Isnin, April 18, 2022

046 MIMPI LUCID

 Aku kena covid. Walaupun simptomnya suam-suam kuku, aku kuarantin kendiri. Aktiviti berbasikal terpaksa dihentikan. Sekarang aku sudah negatif, aku kemaruk mahu berbasikal.

Maka malam Sabtu lepas, selepas 20 hari tidak golek tayar, aku menyertai kayuhan dalam acara komuniti Ramadan Always Right vol. 5. 

Acara ini menggabungkan pop up store, papan selaju, bmx jam, graffiti, buka puasa, kopi dan kayuhan malam. Aku lihat ramai pesertanya, dari remaja bawah umur hinggalah orang tua. Syabas kepada penganjur memberi ruang sihat yang terkawal untuk anak-anak dan bapak-bapak beriadah. Kalau banyak acara begini, kita mungkin dapat hindarkan kes seperti 8 budak basikal lajak maut dilanggar kereta di Johor Bahru sewaktu dinihari.

Aku tabik dengan kru acara Ramadan Always Right, terutama pentolnya, saudara Din King Kong. Beliau berjaya pimpin acara komuniti tanpa penglibatan kerajaan dan korporat gergasi. Inilah kuasa kolektif mandiri. Syabas!

Laluan ride malam itu melibatkan kawasan Taman Universiti dan Mutiara Rini. Kami lalu kawasan perumahan dan peniagaan serta sedikit laluan gelap sebelah tanah kosong kampus. 

Keciwi punya pasal, aku lupa baca doa naik kenderaan malam itu. Bila pulang, badan aku hangat. Mungkin ini kesan jangka masa panjang Covid. Aku terus mandi dan tidur. Aku lupa baca doa tidur. 

Aku terjaga dari tidur dengan bulu roma seluruh badan meremang. 

Aku bermimpi ada bunian mengikut aku pulang dan aku dibawa ke kampung mereka. Di sana, aku berjoget, berzikir, dan berlawan dengan satu entiti jahat yang susah hendak digambarkan bentuknya. 

Lalu aku ceritakan kepada Akak Kau tentang mimpi aku itu. Habis cerita, aku tersenyum.

"Kenapa senyum pula?"

Entah-entah Akak Kau syak aku kahwin dengan puteri bunian.

"Biasanya kalau mimpi bergaduh dengan hantu, abang bangun sesak nafas, " sambungnya lagi. 

Ya. Hantu selalu masuk dalam mimpi aku.

Aku jawab, "Abang senyum sebab kali ini abang menang. Abang bunuh hantu itu."

Aku pun tidak tahu apa arti mimpi lucid itu. Adakah ianya mainan tidur atau covid sudah mengganggu minda aku? Aku tiada jawapan. Aku hanya ada persoalan. Bulan puasa jin kena ikat tak? Jin dan syaitan ini makhluk yang sama ke? Bolehkah manusia mengganggu jin? Jin boleh kena covid tak?

17/4/22



Tiada ulasan:

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...