Ramai orang bercakap tentang mahu ke sana ke sini, tetapi akhirnya tidak pergi ke mana-mana pun. Aku ada cara tersendiri untuk menjalankan sesuatu hingga berjaya.
Mula-mula, aku menetapkan jumlah peserta minimum untuk sesuatu perjalanan. Jika tempat tersebut mempunyai banyak kemudahan, jumlah peserta minimum adalah 2-3 orang bergantung pada kesulitan, dan untuk tempat-tempat yang terpencil seperti hutan belantara, jumlah peserta minimum adalah 7 orang. Biasanya aku akan berhubungan secara peribadi dengan peserta inti ini untuk mendapatkan komitmen mereka.
Kemudian, aku akan mencadangkan laluan perjalanan kepada kumpulan kecil. Aku akan memberikan peta melalui aplikasi Google Map atau Komoot. Kumpulan kecil ini akan berbincang untuk mencapai kata sepakat mengenai laluan dan jarak.
Setelah itu, aku akan menetapkan jumlah maksimum peserta, iaitu 10 orang untuk laluan yang sibuk dan 14 orang untuk offroad hutan hujan khatulistiwa. Untuk ini, aku akan membuka tawaran di dalam kumpulan Whatsapp basikal. Aku akan mengutip bayaran komitmen. Aku juga akan mengadakan mesyuarat dan mengagihkan tugas kepada setiap individu mengenai apa yang perlu dibawa dan dilakukan. InsyaAllah, petualangan akan menjadi kenyataan.
Dari 28 April hingga 2 Mei 2023, laluan asalnya adalah Marang-Kg. Mangkok-Sungai Payung-Kenyir-Marang, iaitu Ganu Tour. Walaupun perancangan telah dibuat mengenai tempat memulakan perjalanan dan tempat untuk bermalam, aku tetap mengambil kira bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalanku. Kami membawa kemah, dan pilihan terakhir bagi penginapan adalah perkhemahan liar.
Semasa perjalanan ke Marang, kami mendapati Pulau Kekabu di Marang sebagai tempat perkhemahan yang kurang selesa. Oleh itu, kami merujuk Google Map untuk mencari alternatif. Kami menemui Pantai Angin Berbisik di Merchang yang sangat sesuai dan tidak terlalu ramai kerana belum popular. Alhamdulillah, kami tiba di sana pada jam 7.30 malam dan mendapati tempatnya indah dan lengkap dengan kemudahan.
Dalam perancangan kami, kami akan bermalam di House Boat di Kenyir dan esoknya menunggang basikal sejauh 70 km ke Marang untuk menaiki bot ke Pulau Kapas. Terdapat dua perkara yang kami terlepas pandang.
Tidak berbaloi untuk menyewa house boat untuk tempoh penginapan yang singkat. Jika tidak, kami akan berlayar ke tempat-tempat di Tasik Kenyir kerana objektif utama kami adalah berbasikal.
Jarak 70 km dari Kenyir ke Marang agak jauh untuk mengejar bot Pulau Kapas yang berlepas pada pukul 3 petang.
Kami kemudian merujuk Google Map sekali lagi untuk merapatkan jarak perjalanan supaya kami dapat mengejar bot keesokan harinya. Pelan B ialah bermalam di Masjid Kampung Matang, tetapi setibanya di sana, cuaca masih cerah. Jadi, kami memilih Pelan C, iaitu menunggang basikal sehingga waktu Maghrib. Alhamdulillah, kami bertemu dengan Homestay Kak Yah di Kuala Telemong, bersebelahan Masjid Padang Kachong aka Masjid Haji Abdul Rahman Limbong. Tempat ini juga mempunyai sejarah kerana terdapat kubur 12 petani yang ditembak oleh Polis British pada tahun 1928.
Secara umumnya Ganu Tour tidaklah rumit bagi kami. Kecergasan kami berada pada tahap yang cukup, kalau tidak kuat pun. Mental kami juga kuat dan tidak mudah koyak. Banyak ketawa sepanjang kayuhan. Benarlah kata orang, gagal merancang, merancang kegagalan, tetapi sebagai manusia kita hanya boleh merancang. Allah sebaik perancang.
Dalam Ganu Tour, cabaran paling tinggi datang dari gelombang haba. Musim agaknya. Syawal pula mengalami kemalangan kecil dengan terlanggar kereta yang di parkir. Calar sedikit sikunya. Tetapi, yang paling banyak dugaan adalah Baidura, dompetnya tercicir di Merchang dan kami terpaksa berpatah balik, alarm keretanya buat hal di Merchang, tongkat basikal pula patah di Chenok, dan akhirnya beg pannier Rhinowalknya pecah dalam 10 km sebelum loop selesai. Dia tetap tersenyum dalam tabah.
Tidak semua perkara berada di bawah kawalan kita sepenuhnya. Kita perlu tawakal dan redho dengan takdir yang tersurat untuk kita. Kita perlu jangka akan adanya perubahan dan menghadapi dugaan yang datang dengan berlapang dada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan