berfoto di daerah ini. 

Condongkan telefon 80-70 darjah ke arah kau dengan penalaan kamera 0.5. Kau rekod sambil maju ke hadapan dengan basikal. Hasilnya, satu halwa mata di mana di bahagian atas skrin pokok-pokok kelapa berlatar langit biru seperti tiang menara datang ke arah penonton dan di bahagian bawah skrin penonton dibawa meluru ke kaki langit melalui jalan berturap sempit dengan lalang menghijau kiri dan kanan. Bila kau putar semula video, warnanya seolah-olah adegan sinema anime. 

Dalam suasana pemandangan kayangan ini roda belakang basikal tandem Cikgu bocor tercucuk tulang ikan. Cikgu mengeluh tetapi dengan bingkasnya menukar tiub. Tidak sia-sia jadi juara podium sukaneka tukar tiub.

Kami kembali ke kem dan mula berkemas. 

Baan datang dengan basikal, pulang dengan kereta.  Aku titipkan beg dengannya untuk dibawa ke Penawar (garis akhir) agar aku dapat kayuh ringan. 

Sekitar 11.00 pagi aku meminta diri untuk pulang. Ini lebih awal berbanding dengan kumpulan lain.  Aku pun salam keliling dengan peserta-peserta yang masih ada dan memberi alasan esok kerja, baju belum gosok. Sebenarnya kami mahu elakkan panas tengah hari. Aku minta maaf atas gurau senda dan kekasaran jika ada. 

Akhirnya, aku dapat bercakap dengan Ali, orang kuat Smolgath2025. Aku ucapkan tahniah atas acara yang lazat ini. Aku nyatakan yang aku sangat suka konsep dan logo Smolgath. Logo tahun 2023- memerang merokok, 2024- kera hantu merokok, dan 2025- ayam merokok. Semoga kita dapat bertemu lagi di Smolgath2026 dengan binatang merokok yang lain. Amin.

Peloton pulang diketuai oleh Megat. Bersama Megat ada Aku, Akak Kau, Yem, Kamal, Coxi, Botak dan Perak. 7 orang jumlahnya. Peta pulangnya begini, Pengerang-Punggai-Batu Layar-Bandar Penawar.

Sebenarnya jalur ini tidak asing bagi aku. 2021 dahulu, aku rajin main di sini. Masa itu aku tidak kenal mana-mana kolektif basikal. Aku, Akak Kau dan Yem datang sini dan berkhemah di Tok Isa Campsite, Punggai. Kemudian kami terokai kawasan sini ke utara sampai Tanjung Balau dan ke selatan sampai Sungai Rengit. Yem kata kembali ke sini macam balik kampung. Dia bernostalgia tentang keindahan jalur ladang kelapa dan padang lalang. Aku pula terkenang keperitan kayuhan lampau. 

Pernah sekali, kami kayuh hingga 60 km pergi-pulang, Punggai – Batu Layar. Separuh mati dipanggang matahari. Hari ini mengulang lagi jalur yang hampir sama satu hala. Jantung aku bergendang laju.

Sampai di jalur lawa, ada dua kanak-kanak,  12-13 tahun mungkin, mengejar dari belakang dengan skuter elektrik. Budak itu bertanya kepada Yem, “Abang-abang ni Tour de Langkawi ke?” Yem ketawa sambil menafikan. Budak itu buat pusingan U patah balik kehampaan. 

Kami meneruskan kayuhan. 

Kami berhenti minum kopi di Batu Layar sebelum meneruskan perjalanan. Kami berleha-leha di kawasan perkelahan kemudian belok masuk jalan besar. Di jalan besar sekejap sahaja Megat dan Yem hilang kerana berlumba. Kamal ganti jadi ketua. Aku dan Akak Kau mengekor dari belakang. 

Matahari tegak 90 darjah dengan umbun-umbun.

Kami berhenti rehat lagi di atas bukit tertinggi jalur pulang berhampiran simpang Desaru Coast. Tidak disangka, seorang pengayuh tunggal peloton belakang berjaya mengejar kami. Mamat ni jantung piston ke apa? 

Setibanya dia di atas bukit tempat kami berehat, segera kami meneruskan perjalanan. Sampai di bulatan Masjid Bandar Penawar, Megat belanja kami cendol. Kami ramai-ramai mendoakan kemurahan rezeki Megat. Budak jual cendol pun turut mengaminkan. 

Jumlah kayuhan pulang, 24 km sahaja. Detak jantung masih normal. Kaki tidak kejang. Aku masih hidup. Rasanya aku mampu lanjutkan kayuh sampai senja.  Berbeza sangat dengan prestasi lemah ketika mula-mula main basikal dahulu. Mungkin kini aku sudah pandai berunding dengan bukit dan boleh bergurau dengan matahari. Alah bisa tegal biasa.

1.35 pm kami sampai di garis penamat. Beg semua Baan telah tinggalkan dalam kereta. Selepas meyangkut basikal ke kereta, aku, Akak Kau dan Yem pun berangkat pulang. 

Aku pasang Klasik FM. Lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) – Sudirman berkumandang.




87 SMOLGATH2025 Bahagian 2/5

Kayuhan diteruskan menuju ke arah selatan. Debaran masih belum reda. Pernah 2022 dahulu aku main laluan ini dalam kayuhan Belungkur ke Tanjung Lompat bersama Bikedaily. Terik mataharinya masih dalam ingatan. Bahu jalan Penawar-Sungai Rengit lebar sedepa tapi redup pokoknya jarang. 

Aku cuba kawal rentak dengan mengayuh 20 km/j di hadapan Akak Kau. Aku memotong angin bagi memudahkan luncuran dia. Romantik tak? Nampaknya Akak Kau tidak mempedulikan angin yang telah aku potong. Dia ketinggalan di belakang. 

Akak Kau mengayuh lebih perlahan dari biasanya dia. Dia mengeluh perut tidak enak.

Aku tukar strategi dengan menemankan dia dari belakang pula. Bayang-bayang kami semakin kecil menandakan matahari semakin tinggi. Aku harap kami tidak ketinggalan jauh dari peloton helang yang mula hilang dari pandangan. 

Ada seorang marshal Smolgath dengan vest hijau rapat mengekori kami. Pastinya budak ini prihatin terhadap nasib pasangan pengayuh separuh abad ini. Pun begitu kami berpisah apabila dia berjumpa dengan pengayuh lain yang kejang kaki. Marshal itu berhenti merawat orang yang lebih memerlukan. Aku syak, mangsa kejang itu menerima padah memanjat bukit tangki Sungai Lebam tadi.

Sekonyong-konyong, kelihatan kelompok helang berkumpul di tepi jalan di bawah teduhan pokok. Ada juga dua kereta marshal parkir di situ. Kalau tidak salah di kilometer 16. Bila aku mendekat, rupanya tompok rehat untuk minuman. Marshal bawa air tin dalam tong penuh ais. Seperti orang mengantuk disorong bantal. Kami menyertai mereka untuk melepaskan lelah. 

Aku togak air tin sambil mencucuh rokok dalam longkang. Ya dalam longkang, ada longkang kering bertingkat di lereng tebing jalan untuk aliran air musim hujan di situ. Betuknya persis tangga. Peserta duduk bersusun seperti di bangku stadium.

Akak Kau ajak beransur bila melihat peloton helang sudah bergerak. Aku angkat basikal dan teruskan kayuhan sebelum keringat kering di baju. 

Selepas rehat tadi tenaga terus bertambah untuk mengayuh. Tiba-tiba bukit terasa rata. Bukit Pelali di mana? Rupanya sudah terlepas di belakang. Tidak kelihatan lagi peloton belakang. Namun, peloton depan juga tidak kelihatan. 

Setibaya di lampu trafik simpang Sungai Rengit, kami membelok ke kiri ke arah Teluk Ramunia.

Ketika melepasi Balai Bomba, ada orang menjerit memanggil nama aku. Cikgu Nazry (Pentol Puak Pelampau) dan isteri atas basikal tandem yang melaung rupa-rupanya. Jalur ini memang kawasan permainan mereka. Halus untuk mereka kerana sudah tiap-tiap minggu kayuh di sini. Tidak hairanlah mereka di kelompok helang. Mereka ajak singgah sebentar tengok jeti roboh ikonik Sungai Rengit. Denai ke arah laut itu tersembunyi di balik semak samun. Aku pun menuju dan mendapati Baan, Rahimi, Yem dan Mattky pun ada di situ bersembang menikmati angin laut. 

Aku sudah lama teringin bergambar di jeti roboh sungai Rengit ini. Baru sekarang berpeluang. Macam-macam gaya aku peraga. Sekali peristiwa, aku cuba pose Tarzan bergayut pada tali besar yang tergantung di pokok. Zassss… paha aku kejang. Nyesal pulak buat bukan-bukan. Harap tidak berpanjangan sakit hingga ke kem. Aku segera sembur paha dengan semburan menthol dan meratapi diri.

Mattky memetik petai belalang untuk dibuat ulam. Banyak pokoknya di situ. Aku pun cuba sejalur. Boleh tahan sedap.



86 SMOLGATH2025 Bahagian 1/5:

Mula-mula berjinak dengan basikal dahulu, aku cuma tahu satu gaya berkayuh iaitu kayuh petang-petang kawasan perumahan. 

Seiring masa berputar, aku pelajari terdapat pelbagai jenis basikal dan setiap satu jenis mewakili gaya kayuhannya. Dalam acara Smolgath2025 aku pelajari budaya kayuhan belia pesisir pantai kawasan tenggara Johor. 

Penganjur utama, Smolgath2025 adalah kumpulan basikal PNWO dari bandar Penawar dan kolektif basikal sekitarnya dari Teluk Ramunia hinggalah ke Tanjung Balau. Kekuatan utama mereka sekitar 15 anggota tetapi ada juga sukarelawan runcit-runcit menghulur sokongan. Sesungguhnya struktur kolektif basikal tidak sama dengan struktur organisasi korporat atau kerajaan, ia lebih longgar dan luwes. 

Aku, Akak Kau dan Yem bertolak dengan kereta menuju Penawar seawal jam 7.00 pagi. Sampai Penawar 8.15 pagi.

Aku sudah terbiasa dengan bikecamping belantara, maka aku buat persiapan ala itu. Aku bawa alat masak, khemah dan bekalan makanan. Rupanya khemah tidak wajib. Kau nak tidur atas pasir pun boleh. Makanan pula disediakan atau boleh dibeli di warung-warung berdekatan. Oleh itu, aku kurangkan beban basikal agar boleh kayuh seiring dengan peserta lain.

Bag aku dan Akak Kau ditumpangkan dalam kereta Minah. Minah akan ke kem berkereta membawa anak-anak sekali. Sementara itu, Cabi Bikedaily (suami Minah) yang memegang peranan jurufoto akan berbasikal sepanjang acara. Selalunya jurufoto acara basikal akan membonceng motor tetapi tidak Cabi, dia kekal sebagai mat basikal bermaruah.  

Menurut berita, sekitar 75 peserta mendaftar tetapi yang kayuh sekitar 40. Mungkin selebihnya akan memandu kereta ke kem terus atau datang lewat kerana tuntutan kerja atau ada jiran buat kenduri kahwin. Tapi ini bukan isu penting. Nama pun Smolgath (Small Gathering). Memang sasaran mereka kecil-kecilan sahaja. 

Ketika persiapan pagi, peserta dihidangkan dengan teh o, bihun dan kuih-muih  di garis pemula. Aku tidak makan banyak melainkan kuih keria dan donut. Perut mesti didisiplinkan agar tidak memulas di jalanan. Ini bukan kayuhan hutan yang belukar dan anak sungainya banyak memudahkan bersuci. Memang ada tandas stesen minyak tepi jalan, tapi itu lepas  20 km baru jumpa. 

Apabila matahari tinggi segalah kayuhan pun bermula. Pengayuh akan berkayuh 33km menentang panas matahari dari Terminal Bandar Penawar via Sungai Rengit menuju Kem Pantai Rhu, Pegerang. Untuk basikal lumba jenis carbon, jarak 33 km ni kacang. Tapi kami basikal jenis aloi dengan bakul, beg dan beberapa barangan. Maka gaya kayuhan basikal berbeza. Rekod aku, maksima 70 km sehari. Tapi itu tempat yang banyak teduh dan gerai minum tepi jalan. Kita tengok macam mana dia pergi. 

Aku mula menekan pedal dengan debaran.

Belum pun sempat pecah peluh, kami dibawa melencong ke arah tangki air Sungai Lebam. Di situ, Smolgath2025 buka mainan panjat bukit. Aku duduk tepi di kaki bukit sebagai pemerhati, simpan tenaga. Sekitar 20 anak muda menguji nyali dan tenaga melawan bukit curam. 

Agak membanggakan kerana tempat pertama dan kedua adalah budak-budak Puak Pelampau, Rahimi dan Yem. Rahimi ini kami kutip dekat parkir pasar malam Sungai Ara. Yem pula bukan orang lain, adik aku sendiri. 

Rahimi membawa pulang trofi kraf kayu buatan tangan yang unik. Tidak sia-sia juara ini ikut latihan komando hutan simpan bersama Puak Pelampau. Boleh dah jual kepada negara-negara UCI Road World Championships. Surat beranak boleh tukar lahir di Paris–Roubaix, “Hell of the North.” Kita buat dia.



83 ADA APA DENGAN GLEYWAK BIKECAMP

Pernah dengar tentang Gleywak? Dalam bahasa Terengganu, perkataan ini bermaksud berselerak atau bertaburan. Namun bagi penggemar basikal, Gleywak membawa makna yang lebih luas. Ia adalah nama bagi acara berbasikal dan berkhemah yang berlangsung di negeri Terengganu, merangkumi kayuhan santai, muzik akustik, cabutan bertuah dan semangat kekitaan yang luar biasa.

Bayangkan suasana di bawah bulan purnama, khemah didirikan di tepi sungai, bunyi gitar berselang dengan kicau unggas malam. Inilah Gleywak 2.0 yang berlangsung di Ulu Kasar, Setiu, dari 8 hingga 10 Ogos 2025. Ini kali pertama aku menyertai acara berbentuk bikecamping dan touring, dan pengalaman ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam.

Tujuh Perkara Aku Suka Tentang Gleywak 2.0

1. Suasana Kampungan

Di Gleywak, tiada siapa peduli tentang pakaian rasmi. Peserta bebas memilih gaya masing-masing sama ada memakai baju sukan ketat atau baju longgar. Aku paling gembira melihat beberapa peserta santai berlegar-legar dengan kain pelikat. Hos acara pula naik ke pentas dengan kain batik dan semutar, penuh gaya orang kampung Terengganu yang asli tetapi tetap tampak menarik.

Suasana kampung yang mesra ini membuatkan semua peserta terasa seperti sudah lama saling mengenali. Bangunan paling menonjol di kawasan tapak ialah surau papan bertiang tinggi. Ada peserta memilih untuk tidur di bawahnya. 

2. Pentas Kayu Buatan Sendiri

Pentas Gleywak sederhana tetapi memaparkan estetik alam semula jadi. Luas pentas sebesar tilam bersaiz king dan tingginya lebih kurang setengah meter. Ia dibina sepenuhnya daripada kayu pokok dan papan, selaras dengan suasana semula jadi sekelilingnya. Walaupun ringkas, rekaannya mempunyai nilai estetika tersendiri. Setiap papan seolah-olah menceritakan kisah tangan yang membinanya dengan penuh kasih dan semangat gotong-royong.

3. Parti Akustik Sampai Pagi

Pada mulanya aku sangka tiada persembahan muzik pada malam itu. Namun sekitar pukul sembilan tiga puluh malam, terdengar bunyi petikan gitar dari pembesar suara. Aku menarik kerusi dan duduk kira-kira enam meter dari pentas. Akak Kau menegur perlahan, “Tak terlalu depan ke ni, bang?” Aku hanya senyum.

Tiga pemuzik berbakat, Ammalbellamy, Mbexfirdaus dan Nursyamamarul, mula memainkan lagu mereka. Suara dan petikan gitar mereka sangat memukau. Penonton bersorak dan ikut menyanyi apabila lagu kegemaran dimainkan.

Sekitar pukul satu pagi, mereka mengumumkan bahawa lagu seterusnya adalah yang terakhir. Namun penonton masih belum mahu beredar. Ramai menarik kerusi mendekati pentas. Lagu demi lagu dimainkan sehingga akhirnya benar-benar berakhir pada pukul dua setengah pagi. Malam itu terasa hangat, bukan sahaja kerana muzik, tetapi kerana keakraban yang terbina.

4. Kayuhan Kampung

Kayuhan di Gleywak bukan semata-mata aktiviti berbasikal. Ia menjadi cara untuk menggerakkan ekonomi penduduk setempat. Sepanjang laluan, peserta berhenti di warung, menikmati lauk pauk tempatan, membeli hasil kraf dan berbual dengan orang kampung. Suasana ini menjadikan kayuhan terasa hidup dan bermakna.

5. Mandi Komunal

Pada awal pagi yang dingin, hanya tiga orang berada di kawasan pancuran terbuka, aku, Lim dan seorang lelaki yang tidak aku kenali. Lelaki itu menegur Lim sambil tersenyum, meminta sedikit sabun. Mereka mula berbual rancak sambil membersihkan diri masing-masing. Tidak lama kemudian, lelaki itu mengucapkan terima kasih dan beredar. Aku bertanya kepada Lim, “Kawan kau ke?” Lim menjawab, “Baru kenal.”

Aku tersenyum melihat bagaimana suasana santai seperti ini boleh menghubungkan orang asing menjadi sahabat dalam masa yang singkat.


6. Sungai Luas

Sungai di kawasan tapak perkhemahan ini menjadi tarikan utama. Bahagian cetek sesuai untuk kanak-kanak bermain air, manakala bahagian dalam pula digemari oleh peserta dewasa. Terdapat juga tebing batu setinggi kira-kira dua puluh kaki yang sering menjadi tempat peserta mencabar diri untuk terjun. Airnya jernih dan sejuk, cukup menyegarkan selepas seharian berpeluh.

Pagi mahu pun petang, sungai ini menjadi tempat berkumpul ramai peserta. Ada yang berendam sambil berbual, ada yang membasuh basikal, dan ada juga yang hanya duduk di batu besar menikmati aliran air. Keakraban tercipta begitu sahaja, dan tawa mereka bergaung di antara pohon rendang di tebing sungai.

7. Lelongan Amal

Setiap hasil jualan daripada lelongan disalurkan untuk membantu madrasah tempatan. Antara barangan yang dilelong termasuk bingkai basikal dan aksesori kayuhan. Suasana lelongan berlangsung dengan penuh semangat. Apa yang membuat acara ini lebih bermakna ialah cara peserta saling menyokong. Tiada siapa datang dengan niat berlumba, sebaliknya semua bersatu atas semangat membantu. Gleywak berjaya menanam rasa tanggungjawab sosial dalam komuniti pengayuh basikal, sesuatu yang jarang berlaku dalam pesta seperti ini.


Gleywak bukan sekadar acara berbasikal. Ia adalah perjalanan jiwa, tempat orang datang untuk mencari ketenangan, membina persahabatan dan merasai semula nilai kehidupan kampung yang makin jarang ditemui. Bila pulang, setiap peserta membawa kenangan yang hangat, seperti bara kecil yang menyala di hati dan sukar dipadamkan. 

(Memaksa menulis ketika malas.)



Rabu, September 10, 2025

85 SUNGAI LEMAKO



Beberapa kali sudah membuat cubaan berkhemah ke Sungai Lemako, Hutan Endau Rompin, tetapi gagal. Kalau hujan, jalan ke sini bakal hilang dari peta kerana banjir. Sia-sia sahaja dinamakan jalan ini Jalan Kampung Peta. Kerajaan akan menutup hutan dan larangan perjalanan akan diumumkan. Begitulah yang terjadi sebelum ini.

September 2025, cuaca baik berpihak kepada kami pada tarikh ini. Kami berpakat mengenakan baju Melayu ketika berkayuh kerana kebetulan hari itu jatuh pada tarikh Maulud juga. Bajuku berwarna kuning cair dengan sedikit percikan hitam minyak daripada petualangan sebelumnya. Dulu, ini baju raya. Walaupun usianya sudah lama, kualiti jahitan dan kainnya masih utuh kerana ia banyak bersangkut di dalam gerobok. Tiba masanya untuk dibawa berkayuh melihat dunia.

Seramai 37 pengayuh Puak Pelampau berkumpul awal pagi di Masjid Ladang Zamrud, bersiap untuk satu perjalanan yang kelihatan singkat di peta, hanya 25 kilometer. Masing-masing segak berbaju Melayu macam panglima mahu berperang.

Dalam 37 orang ini, ada 4–5 orang yang sudah berkayuh jauh dari Kahang untuk sampai ke Ladang Zamrud. Kental betul mereka berazam menghabiskan 50 kilometer hari itu. Seorang, Megat, tiba di Ladang Zamrud dengan RD barai. Dia bakal meneruskan perjalanan dengan single speed. Kalau aku dalam posisi ini, aku teruskan juga perjalanan, tetapi dengan kereta sahaja.

Perarakan kayuhan bermula melalui jalan dalam pembinaan, debu berterbangan bibawa angin setiap kali berselisih dengan lori hantu. Laluan ini lebar, lurus, rata dan sedang diturap, tetapi teduhan pokok yang jarang membuat kulit terdedah kepada sengatan mentari.

Lalu lintas tidak banyak kerana jalur ini cuma melintasi estet kelapa sawit, hutan rimba, dan di hujungnya kampung orang asli, Kampung Peta. Kami singgah di kantin Ladang Bukit Cantik untuk tambahan tenaga. Sedap makanannya, di pedalaman ini namanya cuma viral dalam kalangan buruh dan musafir yang tersesat.

Selepas memperbaharui doa, kami teruskan kayuhan meninggalkan capaian Internet yang terakhir. Tiada lagi bunyi mesej masuk. Aku tetapkan telefon ke mod penerbangan untuk menjimatkan kuasa bateri.

Sekonyong-konyong pembinaan pun tamat, masuk ke jalan Kampung Peta yang berbukit-bukau seakan tidak berkesudahan. Namun begitu, pokok-pokok hutan tinggi memberi teduhan yang nyaman. Bila pendakian terlalu curam, kami dorong basikal menentang graviti. 

Pengayuh mula terpisah dalam kumpulan kecil mengikut kemampuan tenaga masing-masing. Seperti biasa, aku dalam kelompok paling belakang.

Kumpulan belakang ini terdiri daripada pengayuh yang bebannya terlalu berat, basikalnya ada kerosakan, atau orang yang mengawasi detak jantung agar tidak kecundang. Ada juga yang saja-saja santai sebab suka menangkap gambar. Apa pun, kami bukan arnab dan bukan juga kura-kura yang berlumba, kami kedua-duanya sekali—bergerak perlahan dan tidur bila penat.

Ada sekawan manusia memilih kesakitan sebagai ubat. Mereka memilih berpanas, tercalar dan keletihan kerana di situlah mereka menemui kebahagiaan. Kesakitan jadi penawar: ia merendahkan ego, mengajar sabar, dan menyembuhkan jiwa yang derita. Yang penting bukan berapa kali kau jatuh tetapi berapa kali kau bangkit. 

Begitulah kehidupan, terdapat sahabat yang istiqamah menikmati kelajuan. Kami di kumpulan belakang pula istirehat berleha-leha sepanjang jalur. Kadang-kadang sampai 30 minit berbaring di pinggir jalan sambil bersembang ralit melihat kepulan awan yang berarak dibawa angin di dada langit biru.

Akhirnya kami sampai di pintu hutan. Denai hutan menuntut kudrat tambahan kerana laluannya berbatu-batan longgar. Setiap kali menurun, ada balasan mendaki yang lebih mendongak menunggu. Kami banyak menolak basikal pada jam terakhir ini.

Dalam kilometer terakhir menuju Sungai Lemako, denai terlalu curam untuk ditawan dengan pedal. Jari kelingkingku tersayat ranting kayu dan berdarah ketika laju menurun bukit. Lukanya kecil, tetapi darahnya banyak. Baju Melayu yang kupakai kotor dengan tompokan darah.

Kami merupakan sekawan manusia memilih kesakitan sebagai ubat. kami memilih berpanas, tercalar dan keletihan kerana di situlah mereka menemui kebahagiaan. Kesakitan jadi penawar: ia merendahkan ego, mengajar sabar, dan menyembuhkan jiwa yang derita.

Yang penting bukan berapa kali kau jatuh tetapi berapa kali kau bangkit. Dan jika masa kau jatuh ada kawan tangkap gambar, itu bonus. Kita gelak sama-sama.

Peloton akhir mengambil masa tujuh jam untuk menamatkan jalur 25 km itu. Sungai Lemako menyambut kami dengan gemericik jeramnya. Hilang segala lelah bila kaki terendam di sejuk sungai. Perjalanan singkat di peta merupakan kisah panjang ketahanan diri dan kebersamaan. Dua puluh lima kilometer. Tiga puluh tujuh pengayuh. Tiga hari dua malam kami bercanda di dalam hutan. Kami mandi-manda dan berkhemah.

Kepada orang luar, Puak Pelampau ini kelihatan kasar. Mereka berkayuh masuk hutan bermain dengan lumpur dan bukit. Betullah kasar, tetapi di dalam hati ada taman. Kau kena lihat mereka memasak dan mengisi masa lapang dengan kraftangan. Kadang-kadang mereka mengikat kayu-kayan dengan tali menjadi meja. Lantas, mereka menghias meja itu dengan bunga hutan tiga tangkai dan dedaunan pakis serta palma pelbagai bentuk. Seolah-olah ada sesi makan damai malam itu. 

Aku perhatikan, ada sesuatu yang kurang. Aku celup dua jari dalam minyak masak dan sapukan pada dedaunan yang menghias meja itu. Dedaun itu kini berkilat, sempurna sangat untuk Instagram. Ada la juga sumbangan aku kepada dunia bushcraft selain daripada buat chopstick bentuk Y untuk gantikan sudip yang tertinggal.

Kotoran darah dan minyak basikal sebati sudah dengan kain baju Melayuku. Aku gonyoh-gonyoh tidak hilang. Aku campak baju itu ke dalam unggun api. Tamatlah riwayatnya, terima kasih kerana pengalaman. Khidmat terakhirnya adalah menerangkan suasana sesi kongsi cerita keliling unggun.


Selasa, Ogos 12, 2025

84 ULU KASAR



8 Ogos 2025. Tahun ini Gleywak Bikecamp 2.0 diadakan di Ulu Kasar, Terengganu. Kenapa tempat ini dipanggil Ulu Kasar? Sekali pandang, tempatnya aman. Pohon hutan hijau merimbun, sungai mengalir tidak  terlalu deras tapi tidak juga lesu. Airnya jernih, tidak semua dalam dan tidak semua cetek. Ada tempat untuk anak-anak bermain dan ada tempat untuk orang dewasa terjun dari ketinggian 10-15 kaki. Ada tempat berbatu-batan dan ada tempat berpasir. Sepatutnya tempat molek sebegini dipanggil Ulu Halus.

Dari Johor Bahru ke Ulu Kasar, Terengganu ambil masa 7 jam perjalanan berkereta. Kami tiba di tapak Gleywak Bikecamp sekitar jam 12 tengah hari. Matahari terpacak di atas kepala dan hawa panas mula  memanggang. Dalam keadaan gerah kami keluarkan basikal dan peralatan khemah. Kami segera mendirikan khemah — kanvas dibentang, pancang dipacak, dan tali flysheet ditarik tegang. Keringat membasahi ketiak, tapi hati berdebar keterujaan kerana ini festival bikecamping kami yang pertama. 

Lebih 200 peserta menghadiri dan kumpulan paling besar datang dari Thailand, sekitar 5o orang.

Petang hari pertama ni santai-santai sahaja. Maka, aku dan Akak Kau ambil keputusan untuk ke Lata Payung untuk ziarah Pok Vic, seorang seniman seni halus yang memberi tempat teduh dan memberi makan kepada kami ketika musafir berbasikal pada 2023. 

Misi Lata Payong kami jelas. 

Tepat pukul 3 petang, kayuhan bermula. Roda mula berpusing meninggalkan tapak kem, menyusuri jalan kampung menuju Kampung Lata Payong, 10 kilometer jauhnya. Angin petang suam-suam menyapa wajah, bunyi tayar bergesel dengan jalan berturap menjadi irama perjalanan. Jalan ke Lata Payong berbukit-bukau manja. Pemandangan hijau ladang kelapa sawit menemani perjalanan.

Pok Vic terperanjat kami tiba-tiba muncul di tapak perkhemahannya. Kami disambut baik dan diberi lawatan keliling kawasan. Dia punya terharu, dia nak bagi lukisan pemandangan Lata Payong kepada aku. Aku bukan tidak sudi terima tapi rasa diri ini tidak layak. 

Banyak prasarana telah ditambah. Makin maju House of Art campsite ini. Sempat juga kami beramah mesra dengan pelawat-pelawat lain yang ada di tapak itu.

5.30 pm rintik hujan mula membasahi bumi. Kami bergegas kayuh pulang ke Ulu Kasar. Kami melihat ke atas, langit petang semakin menggelap dengan awan mendung yang berarak pantas, seperti gerombolan asap yang menyerang. 

Angin bertiup kencang, membawa hujan lebat yang mencucuk-cucuk wajah. 

Kami kini bertarung dengan pendakian bukit, angin kencang dan kedinginan air hujan. Sesekali cahaya kilat menerang langit dan guruh berdentum. Kumpulan budak motor yang berteduh di pondok bas memerhatikan kami menderas lalu. Baju kami basah lencun tapi kami nekad untuk segera pulang ke kem sebelum gelap malam bertandang. Itu misi kami sekarang.

Apa ada hal, ini cuma hujan air. Lainlah kalau yang turun hujan api — itu barulah kami betul-betul cari tempat berteduh. Air dari gunung mencari jalan turun ke sungai menyebabkan beberapa tompok-tompok banjir kilat.  Jalan yang digenangi bah pun kami redah. Ada tempat yang airnya naik hingga 2 kaki. 

Selagi boleh kayuh, kami kayuh.

Tiba-tiba kelihatan dua tiga biji kereta parkir di pinggir jalan. Seorang pemuda berdiri dengan payung di tepi laluan. 

"Ada pokok tumbang menghalang jalan, kami tidak boleh masuk ke kem Gleywak," kata pemuda itu.

"Nanti kami masuk ke dalam dengan basikal dan minta urusetia clearkan jalan," sambut kami.

"Katakan kepada mereka, performers tersangkut di jalan."

"Performers? Penting ni. Kalau kalian tiada sunyi malam ini."

Sekarang kami ada tambahan misi baharu. Rasa macam wira pula.

Kami angkat basikal melepasi pokok yang tumbang melintang jalan. Kami terus mengayuh mengharung hujan dan banjir. Sampai satu tempat, tidak boleh kayuh lagi. Air sudah paras peha. Kami turun dan mendorong basikal.

Kami bertembung dengan kereta yang menuju keluar tapi kami nasihatkan mereka untuk berpatah balik kerana ada pokok melintang jalan. 

Kami jumpa juga urusetia yang bermotor sedang meninjau keadaan, lantas kami laporkan tentang keadaan jalan yang dinaiki air dan sebatang pokok yang tumbang melintang jalan. 

Misi melapor halangan selesai. Tinggal misi pulang lihat khemah kami. Masih berdiri teguh atau sudah roboh ditiup badai? Kami sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

Hujan renyai-renyai apabila kem Gleywak muncul dalam pandangan kami. Air sungai kini tinggi arasnya mencecah jambatan. Airnya keruh mengalir deras tetapi jambatan konkrit untuk menyeberang ke arah kem masih teguh. 

Rasa lega bila melalui pintu  gerbang kem Gleywak yang diperbuat daripada kayu dan papan. Vibe outdoor terserlah dengan estetik alaminya. Aku keluarkan telefon dan tekan butang rekod untuk mengabadikan suasana itu. 

Melalui skrin telefon, kelihatan basikal Akak Kau terhentak bila rodanya menyentuh jambatan konkrit yang basah. Otak aku tidak sempat memproses maklumat bila tiba-tiba roda depan aku terhentak juga dan kaku seperti terhalang sesuatu. Roda belakang pula terangkat menghumban aku jatuh di atas permukaan jambatan yang digenangi air sejengkal.

Tersungkur aku di pintu kem. Skrin pelindung telefon pecah, tangkai meter basikal patah, dan rusuk lebam. Aku menoleh ke arah basikal yang terbaring. Ada batu-batan dan kayu-kayan hanyut di atas jambatan tersorok daripada pandangan dek air keruh. Takdir. 

Tidak penting berapa kali aku jatuh. Yang penting berapa kali aku bangkit dan belajar dari kejatuhan. Sekarang tahulah kita kenapa namanya Ulu Kasar, gurauannya kasar tidak boleh dibawa bincang.  


Selasa, Ogos 05, 2025

82 DEBARAN LEMAKOH



Kampung Peta terletak di daerah Mersing, manakala Kahang pula berada di daerah Kluang. Kedua-duanya berada dalam negeri Johor, namun dipisahkan oleh daerah yang berbeza. Kampung Peta merupakan pintu masuk ke Taman Negara Endau-Rompin, manakala Kahang ialah perhentian terakhir sebelum memulakan perjalanan masuk ke hutan belantara itu. Di antara dua lokasi ini, tersembunyi sebuah kawasan perkhemahan bernama Lemakoh — satu nama yang telah lama bermain di benak kami, Puak Pelampau.

Tahun 2023, kami merancang untuk menawan Lemakoh buat pertama kali. Namun, cuaca bukan menyebelahi kami. Hujan turun mencurah-curah selama beberapa hari, membawa bersama arus banjir yang mengganas. Laluan ke Lemakoh ditutup atas faktor keselamatan. Dengan hati yang berat, kami mengubah haluan dan bermalam di pantai Kampung Sungai Musoh, berhampiran Teluk Ramunia. Hujan masih menitis-nitis, seolah-olah turut bersedih bersama kami. Suasana berkhemah di tepi laut itu indah, tetapi hati kami tetap tertinggal di hutan yang tidak sempat dijejaki.

Tahun berikutnya, 2024, Puak Pelampau akhirnya berjaya ke Lemakoh. Pun begitu, aku tidak bersama mereka. Aku berada jauh di tanah suci, menunaikan fardu Haji. Sepulangnya aku dari Mekah, aku menanti cerita dan gambar. Namun, tidak banyak yang dikongsi. Rupa-rupanya, perjalanan itu begitu mencabar hingga tiada ruang untuk berswafoto. Mereka menceritakan jalur ke Lemakoh yang berlumpur, berbukit-bukau, dan menguji kesabaran. Mereka bertolak dari Kahang seawal pagi, tetapi hanya tiba di kawasan kem selepas Maghrib — setelah menempuh hampir 50 kilometer. Beberapa orang sesat, seorang terjatuh ke dalam gaung, dan satu telefon pintar pecah berkecai. Aku mendengar kisah itu dengan perasaan bercampur — syukur aku selamat di tanah suci, namun ada rasa ralat kerana tidak turut serta menempuh detik getir itu.

Kini tahun 2025. Puak Pelampau merancang untuk ke Lemakoh sekali lagi. Kali ini, perancangannya lebih rapi dan sistematik. Laluan telah ditanda dengan jelas. Stesen rehat dikenal pasti lebih awal. Malah, ketua ekspedisi telah membuat tinjauan awal menggunakan pacuan empat roda sebulan sebelum tarikh sebenar kayuhan. Segala kemungkinan telah diambil kira.

Aku masih ingat, dahulu, petualangan ke Sumalayang yang pernah mudah pada kayuhan pertama menjadi semakin sukar pada kali ketiga. Jaang pula, yang pernah menjadi medan pengembaraan sempurna, berubah menjadi perjalanan yang penuh cabaran dalam kayuhan seterusnya. Alam memang tidak pernah statik. Ia berubah mengikut musim dan cuaca, dan kita sebagai pengembara harus sentiasa bersedia untuk segala kemungkinan.

Kini, Lemakoh menanti. Ini akan menjadi kayuhan pertamaku ke sana. 42 ahli Puak Pelampau akan berkayuh bersama. 13 (30%) daripada mereka adalah ahli kumpulan basikal Bukit Hantu. Ada sebulan lagi.

Debaran mula terasa dalam hari-hari persiapan dan latihan. Entah bagaimana rupa denai itu nanti. Entah bagaimana tubuhku akan bertahan. Namun, aku sudah bersedia — bukan sekadar dengan jasad, tetapi juga dengan mental. Jika benar Lemakoh itu penuh kesulitan, maka biarlah aku menempuhnya dengan berani.


Rabu, Julai 02, 2025

81 NASI LEMAK


"Budak lagi tu, masak nasi pun mentah," begitulah kata orang tua apabila menolak lamaran. Aku kira peribahasa itu dicipta pada zaman orang memasak guna kayu api, bukan rice cooker. Tentunya tidak mudah menimbang suhu api dari kayu. Kematangan seorang wanita diukur dengan kemahiran menanak nasi. Bagaimana dengan ukuran kematangan seorang lelaki?

Kematangan seorang lelaki diukur dengan kemampuanya menyelesaikan masalah. Aku sebagai sebagai chef de mission (Bukan master chef) mencadangkan kami semua jadi Rambo. 

Buat julung-julung kalinya aku masuk hutan tidak ditemani Akak Kau. Dia sibuk dengan kerja. Sedikit sebanyak geng basikal lasak Bukit Hantu jadi kucar kacir kerana tiada master chef. Kita semua mesti masak bergilir dan makan bersama, jelatah atau bubur itu nombor dua. 

Maka masing-masing memilih menu yang kami selesa. Kami sendiri pilih bahan dan masak, sementara yang lain jadi pembantu "chef of the moment."

Berikut adalah menu kami.
Hari 1 7.00 Makan Malam [Tok: Nasi Lemak Pandan Origami & Acap: Sambal Sotong Sharifah]
Hari 2 7.00 Sarapan [ Yem: Menu: Cucur Pre-Tested & biskut sedap, nescafe panas] 12.00 Makan Tengahari di Air Terjun [Toy n Sharil: Mi Segera Tomyam Cendawan] 7.00 Makan Malam [Jo & Asri] Kerabu ikan bilis, telur dadar, ikan masin, sambal tumbuk bukan rezeki, keropok. Keropok kudapan [Asri]
Hari 3 7.00 Sarapan [Tok & Acap: Menu: Roti sapu majerin kaya layan diri]. Tidak sempat untuk masa lontongkerana masa persediaan pendek. Jam 9 nak bergerak keluar hutan.
Air sepanjang masa: Toni - Teh O Laici Tabib [Ramai dah minta menu dari Toni] + Kopi O

Sepatutnya kami bahagi-bahagi kos belanja pasar sama rata seperti kumpulan wanita tapi kami semua macam sehati sejiwa ikhlaskan sahaja sebagai sedekah. Inilah beza lelaki dan wanita. Ha ha ha... aku bakal dikecam kerana umpan kemarahan (rage bait) ini.

Ikut resmi padi makin berisi makin tunduk tapi aku bukan padi. Ini detik penting dalam hidup aku. Aku sekarang bukan yang dahulu, aku sudah pernah masak nasi lemak. Maka, aku nak gebang pengalaman pertama masak nasi lemak agar kalian boleh ambil belajar dari aku. Kisah ini mesti diceritakan kerana aku bukan guna rice cooker, ini tapak perkhemahan, pakai dapur butane sahaja.

Nasib baik dapur butane. Kalau pakai kayu api, aku hantar artikel ini ke surat khabar. 

Kita teruskan cerita.

Selain pakaian, alat dapur dan set hammock, aku bawa beban beras basmathi, santan kotak, daun pandan, halia dan garam dari rumah. Berbasikal dari Felda Selendang, singgah kampung Orang Asli Sungai Mok, disengat terik matahari jalur kerikil, langsung masuk ke hutan melintas 5 anak sungai serta bergelumang dengan lumpur denai hinggalah sampai ke tapak perkhemahan Jaang. Tidak mudah kawan. 

4 petang orang sudah mula lapar. Asri sudah mula goreng keropok dan cucur untuk makan petang. Aku biarkan sahaja. Giliran aku belum sampai. 

6 petang, aku masukkan beras 5 cawan dalam periuk. Aku hati-hati meredah air ke tengah sungai. Tanggung jawab aku besar. Kalau aku tergelincir memijak batu berlumut, alamatnya nasi jadi bubur. Makan biskut kering la geng Bukit Hantu malam itu. 

Aku bertenggek atas batu cedok air, gaul beras lawan jam seperti orang bertawaf — buang habuk, pasir, dan lebihan kanji. Aku ulang tiga kali macam sunat berwuduk.

Aku kembali ke tenda dapur di mana-mana kru lain sedang kebuluran. Aku gunakan perkataan "kebuluran" untuk sedapkan cerita agar lebih dramatik.

Aku tuang dua santan kotak dalam sukatan air sedia ada empat cawan. Aku lipat tiga helai daun pandan jadi bentuk merpati patah sayap. Masukkan hirisan halia nipis besar syiling seposen, dan tiga sudu garam. Aku guna serai tumbuk untuk gaul jadi rata. Kemudian aku tenggekkan periuk aluminium ke atas dapur butane api perlahan. 

Ingat ya sifir ini bagi yang mahu mencuba. 

Kru pembantu tidak bantu apa-apa sebab aku nak masak nasi solo ala Rambo. Aku mula berdebar macam ambil SPM. Okay la, Acap ada bantu tumbukkan serai dan hiris halia. 

Lepas lebih kurang 20 minit, tudung periuk mula menari-nari. Saat yang ditunggu-tunggu. Aku buka penutup. Bau dia sudah ada tapi masih jelatah. Peluh dingin Rambo mula mengalir.

Kru pembantu mula memberi ulasan selari. Dari ulasan mereka, aku tahu mereka lebih dahulu makan garam bab masak nasi ni. Tapi sengaja la mereka bagi aku peluang masak mandiri. 

Aku tidak panik. Memang aku sudah sedia pelan B. Aku tambah air secawan dan biarkan wap menanak nasi. 

Aku tinggalkan sekejap dan lawat tenda dapur Puak Pelampau. Cheh! Apa barang makan sardin. 

Aku kembali ke dapur sendiri dengan harapan kru dapur yang terer ada buat sesuatu untuk baiki nasi lemak aku. Hampeh! Mereka cuma bagi motivasi untuk aku terus berusaha. 

Aku cuba teknik tanak penguapan beberapa kali, masuk air dan tengok nasi. Buka-tutup tudung periuk buat wap lepas lantas melewatkan tanak. Akhirnya dua jam jugalah aku berusaha dapatkan fizikal nasi yang sempurna. 

Siap. Kawan-kawan hulurkan pinggan untuk dicedokkan nasi. Sambal yang Acap buat pun sudah lama menunggu. Telur rebus, kacang, bilis dan timun melengkapkan menu. Seperti master chef, aku tersenyum puas melihat orang menikmati nasi lemak aku. Tidaklah kawan-kawan jadi kerbau sakit perut seperti watak lagu Oh Bangau.  

Itulah kali pertama aku masak nasi lemak sendiri, jauh dari rice cooker rumah, dan terus jadi antara pengalaman paling bermakna dalam hidup aku. 

Rasa dia? Paling sedap dalam dunia Mungkin tak sesempurna masakan Akak Kau, tapi dengan udara hutan, bunyi sungai, dan tangan sendiri yang masak — sedap dia lain macam. Toy habiskan sampai kerak-kerak sekali. Jo buka origami pandan dah ratah nasi begitu sahaja. Licin.

Pencapaian ini mudah bagi ramai orang tetapi untuk aku ianya epik. Kalau aku ini anak dara, esok aku sudah boleh terima pinangan orang.


Nota kaki: 

A. Sebenarnya Akak Kau sudah sukatkan dan asing-asingkan bahan untuk aku. 

B. 5 cawan beras cukup untuk 8 orang dan muat-muat periuk saiz M.

Jumaat, Mei 16, 2025

80 JERANGKANG AKU DATANG



Tahun lepas Puak Pelampau mencadangkan Bukit Hantu menjadi urus setia Kayuhan Jerangkang. Kami bersetuju.

Mula-mula aku cari insan yang biasa berbasikal ke Jerangkang. Aku temui Tok Sham di FB dengan beberapa foto kayuhan Jerangkang. Kami berkenalan dan Tok Sham bersetuju dengan syarat peranannya bukan sebagai malim jalur tetapi rakan kayuhan.

Kemudian kami membuat kira-kira. Setelah mengira kos, kami pun mula mengutip yuran. Yuran meliputi kos kru pandu arah, permit, powil dan parkir.

Awalnya kami rancang untuk 21 pengayuh sahaja, tetapi ramai yang mahu ikut. Setelah mendapat tip berguna daripada Tok Sham, kami pun mohon permit masuk hutan daripada Jabatan Perhutanan Pahang untuk 30 pengayuh.

Tok Sham ada turun ke JB untuk urusan keluarga. Kesempatan itu kami gunakan untuk bersemuka dan berbincang. Kami rancang perjalanan 15 km pergi dan 10 km pulang dalam bulan November 2024.

Sementara menunggu hari bahagia, beberapa kali Tok Sham dan kru membuat tinjauan denai. Satu hari, kemalangan berlaku ketika menuruni bukit, apabila seorang kru patah tangan. Begitulah disiplin dan komitmen Tok Sham serta krunya. Teliti dalam perancangan. Bak kata pepatah tukang kayu: “Ukur dua kali, potong sekali.” Keyakinan kami terhadap perjalanan semakin menebal.

Hari yang ditunggu hampir tiba. Tetapi tengkujuh datang awal. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. 

Seminggu sebelum kayuhan, Jabatan Perhutanan Pahang mengumumkan hutan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami menghubungi pihak powil dan homestay memaklumkan kayuhan ditangguhkan.

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Musim berganti musim. 

Setelah musim monsun reda, kami menetapkan tarikh baharu perjalanan ke Mei 2025. Bila tarikh berubah, kekuatan kumpulan juga berubah kerana bertembungan acara peribadi. Kami buat percaturan dan kumpul semula kekuatan. Kekuatan final kami 29 pengayuh. Seorang tarik diri saat akhir kerana menjaga ibunya yang uzur. 

Walaupun badai monsun sudah berlalu? Kesannya masih ada. Laluan pelan A sejauh 15 km terkambus lumpur dalam. Maka kami buat pelan B, pergi dan pulang melalui laluan 10 km yang sama bermula dari Kampung Paya Bungor.

Masa yang dinanti pun tiba.

Puak Pelampau memandu lewat malam dan sampai di kampung awal pagi, menumpang di masjid. Bukit Hantu pula bertolak lebih awal dan bersanggah di homestay di Gambang. Tidur yang cukup penting bagi aku.

Kami berkumpul jam 8 pagi di garis mula Kampung Gelugor.

Barang berat semua dimasukkan ke dalam powil dan kami berkayuh separuh “togel”, melainkan beberapa orang yang masih setia dengan maruah bikepacking mereka. Pantang mereka menumpang “lori ayam”, hatta untuk pekakas sekali pun. Semua barang mesti dibawa atas basikal.

Roda basikal pun bergolek diiringi 3 motor kru dan 1 powil sarat di belakang.

Di kilometer ke-2, kami berhenti membeli bekal di gerai RnR Gambang dan meneruskan perjalanan.

Jalur Kampung Gelugor–Jerangkang secara amnya santai. Ada beberapa tompok lumpur kerana hujan hari sebelumnya. Namun, kami cukup latihan di Jalur Sumalayang yang lumpurnya 50 kali ganda lebih teruk.

Antara tarikan jalur ini ialah sungai yang mengalir selari dengan jalan darat, hutan pokok buluh dan padang rumput savana.

Aku kayuh perlahan di peloton belakang kerana mahu menikmati hutan.

Kelihatan Lokman berhenti membetulkan rantai basikal sementara kawan-kawan lain mara ke hadapan. Jadi, Lokman pun berada bersama peloton belakang.

Dalam peloton belakang juga ada Radzi dan isterinya. Radzi sabar mengajar isterinya cara menukar gear basikal. Mungkin ini kayuhan lasaknya yang pertama. Aku hanya perhatikan kerenah pasangan itu. Detik-detik begini kelihatan menguji hubungan, tetapi aku percaya kelak ia akan dikenang sebagai peristiwa manis.

Bunyi-bunyi mergastua sepanjang jalan amat menghiburkan.

Isteri Lokman yang kami gelar Akak Tak Serik — rentetan usaha gigihnya menamatkan kayuhan Jaang — tidak kelihatan. Rupa-rupanya dia berada paling depan, macam hendak kejar podium. Tahu-tahu, dia sampai duluan. Rupanya dia tidak sedar Lokman berhenti membetulkan rantai. Disangkanya Lokman sudah ke hadapan meninggalkan dia. Sekarang kami tabalkan gelaran Akak Dah Gian kepadanya.

Aku selalu kata, setiap kali berbasikal, orang seakan kembali ke zaman kanak-kanak. Akak Dah Gian adalah contoh yang baik. Semasa kayuhan di Jaang, ku sangka umurnya 40-an, macam makcik-makcik. Di kayuhan Jerangkang semakin muda, kelihatan 20-an. Kanak-kanak riang sungguh keletahnya.

Walaupun denai lembab, cuaca hari itu cerah. 

Aku tertunggu-tunggu bukit mencanak, namun tidak kelihatan. Tiba-tiba, kami sudah sampai di papan tanda “Selamat Datang ke Hutan Lipur Jerangkang.” Tidak pecah peluh pun. Air dalam botol pun tak luak. Meter menunjukkan jarak perjalanan 10km sahaja.

Ramai peminat hitan lain sudah sampai duluan dengan powil. Mereka sibuk mendirikan khemah.

Oleh sebab Kem 1 penuh dengan khemah pendaki, kami tolak basikal sejauh 800 meter mendaki denai ke Kem 2. Kami mula membersihkan kawasan dan membangunkan khemah. 

Secara amnya, kami set khemah kepada tiga kelompok — Puak Pelampau, Bukit Hantu dan Geng Pasir Gudang. Anak-anak angkat kami dari KL dan Singapura kami selit dalam kelompok besar.

Cabaran paling besar untuk petualangan kali ini ialah memikul peralatan dari dalam powil ke Kem 2. Mentang-mentang ada powil, kami angkut barang macam-macam. Padan muka kami.

Cabaran kedua ialah tandas. Tandas awam ada di Kem 1 yang agak jauh. Dan lagi, keadaannya agak daif. Alang-alang daif, ramai yang lebih suka “go wild” di celah-celah batu. Bahagian ini, ramai yang masih setia kepada konsep panggilan alam hendaklah disempurnakan di alam semula jadi.

Pada hari pertama dan kedua, ramai pendaki keluar masuk melalui kem kami. Rasa macam pasar malam. Ada aktiviti main tali lungsur di jeram yang agak popular di kalangan pendaki muda, kebanyakannya budak-budak kolej.

Menurut Tok Sham, ada 40 tingkat jeram. Di tingkat ke-21, pemandangannya sangat lawa. Beberapa orang daripada kami mendaki ke situ. Aku tidak mendaki kerana lutut aku tidak kukuh untuk aktiviti begitu. Aku elak menyusahkan orang lain. Aku hanya bermain di kolam tingkat 1 hingga 3 sahaja. Dari foto yang dikongsikan oleh kawan-kawan, sungai ini turun membelah batu. Setiap 10 kaki akan membentuk kolam.

Jumlah ahli Bukit Hantu ialah 12 orang. Anak angkat kami — dua dari KL dan seorang dari Skudai. Kami bahagi-bahagikan kepada empat jabatan — makanan, minuman, khemah dan basuhan. Tok Sham pun jadi anak kami dan makan apa yang kami makan. Namun begitu kami anggap semua macam anak sendiri.

Malam pertama, semua kenduri BBQ hasil sumbangan daging ayam dan kambing. Selebihnya dimasak ikut komplot. Sesekali kami menziarah kelompok lain, menghantar dan mengecek makanan.

Bila beut sudah diisi, kami bersembang bertukar cerita sampai ngantuk. Beberapa orang daripada kami yang agak sosial angkat kerusi dan nongkrong dengan kelompok lain. Nongkrong dalam kumpulan kecil lebih intim, dan introvert dalam kalangan kami lebih selesa. Sesi curahan hati begini menambah kemesraan antara kami.

Antara yang paling rajin berziarah dari kumpulan ke kumpulan ialah Tok Sham dan Kaar. Kedua-dua insan ini adalah survivalists dan adventurers yang tegar. Betullah kata Ibnu Battuta, “Mengembara — ia membuat kau kehilangan kata, kemudian menjadikan kau seorang pencerita.”

Aku mahu buat sesi ta’aruf melibatkan semua orang, tetapi aku gagal merancang dengan baik kali ini. Terlajak waktu.

Bila embun mulai turun, mata makin mengantuk. Ada yang tidur dalam khemah peribadi dan ada yang tidur dalam khemah dapur. Aku? Aku pilih hammock kerana terdedah kepada angin nyaman dan selesa tidur tanpa badan tercucuk batu dan akar kayu.

Malam kedua, “pasar Jerangkang” agak lengang. Para pendaki yang bermain tali sudah pulang. Dapur Bukit Hantu menghidangkan ikan bilis goreng bersira kicap, gulai lemak labu dan ikan tamban kering. 

Kami mandi malam selepas makan malam. Nikmat ketenangan alam semakin menyerlah. Zikir deruan jeram semakin kuat bunyinya.  Lepas mandi, lapar semula. Tony jerangkan mi segera di atas batu di tengah sungai, berteman sambil ditunggu ahli lain. Air terjun seakan bersinar memantulkan cahaya purnama.

Pagi hari terakhir bermula dengan kemas mengemas. Bukit Hantu menyediakan roti kaya yang ringkas untuk sarapan. Kami angkut barang turun dari Kem 2 ke Kem 1. Kemudian kami bawa basikal pula. Sementara tunggu powil sampai, kami bergambar dan merakam konten.

Perjalanan pulang lebih mudah sebab pokok sudah kenal. Aku kayuh perlahan menikmati hutan. Aku macam enggan pulang. Terasa diri dan basikal hanya statik, tetapi denai di bawah tayar yang bergerak ke belakang, macam treadmill di gim.

Team Bukit Hantu membiarkan peloton lain melaju ke depan. Kami kayuh bermalas-malasan.

Masa perjalanan datang, aku terlepas simpang savana. Setibanya di kawasan rumput savana, Bukit Hantu singgah melayan aku bergambar.

Kemudian, kami teruskan perjalanan, melayan denai tanah dan mengelak lumpur setakat yang mampu.

Basikal Akak Kau tergelincir di lumpur, terlanggar akar kayu. Dia toleh ke belakang dan tanya, “Ada ambil foto?” Aku jawab, “Tak sempat.” Dia baring semula ke tanah buat ulang tayang jatuhannya. Aku sempat snap dua tiga foto.

Perjalanan diteruskan.

100 meter sebelum naik ke jalan tar, ada laluan ke sungai. Di situ, Bukit Hantu ambil peluang bersihkan basikal daripada lumpur agar tidak terlalu kotor bila disumbat dalam kereta.

Setelah bersih, kami sorong perlahan-lahan ke jalan tar. Ada juga yang terkedek-kedek angkat basikal agar tidak terkena lecak lagi.

Perjalanan seterusnya tidak perlu aku ceritakan. Berat hati mahu masuk semula ke tamadun moden. Tapi hidup perlu kelangsungan. Syabas kerana membaca sampai habis tanpa bonk.

Sekian, cerita yang panjang untuk perjalanan yang pendek.

Begitulah, bila kau terlalu gembira, masa seakan-akan terlalu singkat.

Ahad, Mei 04, 2025

79 BANGGA

 


Hari ini agak menggembirakan.


Seorang atendan minyak terlihat basikal di dalam keretaku. Dia terus bertanya, “Abang umur berapa?”


Barangkali dia kagum melihat lelaki berusia masih aktif berbasikal.


“Lebih separuh abad,” jawabku ringkas.


Dia tersenyum lalu berkata, “Di kampung saya, Pakistan, lelaki macam abang tidur sahaja.”


Aku mengerti maksudnya — lelaki seusia ini di tempat asalnya kurang cergas. Sekelumit bangga terasa. Satu bentuk validasi antarabangsa, barangkali.


“Kenapa begitu?” soalku, cuba memancing pujian.


“Err…” Dia terdiam, mungkin kekangan bahasa menyekat kata.


Aku beri salam dan masuk semula ke dalam kereta. Tapi enjin tak mahu hidup. Lampu hanya berkelip-kelip sebelum padam.


“Bateri kong,” bisikku dalam hati. Kadang-kadang kau menang, kadang-kadang kau kalah.


Khamis, Mei 01, 2025

78 JALUR SERI ALAM





Hampir 3 bulan tidak kayuh serius. Bulan puasa berat aku hilang 1 kg. Bulan raya naik 2 kg. Berat sekarang ini terberat seumur hidup aku. Overweight sudah. 

Bila Puak Pelampau ajak kayuh di Seri Alam, aku terus tanya bila. On! Visi aku sekarang mahu kembali ke berat unggul BMI 25.

Langit pagi bermuram. Hujan lebat turun membersih bumi. Kami tangguhkan kayuhan dan berteduh di kedai mamak Al-Safa. Kami sarapan roti telur.

Apabila matahari sudah keluar, kami bertujuh memulakan kayuhan. Mula dari jalan tar menghala ke offroad.

Trek Bandar Seri Alam menyambut kami dengan lanskap yang bertukar-tukar: ladang sawit yang sunyi, dusun getah tua yang berbisik, lorong-lorong sempit berselirat di bawah kanopi hutan sekunder. Laluan ini bukan sekadar fizikal—ia sebuah perjalanan deria dan jiwa.

Sungai kecil melimpah, memaksa kami menunduk hormat pada alirannya, mengharung sejauh 50 meter. Laluan lain sedikit basah tetapi tidaklah becak melampau.

Tiada kumpulan lain. Hanya kami, hutan, dan empat pemancing yang mencuba nasib di tepi tasik. Bukit tinggi tidak kami temui, mungkin laluan manja yang dipilih oleh ketua. 

Cuma, ada satu titik tu leher aku terjerat dek akar liana. Terlentang jatuh tapi tidaklah cedera parah. Calar-calar itu mainan pengayuh basikal hutan. 

Seri Alam bukan sekadar trek MTB, ia menaikkan semula selera kayuh setelah lama bertapa. Sekian, Ulasan ringkas jalur MTB Bandar Seri Alam. 

Kesimpulannya kayuhan masuk 3 jam. Tiba di port rehat jam dua belas—syurga kecil untuk merehat lutut dan bermesyuarat tentang petualangan akan datang. Menyusur keluar ikut laluan berbeza 1 jam. Loop 18km. Letih tapi puas, dan hati penuh syukur. Kami makan tengah hari Nasi Kandar di Al-Safa. Jauh lagi visi aku nak tercapai. 


Khamis, April 24, 2025

Sudah Terlambat

Sudah terlambat

untuk abang mati muda.

Garis di pipi ini

bukan lesung pipit, dik—

ini kedut usia.


Namun

masih terlalu awal

untuk berhenti.

Abang akan

mencari terang

dalam hutan gelita,

mencari tenang

dalam laut gelora.


Di simpang ini—

doakan abang dik

tidur satu pertiga malam

dan bangkit di dua pertiga malam.


Dan bila waktunya sudah masa

abang melangkah ke seberang sana,

biarlah nama ini terus basah dalam doa.

Sabtu, Mac 22, 2025

77 KOLEKSI





“Kalau boleh ambik hari ni.” Itu ayat yang menjerat aku.

Jam 5 petang sebelum berbuka, aku singgah rumah Joren. Joren sedang sibuk berkemas untuk persediaan Hari Raya. 

Katanya lutut sudah longgar dan masa untuk bersara dari mengayuh.

Joren hulur satu bike repair stand, lima beg touring, dan sebiji MTB Dabomb. Sedang aku hadam betapa murah hatinya, dia buat tawaran basikal Pedalasia lengkap dengan touring racks. Dia turunkan dari atas gerobok di bilik dan suruh aku cuba kayuh.

Harga adik beradik, RM1000. Aku cuba berlagak rasional, tapi siapa yang boleh tolak harga durian runtuh rezeki Ramadhan ini? 

Sekarang, aku ada empat biji basikal—dua bergantung di tembok rumah, dua lagi dalam kereta. Akak kau pun ada empat. Jumlahkan semua? Lapan biji.

Sama ada aku seorang aktivis lestari bumi tegar, atau sedang mendaftar masuk ke fasa awal hoarding, itu aku serahkan kepada sejarah untuk menilai. 

Satu perkara aku belajar hari ni—ruang simpanan bukan masalah, selagi kau cukup kreatif untuk menyusun alasan.



91 PENINSULAR DIVIDE

 Aku jarang mahu peduli dengan acara perlumbaan basikal, tetapi tahun ini aku berdebar mengikuti perjalanan Peninsular Divide 2025. Kalau la...