Sekatan keluar daerah punya pasal, aku asyik berkayuh di tempat yang sama. Aku dah tahu tiga laluan berbeza menuju ke Jeram Rahsia Umum. Bosan. Aku mahu petualangan baharu.
Suatu hari, aku terserempak satu kumpulan pengayuh basikal gunung sebaik sahaja aku masuk jalur kelapa sawit menghala ke Jeram Rahsia Umum.
Bos mereka bertanya, "Nak ke mana?"
Aku buat lawak bodoh, "Dari belakang nak ke depan."
Bos mereka yang berusia 50an balas, "Takde tujuan la tu. Jom ikut kami."
Aku kerling imbas kumpulan mereka, 18 orang semuanya berjarak sosial yang selamat. Jenama basikal gunung mereka berharga RM3k hingga RM10k. Pakaian beragam, ada baju ketat dan ada baju jenis dry fit. Helmet lonjong aerodynamic.
Aku pandang Akak Kau. Dia buat isyarat muka bermaksud, "jangan monyet."
Aku tanya bos, "Nak ke mana kita?"
Bos jawab, "Ikut sahaja."
"Basikal kawan hybrid, boleh ke ikut?"
"Boleh, kita buat dia."
Aku imbas lagi, ada beberapa orang tidak ramping dalam kumpulan itu. 3 orang darinya wanita. Aku serkap jarang ada antara mereka budak basikal baharu, lebih kurang aku sahaja.
"Bolehlah," aku menyahut. Aku tidak pedulikan bantahan akak kau yang gerun melihat mereka.
Aku terdengar budak-budak itu panggil bos mereka Pak Ayub. Rupanya inilah lagenda luar pintu Kulaifornia yang selalu aku dengar disebut orang. Umurnya 57 tetapi badannya persis atlit marathon. Ramah orangnya tetapi merendah diri. Hari itu Pak Ayub mengayuh seorang diri sebiji basikal gunung jenis tandem. Maksudnya basikal ini boleh dikayuh oleh dua orang serentak tetapi dia kayuh sendiri. Itu sahaja sudah cukup buat aku dan Akak Kau kagum.
Awal-awal lagi Pak Ayub dah bawa kami naik bukit. Bukit pertama aku boleh layan tanpa gagal tetapi separuh nafas aku tercicir. Naik bukit kedua, ada beberapa ahli kumpulan parkir tepi dan suruh kami kayuh dulu. Lemah.
Pak Ayub kayuh di depan bawa kami sampai puncak bukit kedua. Beberapa orang kecundang, termasuk aku, terpaksa tolak basikal separuh jalan.
Pak Ayub senyum simpul, "MTB tu maksudnya Mari Tolak Basikal."
Pak Ayub terus kayuh membelok menuruni bukit. Dia jerit, "Jangan tekan brek."
Basikal gunung dengan suspension enjoy la tidak tekan brek. Basikal sepit udang keras aku ni bergegar-gegar melantun di permukaan denai berbonggol.
Di bawah bukit kedua itu aku dapati kumpulan yang suruh kami kayuh dulu tadi masih di situ. Aku dah kena game, loop naik bukit kedua itu just for the sake of naik bukit. Because it's there. Kumpulan yang tunggu tu dah tahu loop itu tidak ke mana. Mereka dah tahu punch line game Pak Ayub. Scammed.
Rehat sekejap di kaki bukit sambil beramah mesra. Rupanya antara mereka ada yang baharu berbasikal (yang kena game naik bukit) tetapi kebanyakannya veteran basikal. Yang veteran basikal itu ada juga yang naik bukit tak ke mana tadi hanya untuk latihan. Seorang dari mereka wakil lumba basikal daerah Kulai.
Kemudian, Pak Ayub bawa kami naik puncak bukit tertinggi kawasan itu. Yang kuat layan kayuh, yang lemah macam aku tolak basikal jika perlu. Atas puncak tertinggi nampak tasik kuari tinggal dan bukit bukau saujana mata memandang. Pemandangan indah ini sedikit sebanyak melupakan penat lelah mendaki. Akak Kau pun dah mula mesra dengan kawan-kawan baharu.
Selepas hilang penat kami tinggalkan puncak tinggi itu, kami turun naik bukit-bukit kecil dengan slogan, "No brake!" Sempat juga aku tersungkur kerana tidak tekan brek ambil selekoh tajam. Luka sikit je. Parut ini akan buat aku lebih macho. Nak sangat petualangan, amik kau.
Di hujung perjalanan, Pak Ayub bawa kami sampai ke tempat mandi manda. Sekarang aku tahu empat laluan berbeza ke Jeram Rahsia Umum.
Feb 20, 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan