Semenjak melawat Jepun, 5 tahun dahulu, aku cuba sedaya upaya menepati masa macam Kereta Api Peluru Shinkansen. Tepat 7.30 pagi tayar basikal aku bergolek keluar pagar rumah. Pit stop sekejap kat Warung Iman untuk beli apam tepung beras buat bekal perjalanan. 7.35 am aku dan Akak Kau sudah terpacak di rendezvous (Ed: Apa jadah guna perkataan Peranchis pulak ni?) Aku pun buat siaran umum di Group Whatsapp, "Mana?"
Zam jawab, "Tok ada tiub saiz 29 tak? Saya punya bocor." Aku dan Akak kayuh balik rumah untuk ambil tiub saiz 29 dan bawa ke rumah Zam. Sejumlah empat taman perumahan kami lalu.
Sesampainya di rumah Zam, kelihatan Geng Kuda Besi sedang menukang tayar basikal Zam yang bocor. Zam pasang tiub dan tayar baharu. Dalam 8 pagi urusan teknikal siap dibaiki.
Rumah Izan belakang rumah Zam. Dia yang selalu ikut rombongan Kuda Besi tidak ikut hari ini kerana basikalnya patah rear derailleur tapi dia datang ke rumah Zam pagi itu demi semangat setiakawan. Dia melambai-lambai kami pergi, "Have fun guys!"
Aku, Akak Kau, Zam, Din, Edi, Sol, Roy dan Aini (Isteri Roy) memulakan kayuhan. Hari ini Hari Malaysia, jadi kami rancang kayuh jauh sikit, dari Senai ke Jeram Kaki Gunung. Menurut Heat Map Strava ada jalan pintas yang buat perjalanan cuma makan masa 2 jam.
Little that we knew, it was the longest 2 hours.
Satu jam berlalu, kami sampai di satu persimpangan. Kami berteduh di bawah satu pondok untuk tunggu Yem yang kayuh dari Kulai ke situ. Yem banyak kali pergi Jeram Kaki Gunung maka kepakarannya sebagai penunjuk jalan diperlukan.
Aneh sekali pondok ini. Ianya pondok ringkas diperbuat dari kayu dan zink. Ada bangku dan dihiasi dengan beberapa tanglung. Yang anehnya ialah ada satu topeng wayang watak wayang Cina di situ. Dan ada 2 ekor anjing comot lepak di situ. Anjing itu beredar bila kami sampai.
Aku bergurau dengan Sol supaya jangan bermain dengan topeng itu nanti malam mengigau. Sol balas, "kalau hantu datang hantu yang lari kerana muka aku lebih menyeramkan dari topeng itu." Kami ketawa sahaja.
Sekonyong-konyong, Yem pun tiba. Aku tidak boleh marah sangat kelewatan Yem sebab dia baru kebah di sengat tebuan tanah di Jeram Rahsia Umum beberapa hari lepas. Bengkak tangan dia baru susut.
Kami meneruskan kayuhan diketuai oleh Yem. Untuk Yem, ini kali kedua dia cari jalan pintas itu. Dia yakin jalan itu ada kerana dalam peta app Komoot dan Strava jelas tercatat.
Jalan yang kami lalui adalah tanjakan tinggi yang panas kerana pokok kelapa sawit baru ditebang. Sesampainya di rabung bukit, kami dapati tiga biji jentolak sedang sibuk berkerja menumbangkan pokok-pokok kelapa sawit tua.
Sebatang demi sebatang pokok menyembah bumi. Bunyi pokok tumbang ke tanah sangat kuat. Kemudian, jengkaut-jengkaut itu mencarik-carik batang pokok. Jalan kami terhalang dengan kerja-kerja kebun tersebut.
Oleh kerana jentolak itu lebih berhak berada di situ berbanding kami, kami pun kayuh ikut lereng bukit selari dengan denai sasaran. Terdetik dalam hati, jika pokok yang tumbang bergolek ke bawah bukit mungkin terkena kami. Aku arahkan geng Kuda Besi bergegas melepasi kawasan bahaya.
Plan B. Kami melepasi sempadan ladang sawit masuk ke kawasan dusun terung. Anjing-anjing kebun menyalak menjaga kawasan. Kami susur sempadan dusun sehingga masuk ladang sawit semula tanpa bermain mata dengan anjing-anjing kebun.
Menurut app Strava ada laluan kecil dari situ menuju denai pintas tetapi sekali lagi kami menemui jalan buntu. Jalan yang patut kami lalui digenangi tasik. Pokok-pokok kelapa sawit tenggelam macam pokok bakau.
Plan C. Kami terpaksa kembali ke dusun terung dan keluar ikut jalan perumahan yang jauh. Kali ini anjing-anjing kebun rasa tergugat, mereka bukan sahaja menyalak tetapi juga mengejar. Alhamdulillah, tiada di antara kami yang digigit.
Keburukan ikut laluan perumahan adalah sengatan terik matahari. Ramai antara kami sudah surut bekalan air. Zam yang biasanya ceria, kelihatan agak pucat. Aku tanya kenapa? Dia kata, "Aku koyak, mentally bonk."
Pagi Zam bermula dengan tiub bocor. Kemudian, tayar baharu yang dia pasang ke basikal pula tidak ngam dengan bingkai basikal. Sesekali tayar itu bergesel dengan bingkai. Terpaksa ikut jalan jauh memburukkan keadaan.
Edi singgah kedai belikan air sejuk untuk pulihkan semangat Zam.
Perjalanan diteruskan sehingga kami masuk off-road semula. Yem bawa kami terus ke arah Jeram Kaki Gunung. Di pintu masuk hutan kami berselisih dengan Geng Basikal Pencen. Mereka khabar, mereka ikut jalan pintas datang ke jeram. Maksudnya, jalan pintas misteri itu wujud.
Balik nanti kami nekad ikut denai pintas itu.
(bersambung)
18/9/21
Tiada ulasan:
Catat Ulasan