Isnin, April 18, 2022

039 PISANG FUN RIDE MACHAP

 Kau pernah tak mandi outdoor dengan lelaki lain? Kemudian dia gosokkan belakang kau. Tak pernah? Lemah.

Aku pernah. Kejadian berlaku di Machap tanggal 1 Januari 2022.

Pagi itu aku dan Akak Kau menyertai Cabaran Tasik Machap. Inilah kali pertama aku menyertai satu acara berbasikal jenis Fun Ride berbayar. Kira bargain juga jika yuran RM50 dapat pisang berangan, aiskrim Malaysia, sarapan kuih, nasi berlauk, medal penamat, marshall simpang, rescue crew, t-shirt acara dan air mineral all you can drink. On top of those, ada cabutan bertuah. Kudos Machap Cycling Club sebagai penganjur utama. 

Idham yang ajak aku join fun ride ini. Aku pun why not.

Di garis permulaan ada 428 penunggang MTB lain dari 4 penjuru Johor bersedia memulakan cabaran (Editor: Sasaran asal 250 peserta tapi sambutan hebat hingga 430). Aku teka mereka ini bukan newbies jika melihat pada jenama basikal yang terlibat dan baju ketat siap bercetak nama team. Aku mula berdebar kerana tertekan dengan gaya peserta-peserta lain.

Bendera perlepasan dikibarkan sekitar 8.30 pagi. Peserta berhimpit-himpit berkayuh meninggalkan garis permulaan yang terletak di padang Majlis Daerah. Aku mula kayuhan dengan hati-hati sambil mengelak lecak di pintu keluar padang. 1km pertama sudah ada brader tergolek kerana hilang kawalan. Aku syak ini nak laju sangat punya pasal. 

Kelibat Idham dan Akak Kau hilang dalam keramaian. Idham mungkin di hadapan dan Akak Kau mungkin di belakang. Aku ambil keputusan kayuh ikut tempo biasa agar Akak Kau tidak jauh ketinggalan. Lagi pun aku kena elakkan tekanan dari penunggang yang biasa jamboree. Aku ingatkan diri this is just a fun ride. Fun adalah matlamat utama, bukan penyiksaan.

10 km pertama santai kerana denai offroad berupa laluan ladang sawit yang lebar dengan jenis tanah liat dan batu kerikil. Cuaca pula nyaman berawan. Tetapi ada juga kelihatan satu brader muntah tepi semak.  Rakannya mengosok gosok belakang  menenangkan dia. Aku syak ini kurang latihan punya pasal.

Dari jalan kebun sawit dan getah, denai mula masuk jalan kampung Felda Air Hitam. Ada satu bukit mendongak dipanggil orang sini sebagai Bukit Senyum. Di situ aku memotong beberapa penunggang yang mendorong basikal sambil mencungap dan mengucap. Di puncak Bukit Senyum aku berhenti rehat tersenyum bongkak. 

Aku, Idham dan Akak Kau regroup. Ada seorang makcik menawarkan seplastik kresek besar jambu air. Jambu itu pula sejuk dingin baru keluar peti ais. Bless the makcik. Aku makan 2 biji dan masukkan 10 biji dalam saku for the road. 

Gedegang! Satu brader misai beruban menukar gear secara memaksa menyebabkan rantainya jatuh tersepit antara sproket dan lidi. Dia terus paksa kayuhan sehingga basikal itu tidak boleh bergerak lagi. Dia mati akal dan meminta bantuan. 15 minit juga kami terkial-kial cuba melepaskan rantai yang tersepit tetapi gagal. We just didn't have the right tools.

"Abang tunggulah powil chicken kutip jap lagi, " nasihat aku. Brader misai beruban terpaksa akur.

Kayuhan diteruskan dengan kanak-kanak melambai dari beranda rumah felda. Ada anak dara menjemur kain tetapi aku tidak menoleh kerana Akak Kau follow rapat. (Jangan marah Yang. Xoxo).

15 km, kami berhenti rehat. Half-way Felda Air Hitam pit-stop menyajikan air cedok 3 warna, kuih muih, pisang berangan dan eskrem Malaysia. Aku makan ala kadar dan pekena rokok sebatang. Kemudian kayuhan diteruskan lagi menuju ke arah offroad berbukit single trail. Bukit Agong namanya.

