Khamis, Disember 29, 2005

NAGA YANG AKU KENAL

Pertama kali aku bertemu Naga adalah untuk urusan Zine Gangguan Teksual. Dia duduk sebelah mesin fotokopi dipejabat lamanya. Mulutnya bagai bertih bercerita itu-ini. Telinga aku bagai kuali satelit. Aku tahan besar mencari makna dalam cerita-ceritanya. Sesekali aku memangkah rokoknya. Tidak aku sangka, kehadiran aku di Internet akan menemukan lelaki kerinting yang bermisai ini. Mantan pemain ragbi yang punya jiwa seni.

Dulu. Aku buat video-video pendek 1-5 minit. Ceritanya entah apa-apa tapi bila dilepaskan ke Internet secara percuma, ramai pula yang memberi reaksi positif. Lalu aku pun kumpulkan video itu dalam VCD dan aku iklankan di Internet. Suatu hari ada orang mengirim e-mel menyatakan hasratnya untuk membeli VCD yang aku bikin. Akhirnya, cubaan aku berjinak-jinak dengan e-dagang berjaya mendapatkan aku seorang pelanggan.

Pada masa itu aku tidak tahu dialah pelanggan aku yang pertama dan terakhir. Pelanggan tunggal kepada usahawan e-dagang yang kecundang. Ha ha ha. Buat apa beli video bajet rendah dalam VCD RM15, bila kalian boleh beli DVD sebuah filem bajet jutaan ringgit untuk hanya RM5.

Dia memberikan wang, nama dan alamat untuk tujuan transaksi dan pengiriman. Nama itu macam aku kenal. Rupanya dia inilah yang menulis buku Kasut Belang Hilang yang aku belikan untuk Sarahmon. Aku kenal air tangannya sebelum aku kenal orangnya. Dalam sampul, bersama wangnya, ada satu VCD yang dia sendiri buat. Rasa terhina pula kerana aku cuba cari keuntungan dari kerja-kerja kreatif yang aku suka, sedangkan dia bagi karyanya percuma sahaja. VCDnya menceritakan dia dan kawan-kawan mendaki Gunung Kinabalu. Disertakan juga muzik video dia beraksi naik keretapi kecil berlatarbelakang lagu Cina. Sejak dari itu, dia sering memanggil aku dude.

Setelah menjadi sahabat, aku menghasutnya untuk menulis weblog seperti aku. Sekonyong-konyong, dia pun terpengaruh. Aku diberi penghormatan untuk menulis pengenalan kepada weblognya. Pada tahun 2004 dia dicalonkan oleh Geng Jurnal untuk anugerah Blog Baru Terbaik. Sayang, dia tidak menang. Pada 2005 dia dicalonkan lagi dan bersaing dengan aku untuk anugerah blog terbaik 2006. Nasib baik, dia tidak menang. Aku yang merangkul anugerah itu. Pun begitu, dia dianugerahkan Anugerah Entri Mencuit Hati.

Aku akui kekaguman aku terhadap kebolehannya menyaingi penulis-penulis weblog otai yang lain. Dalam masa 1 tahun, dia mengumpul peminat yang begitu banyak. Huruf-hurufnya bagai bersilat kemas dan kata-katanya bagai tarian gelek yang mengiurkan- memberi visual yang jelas dalam otak pembaca sehingga ada yang terperangkap dalam plot takdirnya. Tidak boleh tidak, seperti ramai orang, aku menjadi peminatnya yang setia.

Sekali-sekala bila singgah di ibunegara, aku akan bertemu dengan Naga. Cuba mencuri ilmunya. Aku penasaran bagaimana gaya penulisannya yang separuh prosa berirama itu boleh bejangkit bagai wabak. Ia dapat dirasai hingga kadang-kadang kalian akan lihat pengaruhnya dalam tulis-tulisan penulis weblog lain. Banyak yang perlu aku belajar.

Kali terakhir aku bertemu Naga adalah untuk urusan Ayah Kita Bos. Di pejabat barunya dia duduk sebelah salah satu tiang bangunan. Potret Belang yang hilang kasut tergantung pada tiang itu. Kami berbual dari 9 malam hingga ke 1 pagi. Tentang projek, tentang video dan tentang kerja.

Aku syak dia menuntut overtime untuk masa dia berbual dengan aku.

5 ulasan:

sinaganaga berkata...

bersambung???? laa, ingat dah habis tulis... ha ha.

Tanpa Nama berkata...

ko nak hint something ke ni?
hehehe..

Pegawai Khalwat berkata...

Saya budak baru belajar...

ajar la saya....

Sufian berkata...

Aku agak monolog ini akan berakhir dengan:

"Naga, I wish I knew how to quit you!"

Dan En Naga pun membancuh koko.

test berkata...

salam...

urusan ayah kita bos?
pojek komik ke tok...

COSTOCHONDRITIS

 Masa aku sudah sampai. Mungkin malaikat maut sudah memberi salam.  Saat aku mengalami sakit dada, fikiran aku langsung melayang pada serang...