Rabu, Februari 09, 2022

014 Babi Hutan

 Pagi tadi aku jumpa babi hutan. 

Dalam kayuhan pagi tadi, Aku dan Yem (adik bongsu aku) jadi penunjuk arah kepada kawan-kawan Akak Kau, 3 orang gadis Felda. 

Bukan, mereka bukan babi yang aku maksudkan. Aku jumpa babi hutan yang asli. 

Yem kayuh di depan sebagai penunjuk arah.  Tengah-tengah 4 orang perempuan termasuk Akak Kau. Aku di belakang sekali sebagai sweaper, memastikan tiada yang tertinggal.

Selain bertugas sebagai penunjuk arah, Aku dan Yem juga merangkap jadi jurufoto untuk mereka. Wanita, bab snap foto bukan boleh main-main. Kami petik banyak kali, mereka periksa, kalau okay baru boleh gerak ke destinasi selanjutnya.

Kadang-kadang belum disuruh, aku sudah tangkapkan gambar. Aku tahulah serba sedikit tentang pengcahayaan on point, latar yang baik, framing dan sebagainya. Ini semua berkat berkawan dengan ramai jurufoto. 

Kami juga merangkap bomoh basikal. Kalau tayar mereka kurang angin, kena pamkan. Kalau pedal mereka nak tercabut, kami ketatkan. Kalau mereka terlupa masuk gear bila berdepan dengan tanjakan, kami ingatkan.

Sekonyong-konyong, kami tersesat di belukar tebal. Ha ha ha, pemandu pelencong betul. Kami pun bukan mahir sangat dengan denai ini. Maklumlah, baru lalu sekali minggu lepas. Pokok-pokok ladang kelapa sawit ni sama sahaja rupanya. 

Bila kami pusing berpatah balik, aku yang tadinya ekor jadi kepala. Yem yang tadinya kepala, jadi ekor. Dan ketika itu muncullah seekor anak babi hutan. 

Anak babi hutan itu comel sekali. Warnanya coklat berjalur-jalur hitam. Dia maju ke depan ke arah basikal kami. Langsung dia tidak takut dengan aku yang menghalau dengan suara. 

Kata orang, jika ada anak babi, tentu ada ibunya. Aku perhatikan sekeliling kalau-kalau induknya ada. Risau juga kalau-kalau kami disondol. Lebih risau lagi, aku dan Yem merangkap pelindung kepada kaum hawa. 

Tiada babi besar kelihatan. 

Hampir sangat babi itu dengan aku, kalau diludah pasti kena. Mungkin anak babi kehilangan ibu, dan memandang aku sebagai ganti. 

Aku pun angkat tinggi tayar depan. Ini jurus beruang namanya. Beruang akan besarkan diri dengan berdiri takutkan lawan. Anak babi itu pun terkedek-kedek lari keluar dari laluan. 

Bersegeralah kami keluar dari jalur kesesatan itu. Setelah bertemu jalan yang benar, aku pun bertanya, "ada sesiapa ambil gambar anak babi tadi?" 

Haram seorang pun tidak snap foto. 

Wanita boleh buat apa lelaki buat. Lelaki naik basikal, wanita pun boleh naik basikal. Lelaki petik kamera, perempuan pun boleh petik. Kan? 

Namun, bila berdepan detik keemasan aku wheelie basikal berdepan anak babi yang comel, semua kaget tak teringat mahu petik kamera henpon. 😑


Feb 27, 2021



Tiada ulasan:

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...