Ketika mendaki Bukit Agong hujan mula turun. Setakat hujan tanpa ribut petir, aku okay. Yang aku jadi angin apabila ada kutu tiba-tiba u-turn di lereng bukit sebab dia nak ikut jalan pintas. Nak ikut jalan pintas dalam fun ride tu okay tetapi tempo kayuhan daki aku sudah lari sebab terlanggar dia.

Disiplin mendaki bukit sama macam disiplin game The Floor is Lava. Kalau kau sedang mendaki bukit mendongak, tiba-tiba kau berhenti dan letak kaki di tanah dikira game over. Susah nak mula kayuhan menaik di lereng bukit. Terpaksalah kau menyorong ke atas. So, next time jangan buat uturn mengejut atau berhenti di laluan pendaki. Beri laluan dan keutamaan kepada kayuhan pendaki please.

Anyway, mood aku kembali ceria bila dapat pemandangan dari puncak Bukit Agong overlooking bukit bukau menghijau dan tadahan tasik Machap. 

Done with the view, aku pun downhill. Ada pula kutu brek-brek masa downhill. Kenapa la kau main brek? Kita dah letih panjat bukit sepatutnya kita enjoy sakan reward turun bukit. Hmmm... Sabar je la. [Editor: Penulis riak nampaknya. Dia lupa Mei 2021 dia tergolek dog sebab enggan tekan brek] 

KM ke 20, penunggang sudah jarak-jarak antara satu sama lain. Hujan masih turun renyai-renyai. Single trail lembah Tasik Machap basah lecak berlumpur. Kadang-kadang, basikal terpaksa tempuh lopak air keruh. Dalam keadaan sejuk begini kaki senang krem. Ada seorang brader 20an tiba-tiba turun basikal dan baring ke tanah. Aku bantu dia dengan semburan ethylchloride pada peha dan betis. 500 m, jumpa lagi brader lain kekejangan. Aku sembur lagi. Muda-muda dah kejang, ish-ish-ish. 

1 km kemudian giliran aku pula kejang peha dan betis. Kiri dan kanan pula tu. Damn it. Baru aku sedar kekejangan otot tak kenal usia. Padan muka aku.

25 km berlalu, aku beritahu Akak Kau untuk perlahankan kayuhan. Akak Kau tanya kenapa dan aku jawab, "Kayuh laju cepat sampai dan habislah fun." Helah bela diri sahaja tu. Sebenarnya aku mahu kurangkan tekanan kayuhan pedal untuk elakkan kekejangan bertambah buruk. 

12 tengahari. Akhirnya kami sampai di garis penamat dan lengkaplah 30km dengan berlumpur tubuh keringat membasah bumi [Editor: Tiba-tiba rasa nak karaoke lagu Tiara oleh Kris]. Idham yang tiba lebih dahulu menyambut kami dengan tshirt acara yang bersih dan rambut rapi bersikat. Idham kata tadi ada bomba tolong sembur riders dan basikal berlumpur.

"Mana bomba tu?"

"Dah balik, air dia habis."

Aku doakan tiada rumah terbakar kawasan Machap tengahari itu. 

Kemudian, aku claim nasi bungkus, eskrem dan pisang berangan. Aku baca doa dan makan untuk top up tenaga yang hilang.

Sekonyong-konyong, majlis perasmian penutup dan cabutan bertuah pun tiba. Aku bagi nombor kepada Akak Kau dan tolak basikal ke pintu tandas. Aku join beratur untuk basuh basikal dan bersiram dengan getah air. Di sinilah riders bergilir sembur basikal dan baju secara ala kadar cukup untuk tidak mengotorkan kereta ketika pulang. 

Riders berkerja sama tolong pegangkan getah paip air dan gosok-gosok bahagian belakang riders lain. Selesai membersihkan diri, kami pun pulang. 

Seperti biasa, nasib aku tidak bertuah. Aku tidak bawa pulang hadiah mesin basuh atau basikal baharu. Apa yang aku bawa pulang cuma sesikat pisang yang aku kecek dari ajk makanan. Jadilah, fun dapat dan pisang pun dapat. RM10 juga harga pisang berangan sesikat sekarang oii.

[Penulis baru belajar main basikal. Petualangan basikalnya boleh di lihat di Instagram @kudabesisenai]

1/1/2022




Tiada ulasan:

72 RANCANGAN B

Ketika berkayuh dalam hutan setiap gram memainkan peranan melambatkan perjalanan. Semuanya mesti minimal dan ringan. Kami sudah pun menempah...