Rabu, Februari 09, 2022

015 Pulaidelphia ke Jeram

 Akak Kau tidak kayuh hari ini kerana dia berkerja. Aku tidak miliki basikal gunung, jadi aku ambil peluang ini untuk pinjam basikal gunung baharu dia.

Kayuhan hari ini dari Pulaidelphia ke Jeram Rahsia Umum kelolaan kawan gunung aku, Jo dan Asri. 

8 orang penunggang semuanya. Yang paling muda, anak Jo, usia 9 tahun. Aku paling tua, usia terlewat untuk mati muda. Namun begitu, dari sudut ketangkasan berbasikal budak ini lebih handal dari aku. Dengan basikal yang agak tinggi untuk saiz dia, selamba dia turun tanjakan curam. Tercalar ego aku. 

Petualangan anjuran Jo dan Asri memang tidak pernah tidak premium. Di garis permulaan sarapan sudah menunggu. Ada pilihan nasi lemak, mi kasar dan kuih muih. Kami pun bedal. 

Kayuhan bermula awal pagi ketika matahari belum segalah. Saat-saat begini kabus pagi masih merayap dan cahaya suria sedap mata memandang. 

Jalur yang dihidangkan pun nyaman. Ada tanah rata, berbonggol, dan ada yang berakar. Kami menyusur turun naik bukit sepanjang laluan. Bermula dengan ladang kelapa sawit tua dan tinggi membawa kepada kawasan kelapa sawit baharu dan panas berdenting. 

Menu utama hari ini adalah Bukit Pencawang Komunikasi. Pencawang komunikasi biasanya dibina di tempat paling tinggi di sesuatu kawasan. Mana-mana penunggang yang bergambar  dengan pencawang, kau kena tabik. Mereka mendaki bukan kerana mahu dapatkan liputan 3G tetapi kerana menyahut cabaran bukit. 

Seorang dari kami sudah awal-awal kibar bendera putih kerana dia sangat baharu dalam arena berbasikal. Perjalanan ke kaki Bukit Pencawang Komunikasi pun sudah buat dia tercunggap. Dia tunggu di bawah sahaja sehingga kami pulang. 

Anak Jo menyahut cabaran bukit itu tetapi awal-awal lagi dia dah kecundang. Bukan kerana dia penat tetapi susah gila dengan kaki pendek dia nak mengayuh ke atas bukit pacak itu. Terawat sikit calar ego aku melihat dia menyorong basikal ke bawah kaki bukit. 

Aku pun mendaki bukit pacak dengan denai berlekuk itu. Selepas 100m bukit, ada jalan rata 10m. Ini disambung dengan 100m lagi bukit.  Begitulah ceritanya bersambung, selepas bukit ada bukit sehingga kami sampai puncak. 50% aku kayuh, 50% lagi MTB, mari tolak basikal. Tetapi anak Jo tidak nampak, jadi ego aku selamat. 

30 minit agaknya kami mendaki. Turun pula hanya 5 minit. Basikal gunung Akak Kau beraksi cemerlang. Kalau aku datang dengan kuda hitam aku, harus aku pun menunggu di kaki bukit. Kata pujangga, prestasi berbasikal bergantung kepada mesin 75% dan kederat 25%. Selebihnya kita berserah. 

Berendam dalam Jeram Rahsia Umum jadi upah untuk penat lelah mendaki kami. Jo dan Asri keluarkan jajan dan bekalan makanan. Sambil-sambil itu aku minta la petua-petua berbasikal daripada mereka. 

Dipendekkan cerita, bila mentari tegak atas kepala kami sudah sampai ke garisan penamat perjalanan. Asri bancuh minuman oren dengan ais sebagai hidangan.

Ceri atas kek perjalanan premium ini adalah bila Asri keluarkan water jet. Kami pun basuh basikal hingga kilat. Terbike! 

Setibanya di rumah, aku terpandang kuda hitam aku masih berlumpur dari perjalanan sebelumnya. Kasihan dia. Kuda di hutan dimandikan, kuda sendiri busuk tak mandi.

Aku keluarkan basikal gunung Akak Kau dari kereta.

Akak Kau tegur, "Amacam trip?" 

Aku jawab, "Biasa-biasa sahaja, basikal awak tak kotor pun." 

Kalau aku jawab jujur, cemburu dia nanti. 🤫

Feb 28, 21



Tiada ulasan:

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...