Isnin, Oktober 31, 2011

TIADA TAJUK

Mesyuarat tergempar Kelab Kelahi Selatan dipanggil malam tadi di Sayed Gym. Empat orang sahaja yang dapat hadir tepat pada waktu. Aku, Nol, Jim dan Iwan.

Agenda utama mesyuarat adalah membebaskan Rejam dari tahanan pihak berkuasa. Berita terakhir yang kami tahu, dia adalah suspek penyimpan barang curi. Mengikut polis pegawai penyiasat, dia akan ditahan 7 hari untuk membantu siasatan.

Beberapa minit kemudian, Amy, rakan nita Rejam datang menyertai kami dalam meja bulat. Kami minta Amy cerita perkembangan terbaru.


Amy gagal menghubungi polis pegawai penyiasat. Amy gagal menemui Rejam. Lawatan tidak dibenarkan.


Nampaknya semua berita negatif.

Sama ada Rejam bersalah atau tidak itu tidak menjadi isu langsung kepada kami. Kepada kami Rejam adalah seorang adik yang rajin berkerja dan jika diajak rewang kenduri, dia pasti datang.

Kalau aku perlu kawan untuk menggali kubur mencari bahan untuk buat minyak dagu, aku pilih Rejam.  Aku kata kalau. Kalau. Jangan serius sangat boleh?

Kami membentangkan beberapa pilihan jalan untuk membebaskan Rejam. Kami tanya, siapa ada kawan polis? Mungkin kawan itu boleh membantu. Siapa ada kawan peguam? Mungkin peguam boleh bagi maklumat selok belok prosedur undang-undang.

Kami kemudiannya membuat beberapa panggilan. Tiada jawapan pasti. Kami agak buntu. Muka masing-masing ketat.

"Tapi ada satu berita positif," celah Amy.
Kami semua menanti berita positif itu dengan penuh debar.

"Kakak I ada kenal satu makcik di Pontian."

Siapakah makcik ini? Adakah dia polis? Peguam? Majistret? Yang berhormat?

"Makcik ni pandai mengubat. Dia boleh bacakan kasik lembut hati polis pengawai penyiasat tu."

Adoyai! Kami semua meletak tapak tangan di muka. Amy. Amy.


Khamis, Oktober 27, 2011

LEGGING



Aku pernah menegur seorang gadis kerana pergi berjogging memakai legging dengan garisan seluar dalamnya kelihatan jelas timbul. Buruk nampaknya.

Legging adalah seluar ketat yang biasanya diperbuat dari campuran lycra, spandex, nylon, kapas atau polyester. Dulu, ianya dipadankan dengan baju besar yang menutup punggung. Tetapi dewasa ini, gadis-gadis memakainya tanpa peduli untuk menutup punggung dengan baju besar.

Sejak dari teguran aku, gadis itu pergi berjogging masih memakai legging, tetapi tanpa seluar dalam.

Selasa, Oktober 25, 2011

PAPI


Afimon sudah pandai mengeja. Tidak sia-sia hantar taska.

Baru-baru ni dia asyik eja, "PA... pa, PI... pi. Papi." Itu je dia asyik ulang.

Dalam bilik air pun, "PA... pa, PI... pi. Papi."
Di dapur pun sama,  "PA... pa, PI... pi. Papi."

"Pandainya Afi eja."
"Mestilah.  PA... pa, PI... pi. Papi."
"Papi tu apa?"
"Papi pun tak tau."
"Apa dia?"
"Papi anak anjing la."

Aduhai! Dwibahasa budak ni.


Isnin, Oktober 24, 2011

MENCARI KETAM

Photo by Bakri Hafiz


Minggu lepas, aku pergi menonton di program Freedom Filem Fest. Selepas tayangan, terdapat sesi bual bicara. Beberapa orang asli Seletar juga hadir sempena dokumentari Laut, Rumah Saya.

Aku sentap kerana selama ini mereka berada amat hampir dengan aku tetapi halimunan di mata aku. Aku tidak nampak mereka. Tidak kenal mereka. Tidak tahu sengsara mereka.

"Saya cuma ingin mencari ketam tetapi saya dihalau," keluh orang asli Seletar.

Dulu kawasan-kawasan pesisir pantai selatan Johor adalah kawasan mereka, tetapi kini sudah ditambak dan dibangunkan bangunan-bangunan batu dan kilang yang entah milik siapa.

Pembangunan pesat ini akan memanfaatkan mereka yang punya kemahiran, pengetahuan dan kewangan yang selaras dengan tuntutan urbanisasi. 

Orang yang hidupnya terikat dengan amalan tradisional terus terpinggir, malah teraniaya.

Dulu laut itu, paya itu, pantai itu tempat mainan mereka. Kini, bukan lagi.

"Saya cuma ingin mencari ketam tetapi saya dihalau," keluh orang asli Seletar.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Save Orang Seletar. Photos by Bakri Hafiz
Cadangan Bacaan:  Konflik masyarakat orang Seletar dan pembangunan Iskandar, Johor Bahru, Malaysia

Selasa, Oktober 11, 2011

FINE

Dua orang yang mengakhiri perbualan dengan perkataan yang sama tidak semestinya setuju antara satu sama lain.

Akhirnya dia jerit, "fine!", aku pun balas "fine!"

Dan kami beredar ke arah bertentangan.

PARKING KOMTAR

"Bang seringgit bang."
"Kenapa gua perlu bagi lu seringgit?"
"Saya jagakan motor abang."
"Lu jagakan motor gua?"
"Tu, kadbod atas seat abang tu, saya yang letak."
"Kadbod ni ada power jaga motor gua?"

Adi ambil kotak dari atas tempat duduk RXSnya. Adi keluarkan penggores api dari kocek jeans. Dia gores dan bakar kotak itu.

Mat Gian jaga motor tergamam.

Adi campak kotak yang sudah separuh terbakar ke arah Mat Gian. Ia jatuh tepat depan kaki Mat Gian itu. Adi muka puas.

Adi pusing belakang ke arah motornya.

Adi dapati lapan Mat Gian jaga parking lain berdiri mengadap Adi.

Rabu, Oktober 05, 2011

GASAK

Saya sedang mengusahakan buku antologi cerpen lawan-lawan. Working title: Gasak. Saya perlukan 20 penulis. Jika anda berminat untuk turut serta sila rujuk Blog Gangguan (Blog Projek Buku Saya).

Frasa pembuka untuk cerpen saya:

Kajian menunjukkan ramai orang lebih gentar membuat ucapan awam berbanding dengan menghadapi mati.

Lihatlah itu. Pengusti itu berdiri di tengah-tengah stadium dengan hanya berseluar dalam. Dia memegang mikrofon dan berucap di hadapan beribu-ribu khalayak.

Pengusti adalah lelaki sebenar. Lelaki yang penuh keyakinan diri. Lelaki tanpa rasa gentar.
Bersambung.



Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin