Isnin, April 18, 2022

039 PISANG FUN RIDE MACHAP

 Kau pernah tak mandi outdoor dengan lelaki lain? Kemudian dia gosokkan belakang kau. Tak pernah? Lemah.

Aku pernah. Kejadian berlaku di Machap tanggal 1 Januari 2022.

Pagi itu aku dan Akak Kau menyertai Cabaran Tasik Machap. Inilah kali pertama aku menyertai satu acara berbasikal jenis Fun Ride berbayar. Kira bargain juga jika yuran RM50 dapat pisang berangan, aiskrim Malaysia, sarapan kuih, nasi berlauk, medal penamat, marshall simpang, rescue crew, t-shirt acara dan air mineral all you can drink. On top of those, ada cabutan bertuah. Kudos Machap Cycling Club sebagai penganjur utama. 

Idham yang ajak aku join fun ride ini. Aku pun why not.

Di garis permulaan ada 428 penunggang MTB lain dari 4 penjuru Johor bersedia memulakan cabaran (Editor: Sasaran asal 250 peserta tapi sambutan hebat hingga 430). Aku teka mereka ini bukan newbies jika melihat pada jenama basikal yang terlibat dan baju ketat siap bercetak nama team. Aku mula berdebar kerana tertekan dengan gaya peserta-peserta lain.

Bendera perlepasan dikibarkan sekitar 8.30 pagi. Peserta berhimpit-himpit berkayuh meninggalkan garis permulaan yang terletak di padang Majlis Daerah. Aku mula kayuhan dengan hati-hati sambil mengelak lecak di pintu keluar padang. 1km pertama sudah ada brader tergolek kerana hilang kawalan. Aku syak ini nak laju sangat punya pasal. 

Kelibat Idham dan Akak Kau hilang dalam keramaian. Idham mungkin di hadapan dan Akak Kau mungkin di belakang. Aku ambil keputusan kayuh ikut tempo biasa agar Akak Kau tidak jauh ketinggalan. Lagi pun aku kena elakkan tekanan dari penunggang yang biasa jamboree. Aku ingatkan diri this is just a fun ride. Fun adalah matlamat utama, bukan penyiksaan.

10 km pertama santai kerana denai offroad berupa laluan ladang sawit yang lebar dengan jenis tanah liat dan batu kerikil. Cuaca pula nyaman berawan. Tetapi ada juga kelihatan satu brader muntah tepi semak.  Rakannya mengosok gosok belakang  menenangkan dia. Aku syak ini kurang latihan punya pasal.

Dari jalan kebun sawit dan getah, denai mula masuk jalan kampung Felda Air Hitam. Ada satu bukit mendongak dipanggil orang sini sebagai Bukit Senyum. Di situ aku memotong beberapa penunggang yang mendorong basikal sambil mencungap dan mengucap. Di puncak Bukit Senyum aku berhenti rehat tersenyum bongkak. 

Aku, Idham dan Akak Kau regroup. Ada seorang makcik menawarkan seplastik kresek besar jambu air. Jambu itu pula sejuk dingin baru keluar peti ais. Bless the makcik. Aku makan 2 biji dan masukkan 10 biji dalam saku for the road. 

Gedegang! Satu brader misai beruban menukar gear secara memaksa menyebabkan rantainya jatuh tersepit antara sproket dan lidi. Dia terus paksa kayuhan sehingga basikal itu tidak boleh bergerak lagi. Dia mati akal dan meminta bantuan. 15 minit juga kami terkial-kial cuba melepaskan rantai yang tersepit tetapi gagal. We just didn't have the right tools.

"Abang tunggulah powil chicken kutip jap lagi, " nasihat aku. Brader misai beruban terpaksa akur.

Kayuhan diteruskan dengan kanak-kanak melambai dari beranda rumah felda. Ada anak dara menjemur kain tetapi aku tidak menoleh kerana Akak Kau follow rapat. (Jangan marah Yang. Xoxo).

15 km, kami berhenti rehat. Half-way Felda Air Hitam pit-stop menyajikan air cedok 3 warna, kuih muih, pisang berangan dan eskrem Malaysia. Aku makan ala kadar dan pekena rokok sebatang. Kemudian kayuhan diteruskan lagi menuju ke arah offroad berbukit single trail. Bukit Agong namanya.

Ketika mendaki Bukit Agong hujan mula turun. Setakat hujan tanpa ribut petir, aku okay. Yang aku jadi angin apabila ada kutu tiba-tiba u-turn di lereng bukit sebab dia nak ikut jalan pintas. Nak ikut jalan pintas dalam fun ride tu okay tetapi tempo kayuhan daki aku sudah lari sebab terlanggar dia.

Disiplin mendaki bukit sama macam disiplin game The Floor is Lava. Kalau kau sedang mendaki bukit mendongak, tiba-tiba kau berhenti dan letak kaki di tanah dikira game over. Susah nak mula kayuhan menaik di lereng bukit. Terpaksalah kau menyorong ke atas. So, next time jangan buat uturn mengejut atau berhenti di laluan pendaki. Beri laluan dan keutamaan kepada kayuhan pendaki please.

Anyway, mood aku kembali ceria bila dapat pemandangan dari puncak Bukit Agong overlooking bukit bukau menghijau dan tadahan tasik Machap. 

Done with the view, aku pun downhill. Ada pula kutu brek-brek masa downhill. Kenapa la kau main brek? Kita dah letih panjat bukit sepatutnya kita enjoy sakan reward turun bukit. Hmmm... Sabar je la. [Editor: Penulis riak nampaknya. Dia lupa Mei 2021 dia tergolek dog sebab enggan tekan brek] 

KM ke 20, penunggang sudah jarak-jarak antara satu sama lain. Hujan masih turun renyai-renyai. Single trail lembah Tasik Machap basah lecak berlumpur. Kadang-kadang, basikal terpaksa tempuh lopak air keruh. Dalam keadaan sejuk begini kaki senang krem. Ada seorang brader 20an tiba-tiba turun basikal dan baring ke tanah. Aku bantu dia dengan semburan ethylchloride pada peha dan betis. 500 m, jumpa lagi brader lain kekejangan. Aku sembur lagi. Muda-muda dah kejang, ish-ish-ish. 

1 km kemudian giliran aku pula kejang peha dan betis. Kiri dan kanan pula tu. Damn it. Baru aku sedar kekejangan otot tak kenal usia. Padan muka aku.

25 km berlalu, aku beritahu Akak Kau untuk perlahankan kayuhan. Akak Kau tanya kenapa dan aku jawab, "Kayuh laju cepat sampai dan habislah fun." Helah bela diri sahaja tu. Sebenarnya aku mahu kurangkan tekanan kayuhan pedal untuk elakkan kekejangan bertambah buruk. 

12 tengahari. Akhirnya kami sampai di garis penamat dan lengkaplah 30km dengan berlumpur tubuh keringat membasah bumi [Editor: Tiba-tiba rasa nak karaoke lagu Tiara oleh Kris]. Idham yang tiba lebih dahulu menyambut kami dengan tshirt acara yang bersih dan rambut rapi bersikat. Idham kata tadi ada bomba tolong sembur riders dan basikal berlumpur.

"Mana bomba tu?"

"Dah balik, air dia habis."

Aku doakan tiada rumah terbakar kawasan Machap tengahari itu. 

Kemudian, aku claim nasi bungkus, eskrem dan pisang berangan. Aku baca doa dan makan untuk top up tenaga yang hilang.

Sekonyong-konyong, majlis perasmian penutup dan cabutan bertuah pun tiba. Aku bagi nombor kepada Akak Kau dan tolak basikal ke pintu tandas. Aku join beratur untuk basuh basikal dan bersiram dengan getah air. Di sinilah riders bergilir sembur basikal dan baju secara ala kadar cukup untuk tidak mengotorkan kereta ketika pulang. 

Riders berkerja sama tolong pegangkan getah paip air dan gosok-gosok bahagian belakang riders lain. Selesai membersihkan diri, kami pun pulang. 

Seperti biasa, nasib aku tidak bertuah. Aku tidak bawa pulang hadiah mesin basuh atau basikal baharu. Apa yang aku bawa pulang cuma sesikat pisang yang aku kecek dari ajk makanan. Jadilah, fun dapat dan pisang pun dapat. RM10 juga harga pisang berangan sesikat sekarang oii.

[Penulis baru belajar main basikal. Petualangan basikalnya boleh di lihat di Instagram @kudabesisenai]

1/1/2022




038 MABUK DARAH

 Mangsa mengelak kon tetapi terlanggar rintangan kayu lalu jatuh. Walaupun ada luka di lutut dan siku, pengayuh MTB Polygon itu masih boleh mengayuh basikal 100m ke tempat terang berlampu. Aku tidak nampak kejadian asal itu kerana aku jauh paling belakang bertugas sebagai sweeper. 

Bila aku sampai di kawasan lampu terang, seorang penunggang basikal jenis velo sedang memberi rawatan dengan menyapu ubat kuning kepada luka mangsa. Mangsa masih boleh tersengih dan bergurau. 5 minit kemudian mata mangsa kuyu langsung tertutup. Badannya longlai dan dia rebah tetapi sempat disambut oleh penunggang lain.

Aku sedikit panik.

Poof! Seekor setan keluar bertenggek di bahu kiri ku. Dia berbisik, "Padan muka kau. Kenapalah aku gatal mulut menerima tanggungjawab jadi pengurus acara basikal ini?"

Aku menoleh ke kiri.

"Kau happy sendiri dengan besi di celah kelengkang tu sudah la. Kenapa kau nak buat acara basikal beramai-ramai ini?" setan menyambung. 

Aku tidak kenal kesemua 46 peserta kayuhan malam ini. Baru tadi aku jumpa mereka masa aku bagi taklimat keselamatan di garis permulaan. Lantas, aku tanyakan kepada kawan mangsa keadaan luka itu. Kawannya kata luka ini calar sedikit sahaja tetapi mangsa jenis mabuk darah.

Hemophobia atau mabuk darah adalah ketakutan tidak rasional terhadap darah. Aku ada seorang kawan yang bercita-cita mahu jadi doktor tetapi di dalam kelas biologi dia pitam ketika membedah katak. Justeru, beliau sedar diri bahawa beliau menghidapi hemophobia dan membatalkan niatnya untuk menjadi doktor. MTB Polygon ini juga sama, mangsa pitam bila melihat darah meleleh keluar dari lukanya sendiri. 

Poof! Satu malaikat perlahan-perlahan mengepak sayap mendarat di bahu kanan ku. Dia berbisik, "Kau sudah rancang semampunya. Ini satu kemalangan."

Aku menoleh ke kanan.

Betul kata malaikat. Aku sudah kayuh uji jalan bersama crew aku. Aku sudah buat dan kongsi video taklimat keselamatan, dan ulang taklimat sekali lagi secara lisan di garis permulaan. Aku sudah kongsi peta laluan penuh dan laluan pintas jika penunggang tidak larat kayuh keseluruhan 20 km yang dirancang.

Setan tadi menarik cuping telinga kiri aku dan menjerit, "Kau lalai! Kau terlalu memikirkan kudapan kopi dan karipap di checkpoint akhir. Kau tiada perancangan untuk kemalangan seperti ini. Nasib baik budak Velo tu bawa ubat."

Malaikat mencelah,"Jika kau tidak rela jadi pengurus, pasti ada orang lain akan jadi..."

Eh... Malaikat ini menunding macam bersengkokol dengan setan. 

"...Orang lain itu mungkin lebih teruk pengurusannya dari kau," sambung malaikat.

15 minit kemudian balutan luka mangsa siap kemas. Mangsa sudah boleh bangun dan tersenyum. Dia boleh meneruskan kayuhan.

Poof! Poof! 

Selain dari kes pitam pada malam itu, ada kejadian peloton sesat dan peserta melawan arus jalanraya. Mungkin mereka tidak kaji peta laluan yang aku kongsikan sebelum kayuhan.

Semasa makan karipap dan minum kopi, aku berbincang dengan seorang crew aku. Dia menyuarakan perlunya first aid kit dan tambahan crew untuk mengawal lalu lintas dan peserta. Aku setuju dengan pendapatnya.

Crew itu bertanya, "Ada lagi ke setan dan malaikat itu?"

Aku jawab, "Mereka sudah hilang."

Aku pula yang bertanya, "Macam mana kau tahu setan dan malaikat itu datang?"

Dia jawab, "Kau lupa ke, aku kan pengurus acara sebelum kau."

Kami akan buat post-mortem meeting dan rancang acara selanjutnya dengan lebih kemas lagi. Insyaallah.

28/9/21




037 KAMPUNG BAMBU

 Bila sempadan di buka pasca-pkp, adik beradik kita boleh pulang ke kampung. Alhamdulillah, cuti Khamis lepas dapat kayuh dengan Anjang, Uteh dan Ucu (Yem) di Senggarang. Sambil kayuh sempatlah bersembang, bergurau, dan sindir menyindir. Macam adik beradik lain.

Anjang dan Uteh tidak kerap berkayuh maka mereka potong ikut jalan pintas 40 km sahaja daripada keseluruhan 60km kayuhan Senggarang bagi menggelakkan komplikasi kesihatan. Untuk aku dan Akak Kau (Ngah), 60km elok-elok untuk tahap kecergasan dan motivasi kami.

Aku tidak pernah kayuh lebih 60km dalam sehari. Aku takut tumbang macam seorang remaja yang turut berkayuh dengan kami waktu itu. Remaja itu pitam sekitar 10km pertama kerana melebihi had kecergasannya. Pujangga ada berpesan, bersukan melebihi tahap kecergasan diri mengundang kemudaratan.

Aku juga sudah mula pakai pemantau detak jantung. Ini teknologi dunia Ultraman. Bila lampu dada berkelip, itu maksudnya kena segera berhenti bergusti dengan raksasa. Kalau pemantau detak jantung berbunyi teet teet teet, itu maksudnya 170 detak per minit dan sudah sampai maksima kebolehan jantung seorang tua. Berehatlah.

Cuti Jumaat pula, kami kayuh dengan Alang, Uda dan Ucu dari Kulai ke Putuo Bamboo Village. Ucu yang merintis laluan 95% off-road itu. "20km sahaja, " katanya menyakinkan yang lain.

20 km Kulai-Putuo lebih getir dari daripada 60 km Senggarang Loop. Denainya berbukit bukau dan berpaya. Ada masanya denai tidak jelas kerana ditutupi belukar. Kami terserempak 3 ekor babi hutan sepanjang perjalanan. Uda yang paling kurang berkayuh antara kami, kejang betis teruk dalam perjalanan pulang.

Alang temankan Uda berehat, manakala aku, akak kau dan Ucu teruskan kayuhan pulang ke Kulai. Matahari sudah meninggi. Akak Kau dan Ucu tiba-tiba mengantuk. Aku syak kekurangan oksigen. Aku pula bonk tetapi terlalu ego untuk mengaku.

Ucu seakan-akan hilang arah. Heat map dalam app strava juga tidak membantu bila otak kita mengantuk. Aku kudeta tugas mencari arah pulang dan membawa kami kepada kesesatan yang lebih parah. Kami berpusing dalam lingkaran belukar yang sama.

Biasanya aku mengelak jalanraya waktu tengahari tetapi langit sudah mula mendung, tidaklah menyengat panasnya. Kami sepakat untuk merentas ke arah jalanraya Kulai-Kota Tinggi untuk menjimatkan masa.

Kami selamat sampai rumah di Kulai ikut jalanraya. Kami pesan dengan Alang dan Uda untuk cari jalan ke jalanraya terdekat. Aku dan Ucu datang dengan kereta untuk ambil mereka.

Alhamdulillah, semua selamat tetapi aku masih berdendam dengan denai Kulai-Putuo. Satu hari nanti aku nak ajak Ucu ulang berkungfu dengan laluan itu. Tolong ingatkan aku bawa yoko-yoko untuk sapu di betis dan peha.

Pengalaman ke Putuo Bamboo Village buat aku teringin tonton semula Crouching Tiger and Hidden Dragon (2000). 20 tahun dahulu aku tonton kerana cerita Kung Fu. Semalam, aku menontonnya kerana cerita cintanya. Betapa kawan masa mengubah sudut pandang.


7/11/21



036 ADA APA DENGAN SENGGARANG?

Saya dilahirkan di Parit Mahang, Senggarang tetapi amat sedikit yang saya tahu tentang pekan Senggarang kerana arwah ayah dahulu seorang tentera dan keluarga kami kerap berpindah randah. Kini Perintah Kawalan Pergerakan semakin longgar, saya ingin meluaskan kayuhan ke pekan di mana saya menghela nafas pertama.

Apabila Bikedaily dan Senggarang Bersepeda bergabung tenaga bikin kayuhan Senggarang, saya ambil kesempatan untuk turut serta. Kumpulan QDR Cycling dan Tanjung Ungkal MTB dari Senggarang bertindak sebagai hos penunjuk arah dalam acara ini.

Kayuhan lingkaran Senggarang merupa sebuah acara kayuhan santai dengan pengurusan birokrasi yang minima. Dalam acara ini tiada catatan pendaftaran, bayaran, tshirt, sijil dan medal penamat. Apa yang ada hanyalah kod QR Mysejahtera ditampal di garis permulaan dan acara perlepasan dengan sepatah dua kata yang ringkas meraikan kehadiran para peserta.

Acara perlepasan ringkas oleh penghulu kampung Parit Permatang sebagai simbolik rombongan besar tumpang lalu melintas kampung. Aku kira ini sebahagian budi bahasa kampung berbudi bahasa. Aku juga difahamkan penganjur ada memaklumkan kepada Balai Polis tentang acara basikal ini. Bak kata pepatah, sedia payung sebelum hujan. Kalau-kalau ada kemalangan, mudah kita mendapat bantuan.

Saya congak kasar sekitar 50-60 buah basikal terlibat. Saya lihat banyak basikal jenis “rat bike” (DIY Kacuk), MTB, grebel dan “touring.” Tetapi, ada juga beberapa basikal satu kelajuan, seperti “fixie” dan sebuah BMX. Tabik saya kepada pengayuh basikal single speed ini menyudahkan kayuhan 60km.

Lingkaran kayuhan bermula dari pekan Senggarang ke Parit Permatang menuju Kampung Rahmat dan naik ke arah Sri Gading. Kemudian dari situ laluan menghala baruh ke arah Sungai Ayam, Tanjung Laboh, Pantai Bukit Batu, Sungai Lurus dan kembali ke pekan Senggarang. Penunggang disajikan pelbagai pemandangan dengan laluan kampung sepanjang parit tali air, denai tanah kebun sawit, laluan belukar, kerikil, bukit bukau dan juga pesisir pantai.

Rumit sebenarnya menyantuni penunggang yang ramai dengan gaya ragam berbasikal yang macam-macam. Jenis basikal, latar belakang, umur dan kecergasan peserta berbeza-beza ini sedikit menimbulkan pertembungan budaya. Namun begitu, sifat acara yang luwes tanpa peraturan ketat banyak memudahkan. Penunggang boleh ikut laluan penuh yang dicadangkan dan boleh juga ikut laluan singkat bergantung kepada kecergasan dan motivasi mading-masing. Malah, jika mahu berhenti awal juga tiada halangan.


Saya rasa sebelum ini, hos tidak kenal pelawat dan pelawat pun tidak kenal hos. Sepanjang acara berjalan mereka yang extrovert segera beramah mesra dan bergurau menjalin setiakawan demi mengurangkan prasangka yang wujud kerana perbezaan. Pun begitu, yang pemalu mungkin ambil masa yang lebih panjang untuk “break the ice.”

Apa yang paling ketara kumpulan dari Johor Bahru dapat melihat kampung-kampung sekitar Senggarang dan budaya MTB di situ, dan orang Senggarang dapat melihat budaya basikal gravel dan rat bike yang popular di kalangan Bikedaily. Tidak kenal maka tak cinta, tetapi jika tidak cinta pun tidak mengapa. Yang penting tiada tersemai perasaan benci macam geng “haters” basikal di Internet.

Walaupun secara fizikal jelas nampak perbezaan terutama dari sudut jenis basikal dan pemakaian (baju ketat vs baju Hawaii), tetap ada persamaan di mana-mana pun orang basikal. Semua sangat ghairah terhadap kayuhan dan jentera masing-masing. Mereka saling berkerjasama memberi amaran trafik dan bergotong royong angkat basikal melintas parit. Tiada kawan ditinggalkan tersadai dan rawatan diberikan jika ada yang kejang otot. Dan yang paling saya puji, mereka semua prihatin tidak membuang sampah merata, malah menyediakan kantong sampah untuk dibawa pulang dan buang di tempat yang sepatutnya.

Rata-rata kawan saya yang melihat acara kayuhan ini melalui media sosial menyuarakan keinginan untuk turut serta jika ada lagi kayuhan seumpanya. Saya kini makin cakna tentang apa yang boleh ditawarkan oleh Senggarang kepada peminat basikal. Secara peribadi, saya akan kembali berkayuh di sini bila ada kelapangan lagi.

Saya yakin suara Senggarang Bersepeda menjadikan pekan ini sebagai syurga basikal untuk orang tempatan dan juga luar negara semakin garang. Sementara itu, matlamat Bikedaily menguatkan budaya basikal demi kesihatan diri dan juga kesihatan bumi juga semakin melaju ke hadapan.

4 Nov. 2021




035 TAMPARAN WANITA

 Sebelum sang suami mahu keluar 40 hari, memancing laut dalam, atau main basketball 3 jam, dia perlulah membuat beberapa persediaan.

Berikut adalah senarai semak biasa sebelum keluar pergi mengayuh jauh.

Beli jiwa

Helmet

Lampu, depan belakang (charged)

Loceng

Tayar (pumped)

Spare tube

Minyakkan rantai

Botol air

Pam pendek

Emergency tools

Bike computer (charged)

Heart rate monitor

Baju, padded pants

Gloves

Persalinan (untuk pulang)

Kerusi lipat

Breakfast

Makanan tenaga

Cermin mata hitam

Medical kits

Topi

Baju hujan


Sebahagian benda adalah optional bergantung kepada jarak kayuhan. Jika melibatkan touring jarak jauh, pastinya ada tambahan seperti khemah dan peralatan masak.

Terus terang aku khabarkan aku tidak pernah touring. Aku risaukan jalan yang membosankan tanpa pemandangan.

Berbeza dengan akak kau yang lebih basikal dari aku. Dia lebih dahulu main basikal dari aku. Dia ada 4 biji basikal. Dalam bucketlist dia memang ada touring berbasikal.

Kalau ada kawan ajak touring, dia akan tengok aku dan kata, "Bos tak bagi." Bos tu aku la.

Aku bukan tak bagi dia touring secara mutlak tetapi sekurang-kurangnya mahirkan dahulu teknikal tukar tiub, membaca peta dan keringkan hati ketika downhill. Macam aku.

Lagi pun, sebelum keluar touring kenalah buat perkara nombor satu dalam senarai semak, beli jiwa. Shimano Groupset GRX pun jadilah. 😜

Caption foto: Akak Kau dan Geng Sepeda Tamparan Wanita



034 BESAR KEPALA

 Ting Tong Ting Tong. 

Aku lihat ke luar tingkap. Ada orang tidak dikenali sedang pegang telefon bimbit dan bungkusan. Nampaknya topi keledar yang aku pesan sudah tiba. 

Akak kau angkat kepala daripada memandang skrin komputer dan memberi isyarat muncung mulut untuk aku menyambut barang. 

Aku bersegera ke luar sementara akak kau kembali kepada kerjanya (WFH) . 

Aku perlu topi keledar baharu dengan warna yang unik lain daripada orang lain. Bila bergambar dari jarak jauh sekali pun boleh kenal yang unik itu aku. 

Selamat tinggal topi keledar skate board  yang aku pakai sekarang dan selamat tinggal topi generic yang datang percuma bila aku beli basikal.

Aku perlu topi keledar khusus, yang bila orang tengok mereka tahu bahawa aku ini budak basikal bukit. Tambahan lagi, kemahiran aku menurun dan menanjak bukit pun sudah berlipat ganda. Aku perlu raikan dengan topi keledar yang lebih serius. 

Aku perlukan sekurang-kuranganya topi keledar yang ada gambar rubah atau fox. Fox adalah jenama yang dikaitkan dengan barang basikal bukit berkualiti. Tidak ori pun tak apa, asal ada sticker rubah. 

Tanpa tangguh-tangguh aku robek sampul bungkusan seperti Incredible Hulk mengoyakkan bajunya. Aku tersengih lebar topi idaman aku sudah berada dalam tangan.

Aku sarung topi ke kepala. Aduh! Ada kesakitan tertekan sebelah kiri dan kanan kepala.  Aku putar punat belakang topi untuk ubah penalaan saiz kepala. Tetap juga terasa sendat. Topi ini sempit untuk kepala aku yang sedikit besar. (Editor: kau dah besar kepala) 

Akak Kau yang dari tadi memerhati pun bersuara, "Meh sini saya cuba."

Dia pun menyarungkan topi itu. Elok terletak ngam-ngam seperti custom made. Diperagakan topi itu di depan cermin di dinding. "Terimakasih," katanya tersenyum manis.

Aku balas dengan senyuman juga. Tapi senyuman tawar.

1/10/21




033 BASIKAL BIASA ORANG TUA

 Pastinya kalian biasa dengan lagu Sudirman Hidup Sederhana: Orang Biasa Basikal Tua. Namun begitu, hari ini aku nak kongsi tentang Basikal Biasa, Orang Tua. 

Pagi-pagi lagi aku sudah menghadapi jenaka atok-atok kerana aku sekarang ahli  whatsapp group Geng Basikal Pencen. Bagaimana aku boleh merelakan diri masuk whatsapp group basikal atok-atok ini? 

Beberapa kali aku bersama Geng Kuda Besi Senai berselisih dengan Geng Basikal Pencen di denai. Majoriti mereka ini pakcik-pakcik dan makcik-makcik dari Taman Teratai yang rajin berkayuh. Setiap kali terserempak, kami akan berhenti untuk bertanya khabar dan berbasa-basi. Juga, mereka kerap mengajak aku berkayuh dengan mereka. 

Aku bukan anti-kumpulan Basikal Pencen kerana usia mereka, tetapi aku agak keberatan turut serta kerana jumlah mereka yang ramai. Semasa aku berselisih dengan mereka di Jeram Kaki Gunung, kekuatan rombongan mereka 30 orang. Bahaya berkumpul ramai-ramai di era wabak ini.

(Editor: Bayangkan visual helaian kalendar dicarik-carik.) 

Masa berlalu dan sudah ramai orang mendapat suntikan vaksin dua dos. Akhirnya aku pun menyambut jemputan mereka untuk berkayuh di denai Pulai Perdana, satu denai yang asing bagi aku. 

Lagi pun pada hari tersebut  Geng Kuda Besi Senai berehat kayuh untuk pemulihan otot selepas kembara epik Hari Malaysia. Sesuai sangatlah aku menyantuni jemputan Geng Basikal Pencen. Orang berbudi, kita berbahasa. 

Kayuhan off road hari itu 22 km dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Sebagai penunggang tamu, aku perhatikan budaya Geng Basikal Pencen.

Geng Basikal Pencen besifat inclusive. Mulanya aku sangka aku dan Akak Kau sahaja orang asing dalam rombongan itu tetapi rupanya ada beberapa orang lain yang baru pertama kali berkayuh bersama mereka. Ada dua tiga orang pakcik beramah mesra dengan kami memastikan kami selesa. Bila sampai waktu rehat, mereka tawarkan bekal kuih yang mereka bawa.

Ada lima wanita dalam kumpulan itu justeru Akak Kau berasa selesa kerana ada kawan kaum hawa. Bolehlah mereka bersembang nak pakai baju warna apa dalam expedisi akan datang, merah jambu salmon atau hijau pucuk pisang. 

Ada juga beberapa orang muda dalam kumpulan itu tetapi mereka banyak diam. Orang tua bercakap, mereka dengar sahaja. Yang paling muda adalah budak lelaki 12 tahun kematian ayah. Pakcik-pakcik ini sentiasa mengawasi keselesaan dan keselamatan dia. Mungkin sedikit sebanyak pakcik-pakcik ini mengubat kerinduan dia kepada arwah ayahnya. 

Ada dua biji motosikal mengiringi rombongan itu. Motorsikal ini berperanan sebagai pengiring teknikal dan pembawa bekalan. Ada ketika, penunggang motorsikal bertukar tempat menggantikan penunggang basikal yang lelah. Kadang kala motorsikal itu menunda atau menarik basikal yang lemah untuk panjat bukit.

Basikal Pencen tidak prejudis terhadap jenama basikal. Malah tidak terdengar pun mereka flex jenama atau barangan basikal mereka. Basikal mahal dan murah diraikan. Jika ada kerosakan, mekanik kumpulan akan membantu. 

Geng ini ceria wataknya. Gurauan mereka tidak menyinggung hati tetapi boleh diramalkan punchlinenya. Kecindannya ala Bujang Lapok dan Do, Re, Mi. Sering kali, tukang lawak yang akan ketawa paling kuat dengan jenakanya sendiri. 

Kesabaran mereka pula amat tinggi dalam memastikan tiada yang tertinggal jauh. Penunggang baharu yang sedang bina kecergasan juga rasa selesa. Aku juga kena sabar dengan Whatsapp Group mereka yang 30% cerita basikal dan selebihnya, selamat pagi, jom ngeteh, menu tengah hari, sticker kelakar, dan lain-lain hal sewaktu dengannya. 

Aku kira mereka dalam usia yang sudah tidak sibuk mencari duit lagi. Mungkin hutang rumah dan kereta pun sudah habis bayar. Kegembiraan adalah bersarapan, mengeteh dan berkayuh bersama kawan-kawan. Mungkin tidak sepi bila dikelilingi ramai. Mungkin. 

Namun begitu. 

Sedikit sebanyak beban biasa aku menjadi orang tua kumpulan basikal terlepas hari itu. Aku tidak perlu ketuai bacaan doa perjalananan, cukup sekadar angkat tangan mengaminkan. 

Aku semakin selesa menyesuaikan diri dengan kumpulan Basikal Pencen ini. (Editor: Rasa kerasan kata orang Jawa.) Mungkin ini peralihan dari basikal sebagai tanda midlife crisis kepada end of life serenity. 

Kalian pasti menuduh ku merasa tua. Tidak, aku tidak terasa tua di sini. Malah sebaliknya aku rasa teramat muda di kalangan pakcik-pakcik ini. Al maklumlah ramai yang lebih tua dari aku. Ha ha ha. 🤣. 

(Editor: Eleh, dua tiga tahun je beza usia dengan penulis😩. Amacam lawak atok-atok aku? )

21/9/21




032 LORI

 Dalam pukul 12 tengahari kami sampai di Jeram. Perjalanan yang sepatutnya 2 jam, makan masa 4 jam. Kami berhasrat, pulang nanti mesti ikut jalan pintas itu. 

Sol terus buka bekalnya dan makan di tengah-tengah sungai. Sekejap duduk, sekejap tiarap, sekejap baring. 

Zam, Din, dan Edi pula main air dulu. Zam kelihatan kurang pucat selepas kena dingin air sungai. Yem, Roy dan Aini suami isteri keluarkan dapur untuk jerang mi segera. Akak Kau berselfi-selfian tepi batu. Aku pula beramah mesra dengan kumpulan basikal lain yang berkumpul di situ. 

Pendek kata, seronok la mandi air gunung. Kalian pun tahu tentang ini. Tidaklah perlu aku cerita panjang lebar. 

2 petang kami berkayuh pulang dengan hajat mahu cari jalan pintas secara reverse. Sebaik sahaja kami keluar dari hutan, rintik-rintik hujan mula berguguran. Semakin lama semakin lebat. Ini diikuti dengan kilat sabung-menyabung dan guruh berdentam-dentum. 

Berkayuh di kawasan kelapa sawit muda dan rendah mendedahkan kami kepada bahaya dipanah petir. Kami melaju hingga jumpa terowong lebuhraya plus. Kena sebatang rokok dahulu. Kami berteduh di situ hingga hujan lebat bertukar renyai semula. 

Kami beranikan diri menempuh hujan renyai kerana alang-alang sudah basah lencun. Belum pun jauh berkayuh, hujan kembali lebat disertai petir dan kilat. Bunyi guruh bagai tiada henti seakan-akan ada perang di balik awan mendung yang sarat. 

Dalam berkayuh melanggar lopak dan lecak itu aku membaca ayat kursi berulang kali. Akak Kau pula mengucap panjang kuat-kuat. Aku terbayang berita di Twitter esok, "8 mayat ditemui dalam ladang sawit dipercayai dipanah petir." 

Kami berhenti di kawasan sawit tua yang tinggi. Masing-masing kesejukan dan tidak banyak cakap. Sejuk itu buat aku merasa tanda-tanda betis akan kejang. Hujan masih belum reda.

Kami dalam dilema sama ada mahu teruskan kayuh atau tunggu hujan reda. 

Sebagai anak Felda, Zam bersuara, "Kita tidak boleh tunggu lama kerana ada kemungkinan banjir kilat berlaku dalam ladang." Kami teruskan kayuhan dalam rembes mendung itu. Air hujan turun menyerong mengikut angin. 

Denai kelapa sawit sudah bertukar jadi parit yang deras airnya. Kami tempuh sambil mulut berkumat kamit dengan doa dan ayat-ayat yang kami hafal. Aku banyak mengulang ayat kursi sahaja sebab aku tidak hafal banyak ayat. Aku berdoa janganlah ada antara kami yang tayarnya bocor atau rantainya putus dalam hujan ini. 

Sekonyong-konyong sampailah kami di satu blok bengkel di pinggir perumahan. Di situ kami berteduh lagi.

Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini. 

Ada satu lori didepan bengkel. Din berhujah, "kalau kita terus berkayuh mungkin malam baru sampai rumah." Zam menambah kita tidak boleh ikut jalan pintas kerana ada gaung di situ yang mungkin bah. Maka kami pun sebulat suara bersetuju untuk pulang dengan lori. 

Plan B. Din pun berjumpa dengan India tuan bengkel dan bertanyakan sama ada lorinya boleh bawa kami ke Senai. Setelah tawar menawar setiap dari kami setuju bayar RM10 untuk perjalanan dengan lori dari Kulai ke Senai. Kami pun menaikkan basikal ke dalam lori. 

Pada ketika itu butir hujan mula menipis. Kelihatan burung-burung sudah terbang. 

Oleh kerana Yem tinggal di Kulai, dia ambil keputusan untuk kayuh pulang. Aku kata lori ini boleh hantar dia sekurang-kurangnya separuh jalan. Yem kata, "Arwah abah ada kata jika burung dah terbang, maknanya hujan akan berhenti." Aku akur dengan keputusannya. 

Lori pun bergerak menuju Senai. Di wajah masing-masing mula mengukir senyum. Zam pun telah kembali semangatnya. Dia keluarkan telefon bimbit untuk rakam wefie kenang-kenangan pulang dengan lori. 

Ada banjir kilat di jalan Kulai tetapi lori harung sahaja air itu. Sesampainya kami di Senai, Zam arahkan lori berhenti lebih kurang 200m dari rumah. Aib la kuda besi pulang dengan lori. 

Kami menurunkan basikal dan berkayuh ke rumah Zam. Hujan pun sudah reda. 

5 petang. 

Bagusnya petualangan kali ini berlaku dalam hujan lebat maka basikal tidak berlumpur sangat. Sambil kami menyiram basikal dan Zam bikin kopi panas untuk semua.

Kejayaan pulang ini patut diraikan dengan sebatang rokok juga. Aku keluarkan kotak rokok dari saku tetapi rokok sudah barai dan tembakau bersepah kena basah hujan. Aku letak je sebatang rokok bengkok yang basah di bibir buat ada-ada. 

Izan, jiran belakang rumah, datang bertandang dan bertanya, "Best ke ride hari ini?"

SELAMAT HARI MALAYSIA

18/9/21



031 ANJING KEBUN

 Semenjak melawat Jepun, 5 tahun dahulu, aku cuba sedaya upaya menepati masa macam Kereta Api Peluru Shinkansen. Tepat 7.30 pagi tayar basikal aku bergolek keluar pagar rumah. Pit stop sekejap kat Warung Iman untuk beli apam tepung beras buat bekal perjalanan. 7.35 am aku dan Akak Kau sudah terpacak di rendezvous (Ed: Apa jadah guna perkataan Peranchis pulak ni?)  Aku pun buat siaran umum di Group Whatsapp, "Mana?" 

Zam jawab, "Tok ada tiub saiz 29 tak? Saya punya bocor." Aku dan Akak kayuh balik rumah untuk ambil tiub saiz 29 dan bawa ke rumah Zam. Sejumlah empat taman perumahan kami lalu. 

Sesampainya di rumah Zam, kelihatan Geng Kuda Besi sedang menukang tayar basikal Zam yang bocor. Zam pasang tiub dan tayar baharu. Dalam 8 pagi urusan teknikal siap dibaiki. 

Rumah Izan belakang rumah Zam. Dia yang selalu ikut rombongan Kuda Besi tidak ikut hari ini kerana basikalnya patah rear derailleur tapi dia datang ke rumah Zam pagi itu demi semangat setiakawan. Dia melambai-lambai kami pergi, "Have fun guys!" 

Aku, Akak Kau, Zam, Din, Edi, Sol, Roy dan Aini (Isteri Roy) memulakan kayuhan. Hari ini Hari Malaysia, jadi kami rancang kayuh jauh sikit, dari Senai ke Jeram Kaki Gunung. Menurut Heat Map Strava ada jalan pintas yang buat perjalanan cuma makan masa 2 jam.

Little that we knew, it was the longest 2 hours. 

Satu jam berlalu, kami sampai di satu persimpangan. Kami berteduh di bawah satu pondok untuk tunggu Yem yang kayuh dari Kulai ke situ. Yem banyak kali pergi Jeram Kaki Gunung maka kepakarannya sebagai penunjuk jalan diperlukan. 

Aneh sekali pondok ini. Ianya pondok ringkas diperbuat dari kayu dan zink. Ada bangku dan dihiasi dengan beberapa tanglung. Yang anehnya ialah ada satu topeng wayang watak wayang Cina di situ. Dan ada 2 ekor anjing comot lepak di situ. Anjing itu beredar bila kami sampai. 

Aku bergurau dengan Sol supaya jangan bermain dengan topeng itu nanti malam mengigau. Sol balas, "kalau hantu datang hantu yang lari kerana muka aku lebih menyeramkan dari topeng itu." Kami ketawa sahaja. 

Sekonyong-konyong, Yem pun tiba. Aku tidak boleh marah sangat kelewatan Yem sebab dia baru kebah di sengat tebuan tanah di Jeram Rahsia Umum beberapa hari lepas. Bengkak tangan dia baru susut. 

Kami meneruskan kayuhan diketuai oleh Yem. Untuk Yem, ini kali kedua dia cari jalan pintas itu. Dia yakin jalan itu ada kerana dalam peta app Komoot dan Strava jelas tercatat. 

Jalan yang kami lalui adalah tanjakan tinggi yang panas kerana pokok kelapa sawit baru ditebang. Sesampainya di rabung bukit,  kami dapati tiga biji jentolak sedang sibuk berkerja menumbangkan pokok-pokok kelapa sawit tua. 

Sebatang demi sebatang pokok menyembah bumi. Bunyi pokok tumbang ke tanah sangat kuat. Kemudian, jengkaut-jengkaut itu mencarik-carik batang pokok. Jalan kami terhalang dengan kerja-kerja kebun tersebut. 

Oleh kerana jentolak itu lebih berhak berada di situ berbanding kami, kami pun kayuh ikut lereng bukit selari dengan denai sasaran. Terdetik dalam hati, jika pokok yang tumbang bergolek ke bawah bukit mungkin terkena kami. Aku arahkan geng Kuda Besi bergegas melepasi kawasan bahaya. 

Plan B. Kami melepasi sempadan ladang sawit masuk ke kawasan dusun terung. Anjing-anjing kebun menyalak menjaga kawasan. Kami susur sempadan dusun sehingga masuk ladang sawit semula tanpa bermain mata dengan anjing-anjing kebun.

Menurut app Strava ada laluan kecil dari situ menuju denai pintas tetapi sekali lagi kami menemui jalan buntu. Jalan yang patut kami lalui digenangi tasik. Pokok-pokok kelapa sawit tenggelam macam pokok bakau. 

Plan C. Kami terpaksa kembali ke dusun terung dan keluar ikut jalan perumahan yang jauh. Kali ini anjing-anjing kebun rasa tergugat, mereka bukan sahaja menyalak tetapi juga mengejar. Alhamdulillah, tiada di antara kami yang digigit. 

Keburukan ikut laluan perumahan adalah sengatan terik matahari. Ramai antara kami sudah surut bekalan air. Zam yang biasanya ceria, kelihatan agak pucat. Aku tanya kenapa? Dia kata, "Aku koyak, mentally bonk." 

Pagi Zam bermula dengan tiub bocor. Kemudian, tayar baharu yang dia pasang ke basikal pula tidak ngam dengan bingkai basikal. Sesekali tayar itu bergesel dengan bingkai. Terpaksa ikut jalan jauh memburukkan keadaan. 

Edi singgah kedai belikan air sejuk untuk pulihkan semangat Zam. 

Perjalanan diteruskan sehingga kami masuk off-road semula. Yem  bawa kami terus ke arah Jeram Kaki Gunung. Di pintu masuk hutan kami berselisih dengan Geng Basikal Pencen. Mereka khabar, mereka ikut jalan pintas datang ke jeram. Maksudnya, jalan pintas misteri itu wujud.

Balik nanti kami nekad ikut denai pintas itu. 

(bersambung)


18/9/21



030 HARPER SOL

 Sebagai otaimer, aku nak bagi tips hidup bahagia. Jangan sesekali memuji perempuan lain depan  makwe sendiri. Pastinya makwe kau merajuk.

Bercerita tentang basikal baharu di depan basikal lama juga persis membuat dosa yang sama. 

Kau kenal Sol kan? Dia ni orang muda lewat 20an yang selalu berkayuh dengan aku. Kalau berbasikal dengannya dia sentiasa di hadapan kerana tenaga kudanya. Namun begitu basikalnya buruk dengan spefikasi rendah. Jenama basikalnya Harper dan slogan yang tertulis atas top tube, "Focus to be a professional." (Ed. Entah aper-aper la Harper ni.)

Sol selalu bercerita tentang hajatnya untuk beli basikal baharu kepada kawan-kawan. Dan bila ada kawan tunggang basikal baharu, pasti Sol tak melepaskan peluang mencuba acu. Kalau kau seorang makwe, apa perasaan kau bila pakwe kau try awek lebih muda depan kau? Buat wheelie lagi! 

3 hari berturut-turut basikal Harper buat mengaruk. 

Pertama, putus rantai di Bukit Gemilang. 15km Sol menyorong basikal itu pulang.

Kedua, tiub belakang bocor. Nasib baik tinggal 1 km nak sampai garis penamat. 

Ketiga, tiub belakang yang baru ganti meletup 1 km lepas garis pemula. Sol menyorong balik ke pengkalan dan kawan-kawan meneruskan kayuhan. 

Dalam semua kes, malang tidak berbau kerana tiada antara kami bawa alat yang tepat untuk tukar tiub atau sambungkan rantai pada hari musibah tersebut. 

Begitulah nasib Sol. Berkali-kali dia terpaksa menyorong pulang basikalnya. 

Tapi Sol sekarang bukan Sol dulu lagi. Dia sudah wariskan Harper kepada adiknya. Sol pula sudah pakai basikal MTB Polygon baharu warna hijau kuning.

Sedikit masa dahulu, model MTB Polygon hijau kuning inilah pernah memikat hati aku. Berkenan betul dengan kombo warna basikal itu. Malah, aku sudah pun tempah di kedai tetapi 3 bulan tunggu tak sampai-sampai. Tiada stok katanya. Aku pun minta pulang deposit.

Tiada jodoh. 

Ya, aku puji basikal Sol tetapi tidak depan basikal aku. Aku puji basikal Sol di FB takpe. Basikal aku tak baca FB. 😁

..... 

Gambar hiasan, @samsolali dan makwe baharu.


12/9/21



029 PENULIS JEMPUTAN: TIMMY FAHMI

 Jeram! here we go! 

Sebelum kejadian

Sejak basikal bini aku dah siap setup ( Peugeout Metro Lady Bike), Ezree banyak kali ajak aku ride ke Jeram. Aku bukan apa, aku suka ride perjiranan, Ride perjiranan bagi aku , aku tak yah buka basikal, aku boleh start ride dari rumah, kilometer dapat banyak, aku tak perlu keluarkan seat kereta Noah dan Nash untuk masukkan basikal dalam kereta.

Sampailah Ezree bagi aku jajan barang basikal dan dia offer benda sedap “ kau tak larat, balik aku hantar sampai rumah”. Tawaran yang sangat solid untuk aku. Kau dah penat, orang hantarkan ke rumah. Macam dah ngantok diberi bantai.

Tok Rimau aka Tok Rimau SCAM untuk jalan cerita ni banyak kali ajak ke sini, dia cakap tempat playgroud dia best, bebas dari hiruk pikuk, dan rewards dia kau dapat berendam dalam air dekat Jeram nanti. Dan banyak kali juga aku menolak. KAH KAH KAH. Jawapan aku tetap sama, takde basikal sesuai, luar kawasan perjiranan dan macam macam lagi. 

Untuk pengetahuan korang, untuk ke Jeram, perjalanan gravel lalu kelapa sawit lebih kurang 8-9 km untuk satu hala. Aku punya pengalaman lalu jalan kelapa sawit ni paling jauh setakat ni pun 300 meter je. Sebab bagi aku selama ni gravel ni kekuatan kaki luar biasa dan mata kena fokus jalan sebab jalan tak rata, dan kekuatan mental luar biasa kalau air dah habis, ye lah, kalau ride road, setiap 1 km pasti jumpa 99speedmart ke, family mart ke, ni kalau dalam sawit air habis nak beli kat mana? Takkan nak togak air sungai kaler keruh!

Akhirnya aku on join, sebab dah lama tak bertemu muka dengan kawan-kawan Bikedaily dan aku nak test basikal bini punya performance. Tengok dia boleh go ke tak lawan selot. 

Hari Kejadian.

Aku mula ride dari rumah mentua dari Taman Universiti, baru kayuh sikit bukit Pulai Spring dah menguji, dalam hati aku anggap ini semua warm up. Lepas berkumpul di BHP, 7 orang akan start dari sini: Ezree (organizer hari nie) Nas Plague, Endy Playa, Ustad, Sao Pijui, Nik dan aku.  Sampai tokong; Tok Rimau , kak Tini dan Yem (adik tok rupanya, dah nak balik aku baru tahu! haha) dah menunggu, 

Kami mula bergerak ikut roundbot taman Pulai Emas susur masuk highway baru, sampai hujung taman terus menuju kelapa sawit. Cuaca sedikit cerah tapi tak berapa nak panas. Mungkin sebab  bersemangat untuk reward. Bukit kedua aku dah start nolak. Naik bukit aku dah biasa, tapi naik bukit tayar slide sebab tanah licin ni lain macam. (rupanya skill dia masa nak naik kau kena duduk, kena bagi tekanan dekat bahagian belakang.)

Tok Rimau dengan basikal baru dia yang ada fork suspension memang lain macam, turun bukit jenis tak tarik brek ya kawan-kawan. Meluncur laju bagaikan dihadapan tu bagaikan di jalan tar. Nasib baik dah laju kat depan tunggu kawan-kawan. Kalau tak ini last aku follow dia main basikal, aku berada dalam kelompok tengah, bukan apa, kalau last sangat nanti koyak sendiri, tapi naik basikal gear kartun ni memang art ye untuk jalan gravel. Patot aku tengok Wak Kenchana beria tukar cassete besar pinggan walaupun dia ride gravel jarang-jarang, Hampir sejam juga baru sampai ke Jeram. Ada  berhenti sesekali untuk tunggu kawan-kawan sambil minum air. Air kena jimat cermat, dalam ni takde kedai serbaneka.

Sepanjang laluan takde pulak jumpa monyet ke apa? Mungkin sebab dah jadi tempat sawit, dorang pun boring kalau lompat-lompat kat pohon kelapa sawit nanti terkena duri pelepah dia, kesian monyet kalau luka. Lagipun hati monyet pasti dah dilukai bila habitat mereka dijadikan ladang. Tapi ada juga jumpa satu uncle duduk santai bawak kamera DSLR dengan lens panjang nak shoot Bulan lepak situ, aku suspek dia nak ambil gambar burung, paling koman mesti tupai!

Akhirnya lepas menolak tanah selot sampai juga ke Jeram. Kitorang pergi yang bahagian atas sekali, selain tak ramai orang, dia ada spot untuk berendam. Aku tak tahu last bila aku mandi Jeram atau sungai. 20 tahun lepas kot. Dengar bunyi air jeram mengalir terus rasa hilang penat lah. Itu belom berendam lagi. Lepas setting kerusi camping (essential untuk aktiviti-aktiviti begini) kita mandi dulu, tadi masa nak pergi dekat BHP dah tapau nasi lemak siap-siap. 

Dorang kata, mandi dulu, nanti naik mandi lapar, baru terasa syahdu dan nikmat.

Jujurlah. Dapat berendam satu badan walaupun air cetek separa lutut. Itu nikmat sebenar, Ini reward terpaling reward sepanjang aku berbasikal. Kawasan ni agak bersih, tapi ada parent yang musibot jenis sampah pampers dalam hutan, lain kali pandai bawak sampah datang, pandailah bawak balik. Hiblis!!!

Ezree selaku organizer paling terbilang dah menyediakan bag hitam sampah, selain itu dia juga membawa sampah pulang sampai taman Teratai, Ezree memang solid.

Lama juga lepak sini, dekat 3 jam juga aku rasa, dorang ada plan kayuh jauh-jauh lepas fasa 2. Solid juga ride jauh2. Aku dengarkan sahaja, aku tak boleh ride tinggalkan anak lama-lama, nanti rindu. HAHA.

Lepas dah claim reward. Pasti kena mengayuh balik tempat asal. Dapat juga mengayuh dekat tanah licin yang banyak akar berselirat tu, sikit sikit tayar slide, tapi bila dapat lepas halangan tu rasa macam Champion juga. 

Satu aku suka basikal lady ni, dia punya top tube rendah, jadi bila kau turun dalam kadar mengejut, possibility telor nak terciduk dengan top tube sangat rendah, jadi kecederaan dekat situ memang dapat dielakkan. Aku bukan apa, takot senak. Tu je!

Bagaimana Tok Rimau menjadi scammer kejadian ini?

Jam menunjukkan 12.30 petang. Matahari dah naik tinggi. Tok Rimau bagi berapa choice, ikut jalan pergi tadi 

“atau korang boleh ikut jalan yang kau orang boleh downhill 2 km, tapi kena naik bukit 1 km. Jalan yang ni dia redup sikit sebab banyak kelapa sawit besar-besar, jadi kurang sikit panasnya”

Kita pilih jalan yang ini, sebab ianya tak panas, paling pun nak naik bukit nanti je guna tenaga. Selebihnya boleh relaks-relaks sikit sebab air pun masing masing dah tak berapa nak banyak.

Dan rupanya ; Pokok kelapa sawit yang tinggi-tinggi itu hanya 1/3 perjalanan. 2/3 perjalanan  lagi adalah jalan biasa yang pokoknya masih rendang lagi, lalu gitu je dah terasa perit, kami lalu jalan sawit tepi highway PLUS yang pokoknya tak berapa nak besar, dapat lalu 2-3 terowong. Best jugalah.

Banyak kali berhenti setiap kali ada bukit sebab ada yang krem, tapi sebab jenis yang akan tunggu ni best, untung yang depan, sempat duduk-duduk. 

Ada sekali berhenti, Nas offer gula-gula Himalaya. Setahu aku gula Himalaya yang biasa aku makan ni perasa lemon, kalau lemon makan time panas macam ni memang syahdu, sekejap je makan lelangit dah sejuk, teguk sedikit air masak ianya akan memberikan suasana yang gemilang di dalam mulut.

 Aku jenis tak tengok ni gula gula Himalaya versi apa, terus makan. 30 saat pertama aku rasa aneh, kenapa rasa halia? Himalaya versi Halia ni kalau ride tengah panas dengan sumber air kurang elok dielakkan lah.  Dia jenis tak bagi chance menangkap dekat tekak, lepas tu automatik tekak kering gila. Lepas tu terus angin start keluar satu badan. Tapi dia ada bagi kau ada semangat sikit lah naik bukit. Kiranya macam extra power dekat kaki. 

Tapi perit kat tekak memang tangkap lain macam mat!

Bila dah sampai  untuk naik bukit ni, Tok cakap bukit ni tinggi dia 120 elevation, dan kita saspek dia hanya sekali naik, dan Tok tak cakap rupanya bukit ni zig zag. Bukit jenis 3 tingkat punya layer. Aku layer pertama terus menolak mat! 

Sao ajar supaya naik bukit try zig zag, senang sikit nak naik, aku cuba juga untuk layer kedua, Berjaya jugalah, Layer kedua ni adalah lepak lama sikit. Sebab ada yang cramp. Ezree memang champion, sebab Endy dengan Nik macam lama tak muncul2, dia turun jalan kaki, lepas tu naik bawak basikal endy.  Lepas tu dia turun balik ambil basikal Nik, dan ride ke atas. Gila babi kaki ada enjin kuda rasanya.

Lama lepak atas tu, angin dia nyaman, kalau pasang hammock memang confirm boleh tido. Semua dah imagine air sedap sedap time macam nie. Contohnya Tebu Lemon, tok cakap ada jual area-area Teratai.  Nas dok cakap hanya Tebu Lemon sahaja yang boleh meredakan keadaan panas panas macam ni.

Di bukit kedua ni patutnya Tok akan ke kiri, dan kami semua akan ke kanan? Aku paksa Tok naik ke atas juga. Nanti dia turun downhill patah balik, kami turun downhill 2 km ke arah lain. Tok layankan.

Sampai ke puncak bukit tu aku tak menolak dah, mungkin sebab ini bukit penghabisan, paling-paling ada juga bekalan nak berlagak ada bukit yang aku ride sampai ke puncak.

 Time menunggu Nas, Endy dan Nik;  ada beberapa motorsikal lalu, motorsikal ni Tok kata menjadi support system untuk gang basikal lain, dorang ni biasanya akan ditugaskan untuk membawa makanan ataupun kalau ada team tu rider dah bong, yang bong akan bawak motor balik. Yang rider motorsikal akan switch ride basikal. Tengah kami semua menunggu, brader motorsikal berhenti, kelihatan pam basikal panjang terselit dekat bahagian belakang, aku ingat dia hanya nak bertegur sapa, tapi brader motorsikal tu rupanya nak bagitahu rahsia besar.

“korang kenapa ikut jalan ni bang, tinggi bukit ni, ada lagi satu jalan shortcut bawah tu yang tak naik bukit sangat” – ini adalah scammer terbesar yang Tok lakukan hari nie selain daripada Jalan ni redup!

Tok Rimau kalis balik, dia kata “Jalan tu banyak duri, pasal tu aku tak nak bawak korang lalu situ” Masalahnya dia pakai suit basikal siap pakai kasot getah lagi, kitorang majority pakai sandal. 

Dekat 30 minit baru Nas, Endy dan Nik sampai. Endy kena krem macam Ijat kena masa pergi Pontian, jenis turun basikal kaki terus tegak. Aku tahu macam mana seksa dia, sebab ijat tu hari dekat 15 minit baru kaki boleh gerak normal. Akhirnya sampai sini perpisahan kami dengan Tok dan Yem. Tok patah balik pulang ke Senai dan kami terus ke tempat pertama kali bertemu tok. 

Tok pesan, hati-hati turun, ada selekoh simpang S, amik kiri takot ada motorsikal naik, aku gerak dulu dan beberapa saat lepas tu semua meluncur laju turun bukit, jenis tak bagi chance sebab tadi berhempas pulak nak naik bukit. Masing masing tengah sedap!

Inilah pengalaman aku downhill bukit guna basikal seumur hidup aku, Off-road pulak tu,  time ni aku paling last, aku tengok ni kalau jatuh basikal memang bergarit badan sebab batu-batu beso! Sampai depan aku tengok semua berhenti mengelilingi Nas.

“Man Down” – 

Nas tergelincir gaya jenis Moto GP, dia time tu tengah gigit Go Pro, dan mengharapkan footage dia jatuh basikal sempat di rakam. (Update: footage Nas jatuh gaya Moto GP takde dalam Go Pro! Aduh, kalau tak memang sedap jadi konten youtube dia.) Nasib baik tak teruk sangat jatuhnya, basikal masih steady, cuma luka sikit dekat siku dengan tapak tangan. Tapi Bro Nas memang steady. Bangun macam takde pape.

Perjalanan diteruskan sampai ke BHP, Tebu Lemon takde ni Tok! Harapan palsu lagi sekali!!!

Terima kasih untuk semua yang terlibat. Aku gembira sebab dapat jumpa face to face dengan semua setelah sekian lama tak berjumpa. Kalau korang tanya aku bakal ke sana lagi ke tak? Jawapan ya, tapi bukan masa sekarang. 

Untuk sapa yang soon ke sana, sampah jangan lupa bawak balik. Mungkin jeram ini area tedekat di Skudai  yang masih boleh buat mandi padahal Skudai ni banyak sungai dia. Kau imagine kalau kita jaga sungai kita dan depan  rumah memang boleh terus mandi sungai. Nikmat betol. Dah takyah susah payah aku kena bawak basikal penat-penat nak mandi sungai lagi.

Aku bangga dengan basikal bini aku, dia takde buat ragam. Turun bukit dengan naik bukit takde benda tertanggal. Kira memang manis. 

Jadi balik ke habitat asal, minggu depan sapa nak ride Sunway Citrine dengan Puteri Harbour kasik roger.

Thanks Ezree sebab hantar aku balik rumah. 

P/s: 

Aku tanya Tok RImau kenapa dia time bukit laju sangat, dia balas pendek;

“Tok guru aku cakap, Tuhan cipta bukit untuk dinikmati, bukan untuk korang turun tekan break! Ah siappp!”

Layan off road nie 20 km penat dia macam main Road 80km ye!

 Kredit gambar dari kawan kawan Bikedaily

5/9/21




028 CROSSMAC AKAK KAU

Aku sudah beli basikal guna Facebook Marketplace sekali. Jual basikal pula, sudah sebanyak tiga kali. Aku mula faham pasaran basikal terpakai. Di sini, aku akan dedahkan rahsia jual beli di zaman norma baharu. (ed. #doneclickbait) 

Aku jual basikal bukan nak untung sangat tetapi aku sukalah jika basikal itu terus membahagiakan orang lain pula, sementara aku ada modal untuk basikal berikutnya. 

Sebelum letak harga basikal, kau kena buat bancian harga basikal jenis seumpama, baharu dan terpakai, di pasaran. Kalau nasib kau baik, harga basikal baharu naik di Shoppee dan bila kau menawarkan harga sedikit jatuh daripada harga beli sudah nampak murah dan menarik. 

Letak harga lebih tinggi daripada harga lantai kerana pembeli pasti akan tawar menawar. Kau tulis harga tetap pun masih mereka tawar menawar. Aku masak sangat dah. Mereka bagi alasan duit minyak datanglah, mereka masih belajarlah, dan nak beli susu anak. 

Biasa. 

Seterusnya, nyatakan tahun beli dan senaraikan spesifikasi basikal termasuk barang yang engkau sudah tukar. Features yang baik letak atas dan yang biasa-biasa kemudian. Jika ada kecacatan yang memudaratkan kayuhan, nyatakan juga. 

Sebut dengan jujur tujuan menjual adalah buat modal untuk naik taraf basikal. Jangan cuba meraih simpati memberi alasan seperti, "mahu beli susu anak." Aku sudah cuba, tidak laris pun jualan. 

Kemudian. 

Pilih empat lima foto iringan yang menunjukkan basikal kau berposing tepi tasik, jurang, bukit, pantai dan sungai. Foto ini akan meyakinkan pembeli tentang kebolehan basikal kau beraksi. Kalau basikal kau ringan, masuk sekali satu foto kau julang basikal sebelah tangan sambil hisap rokok. 

Steady. 

Pada aku leceh sikit kalau kena pos basikal. Kau terpaksa cabut basikal dan cari kotak yang sesuai. Aku lebih suka jual kepada orang yang boleh datang uji basikal. Kau pesan sama bakal pembeli, jika dia baru berjinak dengan basikal sila bawa seorang malim basikal bersama agar tiada dakwa dakwi kemudian hari jika tiada kepuasan hati.

Sekali peristiwa, bakal pembeli aku tidak dapat datang, lantas dia menghantar abangnya yang kurang berkemahiran. Semasa uji tunggang naik bukit, brader tu tukar gear dengan keras hingga tercabut rantai basikal. Dipaksanya juga basikal itu hingga rantai terselit antara lidi dan kaset. Aku terasa seperti anak aku dipukul oleh pakwenya. Terus aku angin dan batalkan niat mahu menjual basikal itu kepada dia.

Okay, itu selingan. Kita teruskan cerita jual basikal di Facebook. 

Jangan terus menjawab pertanyaan bakal pembeli yang pertama. Biar pertanyaan-pertanyaan masuk inbox 24 jam. Dengan cara itu kau boleh tahu jumlah permintaan terhadap basikal kau dan siapa yang berminat untuk beli. Kau  juga boleh memilih dengan siapa kau mahu menjual.

Setelah kata sepakat dipersetujui, bertemulah penjual dan pembeli. Biar dia uji tunggang basikal itu. Jika, dia tidak jadi beli janganlah kau berkecil hati. Itu adat berniaga. Pilih bakal pembeli berikutnya.

Jika yang datang itu setuju membeli, buatlah akad jual beli. Tangkap foto terakhir bersama pembeli dan basikal seumpama kau sebagai wali menyerahkan anak perempuan kepada suaminya. Doakan pembeli itu akan bahagia dengan basikalnya. 

Aku biasanya akan rasa sedih dan sayu, al maklumlah aku dan basikal ada sejarah berpetualang bersama. Namun begitu, bila basikal baharu sampai senyum kembali menghias bibir.

Sekian tips percuma menjadi pakar jualan online. Banyak lagi tips rahsia didedahkan jika anda masuk kelas berbayar saya. Ingat, biar tak hensem tapi kayuh. 😅


3/9/21



027 POLYGON SYNCLINE 5

Ada satu hamba Allah bertanya kepada aku, "Beskal apa patut saya beli bang?"

Aku pun bertanya semula, "Berapa belanjawan tuan?"

Setelah hamba Allah itu menyatakan kos hantaran yang dia sanggup keluar, aku pun meracun mindanya. Aku ceritakan jenis basikal yang patut dia beli. Aku perincikan ciri-ciri basikal tersebut dan kelebihannya berbanding basikal lain.

Aku berkhutbah panjang lebar tentang groupset, fork, dan material bingkai basikal yang bagus. Tiba-tiba aku tersedar bahawa memang bagus basikal yang aku cadangkan itu. 

Lantas, aku iklankan basikal lama di Facebook untuk dibuat modal pemula. Aku tanya-tanya kalau-kalau ada orang mahu jual basikal terpakai jenis idaman itu. Ada la seorang dari Kelantan tetapi harganya tidak jauh dari harga kedai.

Aku tanyakan pula kedai-kedai basikal berhampiran jika ada stok tersedia. Seperti yang dijangka basikal tersebut tidak ada dalam stok kerana kemerosotan bekalan basikal kebelakangan ini. Permintaan basikal melebihi kemampuan pengilang mengeluarkan bekalan. Dan ada berita angin kencang bertiup bahawa harga basikal bakal naik. 

Aku usha dalam shoppe. Ada pembekal di Selangor yang simpan stok. Terus aku pesan berbekalkan duit jual basikal lama dan kerja lebih masa. 

Pon! Pon! Hon lori G-dex menjerit depan rumah tiga hari kemudian. Sampai sudah kotak beracun tersebut. Aku keciwi. 

Aku menelaah youtube cara memasang basikal dari dalam kotak. Nampaknya mudah. Aku berjaya pasang sendiri. 

Aku ke Devil's Peak untuk ujian kayuhan. Satu kilometer pertama saddle mula menurun dan handle terputar tidak sejajar dengan tayar depan. Ini kesilapan biasa mekanik tidak bertauliah. Aku lupa ketatkan semua skru. Nasib baik aku bawa alat betukang untuk ketatkan skru. 

Berita baik, kayuhan pertama berjalan dengan lancar.  Kawan-kawan pun tumpang gembira sambil mencuba basikal aku. Ada yang mula berkira-kira nak buat pinjaman bank untuk modal pemula. 

Berita buruk, tanjakan pecah betis Devil's Peak masih tidak tertawan. Aku cuma naik taraf jentera, tapi betis aku masih yang lama dan tua. Kata orang kekuatan kayuhan itu 70% basikal dan 30% kederat. Nampaknya kena makan majun lepas ini. 

Sebenarnya, kalau nak cerita upgrade basikal tidak akan ada kesudahan. Lambat laun aku yakin, basikal baharu ini juga berhenti memuaskan aku. Aku pasti mahu yang lebih bagus lagi. 

Terfikir oleh aku, kereta sudah lama tidak gerak kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Mungkin elok jika aku jual kereta itu untuk buat modal beli basikal kayangan tahap dewa.

Oh Tuhan, jinakkanlah nafsu aku. Janganlah sampai aku termakan racun sendiri lagi.


27/8/21




026 JUAL POLYGON PREMIERE 5

Setiap yang bermula pasti berakhir. Selamat tinggal puspita kesuma jiwa. Ketika awan di ufuk barat mula menjingga, ku lihat dikau pergi hingga hilang dari pandangan. Mata ku sedikit berkaca.

5 bulan kami bersama menelusuri denai berliku, lembah dan bukit. Naik turun dan jatuh bangun kami kini tinggal memori. Berat hati melepaskan dia pergi tetapi aku redhokan juga.

Jam 12 tengah hari aku iklankan di Marketplace Facebook. Ramai peminatnya bertanya-tanya. Sekitar jam 6 petang sudah ada orang datang merisik dan membawa dia pergi. 

Basikal berjenama walaupun entry point senang dijual di pasaran barang terpakai. Ramai peminat dan harga pun mampu milik. Tidak jatuh jauh harganya. Tidak ralat membelinya dahulu. Aku tidak rasa untung dan aku tidak rasa rugi. Rasa balik modal sahaja.

Namun, aku tetap meratapi pemergian Mambang Kuning, basikal gunung Polygon Premiere 5 pujaan hati. Aku berdoa dia terus dijaga dengan baik dan disayangi seperti aku menyayanginya.


23/8/21




Rabu, Februari 23, 2022

025 BUKIT BUKAU SEPANJANG JALAN

 Menurut pakar fizik, kayuhan mendaki bukit tidaklah susah sangat jika kau ada pengetahuan. Kau cuma perlu congak berat badan, nisbah gigi gear (depan dan belakang),  cerun bukit, pusingan kayuhan, keperluan kelajuan, tenaga perlu dan panjang batang pedal. Dalam masa yang sama pastikan kau tidak melampaui maksima detak per minit yang dibenarkan untuk usia jantung kau. 

Sibai! Bundek! Putoh! Hark Puiihhhh! 

Saintis ingat aku ada masa ke nak buat kira-kira? Keputusan terakhir ujian matematik tambahan aku 4/100! Itu pun markah kasihan tulis jawapan betul di ruang tulis nama. 

Aku dah berkayuh setahun jagung sekarang. Aku kira sudah masanya bagi petua-petua sebenar panjat bukit dengan praktikal untuk kalian. 

Mula-mula kau buka butang baju agar lebih banyak angin kena ke kulit. Bila kulit sejuk, hati kurang panas. 

Kedua, kau perlahankan kelajuan tetapi masih boleh mengimbang. Jika kau paksa kelajuan di tanah rata ketika mendaki, kau perlu tambah tenaga kaki dengan banyak. Kau terus paksa diri begitu, betis dan peha akan meletup. Dan kawan-kawan akan  maki kau kerana terpaksa kutip cebisan-cebisan daging di denai.

