Selasa, Oktober 11, 2022

050 MENGGAGAHKAN DIRI DALAM SAYANG SUMALAYANG 2D1N

Foto oleh Muin


24 jam setelah keluar dari hutan Sumalayang baru aku perasan ada calar-calar panjang di belakang lengan kiri. Mungkin aku tidak sedar kerana calar seperti cakaran haiwan ini berada di kawasan titik buta penglihatan. Mungkin juga kerana sudah terlalu banyak calar-calar lain atas kulit akibat tergarit daun, ranting dan duri ketika berbasikal di denai belukar hutan. Selain itu, sakit-sakit juga datang dari gigitan serangga dan pacat. Untuk aku memberi perhatian kepada semua pedih apabila luka terkena air mandi agak terlalu manja. 

Memang la seronok berbasikal seperti biasa dalam ladang kelapa sawit tetapi aku dambakan satu kombo hobi hiking hutan dan berbasikal bukit. Maka, rancangan bikecamping ke dalam hutan ini sudah sekian lama aku mimpikan. Dan penasaran aku terjawab bila aku terjumpa video Ariff (seorang malim gunung professional) dan rakan-rakan berbasikal dalam hutan Sumalayang. Aku langsung hubungi Ariff dan menempah program yang sama.

Aku pilih hujung minggu berangkai dengan cuti umum. Aku ada dua bulan untuk kumpul line-up 7 orang seperti yang disyaratkan oleh Ariff.  Manusia hanya bisa merancang, Tuhan menentukan. Akhirnya aku cuma dapat 6 orang sahaja. "The usual suspects" ramai yang sudah terikat dengan perancangan lain dan panggilan tugas. Alhamdulillah, Ariff bertolak ansur dengan yuran dan perancangan petualangan Sumalayang diteruskan dengan 6 ahli.

Dalam kayuhan ini aku adalah "the weakest link," al-maklumlah hatinya subuh tapi usianya maghrib. Tambahan lagi, aku masih merawat bentan serangan covid-19 yang lepas. Alasan. 

Aku pujuk Akak Kau jual nombor penyertaan Jambori MTB Seri Medan (berlaku pada tarikh yang sama) dan ikut aku ke Sumalayang. Dia akur sebab aku yang beli beras untuk rumah. Jadi suami mesti tegas tapi manja. 

Toy, aku tidak perlu pujuk sangat sebab dia memang hampir setiap minggu hiking naik gunung. Toni juga tidak perlu dirayu kerana koleksi peralatan perkhemahan dia sudah lengkap. Yang aku tidak sangka ialah Wak. Wak menyahut seruan walaupun dia tidak pernah masuk hutan. Namun begitu, Wak cemerlang dalam kehijauan perjalanan. Pacat berkawan dengan dia seperti toyol berkawan dengan dukun. 

Ahli terakhir adalah Muin, sahabat Ariff yang aku tidak kenali. Muin sudah biasa touring dan tidak canggung di dalam hutan. Muin bertindak sebagai sweeper/last man bagi memastikan tiada orang tertinggal. Sebagai orang paling lemah berkayuh, aku temankan Muin di belakang menguji dia jalankan tugasnya memastikan aku tidak tertinggal.

Aku ringkaskan susunan rancangan Sayang Sumalayang ini. Programnya 2 hari 1 malam dengan perjalanan denai offroad hutan simpan 40km pergi balik. Kayuhan bermula dan berakhir di Surau RnR Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi Utara, Johor. Setiap ahli akan berkayuh dengan basikal sendiri, membawa barang sendiri dan 2 kg barang kompeni. Perjalanan masuk 6 jam 30 minit dan keluar pula 3 jam. Ketika masuk lebih banyak halangan seperti pokok tumbang yang perlu dibersihkan dan mungkin juga lebih banyak pendakian. Atau mungkin, bak kata orang-orang tua ketika pulang pokok sudah kenal kami. 90% denai boleh dikayuh dan 10% lagi basikal mesti didorong lebih-lebih lagi ketika menyusur anak sungai. 

Berbeza dengan kayuhan harian dalam ladang sawit atau touring di jalanan, cabaran bikecamping hutan lebih menduga. Kau tidak boleh minta bantuan awam, ketuk pintu rumah orang atau buat panggilan hayat. Di dalam hutan hanya ada kau dan team kau. Line telefon pula kosong bar. Kau harus bergantung dengan kekentalan jasmani, kecerdasan diri dan ukhwah pasukan. Bila kau keluar dari zon keselesaan dan merasakan banyak benda di luar kawalan kau, kau akan jadi lebih kerdil dan tahu tinggi dan rendahnya langit. Dan bertawakal.

Selain berbasikal menuju ke tapak perkhemahan, kami juga ambil masa sekitar 3 jam meneroka sungai dengan berjalan kaki untuk mencari spot gurau senda sambil mandi-manda. Aku bagi A+ kepada Ariff sebagai arkitek kepada ekpedisi ini. Kami rasa selamat dan masakan beliau 3 bintang Michelin walaupun beliau tertinggal bawa minyak masak. Mantap.

Gatal gigitan, calar balar dan lenguh sendi ini akan sembuh namun parut kenangan manis Sayang Sumalayang kekal terpahat hati sebagai satu pejalanan yang mendewasakan.

7-8/10/2022



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...