Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava.
Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rata-rata RM60 hingga RM100, penganjur bagi harga rahmah. Ini sudah macam jualan murah mahu tutup niaga.
Aku terus bayar melalui talian dan hantar butir-butir peribadi. Tidak lama kemudian wakil penganjur buat panggilan, “Encik tahukan ini kayuhan luar jalan dan berbukit-bukau?” tanyanya.
Barang kali penganjur melihat butiran usia aku yang separuh abad dan meragui kemampuan aku. Aku tidak rasa tercabar dengan andaian itu. Malah, aku sendiri pun ragu dengan kebolehan aku. Sepanjang tahun 2024 aku jarang berkayuh berbanding tahun-tahun sebelumnya. Maka, kecergasan aku tidak membanggakan.
Hari-hari menghampiri Kayuhan Ria Sungai Telor cuaca pula selalu hujan. Maka, kuranglah lagi peluang membuat latihan.
Namun begitu aku jelaskan kepada wakil penganjur bahawa aku sudah biasa main luar jalan. Aku ceritakan pengalaman aku bermain dengan lumpur sebelum ini. Tetapi, jauh di sudut hati aku ada rancangan B. Apa ada hal, jika jasmani aku gagal di denai aku boleh naik lori ayam.
Lori ayam itu apa? Kepada mereka yang tidak biasa dengan konsep acara kayuhan luar jalan, lori ayam adalah gelaran kepada pengangkutan keluar kecemasan yang disediakan urus setia jika ada kecederaan atau peserta gagal lepas had masa yang ditetapkan.
Maka, pendaftaran kayuhan ria aku termaktublah walaupun amaran awal sudah diberi.
Malam sebelum hari kayuhan, aku mula memikiran rancangan C. Rancangan C aku adalah batalkan kayuhan. Tidak rugi mana pun sebab yang hangus cuma yuran RM10. Barang kalau harganya murah, orang tidak hargai sangat. Jahat sekali niat itu.
Sebelum tidur, aku mengharapkan hujan lebat esok pagi agar keputusan batalkan kayuhan atau rancangan C boleh dibuat tanpa rasa bersalah.
Pagi itu cuaca baik. Ayam berkokok bersahutan dan burung-burung bernyanyi riang.
Aku dengan berat hati mengemas barang basikal dan sumbat dalam kereta untuk menuju ke Kayuhan Ria Sungai Telor.
Separuh perjalanan memandu, aku tersedar aku lupa bawa penyembur menthol untuk otot kejang. Terus aku ramalkan kayuhan hari ini ada cerita ngeri. Untuk berpatah balik ke rumah sudah terlewat, aku teruskan pemanduan menuju Sungai Telor.
Kampung Sungai Telor (Tapak Kota Pekan Tua/ Kota Kara) terletak di tebing Sungai Johor dan jauh dari muara. Dahulu ia pernah menjadi ibu kota pertama Kesultanan Johor Lama yang dipimpin oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Ada yang kata peninggalan kota lama masih ada tetapi aku tidak penah melihatnya.
Aku tiba di kampung itu sekitar 7.30 pagi. Kenalan basikal aku pun ramai yang turut serta dalam acara. Gembira sekali dapat bertemu mereka. Kami bersalaman dan berpelukan di tempat letak kereta di hadapan balai raya kampung.
Aku lihat ramai juga peserta-peserta lain yang sebaya aku. Malah, aku dapat tahu peserta paling tua adalah 70 tahun. Penganjur tidak beri amaran kepada mereka ke?
Singkat cerita, semboyan kayuhan dibunyikan. 300 peserta mula berkayuh. Kami santai-santai sahaja kerana hari ini tiada menang kalah. Ini bukan pertandingan.
Berbekal air 2 liter, aku berkayuh dengan penuh debar.
2 km pertama sudah disajikan bukit di atas bukit. Tayar aku tidak dapat cengkam tanah kerana denai licin dan basah. Aku ambil keputusan untuk mendorong basikal mendaki bukit. Jimatkan tenaga kerana denai masih panjang.
Jarak antara peserta semakin jauh mengikut kecergasan masing-masing.
Di kilometer 3, rantai basikal terkeluar dari gigi gear takal. Hati aku berbisik, cerita ngeri sudah bermula. Aku laraskan rantai dan gear. Aku teruskan kayuhan turun naik bukit ladang kelapa sawit.
Di kilometer 4 terserempak dengan segerombolan peserta yang pecut awal. Mereka datang dari denai lain. Mereka kata mereka tersesat jalan. Kami meneruskan kayuhan.
Jika turun naik bukit ini berterusan, betis aku akan kejang. Aku tahu tubuh aku. Tanpa disangka, denai bertukar landai pula dan peserta berkayuh menyusur sungai.
Semalam hujan lebat, maka paras air hampir melimpah ke tebing.
Aku terserempak lagi dengan segerombolan peserta yang sepatutnya sudah jauh ke hadapan. Mereka datang dari arah denai lain. Mereka kata mereka tersesat jalan.
Kami meneruskan kayuhan mengikut riben penanda denai yang digantung jauh antara satu sama lain.
Tompok plot semakin menaik. Aku tertunggu-tunggu nasib yang bakal menimpa aku.
Tiba-tiba aku perasan kami berkayuh masuk menyongsang denai yang telah kami lalu tadi.
Dari jauh aku nampak sekumpulan penunggang berkumpul di satu simpang di puncak bukit. Mereka seolah-olah berbincang dengan urusetia penjaga simpang. Mereka kemudiannya ambil simpang kanan. Aku ikut dari belakang.
Kami kemudianya masuk jalanraya. Jalan ini agak mudah berbanding denai luar jalan.
Meter aku aku menunjukkan 12 kilometer tetapi aku sudah sampai ke garis penamat. Mana perginya 8 kilometer lagi?
Botol air aku masih penuh. Tidak luak pun air kerana aku berjimat-jimat untuk bukit-bukit yang diramalkan.
Rupanya, semalam hujan sangat lebat di Sungai Telor hingga denai yang dirancang digenangi banjir. Penganjur tidak mahu ambil risiko penunggang basikal lemas atau dimakan buaya maka mereka ubah laluan denai di saat akhir.
Malam-malam buta dalam hujan, siapalah nak cabut dan alih riben penanda jalan? Itu pasal la banyak kekeliruan di kalangan pengayuh. Ramai yang tersesat. Malah, pihak ada ahli urus setia pun keliru dengan perubahan saat akhir itu.
Jika dilihat peta kawan-kawan di atas Strava, masing-masing bentuknya berbeza. Seolah-olah format Kayuhan Ria ini, pergi ikut sini tapi balik pandai-pandailah.
Aku sudahi kayuhan hari itu dengan makan juadah yang disediakan. Berbaloilah RM10 dapat nasi lauk ayam dan kuih muih. Air balang perasa oren dan anggur. Balik modal.
Aku mendapat tahu, sebelum aku daftar ada kumpulan basikal jalanan yang bertanya untuk sertai Kayuhan Ria Sungai Telor. Justeru, bila aku mendaftar, terus diberi amaran awal kerana penganjur menyangka aku juga kayuh basikal jalanan.
Seperti biasa, acara kayuhan ditutup dengan cabutan bertuah. Nombor aku naik, dapat bakul hamper berisi jajan. Bukan balik modal sahaja ni, untung lagi.
Anti-klimaks betul cerita kayuhan kali ini. Peluh pun tak sempat pecah.
Agak-agak kau, keterlaluan tak kalau aku tuntut RM4 dari pengajur untuk ganti baki 8 km denai yang tidak cukup 20 km?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan