Rabu, Februari 09, 2022

013 Lower Jockey Wheel

 Amaran: ini catatan teknikal. 

Akak kau baru sambar basikal gunung speed 12, terpaling gear dalam kategori Deore 2021. Hari ini basikal itu dirasmikan dengan merintis jalur ke Bukit Kuari, jeram Rahsia Umum dan Tasik Indahpura. 

Kami menunggang naik 7 bukit dan turun 7 lembah sambil mengagak-agak jalan. Sebenarnya aku tidak kira pun bukit yang banyak itu. Bila letak nombor 7 rasa lebih misteri. 

Arakian, jumpalah puncak Bukit Kuari dengan pemandangan tasik biru yang menawan sesiapa sahaja yang memandang. Inilah syurga dunia, upah bagi pengayuh yang lelah mendaki. 

Sekonyong-konyong, Akak Kau mula menyorong basikal. Katanya tidak boleh kayuh lagi. 

Aku periksa basikal Akak Kau dan mendapati dua gigi lower jockey wheel patah, derailleur hanger bengkok dan rantai berbelit di gigi gear. 

Kami menunggang berempat (dengan SOP penjarakkan ketat pastinya) tetapi tiada siapa pun bawa chain breaker. Sudahnya aku cabut set rear derailleur dengan multitool dan ikat rantai ke down tube guna cable tie.

Perjalanan ke Jeram Rahsia Umum dan Tasik Indahpura terpaksa dibatalkan. 

Aku tilik-tilik peta di google map dan meneka jalan pulang yang paling dekat dan menurun agar basikal Akak Kau tidak perlu disorong. 

Awal-awal lagi sudah jumpa cerun curam merangkap laluan air. Sudah tentunya permukaan jalur yang berlekuk-lekuk. Alkisah, aku tersungkur di pintu syurga. Seluar basikal koyak di lutut dan tapak tangan berdarah ala Jesus. 

Damn it. Tiada orang snap foto aku tersungkur untuk kenangan kerana mereka semua sudah di depan. Aku kibas-kibas seluar dari debu-debu di jalanan jadi teman setia dan terus mengayuh lagi. 

Oleh kerana basikal Akak Kau tidak boleh dikayuh, aku tolak pinggang dia dari belakang. Alhamdulillah, lebih banyak jalan menurun dan rata sehingga ke trail head. 

Kami masukkan basikal dalam kereta dan terus hantar ke bengkel. Dalam perjalanan pulang singgah pekena cendol sagu rumbia. Petang ini siap kata mekanik. 

Berakhirlah satu tengahari dengan pelajaran yang mahal. Inilah padah tidak ke masjid 3 Jumaat berturut-turut (Helah Bela Diri: PKP maaa, bagi peluang orang-orang alim penuhkan masjid yang terhad.)

*kata-kata teknikal yang aku guna ni baru je aku google sebelum tulis entri.


Feb 26, 2021




Tiada ulasan:

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...