Lebuhraya menghubungkan bandar dengan bandar. Namun begitu ia memisahkan kampung dengan kampung.
Jika ada lebuhraya PLUS membelah tengah kampung, pastinya penduduk sebelah kanan kampung akan mula kurang melawat sebelah kiri. Vice versa. Itu pasal PLUS ada tebuk-tebuk terowong bawah lebuh raya agar komuniti tidak terpisah.
Aku tahu ada beberapa terowong yang membolehkan pengayuh melintas lebuh raya PLUS kerana aku banyak melayari google map. Aku menelaah jalur dan laluan ladang berhampiran. Tidak cukup dengan google map, aku download juga app peta Komoot dan Alltrails.
Lewat sore, di terowong Scientex Utama, Aku dan Akak Kau berkenalan dengan tiga pengayuh 20an dengan basikal gunung. Mereka kata, "Semalam, kita orang sudah rintis jalur ladang sawit dan mahu mengulanginya"
Kami pun mengikut mereka. Seronok sekali masuk denai ladang sawit yang selama ini aku cuma tengok atas google map. Aku macam budak-budak dapat aiskrim atau anak kucing dapat kotak. Orang utara kata chiwi/kechiwi nak mampuih.
30 minit di dalam ladang, mereka pun berhenti dan berkata kali terakhir mereka meneroka sampai di situ sahaja.
Aku sebagai keyboard warrior malim peta pun bersuara dengan penuh keyakinan, "Abang tahu loop jalan pulang ikut terowong Sekolah Omega."
Orang kata keyakinan itu seksi, maka mereka pun mengekori aku yang berkayuh berpandukan google map mode satelit.
Tiada denai lengkap di situ dalam app Komoot dan Alltrails. Peta satelit google map juga jumud tertinggal setahun. Aku cuma berpandukan imej lorong-lorong tanah merah yang kelihatan mengikut sudut pandang dari langit. Dalam skrin henpon, lorong-lorang banyak macam maze tapi terputus-putus kerana pokok sawit di situ rimbun meninggi.
Bila jalan mati bertemu belukar, segera aku aku berpatah. "Google Map tak update jalan," helah bela diri aku.
Bila laluan bertemu pagar kebun, aku mengulas, "Rakyat patut bina lebih banyak jambatan, bukan pagar."
Bila bertemu anjing kebun sayur menyalak, aku mengacah melanggar mereka dengan basikal. "Amik kau anjing!"
"Jauh sangat ni. Pinggir Taman Teratai dah ni," Akak Kau seorang yang berani menegur bila kelihatan bumbung taman perumahan.
"Relaxs, kita buat dia," jawab aku ringkas sambil menayangkan sengih aku yang lagenda.
Azan maghrib sayup-sayup berkumandang. Loceng kuil hindu juga kedengaran berdenting-denting. Aku masih chiwi.
"Alang-alang jumpa jalan raya ni, kita call rumah minta Sabrinamon datang amik dengan kereta," cadang Akak Kau.
"Tak Rambo la balik naik kereta," bantah aku.
Gelap malam mula berlabuh tirai. Nasib baik kami ada bawa lampu
Peluh makin berjurai. Basikal penuh lumpur. Botol air dah kering. Rantai basikal dah tiga kali tercabut.
"Entah-entah kapel ni orang bunian nak sesatkan kita," terdengar suara seorang daripada pemuda berbisik kepada kawannya.
"Bunian mana ada henpon," balas kawannya.
Sekitar 8 malam, setelah basikal tergolek dan tersasar lorong beberapa kali, bertemulah kami terowong Sekolah Omega yang dicari-cari.
"You see! Kita buat dia."
Aku pesan dengan semua supaya telefon atau teks keluarga masing-masing agar tidak risau. Kami lewat sikit tapi sudah jumpa jalan pulang.
Setibanya di jalan aspal Sekolah Omega, aku bertukar nombor telefon dengan salah seorang daripada mereka yang bernama Akhmal.
Aku pesan, "Jika ada trip roger."
Kami pun berpisah. Aku menuju ke rumah dan mereka singgah warung beli air. Kehausan la tu.
Esoknya Sabtu.
Tiada panggilan dari budak-budak basikal gunung itu. Aku yang keciwi jadi kecewa.
Akak Kau kata, "Diorang serik le tu ikut Abang."
Bak kata lagu joget Rafeah Buang:
Udang sama udang
Takkan sama anak tenggiri
Bujang sama bujang
Orang tua yang makan hati
Selepas maghrib, hari Sabtu masuk satu mesej whatsapp.
"Salam bang. Pagi Ahad free?" ~ Akhmal
Feb 2, 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan