#021
Dalam pukul 1.30 tengah hari mak aku jerit, "Balik rumah!" Tapi masa itu aku jauh merayau, mana nak dengar. Punyalah leka merayau tangkap ikan longkang sampai lupa makan tengah hari.
Mak akan pesan dengan budak-budak yang melintas, kalau nampak aku suruh balik makan. Itu dahulu, masa kecik-kecik.
Masa anak kecik-kecik aku dahulu susah nak tinggal rumah. Sekarang mereka dah besar panjang boleh mandiri. Setakat sehari dua mereka boleh hidup dengan bahan dari peti ais. Mereka tidak merungut selagi wifi di rumah tip top!
Sekarang, sejak main basikal ini aku kerap merayau lagi. Mula-mula masuk ladang kelapa sawit belakang rumah. Kemudian ke Kulaifornia, teroka jeram dan lombong sana pula.
Asyik masuk tempat sama pun bosan. Aku, akak kau, dan Yem teroka pantai timur pengerang pula. Beberapa kali juga ke situ khatamkan Tanjung Sepang hingga Tanjung Balau.
Biasanya kami masuk petang Jumaat dan berkhemah di Punggai. Dari situ kami berkayuh sambil layan warung-warung kampung.
Jalan kampung tepi laut sangat nyaman. Pokok-pokok kelapa menari ditiup angin. Cahaya suria menyapa di celah-celah bunga lalang. Kereta tidak laju dan tidak banyak di jalanan, pulak tu jalan rata tidak berbukit-bukau. Sungguh seru.
Malamnya layan ombak sebelum lelap. Esoknya, Sabtu, sebelum tengah hari kami bertolak balik.
Minggu lepas, kami di Punggai lagi. Kebetulan ada kawan-kawan camper 4WD juga berkhemah di situ. Leka juga sembang sampai ke petang.
Tiba-tiba anak aku hantar teks via telefon, "Cukup-cukup la tu. Baliklah rumah."
13 April 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan