Saya dilahirkan di Parit Mahang, Senggarang tetapi amat sedikit yang saya tahu tentang pekan Senggarang kerana arwah ayah dahulu seorang tentera dan keluarga kami kerap berpindah randah. Kini Perintah Kawalan Pergerakan semakin longgar, saya ingin meluaskan kayuhan ke pekan di mana saya menghela nafas pertama.
Apabila Bikedaily dan Senggarang Bersepeda bergabung tenaga bikin kayuhan Senggarang, saya ambil kesempatan untuk turut serta. Kumpulan QDR Cycling dan Tanjung Ungkal MTB dari Senggarang bertindak sebagai hos penunjuk arah dalam acara ini.
Kayuhan lingkaran Senggarang merupa sebuah acara kayuhan santai dengan pengurusan birokrasi yang minima. Dalam acara ini tiada catatan pendaftaran, bayaran, tshirt, sijil dan medal penamat. Apa yang ada hanyalah kod QR Mysejahtera ditampal di garis permulaan dan acara perlepasan dengan sepatah dua kata yang ringkas meraikan kehadiran para peserta.
Acara perlepasan ringkas oleh penghulu kampung Parit Permatang sebagai simbolik rombongan besar tumpang lalu melintas kampung. Aku kira ini sebahagian budi bahasa kampung berbudi bahasa. Aku juga difahamkan penganjur ada memaklumkan kepada Balai Polis tentang acara basikal ini. Bak kata pepatah, sedia payung sebelum hujan. Kalau-kalau ada kemalangan, mudah kita mendapat bantuan.
Saya congak kasar sekitar 50-60 buah basikal terlibat. Saya lihat banyak basikal jenis “rat bike” (DIY Kacuk), MTB, grebel dan “touring.” Tetapi, ada juga beberapa basikal satu kelajuan, seperti “fixie” dan sebuah BMX. Tabik saya kepada pengayuh basikal single speed ini menyudahkan kayuhan 60km.
Lingkaran kayuhan bermula dari pekan Senggarang ke Parit Permatang menuju Kampung Rahmat dan naik ke arah Sri Gading. Kemudian dari situ laluan menghala baruh ke arah Sungai Ayam, Tanjung Laboh, Pantai Bukit Batu, Sungai Lurus dan kembali ke pekan Senggarang. Penunggang disajikan pelbagai pemandangan dengan laluan kampung sepanjang parit tali air, denai tanah kebun sawit, laluan belukar, kerikil, bukit bukau dan juga pesisir pantai.
Rumit sebenarnya menyantuni penunggang yang ramai dengan gaya ragam berbasikal yang macam-macam. Jenis basikal, latar belakang, umur dan kecergasan peserta berbeza-beza ini sedikit menimbulkan pertembungan budaya. Namun begitu, sifat acara yang luwes tanpa peraturan ketat banyak memudahkan. Penunggang boleh ikut laluan penuh yang dicadangkan dan boleh juga ikut laluan singkat bergantung kepada kecergasan dan motivasi mading-masing. Malah, jika mahu berhenti awal juga tiada halangan.
Saya rasa sebelum ini, hos tidak kenal pelawat dan pelawat pun tidak kenal hos. Sepanjang acara berjalan mereka yang extrovert segera beramah mesra dan bergurau menjalin setiakawan demi mengurangkan prasangka yang wujud kerana perbezaan. Pun begitu, yang pemalu mungkin ambil masa yang lebih panjang untuk “break the ice.”
Apa yang paling ketara kumpulan dari Johor Bahru dapat melihat kampung-kampung sekitar Senggarang dan budaya MTB di situ, dan orang Senggarang dapat melihat budaya basikal gravel dan rat bike yang popular di kalangan Bikedaily. Tidak kenal maka tak cinta, tetapi jika tidak cinta pun tidak mengapa. Yang penting tiada tersemai perasaan benci macam geng “haters” basikal di Internet.
Walaupun secara fizikal jelas nampak perbezaan terutama dari sudut jenis basikal dan pemakaian (baju ketat vs baju Hawaii), tetap ada persamaan di mana-mana pun orang basikal. Semua sangat ghairah terhadap kayuhan dan jentera masing-masing. Mereka saling berkerjasama memberi amaran trafik dan bergotong royong angkat basikal melintas parit. Tiada kawan ditinggalkan tersadai dan rawatan diberikan jika ada yang kejang otot. Dan yang paling saya puji, mereka semua prihatin tidak membuang sampah merata, malah menyediakan kantong sampah untuk dibawa pulang dan buang di tempat yang sepatutnya.
Rata-rata kawan saya yang melihat acara kayuhan ini melalui media sosial menyuarakan keinginan untuk turut serta jika ada lagi kayuhan seumpanya. Saya kini makin cakna tentang apa yang boleh ditawarkan oleh Senggarang kepada peminat basikal. Secara peribadi, saya akan kembali berkayuh di sini bila ada kelapangan lagi.
Saya yakin suara Senggarang Bersepeda menjadikan pekan ini sebagai syurga basikal untuk orang tempatan dan juga luar negara semakin garang. Sementara itu, matlamat Bikedaily menguatkan budaya basikal demi kesihatan diri dan juga kesihatan bumi juga semakin melaju ke hadapan.
4 Nov. 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan