Selasa, Disember 26, 2023

69 HUJAN DAN LUMPUR

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan.

Masa aku main di kawasan Rambah, tahi lembu basah merecik atas botol air. Uwek! Sepanjang jalan aku menahan dahaga.

Namun ada hikmahnya kayuh dalam hujan. Automatik basikal jadi bersih seperti dibasuh.

Dan bagi mereka yang punya rack basikal atas bumbung kereta ada tambahan nilai. Bila sampai rumah, basikal sudah bersih.

Tapi jika hujan sudah berhenti tapi kau masih mengayuh basikal hingga menyebab berlumpur tubuh dan keringat membasah bumi (Mmm... macam lirik lagu pula.), basikal kau akan penuh selut. Kadang-kadang kau perlu singgah kedai cuci kereta. Kedai biasa buat muka bila tengok selut banyak sangat. Apa masalah mereka? Bukannya aku tak mampu bayar. Aku pernah kena tekan hingga RM10 untuk satu basikal. Padahal, 5 minit dah selesai sembur lumpur tu.

(Entry ini belum ada punchline. Just Curhat)




Jumaat, November 17, 2023

68 GHOSTED DI BUKIT HANTU

Suatu hari, Akak Kau hilang di Bukit Hantu. Dalam peloton kami,  dia berada di posisi belakang sekali sebagai sweaper. Aku pula paling depan sebagai pemandu arah. Di tengah-tengah adalah Noar yang masih tidak hafal denai dan Dora yang pertama kali masuk Bukit Hantu. Kami berempat semuanya.

Aku sampai di tebing scenic view Bukit Hantu terus campak basikal atas rimbunan lalang sebab penat. Aku tengok belakang, Akak Kau tiada. Aku tanya Noar dan Dora. Jawapan mereka sama, “baru tadi ada di belakang.”

Aku berjalan kaki ke simpang terakhir sambil menjerit-jerit memanggil namanya. 100m ke belakang aku menyusur jalan namun tiada jawapan. Baru teringat nak telefon tetapi telefon tertinggal bersama basikal yang aku campak di lalang. 

Suasana sunyi sepi, tiada bunyi haiwan. Burung pun tidak bernyanyi. Cuma desir angin bertiup buat pelepah-pelepah daun kelapa sawit bergeser. Jauh sudah aku berjalan.  Noar dan Dora pun sudah tidak kelihatan.

Entah-entah aku yang sesat. Aku patah semula ke arah basikal. 

Tiba-tiba aku teringat cerita pendaki gunung masuk alam bunian. Di alam bunian dia terjumpa sebuah kampung. Penduduk kampung tersebut memakai jubah dan baju kurung putih. Dia dilayan baik oleh penduduk kampung. Dia diberi makan dan dijemput tinggal di kampung itu. Oleh kerana budi pekertinya baik, berkenanlah Raja Bunian untuk dijadikan menantu. Nak tolak payah sebab sudah termakan budi. Mahu tidak mahu terpaksalah pendaki itu berkahwin dengan puteri Bunian yang cantik molek itu. Maka beranak pinaklah keluarganya.

"Ada ni Tok," jerit Noar sambil memegang telefon. Aku tersentak dari lamunan. 

Noar kata, "Akak missed simpang scenic view Bukit Hantu dan terlajak ke hadapan." Nasib baik Noar telefon, tidaklah jauh terlajaknya.

Sekonyong-konyong tibalah Akak Kau ke scenic view. Aku sambut dengan gembira tapi tidak aku ceritakan lamunan  bunian aku tadi. Risau dia trauma nanti.




Isnin, Oktober 16, 2023

67 JAMBORI


Kenapa kita namakan mamalia laut besar yang meloncat-loncat itu lumba-lumba? Sepatutnya kita ini yang dinamakan lumba-lumba dan mamalia loncat-loncat itu dipanggil manusia. Sebagai manusia, kita berlumba-lumba antara satu sama lain untuk mencapai kemenangan, sama ada kemenangan itu ditakrifkan dalam bentuk paling kaya, paling berkuasa, paling dominan, paling bergaya, atau paling podium. Hidup ini penuh perlumbaan. Tak gitu?

Selama ini aku mengelak jambori MTB kerana aku fikir usia dan tenaga aku tidak sesuai untuk perlumbaan dengan saingan sengit tetapi Mijer menawarkan pilihan yang mengundang dilemma. "Aku sudah beli tiket Kulai Jamboree 30km tetapi tidak boleh pergi sebab ada majlis lain. Kalau Tok tak ganti aku, dia hangus begitu sahaja," katanya. Aku fikir panjang tetapi kerana penasaran, aku terima tawaran. 

Ini pertama kali aku masuk jambori sejak aku mula main basikal.

8.00 pagi. Dalam keriuhan terdengar daripada corong pembesar suara DJ memainkan lagu tema filem Rocky, Eye of the Tiger. DJ membuat kiraan kebawah. 3,2,1... Hon permulaan dibunyikan. 600 peserta berlepas dari garis permulaan Kulai Jamboree. Aku berdebar memulakan kayuhan sambil berhati-hati mengelak peserta lain yang masing-masing sangat rapat jaraknya. 1 km pertama sudah ada pesaing yang tergelincir di aspal jalanan. Di kilometer kedua pula seorang lagi jatuh dan digilis peserta lain. Peserta lain tidak berhenti. Kami serahkan kepada marsyal jambori untuk membantu. Sengit betul saingannya. 

4 km, kami memasuki offroad dan jarak antara peserta semakin renggang. Aku lihat brader yang jatuh di kilometer pertama memotong aku. Kental mamat ni. Kemudian ada beberapa peserta wanita potong aku. Aku berbisik dalam diri, "Jangan tertekan. Kayuh ikut kemampuan." 

Pada waktu ini jarak pengayuh paling hadapan dan paling belakang adalah 9 minit.

Udara off road aku hirup segar. Denai menyelit-nyelit dalam ladang sawit dan kebun sayur boleh dianggap halwa kepada mata yang memandang. Jalur cahaya Matahari pagi menerombos dari celah dedaunan. Terdetik untuk keluarkan telefon untuk tangkap gambar tetapi ini adalah perlumbaan. Setiap detik adalah berharga.

5 km, kami bertemu bukit pertama. Ramai peserta menolak basikal  tetapi aku gagahkan kayuh. Berkat latihan di laman Bukit Hantu, aku mampu lepas tanpa menolak. Aku sedikit riak. Aku mula menambah markah imaginari untuk diri sendiri. Aku tambah markah setiap kali aku pintas penunggang dengan basikal mahal atau pengayuh lebih muda atau berkasut cleats atau pikul water bladder atau berpakaian baju seragam team basikal. Pendek kata, untuk motivasikan diri dengan memberi markah setiap kali aku mengalahkan orang yang aku andaikan lebih basikal daripada aku. Chaiyok!

15 km, aku agak bangga dapat berkayuh tanpa henti. Tiba-tiba aku lihat bacaan jam pintar mempamerkan degup jantung  175 BPM. Aku kena perlahankan kayuhan kerana untuk usia aku, kadar maksima yang dinasihatkan Chat GPT adalah 155 BPM. Orang muda kena jaga tempo kayuhan (cadence) tetapi atlit tua kena jaga tempo BPM. Apa pun, cut off time untuk checkpoint pertama adalah 10.30 pagi tetapi aku sampai jam 9.30 pagi. Awal sangat ni. Hidung aku kembang bangga.

Ada marsyal tegur, "Uncle, kalau nak naik lori belok kanan." Aku tidak pedulikan dia lantas belok ke kiri bersama ego ku. Ada beberapa penunggang yang sudah tidak larat mengayuh memilih memanjat lori. Hina betul lori itu, ada ke patut mereka hias dengan susunan sangkar ayam. Aku teruskan kayuhan dengan keyakinan bahawa aku boleh tamatkan jambori ini. Aku menuruni satu denai tunggal berliku dengan semak-semak rendah. "Ini makanan aku," bisik hati ku gembira. Bunyi angin laju berdesup di telinga. 

Tiba-tiba, di balik selekoh muncul satu lopak melintang di atas denai. Kalau tekan brek pun sudak tidak sempat. Pilihan yang ada cuma bunny hop kecemasan. Zasss.. basikal aku terbang tetapi malangnya tidak berjaya melepasi lopak. Tayar basikal hentam tebing lopak, air keroh merecik dan aku tergolek ke masuk belukar. Untuk beberapa saat aku terbaring merenung langit. Matahari pagi sudah tinggi. Tiada awan di dada langit. 

Aku menghela nafas dalam. Kemudian aku hembus. Aku gerakkan bahu dan kaki, tiada kecederaan teruk atau patah. Cuma lebam atas lengan. Aku bangkit dan periksa basikal. Alhamdulillah, tiada kerosakan dan masih boleh gerak. 

Bila aku kangkang kaki untuk duduk atas basikal terasa tanda-tanda kejang sudah datang. Mula-mula dia main di betis kanan kemudian dia naik ke peha. Lepas tu merayap pula ke kaki kiri. Penghujungnya kedua-kedua kaki aku keras dengan otot dalaman berdenyut-denyut. Kekejangan ini datang dan pergi daripada jarang-jarang kepada kerap-kerap sepanjang perlumbaan. 

Aku sudah ramal kekejangan akan datang bila otot ditekan dan suhu meningkat. Aku sudah minum air garam ORS banyak juga sepanjang jalan bagi mengelakkan kejang. Senjata akhir aku adalah semburan penenang otot bagi mengurang sakit. Bahan utama dalam semburan ini adalah menthol dan camphor. Bahan ini boleh menyejukkan otot yang kejang.

Aku sembur betis dan peha dari masa ke semasa.

Kayuhan aku mula lemah dan perlahan. Bagusnya kiraan degup jantung aku menurun tetapi buruknya pengayuh lain mula memotong mendahului. Markah imaginari aku makin merosot. Pedih betul kejang ini. Menyesal aku tak naik lori ayam masa berkesempatan tadi.

Matahari makin tinggi dan bilangan peserta makin kurang di denai. Gelombang haba makin di rasa. Aku terus mengayuh di jalan rata dengan hujung jari kaki menekan pedal dengan harapan kejang aku pulih. Bila jumpa bukit, aku tolak basikal. Kaki aku sudah mengalah dengan bukit-bukau, tidak lagi aku melawan mereka. 

20 km, aku terserempak seorang budak 20an duduk di tepi denai dengan darah mengalir dari hidung dan bibir. Beberapa peserta lain sedang merawatnya. Mereka tarik mangsa dan basikal ke tepi agar tidak dilanggar basikal lain. Aku lihat di tanah darahnya banyak tertumpah. Kemudian datang seorang marsyal dengan motorsikal mengambil mangsa untuk rawatan selanjutnya. 

(Selepas habis jambori aku jumpa mangsa di khemah rawatan. Ceritanya  Dia pinjam basikal kawan. Ini kayuhan pertamanya. Dia kalah dengan strok haba dan kepenatan lantas pitam semasa kayuh. Mangsa tidak ingat pun waktu dia jatuh. Sedar-sedar dia sudah membonceng motor marsyal. "Boleh dapat medal ke?" tanya mangsa)

Sesekali aku berselisih dengan kumpulan peserta saling membantu baiki basikal seperti tayar bocor atau rantai putus. Sikap mereka sangat terpuji. Mungkin mereka tidak kenal pun antara satu sama lain. Di denai ini mereka menjadi saudara. Ada juga peserta-peserta yang berehat di bawah teduh sambil bersembang dan bergurau sepertinya mereka bukan dalam perlumbaan. Santai sekali.

26 km, denai mula berubah dari kebun kelapa sawit yang redup kepada kebun lalang, kepada padang pokok menjalar dan kepada taman pasir bebatuan. Kemudian aku bertemu semula dengan jalan aspal di mana redup pokok menjadi langka. Cuaca hari itu mencapai 34 darjah celcius. Badan mandi keringat dan matahari makin menyengat. 

29 km, ada simpang masuk ke dari jalan aspal ke offroad semula. Di situ, aku lepaskan basikal dan rebah. Aku tidak mampu berdiri lagi kerana otot kaki sakit kekejangan. Aku bersandar di pokok. Marsyal simpang merawat dengan menyembur otot dan memberi air. Beberapa peserta lain yang kejang turut tumbang di tempat sama. Aku sudah tidak peduli siapa yang memintas aku. Rehat juga adalah cara merawat kekejangan.

Bila otot aku sudah lembut dan kendur, aku kembali mengayuh. 

Laluan akhir adalah offroad berselekoh dan muka bumi bergelombang. Tinggal 1 km lagi. Dari kejauhan sudah kedengaran sayup pembesar suara riuh meraikan pemenang-pemenang podium. 

Aku kayuh dalam tempo yang perlahan bagi mengelakkan kekejangan.

"Tolong! Tolong! Tolong!" aku dengar jeritan di balik selekoh yang dilindungi pepohon. 

Aku dapati seorang anak muda 20an kekejangan di atas basikal. Terlalu keras kakinya sehingga untuk turun basikal pun tidak boleh. Aku campak basikal aku dan perlahan-lahan rebahkan dia bawah redup pokok. Dia mengerang kesakitan sambil merungut tentang rekabentuk denai yang banyak bukit. Aku ulang-ulang sembur penyejuk untuk rehatkan ototnya. Aku picit-picit ototnya. 

Kami berteduh sebentar.

Bila kami cukup tenaga, kami gagahkan diri untuk tamatkan kayuhan. Riuh rendah keraian podium semakin jelas. Aku harap mereka tidak mulakan cabutan bertuah tanpa aku.

30 km. 12.30 tengahari, aku dihulurkan medal penamat. Tertera atas pingat, aku ini penamat ke-507. Aku fikir sekianlah derita otot aku untuk hari tersebut. Aku hari ini lebih baik dari yang semalam sebab sekurang-kurangnya aku kini pernah menghabiskan jambori (atau jambori menghabiskan aku.) 

Aku raba-raba saku dan beg basikal mencari telefon. Aku mahu sync data meter basikal dengan telefon tetapi telefon aku tiada. Sah cicir! Aduh! Aku ini macam Pak Kaduk sungguh. Terlalu berharapkan cabutan betuah, dapat pula cabutan malang.

Aku maklumkan seorang marsyal jambori jika terjumpa telefon, sila hubungi aku. Dia tawarkan untuk menyusur kembali laluan denai untuk mencari telefon itu dengan motor. Aku pun membonceng. Sepanjang jalan berselisih dengan beberapa sisa penunggang yang gigih mengagahkan diri menamatkan jambori.

Aku minta marsyal itu berhenti di tempat aku bantu orang kejang tadi. Alhamdulillah jumpa telefon di balik lalang. Mungkin cicir masa aku campak basikal ketika kecemasan tadi.

Sekonyong-konyong muncul seorang peserta menyorong basikal dan tumbang di tempat yang sama. Parah sangat kejangnya. Marsyal mencadangkan mangsa membonceng motornya dan aku kayuh basikal mangsa ke garis penamat. Aku akur walaupun kekejangan aku masih terasa.  Aku kayuh perlahan ke garis penamat sekali lagi tapi kali ini aku ikut jalan pintas aspal. Dua kali aku lalu garis penamat hari itu.

Hakikatnya lumba-lumba adalah haiwan yang berkerjasama. Saintis merakamkan bagaimana 5-6 ekor lumba-lumba bergotong royong mengepung dan mengumpul ikan untuk disambar. Mereka haiwan sosial berkawanan yang mungkin gagal jika hidup secara solo. 

Aku juga gagal jika hanya menumpukan kepada sengit persaingan. Aku berdamai dengan format jambori kerana selain medal fizikal yang diraikan, ada piala-piala tidak nampak dek mata yang aku kutip sepanjang denai 30km ini. 

Aku sync data kayuhan dari meter ke telefon. Jarak 31.07km. Purata kelajuan 13km/jam. Kutipan ketinggian 516m. Tempoh keseluruhan 4.30 jam. Tempoh pergerakan 2.23 jam. 

Aduhai! Tempoh berhenti lebih panjang dari tempoh bergerak.

Khamis, Ogos 10, 2023

66 MASUK WAD




Sakit aku tidaklah kronik tetapi menyebelkan sehingga aku tidak selesa berbasikal dan kecergasan merudum. Kali terakhir aku kayuh (Loop Bandar Tenggara -Pasir Asam), kawan aku dorong dari belakang sebab aku terlalu santai. 


 Eczema buat tangan aku gatal dan luka-luka. Aku kena terus ikhtiar cari penawar.


Masa aku masuk wad untuk rawatan eczema, aku dapati hampir semua pesakit punya penyakit yang lebih teruk. Rakan satu wad aku contohnya, dia ada sakit salur penafasan dan paru-paru. 


Namanya Gan. Orangnya kecil kurus, umur sekitar 45. Seorang, juruletrik berasal dari Kulai. Kami cepat mesra. Kami bersembang tentang penyakit, ekonomi, politik dan macam-macam lagi. Kami saling menasihati tentang diet yang baik. Dua orang gagal memberi petua, bagus sangat la tu. 


Pagi itu dia mengadu.


“Saya tidak boleh tidur,” kata dia.


“Saya tidur nyenyak lepas makan ubat,” balas aku.


“Awak dengkur kuat.”


“Maaf, ganggu awak.”


“Saya tidak boleh tidur sebab batuk-batuk maaa. Kalau saya boleh tidur, saya pun dengkur sama awak.”


Rupanya dia cemburukan tidur aku. Kami ketawa.


Malam berikutnya doktor sudah benarkan aku balik. Gan turut turun hantar sampai pintu hospital.


Gan  cucuh rokok di luar pagar hospital sebelum aku masuk kereta. Aku perokok sosial, aku pun cucuh sebatang. Malam itu kami rasa muda macam watak filem Hong Kong, Young and Dangerous. 

Isnin, Jun 26, 2023

065 HARI BASIKAL SEDUNIA

Jarum panjang memotong jarum pendek yang menunjukkan pukul 12.  Sekarang sudah masuk tanggal 3 Jun 2023.

3 June 2023 adalah hari basikal sedunia dan aku lihat ramai kawan-kawan memuat naik video dan imej meraikan hari penting ini. Aku pun tidak mahu ketinggalan. Aku guna potongan-potongan video kelana berbasikal bersama rakan-rakan lantas menghasilkan sebuah video pendek pesanan masyarakat Hari Basikal Sedunia. Semua ini dilakukan atas telefon bimbit sahaja.

Ketika Kakak Kau menemui video itu di Instagram, wajahnya menunjukkan ekspresi yang suam-suam kuku. Aku tidak dapat membaca dengan pasti sama ada dia terkesan atau tidak dengan karya aku. Dalam hati, aku berharap agar dia dapat memberikan pandangan yang positif sebab dia juga seorang pengayuh. Malah, dia lebih basikal dari aku.

Petang hari tersebut, dalam Whatsapp Group Basikal ada orang mengucapkan selamat hari jadi kepada Kakak Kau. Alamak! Aku telah terlepas pandang hari penting itu. Biasanya akulah orang pertama yang mengucapkannya.

Tetapi 3 Jun masih berbaki 7 jam lagi.

Dengan tangkas aku cari video kami berdua. Aku cari runut bunyi yang romantik. Aku pilih Untuk Mu Kekasih nyanyian  Ebiet G. Ade. 

Ingin berjalan berdua denganmu kekasih

Lewati malam setelah usia rinai gerimis

Lelawajar luruh dengan rumput biru

Jemari tangan kita lekat jadi satu

Pipimu memerah hasratku merekah

Kenapakah waktu tertinggal jauh?

Dan aku pesan kek untuk hari tersebut. Setelah makan malam selesai, kami sekeluarga cuci mulut dengan kek. Aku harap hari jadi Kakak Kau merasa istimewa. Aku harap Kakak Kau tidar sedar yang aku ini terlupa.

Dan malam pun terus melebarkan sayapnya. Masa untuk tidur. Lampu pun dipadamkan.

