Kesilapan pertama aku adalah gopoh beli basikal lumba. Aku nampak di FB ada orang jual Robin Hood terpakai, satu jenama lama yang berprestij yang aku familiar. Terus aku sambar. Satu anjakan yang besar dari mamachari (basikal pasar) ke basikal lumba low bar handle. Aku lupa bahawa aku ini bukan orang muda dengan jiwa pelumba. Aku bukan mahu kayuh ligat untuk sampai dulu. Aku cuma nak kayuh santai petang-petang balik kerja dan sekali sekala meneroka denai rapat dengan alam sekitar.
Aku bagi Robin Hood kepada adik aku. Aku perlu cari basikal lain yang lebih sesuai.
Sebelum membeli basikal, aku kena tanya diri kenapa aku berbasikal. Seboleh-bolehnya aku kena padankan basikal yang aku beli dengan hobi hiking. Sebulan lamanya aku buat kajian basikal yang sesuai.
Pandemik buat aku termenung juga. Bukan sahaja rancangan untuk hiking dan perjalanan rekreasi terpaksa dibatalkan, pergerakan di kawasan tempatan pun terhad. Jadi, aku terjebak dengan hobi berbasikal dan mula shopping dan bertanya-tanya kawan-kawan malim basikal.
Stok basikal di kedai habis. Era penularan Covid-19 menyaksikan peningkatan 120% jualan basikal sejak Mac 2020 lagi. Orang melihat berbasikal sebagai pilihan terbaik untuk kecergasan dan keselamatan di zaman penjarakan sosial ini. Selain daripada jenama besar Trek, Specialized, Giant, dan Cannondale, jenama-jenama kecil juga mendapat perhatian pengguna.
Apa yang aku perlukan adalah sebuah hybrid bike, boleh kayuh badan tegak atas tar dan atas tanah. Setelah tanya sana sini dan buat penyelidikan google, aku pun bulat fikiran untuk sambar Marin Muirwoods. Mereka antara pelopor model hybrid.
Aku mula-mula sedar kewujudan Marin bila terjumpa documentary/coporate video mereka. Jelas sekali orang-orang di belakangnya sangat passionate terhadap basikal.
Nama Marin ini diambil dari nama tempat mereka mulakan bengkel basikal mereka, Marin, California. Dan siri-siri model basikal mereka mengambil sempena denai-denai tempat mereka bermain basikal seperti Alpine Trail, Rift Zone, San Quentin, El Roy dan Bolinas. Ini macam kereta kebangsaan kita pakai nama Kereta Tanjung Malim, kilang terbesar proton di sana. Logo jenama Marin pula merupakan imej seekor beruang pegang bendera dengan bintang. Aku suka.
Laman pengulas sepeda bikeride.com bagi markah 92% untuk basikal hybrid Marin Muirwoods, atas 90 kira A+ untuk tar dan gravel. Berikut adalah ranking Muirwoods dalam pelbagai kategori:
- Bikepacking rank 9
- Komuter Bandar rank 16
- Hybrid rank 4
- Touring rank 3
- Mesra Senior Citizen rank 6.
(Ya, kita kena pilih basikal yang sesuai dengan usia)
Ya begitulah cara aku memilih basikal. Oleh kerana ianya serba hitam, aku namakan ia Kuda Hitam Aduh sempena lagu Hetty Koes Endang. Semasa aku menulis post ini, aku dah pakai Muirwoods sebulan. Satu bulan pertama ini aku berpuas hati dengan prestasi Marin Muirwood.
Semalam, aku redah jalan gravel ladang kelapa sawit berbukau-bukau hingga cecah 122m. Semasa mendaki tayar belakang saiz 700 x 40 ligat berputar tapi basikal tak maju sebab bunga tayar tak gigit tanah. Hmmm... haruskah aku upgrade tayar atau beli basikal gunung pula?
Jan 29, 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan