Selasa, Mei 30, 2023

061 HUTAN ULU SEDILI : PERJALANAN MASUK

Aku tertinggal sekotak rokok atas tembok Surau Sungai Ara, tempat kami parkir kereta dan mengemas-ngemas basikal. Di sinilah garis permulaan kayuhan perkhemahan basikal ke Ulu Sedili selama 3 hari 2 malam. 

Kayuhan kali ini dianjurkan oleh kumpulan Basikal Lasak Air Tawar. Selain dari kami, geng lain yang turut serta adalah Geng Tiram dan Geng Seberang Tambak. Kekuatan kami berjumlah 16 pengayuh.

Aku ini bukanlah perokok tegar. Aku hanya perokok sosial yang merancang menggunakan rokok sebagai alat pencetus "brotherhood" di kalangan geng-geng yang bakal dikenali. Sekarang rokok aku sudah tercicir menjadikan markah abang besar turun beberapa tangga. 

Petualangan Ulu Sedili merupakan pelan C. Pelan A asalnya mahu ke Taman Negara sebelum Ramadan tetapi hujan lebat turun di Selatan Malaysia hingga bah tempat yang di tuju. Pelan B pula menuju tempat yang sama tetapi pada hari lain. Malangnya, sehari sebelum hari bahagia, kami mendapat  berita permit hutan tidak lulus kerana tempat dituju masih rosak belum dipulih akibat banjir yang lepas. 

Apa pun, tidak guna mengenang rokok yang kehilangan itu. Orang lain masalahnya lebih parah dari keciciran rokok. Contohnya, tayar basikal Atoi bocor sebelum kayuhan bermula (Bocor 1).

Kehilangan dan penemuan menawarkan pandangan tentang sifat sementara kehidupan, pentingnya penghargaan dan rasa syukur, serta perlunya ketahanan dan kemampuan beradaptasi dalam menghadapi perubahan dan kesulitan. Pengajaran ini mendorong kita untuk merangkumi perubahan dan menghargai momen sekarang, dengan memahami bahawa tiada apa yang kekal statik selamanya. (Apa yang aku merepek ni? Perenggan ini aku minta ChatGPT sunting sebab jari aku dah penat menaip.)

Tidak mahu mengalah, Cikgu Nazri merancang Pelan C ke Hutan Simpan Ulu Sedili pula. Geng Air Tawar, Tiram dan Seberang Tambak berlepas seawal jam 9 pagi tetapi kami dari kumpulan basikal Bukit Hantu berlepas jam 2 petang kerana ada ahli kami yang mengikuti peperiksaan penting pada paginya.

Kumpulan Bukit Hantu terdiri dari aku, Akak Kau, Atoi, dan Dura The Explorer.

Satu perkara yang aku belajar tentang perkhemahan berbasikal ke dalam belantara adalah barang mesti diikat kemas ke basikal atau badan. Masing-masing memikul beban 10-20 kg bekalan dan pekakasan. Jangan ada digantung-gantung bergoyang-goyang macam tanglung. Denai hutan kasar bergerutu, berlopak, bersemak-samun dan berbukit bukau. Barang sangat mudah tercicir apabila basikal bergegar. Dalam perjalanan pergi aku tercicir dan kehilangan selipar sepasang dan dalam perjalanan pulang pula aku kehilangan lampu basikal. Jodoh tidak panjang.

Biar hilang dunia, jangan hilang sabar. Di atas jalan tar di kampus, 25 km boleh dihabiskan dalam masa sejam. Di atas denai tanah ladang dan hutan, 25 km ini memakan masa 4 jam. Yang melambatkan perjalanan adalah denai yang barai dan kadang-kadang berlumpur. Jika salah pijak, kaki terjelus sampai ke betis. Apabila menyeberang sungai atau pya, penunggang perlu turun mendorong basikal. Basikal pastinya akan bergelumang dengan lumpur. Kayuhan yang awalnya lancar akan mula merisaukan apabila rantai berbunyi kasar menandakan ada lumpur di celah-celahnya.

Mental kami koyak sedikit dalam perjalanan ke tapak perkhemahan kerana kami masuk kepala denai lewat tanpa malim. Malim denai sudah pergi awal bersama kumpulan utama. Mereka ada memasang penanda tetapi jarak satu tanda ke satu tanda lain agak jauh sehingga menimbulkan kesangsian. Dalam perjalanan, kami kurang berhenti makan atau berfoto-fotoan kerana sasaran kami adalah untuk sampai sebelum gelap.

Peha aku kena tersimpul biawak. Mula-mula sebelah kiri, kemudia kanan dan akhirnya dua-dua sekali gus. Bahu aku sengal memikul beg sambil mengayuh. Atoi yang pernah berkerja sambilan sebagai porter menawarkan diri untuk ganti memikul beg. Awalnya aku tolak kerana ego tetapi akhirnya aku mengalah dan menerima tawaran. Terasa beban hilang dari pundak. Aku mengayuh seperti Son Goku baru mendapat tenaga Super Saiyan. Hamekapeha!

Sekitar jam 6 pm kami terserempak dengan malim denai, Arep dan Zul, sedang menghidupkan unggun di tengah jalan. Mereka menanti kami. Alhamdulillah, lega rasanya bertemu mereka. Rungsing juga kalau-kalau tersesat jalan. Arep dan Zul kata, "Sudah dekat."

Kami teruskan kayuhan.


Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...