Jarum panjang memotong jarum pendek yang menunjukkan pukul 12.  Sekarang sudah masuk tanggal 4 Jun 2023. Dalam gelap malam aku terasa satu cubitan yang kuat di perut. Dan cubitan itu dipulas keras seperti orang memulas punat siaran tv lama era 70-an. Aduh!




Khamis, Jun 15, 2023

064 ECZEMA



Kalau betullah kata orang-orang tua bahawa gatal tapak tangan merupakan tanda mahu terima duit, maka kaya rayalah aku. Malangnya mitos belaka dan aku masih seperti aku dulu, belum kaya lagi. Kalau kau tanya aku tentang gatal tapak tangan, jawapan aku tangan itu ada kuman!

Setahun kebelakangan ini, aku mengalami eczema di mana tapak tangan dan kaki dipenuhi bintil dengan cecair jernih. Ianya gatal mengenyam. Kulit mengeras dan mengelupas hingga menghasilkan luka-luka kecil. Luka-luka ini pedih apabila terkena air, garam dan minyak wangi. Kondisi ini pasang surut bergantung kepada ubat yang aku ada. Ketika tahap maksima aku tidak boleh mengenggam dengan kuat hingga menukar gear kereta pun dengan dua tangan. Turun downhill offroad pun pernah terlepas handle basikal. Selain itu, aku terpaksa mandi dengan memakai sarung tangan getah bagi mengelak pedih luka terkena air. 

Ketika tahap minima pula, aku lupa diri dan makan cucur udang dengan kuah kacang. Mendapat!

Apakah punca eczema ini? Puncanya belum difahami sepenuhnya oleh saintis namun begitu mereka menduga puncanya mungkin allergen seperti:

  • sentuhan bahan kimia seperti sabun
  • sentuhan logam terutama nikel
  • makanan kekacang dan seafood
  • kerungsingan
  • keturunan

Kemungkinan lain yang disebut oleh orang tua:

  • aku berhenti hisap rokok
  • vaksin ganggu imuniti
  • pemindahan darah
  • ditegur jin hutan

Orang tua yang menyebut perkara di atas adalah aku sendiri, apabila aku memikir-mikir terlalu jauh tentang penyakit misteri ini. Aku tercari-cari logiknya ketika aku seusia ini dapat penyakit seperti ruam-ruam baby. Mungkin kalian selayaknya panggil aku baby.

Menurut saintis, allergen mencetus gangguan imunologi yang menyebabkan sistem kekebalan tubuh menjadi hiperaktif atau menyerang komponen tubuh sendiri hingga menghasilkan radang. Radang ini memicu pelepasan histamin dalam tubuh. Untuk menenangkan radang ini, doktor memberi aku:

  • Cetrizine HC- pil anti histamin
  • Prednisolone - pil steroid
  • Betamethasone - krim steroid
Dan aku tambah:
  • Bepanthen - krim antiseptik rawat luka
Tidak kurang juga kawan-kawan yang memberi petua dan mencadangkan krim itu dan ini. Maka, banyaklah krim segala macam sekarang dalam laci ubat aku. Belum tentu lagi mana yang mujarab.

Oleh kerana keadaan kesihatan aku yang tidak menentu dan cap jari di tangan aku terhakis, aku tangguhkan dulu mana-mana kayuhan jauh terutama yang melibatkan luar negara. (Perghh sembang macam pelumba professional). Aku kayuh dekat-dekat sahaja. 

Rabu, Mei 31, 2023

063 ULU SEDILI : PERJALANAN KELUAR

Tepat jam 12 kami bertolak pulang. Ya, secara harfiahnya bertolak kerana pemulaan denai pulang ada selut dan basikal perlu didorong.

Kumpulan Air Tawar berkayuh pantas. Entah apa yang dikejar- realiti dan tamadun manusia? Aku biarkan Atoi mengejar mereka. Aku pula berkayuh santai kerana hati keberatan untuk meninggalkan hutan hujan semula jadi ini. 

Derailleur Cikgu Nazri patah di pejalanan lantas dia pomenkan basikal itu menjadi kelajuan tunggal /single speed. Itupun dia masih laju sehingga putus rantai pula. Cikgu Nazri tidak mudah kalah, jika tidak dapat ke Taman Negara dia beralih ke Ulu Sedili. Sekarang rantainya putus, dia tow basikalnya ke luar dari hutan dengan tali sementara isterinya Lia, mengemudi basikal tanpa rantai itu. 

Berdesup juga perginya.

Derailleur Baan,  anak buahnya, pula terpatah. Ini pun sama, berdesup walaupun single chainring. Apalah makanan Geng Air Tawar ni? Kelapa sawit madu barang kali.

Kayuhan pulang lebih laju berbanding kayuhan datang. Mungkin pokok sudah kenal. Aku pikul sendiri beg sepanjang perjalanan. Bukit-bukau masih sama tapi gurauannya tidaklah kasar sangat. 2-3 kali juga aku jatuh kerana kelajuan. Adat la tu. Kemalangan yang paling teruk adalah terlanggar dahan kayu mati dan aku jatuh tergolek ke dalam belukar. Aku bangkit dan mengebas habuk dan terus sambung semula perjalanan.

Setibanya aku di pintu ladang, petugas Bangladesh yang menjaga pintu menyerahkan selipar aku yang tercicir. Alhamdulillah, panjang jodoh aku dengan selipar itu. Dia jumpa di denai katanya.

Tayar basikal Atoi bocor (bocor 4) sebelum masuk ke jalan tar. Bocor lagi, Macam iklan lampin budak dah. Dia segera membaiki tayar dengan tiub rizab yang terakhir dan berkayuh ke arah Surau Sungai Ara yang jaraknya hanya  5 km lagi.

Lengkaplah cerita 3 hari 2 malam apabila kami tiba semula di Surau Sungai Ara, garis penamat. Dan, aku jumpa semula rokok aku. Ia masih ada di atas tembok surau tempat aku tinggalkan. Kalau sekotak rokok itu boleh bercakap, pastinya dia berkata, "Tak ajak."

062 ULU SEDILI: PERKHEMAHAN


6.30 petang kami  sampai di tapak perkhemahan. Setibanya di situ tayar basikal Atoi bocor lagi. Atoi segera menampal (Bocor 2). Lepas tampal bocor lagi.(Bocor 3). Setelah dikaji-kaji baru jumpa punca durinya.

Ketua kumpulan Air Tawar, Cikgu Nazri dan Acai menyambut kami dengan baik. Hari semakin gelap, kami segera mendirikan khemah dan masak untuk makan malam dalam keadaan penat berkayuh. Lepas makan, baru mental dan tubuh kembali segar.

Gen-X membesar ketika Dunhill menaja Piala Malaysia. Pada kami, rokok merupakan gam ikatan silturahim. Malam itu kami berbasa-basi sambil menguaci dan merokok. Sebagai perokok sosial, mungkin aku sebenarnya bukan mengemis rokok tetapi mengemis status sosial. 

Ramai yang tidur awal malam itu, satu-satu mula berdengkur. Perjalanan datang sangat meletihkan. Malam semakin larut. Aku pun masuk khemah dan tidur.

Embun jantan mula menitis di atas dedaunan.

Sebelum Subuh aku dikejutkan oleh suara Dino, geng Seberang Tambak. Awal sungguh dia bangkit memasak mi segera kerana lapar. Selepas sarapan, kumpulan Bukit Hantu dan Geng Seberang Tambak mengikut malim denai, Arep dan Zul hiking mencari air terjun. Kami bergerak menyusur sungai dan kadang-kadang menyeberang. 

Air terjun tidak dijumpai tapi sebagai saguhati Zul membawa pulang lauk makan malam ke tapak perkhemahan. 

Baan teruja melihat lauk yang Zul bawa dan petang itu dia pula pergi mencari lauk dan membawa pulang beberapa kilo lagi. Ahli-ahli perkemahan bergilir-gilir bergambar dengan lauk yang diperolehi seolah-olah kamilah yang mengusahakannya.

Malam itu kami makan sedap. 

Lepas makan, kami berbasa-basi bersembang macam biasa. Arip membawa cerita-cerita misteri jam 12 dan Geng Temasik berkongsi kisah scene basikal Singapura. Nak dijadikan cerita, terbongkar sejarah bahawa aku dan Cikgu Nazri pernah tinggal di Blok C, Flat Bukit Chagar. Bukan itu sahaja, dia juga suka makan soto arwah mentua aku di Blok A. 

Cuma, tempatnya sama tetapi masanya berbeza. Waktu Cikgu Nazri masuk Flat Bukit Chagar, aku sudah bermusafir menuntut ilmu di negeri orang putih.

Bila malam semakin larut, tinggal 2-3 orang sahaja yang larat bercengkang mata. Aku mendengar perbualan dari atas hammock hingga tertidur.

Pagi hari terakhir kami bersarapan dan berkemas.



Selasa, Mei 30, 2023

061 HUTAN ULU SEDILI : PERJALANAN MASUK

Aku tertinggal sekotak rokok atas tembok Surau Sungai Ara, tempat kami parkir kereta dan mengemas-ngemas basikal. Di sinilah garis permulaan kayuhan perkhemahan basikal ke Ulu Sedili selama 3 hari 2 malam. 

Kayuhan kali ini dianjurkan oleh kumpulan Basikal Lasak Air Tawar. Selain dari kami, geng lain yang turut serta adalah Geng Tiram dan Geng Seberang Tambak. Kekuatan kami berjumlah 16 pengayuh.

Aku ini bukanlah perokok tegar. Aku hanya perokok sosial yang merancang menggunakan rokok sebagai alat pencetus "brotherhood" di kalangan geng-geng yang bakal dikenali. Sekarang rokok aku sudah tercicir menjadikan markah abang besar turun beberapa tangga. 

Petualangan Ulu Sedili merupakan pelan C. Pelan A asalnya mahu ke Taman Negara sebelum Ramadan tetapi hujan lebat turun di Selatan Malaysia hingga bah tempat yang di tuju. Pelan B pula menuju tempat yang sama tetapi pada hari lain. Malangnya, sehari sebelum hari bahagia, kami mendapat  berita permit hutan tidak lulus kerana tempat dituju masih rosak belum dipulih akibat banjir yang lepas. 

Apa pun, tidak guna mengenang rokok yang kehilangan itu. Orang lain masalahnya lebih parah dari keciciran rokok. Contohnya, tayar basikal Atoi bocor sebelum kayuhan bermula (Bocor 1).

Kehilangan dan penemuan menawarkan pandangan tentang sifat sementara kehidupan, pentingnya penghargaan dan rasa syukur, serta perlunya ketahanan dan kemampuan beradaptasi dalam menghadapi perubahan dan kesulitan. Pengajaran ini mendorong kita untuk merangkumi perubahan dan menghargai momen sekarang, dengan memahami bahawa tiada apa yang kekal statik selamanya. (Apa yang aku merepek ni? Perenggan ini aku minta ChatGPT sunting sebab jari aku dah penat menaip.)

Tidak mahu mengalah, Cikgu Nazri merancang Pelan C ke Hutan Simpan Ulu Sedili pula. Geng Air Tawar, Tiram dan Seberang Tambak berlepas seawal jam 9 pagi tetapi kami dari kumpulan basikal Bukit Hantu berlepas jam 2 petang kerana ada ahli kami yang mengikuti peperiksaan penting pada paginya.

Kumpulan Bukit Hantu terdiri dari aku, Akak Kau, Atoi, dan Dura The Explorer.

Satu perkara yang aku belajar tentang perkhemahan berbasikal ke dalam belantara adalah barang mesti diikat kemas ke basikal atau badan. Masing-masing memikul beban 10-20 kg bekalan dan pekakasan. Jangan ada digantung-gantung bergoyang-goyang macam tanglung. Denai hutan kasar bergerutu, berlopak, bersemak-samun dan berbukit bukau. Barang sangat mudah tercicir apabila basikal bergegar. Dalam perjalanan pergi aku tercicir dan kehilangan selipar sepasang dan dalam perjalanan pulang pula aku kehilangan lampu basikal. Jodoh tidak panjang.

Biar hilang dunia, jangan hilang sabar. Di atas jalan tar di kampus, 25 km boleh dihabiskan dalam masa sejam. Di atas denai tanah ladang dan hutan, 25 km ini memakan masa 4 jam. Yang melambatkan perjalanan adalah denai yang barai dan kadang-kadang berlumpur. Jika salah pijak, kaki terjelus sampai ke betis. Apabila menyeberang sungai atau pya, penunggang perlu turun mendorong basikal. Basikal pastinya akan bergelumang dengan lumpur. Kayuhan yang awalnya lancar akan mula merisaukan apabila rantai berbunyi kasar menandakan ada lumpur di celah-celahnya.

Mental kami koyak sedikit dalam perjalanan ke tapak perkhemahan kerana kami masuk kepala denai lewat tanpa malim. Malim denai sudah pergi awal bersama kumpulan utama. Mereka ada memasang penanda tetapi jarak satu tanda ke satu tanda lain agak jauh sehingga menimbulkan kesangsian. Dalam perjalanan, kami kurang berhenti makan atau berfoto-fotoan kerana sasaran kami adalah untuk sampai sebelum gelap.

Peha aku kena tersimpul biawak. Mula-mula sebelah kiri, kemudia kanan dan akhirnya dua-dua sekali gus. Bahu aku sengal memikul beg sambil mengayuh. Atoi yang pernah berkerja sambilan sebagai porter menawarkan diri untuk ganti memikul beg. Awalnya aku tolak kerana ego tetapi akhirnya aku mengalah dan menerima tawaran. Terasa beban hilang dari pundak. Aku mengayuh seperti Son Goku baru mendapat tenaga Super Saiyan. Hamekapeha!

Sekitar jam 6 pm kami terserempak dengan malim denai, Arep dan Zul, sedang menghidupkan unggun di tengah jalan. Mereka menanti kami. Alhamdulillah, lega rasanya bertemu mereka. Rungsing juga kalau-kalau tersesat jalan. Arep dan Zul kata, "Sudah dekat."

Kami teruskan kayuhan.


Rabu, Mei 24, 2023

060 GANU TOUR

Ramai orang bercakap tentang mahu ke sana ke sini, tetapi akhirnya tidak pergi ke mana-mana pun. Aku ada cara tersendiri untuk menjalankan sesuatu hingga berjaya.

Mula-mula, aku menetapkan jumlah peserta minimum untuk sesuatu perjalanan. Jika tempat tersebut mempunyai banyak kemudahan, jumlah peserta minimum adalah 2-3 orang bergantung pada kesulitan, dan untuk tempat-tempat yang terpencil seperti hutan belantara, jumlah peserta minimum adalah 7 orang. Biasanya aku akan berhubungan secara peribadi dengan peserta inti ini untuk mendapatkan komitmen mereka.

Kemudian, aku akan mencadangkan laluan perjalanan kepada kumpulan kecil. Aku akan memberikan peta melalui aplikasi Google Map atau Komoot. Kumpulan kecil ini akan berbincang untuk mencapai kata sepakat mengenai laluan dan jarak.

Setelah itu, aku akan menetapkan jumlah maksimum peserta, iaitu 10 orang untuk laluan yang sibuk dan 14 orang untuk offroad hutan hujan khatulistiwa. Untuk ini, aku akan membuka tawaran di dalam kumpulan Whatsapp basikal. Aku akan mengutip bayaran komitmen. Aku juga akan mengadakan mesyuarat dan mengagihkan tugas kepada setiap individu mengenai apa yang perlu dibawa dan dilakukan. InsyaAllah, petualangan akan menjadi kenyataan.

Dari 28 April hingga 2 Mei 2023, laluan asalnya adalah Marang-Kg. Mangkok-Sungai Payung-Kenyir-Marang, iaitu Ganu Tour. Walaupun perancangan telah dibuat mengenai tempat memulakan perjalanan dan tempat untuk bermalam, aku tetap mengambil kira bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalanku. Kami membawa kemah, dan pilihan terakhir bagi penginapan adalah perkhemahan liar.

Semasa perjalanan ke Marang, kami mendapati Pulau Kekabu di Marang sebagai tempat perkhemahan yang kurang selesa. Oleh itu, kami merujuk Google Map untuk mencari alternatif. Kami menemui Pantai Angin Berbisik di Merchang yang sangat sesuai dan tidak terlalu ramai kerana belum popular. Alhamdulillah, kami tiba di sana pada jam 7.30 malam dan mendapati tempatnya indah dan lengkap dengan kemudahan.

Dalam perancangan kami, kami akan bermalam di House Boat di Kenyir dan esoknya menunggang basikal sejauh 70 km ke Marang untuk menaiki bot ke Pulau Kapas. Terdapat dua perkara yang kami terlepas pandang.

Tidak berbaloi untuk menyewa house boat untuk tempoh penginapan yang singkat. Jika tidak, kami akan berlayar ke tempat-tempat di Tasik Kenyir kerana objektif utama kami adalah berbasikal.

Jarak 70 km dari Kenyir ke Marang agak jauh untuk mengejar bot Pulau Kapas yang berlepas pada pukul 3 petang.

Kami kemudian merujuk Google Map sekali lagi untuk merapatkan jarak perjalanan supaya kami dapat mengejar bot keesokan harinya. Pelan B ialah bermalam di Masjid Kampung Matang, tetapi setibanya di sana, cuaca masih cerah. Jadi, kami memilih Pelan C, iaitu menunggang basikal sehingga waktu Maghrib. Alhamdulillah, kami bertemu dengan Homestay Kak Yah di Kuala Telemong, bersebelahan Masjid Padang Kachong aka Masjid Haji Abdul Rahman Limbong. Tempat ini juga mempunyai sejarah kerana terdapat kubur 12 petani yang ditembak oleh Polis British pada tahun 1928.

Secara umumnya Ganu Tour tidaklah rumit bagi kami. Kecergasan kami berada pada tahap yang cukup, kalau tidak kuat pun. Mental kami juga kuat dan tidak mudah koyak. Banyak ketawa sepanjang kayuhan. Benarlah kata orang, gagal merancang, merancang kegagalan, tetapi sebagai manusia kita hanya boleh merancang. Allah sebaik perancang.

Dalam Ganu Tour, cabaran paling tinggi datang dari gelombang haba. Musim agaknya. Syawal pula mengalami kemalangan kecil dengan terlanggar kereta yang di parkir. Calar sedikit sikunya.  Tetapi, yang paling banyak dugaan adalah Baidura, dompetnya tercicir di Merchang dan kami terpaksa berpatah balik, alarm keretanya buat hal di Merchang, tongkat basikal pula patah di Chenok, dan akhirnya beg pannier Rhinowalknya pecah dalam 10 km sebelum loop selesai. Dia tetap tersenyum dalam tabah.

Tidak semua perkara berada di bawah kawalan kita sepenuhnya. Kita perlu tawakal dan redho dengan takdir yang tersurat untuk kita. Kita perlu jangka akan adanya perubahan  dan menghadapi dugaan yang datang dengan berlapang dada.


Selasa, Mac 14, 2023

059 SKIRT

Ketika memandu ke pejabat aku nampak seorang pelajar perempuan atas basikal menuju ke arah bertentangan. Dia berhenti sambil terteleng-teleng ke arah gear cassete. Benda pertama yang aku perasan, jenama basikalnya. Exitway MTB biasanya basikal marhaen. Saddlenya terlalu rendah di mana apabila  duduk, tapak kaki boleh cecah jalan. Posisi ini tidak ergonomik untuk menunggang. Pastinya dia bukan penunggang tegar. 

Orangnya bertopi lebar dan berskirt. Kemungkinan besar pelajar asing dengan basikal pijam atau terpakai. Kereta melepasi dia. Aku lihat di cermin pandang belakang, dia masih tidak bergerak. Dia masih memerhatikan cassete seperti ada masalah teknikal. 

Kereta terus maju. Perempuan itu hilang dari pandangan tetapi kepala aku masih berkira-kira hisab moden tambahan algebra kalkulus  samada mahu membantu atau tidak. Atau, aku tidak harus jaga tepi kain orang. Kemudian aku letak diri dalam kasutnya. Tentu dia sedang tertekan atau cemas. 

Aku teringat semasa aku jatuh motor di El Paso, Texas 30 tahun dahulu. Orang tempatan di sana membantu hantar aku ke hospital.

Aku pun buat U Turn. Dari kejauhan aku nampak dia masih di tempat sama atas basikal tetapi kali ini membetul-betulkan skirt. Hmmm mungkin dia tidak perlukan bantuan. Aku park 50 meter  dan perhatikan dari jauh dahulu. 

Dia masih di situ meneleng ke belakang ke arah skirt. Mungkin dia ada masalah busana. Hmmm... apa aku tahu tentang gaya skirt? Nothing. 

Matahari makin meninggi. Dia masih di situ berpanas. That's it.

Aku keluar dari kereta dan berjalan ke arahnya. "Do you need any help?" sapa aku.

Dia mendongak. Kini baru jelas mukanya di bawah soyok topi lebar itu. Seorang wanita caucasian. "My skirt got caught in the wheel..."

Aku lihat skirt dia bergulung celah kaset. Patutlah dia tidak turun basikal walaupun ada masalah teknikal.

"I shouldn't be wearing..." dia cuba terus menjelaskan. 

Aku angkat belakang basikalnya agar roda tidak cecah tanah. Aku golekkan roda ke arah belakang langsung membebaskan skirtnya. Skirt itu terlepas dari gear cassete. Nampaknya hitam bergelumang minyak rantai dan tercarik sejengkal bahagian itu. 

"You are good now," aku bersuara ceria. 

Dia macam nak berkata sesuatu tetapi tidak jumpa perkataan.

"Take care." Aku pun berlalu pergi menuju ke arah kereta. 

Dari cermin belakang aku nampak dia menyorong basikal ke arah redup pokok. I feel good today. Hati berbunga-bunga.

Kau jangan tulis komen, "And that's how I met your mother." Aku sudah terlalu tua untuk itu. I feel good sebab I was presented with the opportunity to do an act of random kindness. That's that. 

Stadium Asalnya Dimiliki Oleh Kelab Sukan Tamilian Physical Cultural Association (TPCA).

Kombinasi gambar, kelihatan orang awam berdiri di atas basikal masing-masing semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung. Dalam gambar lagi satu pula kelihatan seorang lelaki berdiri pada tiang lampu dan seorang lagi lelaki di bawah sedang cuba untuk mencuba tiang tersebut.

Pada tahun 1982, kerajaan Malaysia telah mengambil alih stadium tersebut, dan kini dikenali sebagai Stadium Jalan Raja Muda.




Selasa, Mac 07, 2023

058 DEGIL

Gagal merancang, merancamg kegagalan. Ceritanya, kami 20 penunggang MTB ambil masa 2 bulan merancang bikecamp ke Taman Negara.

Petualangan ini 50km ride dari Kampung Kahang ke hutan Lemako. 3D2N. Epic gila!

Bagaimana kalau ada kecemasan dalam hutan? Kita tempah emergency 4WD. 

Bagaimana kalau 4WD itu yang sangkut? Kita tambah RM25/pax untuk tempah 4WD kedua untuk tarik 4WD pertama.

Video petualangan ini bakal sedap! 

Dalam whatsapp group kami siap buat countdown setiap hari. 30 hari lagi. 29, 28…

7 hari lagi tapi aku mesti ke Thai untuk satu majlis. Tidak mengapa, aku pendekkan jerayawara Thai itu.

2 hari lagi… Zas! Mendung gelap berarak. Langit kelabu terbuka dan hujan turun dengan lebatnya.

Beberapa jalan di Johor dinaiki air. 

Bagaimana dengan plan B? Jalan alternatif juga putus. 

Plan C? Lokasi dituju tenggelam. Kampung orang asli berdekatan pun nampak bumbung sahaja.

Projek Lemako terpaksa dibatalkan. Kami semua hampa.

Degil, untuk mengubat kecewa, kami berlima memandu ke Pantai Penggerang untuk berkhemah di sana. 

Matahari tidak kelihatan tetapi tidak hujan. Kami pun bertindak. Sebenarnya, tuan tanah perkhemahan sudah batalkan semua tempahan kerana musim hujan tapi simpatikan kami yang datang walk in, dia benarkan juga kami dirikan khemah.

Siap pasang khemah, hujan turun menderu. Fly aku sudah habis lapis waterproofing rupanya. Air menitik-nitik bocor. 


Soekarno membonceng Fatmawati dengan sepeda ontel.




Ahad, Februari 19, 2023

057 GUGUSAN FELDA AIR TAWAR DAN TANGGA 7


Sebelum bikepacking masuk hutan Sumalayang dahulu, rajin aku mengkaji media sosial kumpulan yang pernah masuk ke situ. Aku cuba fahamkan muka bumi denai di sana. Orang-orang dalam kumpulan yang selalu bikepacking ke dalam hutan pun mula sedar akan kewujudan dan kecenderungan aku. 

Suatu hari, mereka menjemput aku untuk kayuhan masuk ke Taman Negara. Aku setuju walaupun aku tidak pernah jumpa mereka secara bersemuka.

Mereka ada buat sesi latihan persediaan untuk kayuhan ke Taman Negara dan aku ambil peluang untuk mengenali mereka secara lebih rapat.

Dalam sesi latihan Loop Air Tawar, aku dapati mereka sangat berdisiplin. Aku mesti bergerak ikut masa mereka hingga terpaksa tangguhkan sarapan.

Jika ada orang lewat, mereka tinggalkan dan tunggu di hadapan. Orang lewat mesti mengejar. 

Ada peserta yang tidak cergas pada hari latihan dan kayuhannya perlahan. Perancangan aku adalah berkayuh di belakang bersama peserta yang tidak cergas itu agar aku boleh santai-santai. Malangnya peserta yang perlahan itu ambil keputusan untuk chicken out selepas berhenti sarapan. Aku terpaksa kembali ikut rentak kumpulan utama.

Kumpulan ini bukanlah laju berlumba macam atlit olimpik tapi disiplin mereka tegas. Mereka berhenti rehat tidak lama kerana ada mileage sasaran untuk hari itu. Ini mestilah dilengkapkan sebelum asar. Mereka cenderung untuk mencabar limit mereka sehingga kaki krem atau bonk. Aku pun terpaksa ikut rentak itu.

Aku dapati kayuhan lebih sedap jika kita menduga had kecergasan. Kayuhan hari itu bermula dari jam 7.30 pagi dan berakhir jam 5 petang. Kami meneroka Air Tawar 1, Sungai Layau, Air Tawar 5, Air Tawar 4, Tangga 7 dan Air Tawar 2. Rekod mencatatkan 60km offroad dan 1000m elevation gain. Selalunya untuk sesi latihan aku buat 1/3 usaha sahaja daripada rekod itu. Memanglah penat dan sakit tetapi puas mengayuh. 

Aku syak sesi latihan ini lebih menduga berbanding perjalanan ke Taman Negara.

056 CABARAN TASIK MACHAP


Aku bandingan prestasi aku di Fun Ride Cabaran Tasik Machap 2022 vs 2023. Catatan 2023 lebih baik kerana kaki tidak krem walaupun tanda-tanda awal krem itu sudah ada.

Aku berjaya tamatkan Fun Ride lebih awal dari 2022, dan sempat bilas basikal dengan air bomba. Tahun lepas, bomba sudah balik baru aku sampai.

Hari itu aku pakai baju basikal ketat serba berdiri. Aku tengok foto aku, kurang manis.

Soalan untuk wanita: Jika seseorang menegur susu mu menonjol, perlukah kau nyatakan kebenaran bahawa ianya hanya span ilusi?

Soalan untuk persepeda ketat: Jika seseorang menegur bebird mu salah parking, perlukah kau berterus terang ianya hanya span alas agar kelengkang tak melecet?

Hadiah lucky draw utama Cabaran Tasik Machap fun ride 2023 ialah sebiji motor Modenas. Nombor naik 026. Nombor aku 025. Sipi! Tiada ong! 

Pulang dengan kaki sengal-sengal bergaduh dengan bukit. Pun begitu, malam itu aku masih tidur tersenyum. Puas kayuh.



055 PERIGI PORTUGIS


.

Melaka dijenamakan sebagai Bandar Bersejarah bertitik tolak dari pemulaan kerajaan kesultanan Melayu di tanah itu. Maka, banyaklah tinggalan sejarah dipelihara dandiwartakan sebagai artifak warisan bagi menarik minat pengembara

Ketika aku meneroka Google Map mencari-cari persinggahan menarik berhampiran dengan laluan Lahabau Tour, terjumpalah aku akan Perigi Portugis di Merlimau. Penasaran terdetik di hati aku kerana tempat ini jarang diuar-uar di media sosial. 

Setibanya aku dan kawan-kawan di lokasi, kami membaca maklumat tertampal. Perigi ini adalah tinggalan Portugis ketika mereka menjajah Melaka dahulu. Batunya khas diambil dari pulau berhampiran. Kegunaan perigi ini adalah menadah air minuman. Dikatakan perigi ini tidak pernah kering dan menjadi sumber air penduduk tempatan.

Bila aku menghampiri perigi, ianya hanya perigi buta dengan ke dalaman sekitar 2 meter dan dipenuhi pasir. Tiada air, hanya pasir dan sedikit rumput-rumput.

Tidak pernah kering? Melaka patut dijenamakan Bandar Sembang atau Bandar Mitos.


Khamis, Januari 26, 2023

054 HUJAN AIR DI MELAKA


Apa berlaku kepada rombongan jelajah berbasikal apabila hujan? Jika engkau tidak mengejar masa, engkau berteduh. Jika engkau mengejar masa atau mengelak kayuh malam, terpaksa tempuh huja juga. Sebelum itu, pastikan semua benda yang menyerap air seperti tuala disimpan dalam beg. Kalau guna saddle kulit, sarung dengan beg plastik.
Semasa aku dan kawan-kawan berhenti di Masjid Lama Machap, hujan turun agak lama. Kami pun berteduh. Aku ambil masa baca catatan sejarah Tok Machap.
Ketumbukan Tok Machap kalah dengan soldadu Portugis. Pengikutnya ramai yang mati dan cedera, malah anaknya sendiri cedera parah.
Mereka terpaksa lari mudik ke hulu dan berpecah mengikut aliran sungai. Soldadu Portugis mengejar dari belakang.
Kumpulan Tok Machap bertemu jalan buntu kerana sungai mengecil dan mencetek. Hanya kepada Tuhan mereka berdoa dalam keadaan genting ini.
Tuhan menurunkan hujan lebat dan aliran sungai yang terhalang dek kayu kayan bersih kerana bah. Air bertambah tinggi dan perahu mereka boleh terus mudik ke pendalaman.
Dipendekkan cerita, soldadu Portugis berhenti mengejar dan berpatah balik. Tok Machap membuka kampung yang kemudiannya menjadi pekan Machap di tebing Empangan Durian Tunggal, Melaka.
Hujan turun berterusan ketika engkau touring berbasikal, baju kering engkau sudah habis tetapi tidak usahlah mengeluh. Engkau berserah dan berdoalah.
Hampir 2 jam kami berteduh. Tiada tanda-tanda hujan akan berhenti, maka kami pun ambil keputusan untuk bergerak agar tidak kelewatan. Belum pun jauh sepelaung meninggalkan masjid, hujan pun berhenti.



053 PHOENIX BANGKIT


Aku duduk sebentar menghilangkan semput mendaki. Selepas itu aku cuba sambung kayuh tetapi vertigo datang seakan-akan aku bakal pitam. Babak sebegini semakin kerap menjadi klise hidup aku.

Plot catatan kayuhan ini bakal anti-klimaks. Petualangan basikal aku berakhir dengan bonk pasca-covid berpanjangan masuk 10 bulan.
Sudah jatuh ditimpa basikal, aku diserang pula marathon ceri-beri seminggu lamanya. Aku ke klinik mengadu. Doktor mencadangkan ujian darah.
Sudah jatuh ditimpa basikal, terjerumus pula ke dalam longkang. Ujian darah menunjukkan aku anaemia.
Bacaan hemoglobin darah:
8 ke atas —> Sederhana
6 hingga 8 —> Parah
6 ke bawah —> Mengancam Nyawa
Bacaan hemoglobin aku menunjukkan paras 6.6!
Tugas hemoglobin adalah mebawa oksigen dari paru-paru ke otot. Jantung perlu kerja keras mengepam darah jika hemoglobin rendah. Itu pasal aku cepat penat.
Aku check in hospital 3 hari 2 malam. Doktor masukkan darah 2 peket. Aku dibekalkan segenggam pil untuk naikkan bacaan hemoglobin. Selepas 2 minggu, bacaan semakin normal. Inilah ringkasan rawatan yang aku terima.
Aku cuba kayuh semula.
Bukit balai cerap lepas didaki tanpa semput. Bukit hantu offroad lepas didaki tanpa mencungap. Aku cuba bola keranjang 2 round. Not bad, menang dengan sumbangan 1 basket setiap round. Injap jantung aku berdetak steady.
Hello trouble! Kita mulakan dendam kayuhan jelajah phoenix bangkit dengan menentang dragonbacks! I am back baby.
P.S.
Saya sudah sembuh. Alhamdulillah. Terimakasih doanya. Aminnn.

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...