Singapura kini bukan Singapura yang aku kenal semasa zaman remaja ku.
Hujung tahun 80an, duit Malaysia dan Singapura hampir sama nilainya. Jika arwah ayah dapat tugas prebet sapu, memandu penumpang dari Johor Bahru ke Singapura, arwah kerap bawa pulang epal dan limau segar. Kadang kala arwah bawa laici dalam tin. Sekali sekala arwah bawa pulang pinggan mangkuk berjenama Arcopal atau Arcoroc untuk emak. Lebar senyuman emak.
Seiring masa berjalan, aku mula peka dengan perkembangan fesyen di Singapura. Maklumlah, sudah remaja. Lagi pun siaran TV Singapura yang sampai ke Johor Bahru sedikit sebanyak mempengaruhi minta. Rakan-rakan yang berpeluang berkerja di Singapura membawa pulang pakaian dan kasut berjenama. Orang Johor Bahrulah paling bergaya berbanding rakyat Malaysia yang lain. Malah, muzik rock dari Singapura pergi Johor Bahru dahulu sebelum dia naik ke Kuala Lumpur.
Seiring masa berlari, Singapura dan Malaysia sudah jauh berbeza dari sudut nilai matawang. Menggigil tangan ketika menukarkan ringgit dengan dollar Singapura. S$100 dollar singapura kini bernilai RM320. Sudah terang lagi bersuluh, aku tidak perlu membandingkan kekayaan Singapura dengan Malaysia. Semua orang pun tahu. Apa yang tidak semua orang tahu adalah julung-julung kali aku akan masuk ke Singapura dengan berbasikal.
16 pengayuh semuanya melintasi tambak Johor dan disambut oleh kawan-kawan pengayuh dari Singapura.
Berikut adalah agenda kayuhan kami. Awal pagi Jumaat kami melintas tambak. Kayuh mula dari Woodland mengikuti Coast to Coast Northern Trail menuju timur ke arah Yishun di Tenggara. Kami singgah Punggol Point Park dan Coney Island Park, sebelum terus melalui Pasir Ris Park menuju jeti Pulau Ubin. Kami naik feri dan mendarat di Ubin Village di selatan pulau. Kemudian kami kayuh ke Utara menuju Maman Camping area. Mengadap Pulau Nanas, Jajahan Johor.
Berkhemah satu malam.
Awal pagi esoknya, patah balik ke Pulau Besar Singapura. Kami kayuh sepanjang pesisir pantai Changi hingga jumpa East Coast Park yang panjang. Kami main-main di kawasan tumpuan pelancong Marina Bay sekejap. Kemudian kami kayuh menuju utara di kawasan Rail Corridor, bekas landasan Keretapi Tanah Melayu yang telah dijadikan taman riadah. Lewat petang kami lintas tambak pulang ke Johor.
Secara amnya, 10% kongsi jalan dengan kereta. 90% lagi jalan khas, basikal kongsi dengan penjalan kaki. Aku khabarkan kepada rakan, "aku kagum dengan projek Park Connector Network Singapura yang membolehkan kami bergerak dari satu taman ke satu taman melalui denai khas mesra basikal." Dia balas, "Singapura kecil, boleh la."
Kalau ianya masalah saiz, mari kita lihat kampus-kampus di Malaysia yang sepatutnya menjadi model utopia tanahair. Kita saksikan tidak terbuat oleh kita jalur-jalur yang mesra basikal dan penjalan kaki. Padahal, tidak kurang profesor-profesor yang ke Singapura, Eropah, dan Jepun. Butakah mata mereka tidak nampak teknologi mudah yang membahagiakan yang boleh dibawa pulang? Kalian sabarlah, tunggu aku jadi perdana menteri nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan