Selasa, Oktober 30, 2007

PENDIDIKAN SENI & VISUAL

Lawatan sambil belajar itu membawa kami ke beberapa galeri sekitar ibukota. Antara kami, akulah yang paling tidak seni. Lalu mereka pun memberi tunjuk ajar.

Rimau, engkau kena lihat mainan kombinasi warna dan depth.
Rimau, engkau kena perhatikan texture dan composition.
Rimau, engkau mesti cari makna yang tersirat sampai dapat.


Aku angguk sahaja. Tidak berani melawan. Guru-guru aku bengkeng orangnya.


(Klik gambar jika kalian mahu praktis ajaran guru-guru aku.)

Isnin, Oktober 29, 2007

NOTA PERIBADI

Terimakasih Naga kerana melukis untuk aku.

Terimaksih En. Azhar & geng kerna memberi komen tentang Universe Konkritjaya.

Terimakasih Pupe kerana memberi bumbung dan lantai.

Terimakasih Naga kerana jadi jurupandu aku untuk Lawatan Sambil Belajar ke galeri-galeri seni.

Terimakasih Jones kerana bayarkan tiket LRT aku.

Terimakasih Spyz kerana mengisi perut aku.

Terimakasih Jigo kerana menunggu aku.

Terimakasih Mie kerana bersalam dengan aku.

Terimakasih Cik Daun kerana hospitaliti Jawa.

Terimakasih Nesloice kerana membelikan buah semangka.

Terimakasih Kak Ya, kerna memberi peluang aku lelap.

Maaf Amyz, Sal, Nida dan Yadziz kerana tidak dapat menunggu kalian.

Tidak terimakasih kepada Datok Batu Lapan Sijangkang. Memanglah menjamu orang kampung itu sedekah dan bagus tetapi menyesakkan jalanraya adalah suatu yang jelek. Tidak semua orang mahu ke rumah Datok. Bukan Datok seorang yang buat Open House. Bila Datok menyusahkan saya, saya rasa mahu menyumpah Datok.

Selasa, Oktober 23, 2007

TALI LEHER

Aku duduk sebelah menyebelah dengan Aim atas sofa. Kami menunggu nama dipanggil untuk sesi temuduga.

Datang calon lain mahu duduk atas sofa juga. Dia menegur kami, "korang dari jabatan yang sama, pakai tali leher pun sama."

Aku melihat tali leher Aim. Aim melihat tali leher aku.

Tanahnya kelabu dan coraknya jalur-jalur diagonal berwarna merah.

"Student aku, Si Nasrah yang hadiahkan tali leher ini kepada aku. Dia kata, dia bagi aku seorang sahaja. Maklumlah, fevret lecturer," kata Aim.

"Dia pun kata benda yang sama masa dia bagi aku tali leher ni," balas aku.

"Ha! Ha! Ha!" ketawa calon yang lagi satu sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa.

Cemburu la tu. Corak tali leher dia tidak diagonal macam kami.


LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Cheaper replacement for Nuri Helicopter
Kulaifornia World!

Isnin, Oktober 22, 2007

TRAFIK RAYA

Benda paling akhir aku nak dengar setelah satu jam mengesot mengharung kesesakan trafik hari raya adalah komen dari penumpang yang baru terjaga dari tidur:

"Eh! Cepatnya kita sampai."

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Dean Sham The Director
Phu Ying The Muse

Khamis, Oktober 11, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA 3

Ada satu restoran di tepi lebuhraya utara selatan. Di sebelahnya ada stesen minyak. Ramai orang singgah di situ. Makanannya "fit for a king."

Di situlah Mobius duduk. Sendirian selepas terawikh. Melihat orang datang dan pergi.

Menjeruk rasa.

Burger kesukaannya yang dipesan tidak habis di makan. Pahit. Tetapi dia masih duduk tidak beralih. Menyeksa diri dalam neraka buatannya sendiri.

Dia tidak pedulikan orang ke angkasa, ke bulan atau ke bintang.

Di bumi ini pun tidak menang tangan dengan masalah.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Why we curse

Isnin, Oktober 08, 2007

KUBUR KATA MARI

Cari mim wau kaf ra ya.

Hari Raya sudah semakin hampir. Nanti 1 Syawal orang akan berpusu-pusu menziarah kubur. Parking untuk kereta pun susah mahu cari. Kita akan lihat orang berniaga bunga dan air mawar di kawasan kubur. Tidak kurang juga yang mengambil upah membersihkan kubur. Begitulah komersialnya Syawal.

Suatu hari nanti, akan ada pengkalan data yang boleh kalian google. Ada iklan lot kubur yang baik. Mungkin.

Yang jarang pergi akan tercari-cari kubur saudaranya. Masa kebumi dulu, kuburnya paling tepi sekali. Sekarang jirannya sudah banyak. Nombor kuburnya tiada yang catat pula. Tercari-cari. Terjenguk-jenguk. Terselak-selak kain pembungkus nesan. Tulisan jawi pula semuanya. Merangkak-merangkak membaca.

Cari mim wau kaf ra ya.

Ahad, Oktober 07, 2007

ANAK RUSA

Anak rusa nani
baru kembang ekor
Apa salah kami
Lalu tidak tegur?

LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Malaysian Politicians Say the Darndest Things by Amir Muhammad
Why Men Marry Bitches by Sherry Argov

Khamis, Oktober 04, 2007

SCREENING

Amir dan 3 orang botak.
Foto: Ehsan Lan Rasso

Film Screening and Dialogue Session
The Years of Living Vicariously by Amir Muhammad
2.30 pm - 5.00 pm, 3 Oct. 2007
Dewan Seminar, Level 4, D07,
UTM, Skudai.

Petikan dari filem yang samar-samar ingatan aku:
[Loghat Indon]
Yang bagus sekali, tidak pernah dilahirkan.
Yang bagus, dilahirkan dan mati semasa kecil.
Yang jelik sekali, dilahirkan dan hidup sampai ke tua.
Tidak mati-mati.
[/Loghat Indon]



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
Mak bapak suka sangat ambil gambar anak dan upload ke Web. Terlalu banyak foto bayi hingga kita boleh mual. Tapi yang ini lain. Kau tengok foto ni, dan engkau mungkin rasa nak segera kahwin dan nak anak cepat. Comelnya.

Rabu, Oktober 03, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA 2

"Engkau jangan main tuduh-tuduh sesuka hati engkau. Aku tidak ada pada malam itu. Aku ada alibi," kata syaitan mempertahankan diri. "Pada malam itu, seperti malam-malam Ramadhan yang lain, aku dipasung. Jangan engkau tuduh aku yang menghasut."

Mobius melihat sekeliling. Semua bukti menunding kepadanya. Dia kehabisan alasan.

Dia tidak boleh mempersalahkan sesiapa melainkan dirinya sendiri. Dosa malam itu adalah dosanya sendiri. Pada malam yang satu itu, dia kalah dengan nafsu.

Hanya rahmat Tuhan sahaja yang boleh menyelamatkan dia sekarang.

Selasa, Oktober 02, 2007

PERCAYA KEPADA NERAKA

"Kesengsaraan akan membuahkan hasil seni yang agung. Itu kata engkau dahulu. Nah! Ambil ini azab sengsara yang tidak terkira," malaikat yang bengis melibas cemetinya.

Kulit Mobius terbuka. Saraf-sarafnya menjadi paip untuk lahar mengalir. Seluruh tubuhnya memanas. Darahnya melampaui tahap didih. Menggelegak menjadi wap. Tubuhnya meronta-ronta mengikut arahan azab sengsara.

"Mana magnum opus engkau? Syairkanlah!" malaikat menempelak.

Bercakap pun tidak mungkin. Inikan pula mahu bersyair.

Lidah Mobius sudah hitam hangus. Melepuh-lepuh. Dulu lidah itu mengucap benda-benda haram. Dulu lidah itu menjamah benda-benda haram.

Mobius mengharapkan dia segera mati tetapi mana mungkin orang yang kembali hidup mati semula. Harapan akhirnya adalah rahmat dari Tuhan yang maha pengampun lagi mengasihi.

Isnin, Oktober 01, 2007

BARING DEPAN TV

Sabrinamon baring depan TV. Dia menonton kartun pada jam 10 malam.

"Asyik-asyik kartun! Bagi mama pulak tengok TV. Mama penat. Masak dan kemas. Biar mama rehat," aku memberi arahan.

Sabrinamon memuncungkan mulut dan bagi remote kepada Mamamon (minah cun yang mengorat aku).

Mamamon baring depan TV dan tekan punat remote. Dia layan CSI Miami. Cerita polis mencari bukti jenayah di Miami.

Tidak sampai 5 minit dia terlelap. Terlepas remote. Aku sambut remote itu.

Aku baring depan TV, sebelah Mamamon. Aku tekan punat remote. Aku layan Miami Ink. Cerita orang bisnes cacah di Miami.

Tidak sampai 5 minit suasana menjadi kabur. Gelap.

Aku terjaga jam 12.30 tengah malam.

Sabrinamon baring depan TV. Dia menonton kartun pada jam 12.30 tengah malam.

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...