Isnin, April 18, 2022

032 LORI

 Dalam pukul 12 tengahari kami sampai di Jeram. Perjalanan yang sepatutnya 2 jam, makan masa 4 jam. Kami berhasrat, pulang nanti mesti ikut jalan pintas itu. 

Sol terus buka bekalnya dan makan di tengah-tengah sungai. Sekejap duduk, sekejap tiarap, sekejap baring. 

Zam, Din, dan Edi pula main air dulu. Zam kelihatan kurang pucat selepas kena dingin air sungai. Yem, Roy dan Aini suami isteri keluarkan dapur untuk jerang mi segera. Akak Kau berselfi-selfian tepi batu. Aku pula beramah mesra dengan kumpulan basikal lain yang berkumpul di situ. 

Pendek kata, seronok la mandi air gunung. Kalian pun tahu tentang ini. Tidaklah perlu aku cerita panjang lebar. 

2 petang kami berkayuh pulang dengan hajat mahu cari jalan pintas secara reverse. Sebaik sahaja kami keluar dari hutan, rintik-rintik hujan mula berguguran. Semakin lama semakin lebat. Ini diikuti dengan kilat sabung-menyabung dan guruh berdentam-dentum. 

Berkayuh di kawasan kelapa sawit muda dan rendah mendedahkan kami kepada bahaya dipanah petir. Kami melaju hingga jumpa terowong lebuhraya plus. Kena sebatang rokok dahulu. Kami berteduh di situ hingga hujan lebat bertukar renyai semula. 

Kami beranikan diri menempuh hujan renyai kerana alang-alang sudah basah lencun. Belum pun jauh berkayuh, hujan kembali lebat disertai petir dan kilat. Bunyi guruh bagai tiada henti seakan-akan ada perang di balik awan mendung yang sarat. 

Dalam berkayuh melanggar lopak dan lecak itu aku membaca ayat kursi berulang kali. Akak Kau pula mengucap panjang kuat-kuat. Aku terbayang berita di Twitter esok, "8 mayat ditemui dalam ladang sawit dipercayai dipanah petir." 

Kami berhenti di kawasan sawit tua yang tinggi. Masing-masing kesejukan dan tidak banyak cakap. Sejuk itu buat aku merasa tanda-tanda betis akan kejang. Hujan masih belum reda.

Kami dalam dilema sama ada mahu teruskan kayuh atau tunggu hujan reda. 

Sebagai anak Felda, Zam bersuara, "Kita tidak boleh tunggu lama kerana ada kemungkinan banjir kilat berlaku dalam ladang." Kami teruskan kayuhan dalam rembes mendung itu. Air hujan turun menyerong mengikut angin. 

Denai kelapa sawit sudah bertukar jadi parit yang deras airnya. Kami tempuh sambil mulut berkumat kamit dengan doa dan ayat-ayat yang kami hafal. Aku banyak mengulang ayat kursi sahaja sebab aku tidak hafal banyak ayat. Aku berdoa janganlah ada antara kami yang tayarnya bocor atau rantainya putus dalam hujan ini. 

Sekonyong-konyong sampailah kami di satu blok bengkel di pinggir perumahan. Di situ kami berteduh lagi.

Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini. 

Ada satu lori didepan bengkel. Din berhujah, "kalau kita terus berkayuh mungkin malam baru sampai rumah." Zam menambah kita tidak boleh ikut jalan pintas kerana ada gaung di situ yang mungkin bah. Maka kami pun sebulat suara bersetuju untuk pulang dengan lori. 

Plan B. Din pun berjumpa dengan India tuan bengkel dan bertanyakan sama ada lorinya boleh bawa kami ke Senai. Setelah tawar menawar setiap dari kami setuju bayar RM10 untuk perjalanan dengan lori dari Kulai ke Senai. Kami pun menaikkan basikal ke dalam lori. 

Pada ketika itu butir hujan mula menipis. Kelihatan burung-burung sudah terbang. 

Oleh kerana Yem tinggal di Kulai, dia ambil keputusan untuk kayuh pulang. Aku kata lori ini boleh hantar dia sekurang-kurangnya separuh jalan. Yem kata, "Arwah abah ada kata jika burung dah terbang, maknanya hujan akan berhenti." Aku akur dengan keputusannya. 

Lori pun bergerak menuju Senai. Di wajah masing-masing mula mengukir senyum. Zam pun telah kembali semangatnya. Dia keluarkan telefon bimbit untuk rakam wefie kenang-kenangan pulang dengan lori. 

Ada banjir kilat di jalan Kulai tetapi lori harung sahaja air itu. Sesampainya kami di Senai, Zam arahkan lori berhenti lebih kurang 200m dari rumah. Aib la kuda besi pulang dengan lori. 

Kami menurunkan basikal dan berkayuh ke rumah Zam. Hujan pun sudah reda. 

5 petang. 

Bagusnya petualangan kali ini berlaku dalam hujan lebat maka basikal tidak berlumpur sangat. Sambil kami menyiram basikal dan Zam bikin kopi panas untuk semua.

Kejayaan pulang ini patut diraikan dengan sebatang rokok juga. Aku keluarkan kotak rokok dari saku tetapi rokok sudah barai dan tembakau bersepah kena basah hujan. Aku letak je sebatang rokok bengkok yang basah di bibir buat ada-ada. 

Izan, jiran belakang rumah, datang bertandang dan bertanya, "Best ke ride hari ini?"

SELAMAT HARI MALAYSIA

18/9/21



Tiada ulasan:

COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...