Tahun lepas aku kutuk orang pakai baju dan seluar ketat basikal. Mungkin boleh pejam sebelah mata kalau badan dia langsing tetapi badan macam nangka tu memang mencucuk mata siapa yang memandang.
Bila kelengkang aku mula melecet kerana berbasikal, baru aku faham kepentingan seluar basikal ketat berspan. Aku ada 3 pasang sekarang. 2 pasang darinya, ada iklan Shimano di bontot. Ingat bontot aku, ingat Shimano.
Dan.
Satu malam, masa bersembang di Man-cave, Asri bagi aku 3 helai baju basikal ketat. Dia banyak kumpul baju basikal dari acara-acara basikal yang disertai. Aku terus uji pakai.
Aku dapati baju ini praktikal. Ianya aerodinamik untuk menambah kelajuan 2-3 hun. Ia juga tidak panas sebab diperbuat dari bahan yang nipis dan ringan. Paling aku suka saku belakang dia memudahkan simpan coklat, botol air dan henpon. Pulak tu, mudah dicapai dan selamat dari tercicir.
Tapi PKP sudah tamat, sekarang aku sudah kembali kerja di pejabat. Masalah waktu pejabat adalah adanya waktu makan tengah hari. Bila sampai waktunya, otomatik perut berbunyi.
Nampaknya spare tiub dipinggang ni bakal menampakkan diri. Maafkan aku kalau mencucuk mata kalian.
Mac 11, 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan