Jeram! here we go!
Sebelum kejadian
Sejak basikal bini aku dah siap setup ( Peugeout Metro Lady Bike), Ezree banyak kali ajak aku ride ke Jeram. Aku bukan apa, aku suka ride perjiranan, Ride perjiranan bagi aku , aku tak yah buka basikal, aku boleh start ride dari rumah, kilometer dapat banyak, aku tak perlu keluarkan seat kereta Noah dan Nash untuk masukkan basikal dalam kereta.
Sampailah Ezree bagi aku jajan barang basikal dan dia offer benda sedap “ kau tak larat, balik aku hantar sampai rumah”. Tawaran yang sangat solid untuk aku. Kau dah penat, orang hantarkan ke rumah. Macam dah ngantok diberi bantai.
Tok Rimau aka Tok Rimau SCAM untuk jalan cerita ni banyak kali ajak ke sini, dia cakap tempat playgroud dia best, bebas dari hiruk pikuk, dan rewards dia kau dapat berendam dalam air dekat Jeram nanti. Dan banyak kali juga aku menolak. KAH KAH KAH. Jawapan aku tetap sama, takde basikal sesuai, luar kawasan perjiranan dan macam macam lagi.
Untuk pengetahuan korang, untuk ke Jeram, perjalanan gravel lalu kelapa sawit lebih kurang 8-9 km untuk satu hala. Aku punya pengalaman lalu jalan kelapa sawit ni paling jauh setakat ni pun 300 meter je. Sebab bagi aku selama ni gravel ni kekuatan kaki luar biasa dan mata kena fokus jalan sebab jalan tak rata, dan kekuatan mental luar biasa kalau air dah habis, ye lah, kalau ride road, setiap 1 km pasti jumpa 99speedmart ke, family mart ke, ni kalau dalam sawit air habis nak beli kat mana? Takkan nak togak air sungai kaler keruh!
Akhirnya aku on join, sebab dah lama tak bertemu muka dengan kawan-kawan Bikedaily dan aku nak test basikal bini punya performance. Tengok dia boleh go ke tak lawan selot.
Hari Kejadian.
Aku mula ride dari rumah mentua dari Taman Universiti, baru kayuh sikit bukit Pulai Spring dah menguji, dalam hati aku anggap ini semua warm up. Lepas berkumpul di BHP, 7 orang akan start dari sini: Ezree (organizer hari nie) Nas Plague, Endy Playa, Ustad, Sao Pijui, Nik dan aku. Sampai tokong; Tok Rimau , kak Tini dan Yem (adik tok rupanya, dah nak balik aku baru tahu! haha) dah menunggu,
Kami mula bergerak ikut roundbot taman Pulai Emas susur masuk highway baru, sampai hujung taman terus menuju kelapa sawit. Cuaca sedikit cerah tapi tak berapa nak panas. Mungkin sebab bersemangat untuk reward. Bukit kedua aku dah start nolak. Naik bukit aku dah biasa, tapi naik bukit tayar slide sebab tanah licin ni lain macam. (rupanya skill dia masa nak naik kau kena duduk, kena bagi tekanan dekat bahagian belakang.)
Tok Rimau dengan basikal baru dia yang ada fork suspension memang lain macam, turun bukit jenis tak tarik brek ya kawan-kawan. Meluncur laju bagaikan dihadapan tu bagaikan di jalan tar. Nasib baik dah laju kat depan tunggu kawan-kawan. Kalau tak ini last aku follow dia main basikal, aku berada dalam kelompok tengah, bukan apa, kalau last sangat nanti koyak sendiri, tapi naik basikal gear kartun ni memang art ye untuk jalan gravel. Patot aku tengok Wak Kenchana beria tukar cassete besar pinggan walaupun dia ride gravel jarang-jarang, Hampir sejam juga baru sampai ke Jeram. Ada berhenti sesekali untuk tunggu kawan-kawan sambil minum air. Air kena jimat cermat, dalam ni takde kedai serbaneka.
Sepanjang laluan takde pulak jumpa monyet ke apa? Mungkin sebab dah jadi tempat sawit, dorang pun boring kalau lompat-lompat kat pohon kelapa sawit nanti terkena duri pelepah dia, kesian monyet kalau luka. Lagipun hati monyet pasti dah dilukai bila habitat mereka dijadikan ladang. Tapi ada juga jumpa satu uncle duduk santai bawak kamera DSLR dengan lens panjang nak shoot Bulan lepak situ, aku suspek dia nak ambil gambar burung, paling koman mesti tupai!
Akhirnya lepas menolak tanah selot sampai juga ke Jeram. Kitorang pergi yang bahagian atas sekali, selain tak ramai orang, dia ada spot untuk berendam. Aku tak tahu last bila aku mandi Jeram atau sungai. 20 tahun lepas kot. Dengar bunyi air jeram mengalir terus rasa hilang penat lah. Itu belom berendam lagi. Lepas setting kerusi camping (essential untuk aktiviti-aktiviti begini) kita mandi dulu, tadi masa nak pergi dekat BHP dah tapau nasi lemak siap-siap.
Dorang kata, mandi dulu, nanti naik mandi lapar, baru terasa syahdu dan nikmat.
Jujurlah. Dapat berendam satu badan walaupun air cetek separa lutut. Itu nikmat sebenar, Ini reward terpaling reward sepanjang aku berbasikal. Kawasan ni agak bersih, tapi ada parent yang musibot jenis sampah pampers dalam hutan, lain kali pandai bawak sampah datang, pandailah bawak balik. Hiblis!!!
Ezree selaku organizer paling terbilang dah menyediakan bag hitam sampah, selain itu dia juga membawa sampah pulang sampai taman Teratai, Ezree memang solid.
Lama juga lepak sini, dekat 3 jam juga aku rasa, dorang ada plan kayuh jauh-jauh lepas fasa 2. Solid juga ride jauh2. Aku dengarkan sahaja, aku tak boleh ride tinggalkan anak lama-lama, nanti rindu. HAHA.
Lepas dah claim reward. Pasti kena mengayuh balik tempat asal. Dapat juga mengayuh dekat tanah licin yang banyak akar berselirat tu, sikit sikit tayar slide, tapi bila dapat lepas halangan tu rasa macam Champion juga.
Satu aku suka basikal lady ni, dia punya top tube rendah, jadi bila kau turun dalam kadar mengejut, possibility telor nak terciduk dengan top tube sangat rendah, jadi kecederaan dekat situ memang dapat dielakkan. Aku bukan apa, takot senak. Tu je!
Bagaimana Tok Rimau menjadi scammer kejadian ini?
Jam menunjukkan 12.30 petang. Matahari dah naik tinggi. Tok Rimau bagi berapa choice, ikut jalan pergi tadi
“atau korang boleh ikut jalan yang kau orang boleh downhill 2 km, tapi kena naik bukit 1 km. Jalan yang ni dia redup sikit sebab banyak kelapa sawit besar-besar, jadi kurang sikit panasnya”
Kita pilih jalan yang ini, sebab ianya tak panas, paling pun nak naik bukit nanti je guna tenaga. Selebihnya boleh relaks-relaks sikit sebab air pun masing masing dah tak berapa nak banyak.
Dan rupanya ; Pokok kelapa sawit yang tinggi-tinggi itu hanya 1/3 perjalanan. 2/3 perjalanan lagi adalah jalan biasa yang pokoknya masih rendang lagi, lalu gitu je dah terasa perit, kami lalu jalan sawit tepi highway PLUS yang pokoknya tak berapa nak besar, dapat lalu 2-3 terowong. Best jugalah.
Banyak kali berhenti setiap kali ada bukit sebab ada yang krem, tapi sebab jenis yang akan tunggu ni best, untung yang depan, sempat duduk-duduk.
Ada sekali berhenti, Nas offer gula-gula Himalaya. Setahu aku gula Himalaya yang biasa aku makan ni perasa lemon, kalau lemon makan time panas macam ni memang syahdu, sekejap je makan lelangit dah sejuk, teguk sedikit air masak ianya akan memberikan suasana yang gemilang di dalam mulut.
Aku jenis tak tengok ni gula gula Himalaya versi apa, terus makan. 30 saat pertama aku rasa aneh, kenapa rasa halia? Himalaya versi Halia ni kalau ride tengah panas dengan sumber air kurang elok dielakkan lah. Dia jenis tak bagi chance menangkap dekat tekak, lepas tu automatik tekak kering gila. Lepas tu terus angin start keluar satu badan. Tapi dia ada bagi kau ada semangat sikit lah naik bukit. Kiranya macam extra power dekat kaki.
Tapi perit kat tekak memang tangkap lain macam mat!
Bila dah sampai untuk naik bukit ni, Tok cakap bukit ni tinggi dia 120 elevation, dan kita saspek dia hanya sekali naik, dan Tok tak cakap rupanya bukit ni zig zag. Bukit jenis 3 tingkat punya layer. Aku layer pertama terus menolak mat!
Sao ajar supaya naik bukit try zig zag, senang sikit nak naik, aku cuba juga untuk layer kedua, Berjaya jugalah, Layer kedua ni adalah lepak lama sikit. Sebab ada yang cramp. Ezree memang champion, sebab Endy dengan Nik macam lama tak muncul2, dia turun jalan kaki, lepas tu naik bawak basikal endy. Lepas tu dia turun balik ambil basikal Nik, dan ride ke atas. Gila babi kaki ada enjin kuda rasanya.
Lama lepak atas tu, angin dia nyaman, kalau pasang hammock memang confirm boleh tido. Semua dah imagine air sedap sedap time macam nie. Contohnya Tebu Lemon, tok cakap ada jual area-area Teratai. Nas dok cakap hanya Tebu Lemon sahaja yang boleh meredakan keadaan panas panas macam ni.
Di bukit kedua ni patutnya Tok akan ke kiri, dan kami semua akan ke kanan? Aku paksa Tok naik ke atas juga. Nanti dia turun downhill patah balik, kami turun downhill 2 km ke arah lain. Tok layankan.
Sampai ke puncak bukit tu aku tak menolak dah, mungkin sebab ini bukit penghabisan, paling-paling ada juga bekalan nak berlagak ada bukit yang aku ride sampai ke puncak.
Time menunggu Nas, Endy dan Nik; ada beberapa motorsikal lalu, motorsikal ni Tok kata menjadi support system untuk gang basikal lain, dorang ni biasanya akan ditugaskan untuk membawa makanan ataupun kalau ada team tu rider dah bong, yang bong akan bawak motor balik. Yang rider motorsikal akan switch ride basikal. Tengah kami semua menunggu, brader motorsikal berhenti, kelihatan pam basikal panjang terselit dekat bahagian belakang, aku ingat dia hanya nak bertegur sapa, tapi brader motorsikal tu rupanya nak bagitahu rahsia besar.
“korang kenapa ikut jalan ni bang, tinggi bukit ni, ada lagi satu jalan shortcut bawah tu yang tak naik bukit sangat” – ini adalah scammer terbesar yang Tok lakukan hari nie selain daripada Jalan ni redup!
Tok Rimau kalis balik, dia kata “Jalan tu banyak duri, pasal tu aku tak nak bawak korang lalu situ” Masalahnya dia pakai suit basikal siap pakai kasot getah lagi, kitorang majority pakai sandal.
Dekat 30 minit baru Nas, Endy dan Nik sampai. Endy kena krem macam Ijat kena masa pergi Pontian, jenis turun basikal kaki terus tegak. Aku tahu macam mana seksa dia, sebab ijat tu hari dekat 15 minit baru kaki boleh gerak normal. Akhirnya sampai sini perpisahan kami dengan Tok dan Yem. Tok patah balik pulang ke Senai dan kami terus ke tempat pertama kali bertemu tok.
Tok pesan, hati-hati turun, ada selekoh simpang S, amik kiri takot ada motorsikal naik, aku gerak dulu dan beberapa saat lepas tu semua meluncur laju turun bukit, jenis tak bagi chance sebab tadi berhempas pulak nak naik bukit. Masing masing tengah sedap!
Inilah pengalaman aku downhill bukit guna basikal seumur hidup aku, Off-road pulak tu, time ni aku paling last, aku tengok ni kalau jatuh basikal memang bergarit badan sebab batu-batu beso! Sampai depan aku tengok semua berhenti mengelilingi Nas.
“Man Down” –
Nas tergelincir gaya jenis Moto GP, dia time tu tengah gigit Go Pro, dan mengharapkan footage dia jatuh basikal sempat di rakam. (Update: footage Nas jatuh gaya Moto GP takde dalam Go Pro! Aduh, kalau tak memang sedap jadi konten youtube dia.) Nasib baik tak teruk sangat jatuhnya, basikal masih steady, cuma luka sikit dekat siku dengan tapak tangan. Tapi Bro Nas memang steady. Bangun macam takde pape.
Perjalanan diteruskan sampai ke BHP, Tebu Lemon takde ni Tok! Harapan palsu lagi sekali!!!
Terima kasih untuk semua yang terlibat. Aku gembira sebab dapat jumpa face to face dengan semua setelah sekian lama tak berjumpa. Kalau korang tanya aku bakal ke sana lagi ke tak? Jawapan ya, tapi bukan masa sekarang.
Untuk sapa yang soon ke sana, sampah jangan lupa bawak balik. Mungkin jeram ini area tedekat di Skudai yang masih boleh buat mandi padahal Skudai ni banyak sungai dia. Kau imagine kalau kita jaga sungai kita dan depan rumah memang boleh terus mandi sungai. Nikmat betol. Dah takyah susah payah aku kena bawak basikal penat-penat nak mandi sungai lagi.
Aku bangga dengan basikal bini aku, dia takde buat ragam. Turun bukit dengan naik bukit takde benda tertanggal. Kira memang manis.
Jadi balik ke habitat asal, minggu depan sapa nak ride Sunway Citrine dengan Puteri Harbour kasik roger.
Thanks Ezree sebab hantar aku balik rumah.
P/s:
Aku tanya Tok RImau kenapa dia time bukit laju sangat, dia balas pendek;
“Tok guru aku cakap, Tuhan cipta bukit untuk dinikmati, bukan untuk korang turun tekan break! Ah siappp!”
Layan off road nie 20 km penat dia macam main Road 80km ye!
Kredit gambar dari kawan kawan Bikedaily
5/9/21
Tiada ulasan:
Catat Ulasan