Ketiga, kau perlu lawan mata dengan kontor cerun bukit di depan kau. Kau laras gear depan dan belakang paling sedap untuk cerun yang nak cari gaduh dengan kau. Jika aku berkayuh belakang kau, kira nasib kau baik. Aku akan perhatikan gear kau dan menasihati kau jika ada gear berbaki yang belum digunakan. Inilah senior-senior sebelum ini buat kepada aku. 

Tidak seperti penunggang basikal jalanan handle jatuh, penunggang basikal bukit handle tanduk kerbau balau akan bertemu longkang air tengah denai. Ya, longkang air bukan tepi denai. Denai off road biasanya dwi-fungsi  sebagai sistem aliran air. Kau elakkan tayar masuk longkang itu. Jika terjadi, pusingan roda pastinya terhalang dan kau terpaksa mengalah. Bila kaki jejak tanah kira game over, the floor is lava. Tolak sahaja basikal itu ke puncak. 

Jika kau menolak basikal ketika mendaki, tolong ke tepi sikit sebab aku yang di belakang mahu memotong. Jangan halang jalan aku. Get out of my way. 

Akhir kata, hadapi bukit itu slow and steady. Biasanya dua tiga kali kau bergelut dengan bukit yang sama dan dua tiga kali kaki krem, kau akan menang juga akhirnya. Kau kayuhlah pada tempo yang seragam sambil berzikir. (Ed. Menunggang basikal sambil menunggang agama nampak.)

Wait the minute kata kau, "Baru setahun jagung dah nak bagi nasihat cara membalas dendam dengan bukit." Beginilah dik, umur aku dah berapa sekarang? Kalau aku tunggu 20 tahun lagi, itu bukan nasihat tetapi wasiat namanya.


17/08/21



024 Berbasikal di Kejiranan

 Ada kemas kini SOP PKP. Sekarang berbasikal di kawasan kejiranan dengan mengambil kira jarak selamat dibenarkan.

Selasa. 20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijjah 1442H bersamaan Hari Raya Haji.  Petang itu aku kayuh 15km kawasan kejiranan menyusuri jalan khidmat projek HSR (High Speed Railway). Jalannya rata, peluh tidak pecah dan tidak penat. Not bad untuk orang yang dua bulan tidak bersenam. 

Khamis malam Jumaat. 22 Julai 2021 bersamaan 12 Zulhijjah 1442H bersamaan bulan terang 94%, aku kayuh 15km lingkaran berbukit Devil's Peak. Aku sudah biasa tempat ni sebelum PKP dulu - puncak pertama 110m, puncak kedua 120m, dan condong maksima 11% tetapi kali ini rasa agak jauh pula berbanding selalu. Lemak total lockdown masih lekat padu. 

Sabtu 24 Julai aku, Akak kau, Zam, Edi dan Bob buat kayuhan lingkaran lebih besar - Devil's Peak + Jeram Rahsia Umum dengan jumlah jarak 27km. Kayuh separuh, berendam dalam air gunung separuh dan sambung kayuh pulang. 

Dalam perjalanan pulang aku mula tertekan kerana matahari terpacak atas kepala. Dan laluan yang aku rancang pula terputus. Menurut Komoot, Strava dan Google Map ada terowong bawah yang menyambung Lingkaran Jeram Rahsia Umum dan Devil's Peak tetapi tuan punya tanah sudah korek parit dan pasang kawat duri pula. Kami teruskan juga laluan itu, angkat basikal dan turun parit. 

Oleh kerana denai itu sudah lama ditinggalkan, belukar sudah semakin menebal. Belukar pula jenis pokok berduri macam semalu tetapi lebih tinggi dari aku. Nasib baik Zam ada bawa pisau. Zam cantas mana yang patut bagi membolehkan  kami tembus ke jalan yang benar. Semasa menempuh belukar tayar aku tergelincir dan aku jatuh tetapi tiada kecederaan. Cuma ego sahaja yang tercalar. 

Seekor babi melintas di hadapan, aku buat tidak peduli.  Terus kayuh masuk kawasan Devil's Peak.

Baru 200m aku terpaksa berhenti kerana peha kanan kejang simpul biawak. Setelah rehat sekejap, kami teruskan lagi kayuhan. 1km kemudian, kejang merebak turun ke betis pula. Mungkin berendam air gunung lama sangat tadi. 

Aku mengambil keputusan untuk rehat kayuh dulu dan tolak basikal. Edi sukarela tolak basikal bersama aku. Dia pun hampir lengit juga rupanya. Ada la menolak dalam 20m.

Kemudian, aku teringat aku ada bawa ORS (Oral Rehydration Salt). Aku campurkan ORS dalam bekal 100+ dengan harapan air, garam dan minuman electrolyte boleh mengurangkan kejang.

Lantas, aku sambung kayuh lagi layan bukit terakhir Devil's Peak. Berjaya juga akhirnya aku melepasi puncak dan menuruni bukit ke garisan akhir dengan bantuan graviti.

Lemak dan kelesuan lockdown ini benar. Perlu ambil masa panjang untuk pecahkan lemak dan kembalikan kecergasan. Aku akan terus buat kayuhan jarak dekat harian dengan bekalan ORS, stand by. Mungkin juga aku perlu bawa pisau macam Zam, just in case. 


26 Julai 2021



023 Jatuh Lagi

 Semalam aku jatuh basikal MTB di pinggir hutan. Beberapa saat sebelum itu aku menunggang sambil berbisik dalam hati, "Inilah kali pertama aku dapat lalu denai ini tanpa menolak. Terimakasih MTB."

Sekonyong-konyong tayar belakang terangkat dan aku tersembam ke pasir. Nasib baik pasir, bukan akar kayu atau batu. Pasir masuk mulut tidak sakit tapi pedal kena belakang lutut, sampai sekarang sengalnya.

Kawan-kawan tanya,"Tok okay?" Aku jawab aku okay. "Aku jatuh sebab riak," jawab  aku ringkas.

Kembali kepada persoalan dari posting yang lepas, adakah musim basikal akan tamat?

Ya musim basikal akan tamat... 

- jika kau cedera. Aku berehat main basketball sebab lutut aku sakit. Jika aku cedera kerana basikal pula nampaknya aku pun kena rehat atau quit basikal. Mulai sekarang, aku kena ingatkan diri agar tidak riak dan menunggang dengan lebih cermat. Jangan, ciwi sangat. Jangan ikut sangat gaya penunggang muda. 

- jika ada undang-undang menyekat hobi basikal. Contohnya, kerajaan keluar SOP, dilarang berbasikal. Nama pun PKP, Perintah Kawalan Pergerakan. Berbasikal adalah pergerakan. Aku ni boleh bertahan juga kerana basikal bukan mata pencarian. Kasihannya kepada migran-migran yang berkayuh ke tempat kerja.

- jika ladang-ladang korporat menguatkuasakan larangan berbasikal di ladang atas alasan menceroboh. Di denai yang selalu aku lalu sudah mula pacak papan tanda larangan berbasikal. Aku tidak tahu kenapa bermusuh sangat dengan basikal sedangkan banyak aktiviti jahat lain yang berlaku dalam ladang seperti memburu binatang dan bermain scrambler. Tiada pula papan tanda untuk mereka. Sebenarnya ladang kena ambil kesempatan daripada basikal. Dia cuma perlu umumkan ladangnya mesra basikal. Itu sahaja sudah baik untuk bantu brand dia. It's a simple and cheap corporate social responsibility.

-jika para penunggang jumpa sesuatu yang lebih seronok dan time consuming daripada penunggang basikal, maka basikalnya bakal bersawang. Contohnya, dia jatuh cinta, sibuk berkencan, kemudian berkahwin, kemudian beranak, dan pastinya dia akan sibuk tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada keluarga. Tiada masa untuk basikal. 

-jika kau tidak punya kawan dengan minat yang sama. Kau nak berbasikal tetapi kawan-kawan kau minat futsal. Maka kau pun ikut mereka main futsal. Aku bertuah sedikit sebab Akak Kau pun minat basikal. Adik aku, Yem, pun minat basikal. Kami bertiga pun jadi. Dan setakat ini ramai kawan-kawan aku suka basikal.

-jika group basikal kau bubar. Tiada lagi pentol yang mahu menganjurkan acara berbasikal. Band Search yang fenomena tu pun berpecah, inikan pula komuniti berbasikal tanpa struktur yang jelas.

Ini semua jika atau kalau, tetapi jika kau main basikal lebih dari mengisi masa lapang, musim basikal tamat pun kau tetap berbasikal. Kau masuk  dalam kategori kemaruk ghairah berbasikal atau omputih panggil passionate.

Motivasi basikal kau mungkin adrenalin ketika berbasikal, tendangan dopomine dalam badan, badan, kaesihatan kerana berbasikal, atau kau dapat ketenangan dari bertukang membangun basikal. Sampai tualah kau berbasikal. Bila dah tak boleh kayuh, kau main kerusi roda pulak. Asal ada roda. 

Kembali kepada cerita jatuh basikal tadi. 

Aku tidak cerita dengan kawan-kawan satu cerita tentang kisah pinggir hutan itu. Ada seorang penunggang pernah tiba-tiba terasa ada tenaga menolak basikalnya dengan kuat dari arah depan hingga dia tersungkur. 

Dia tuduh jin yang tolak tanpa bukti. Sungguh katanya. Aku percaya katanya sekarang. 

Aku pun berat mengatakan aku jatuh tadi kerana gurauan jin. Satu, kelajuan aku sederhana lebih ke arah slow sebab aku mengelak-ngelak pokok. Mustahil boleh tertonggeng begitu teruk.

Dan duanya, basikal aku ini tayarnya berat, sukar nak wikang tanpa momentum. Aku perlu laju dan tekan brek belakang mengejut untuk wikang sebegitu. 

Ketiga, roda basikal ini juga besar, setakat akar besar lengan senang-senang dia panjat. Tak mungkin ada akar yang sekat tayar sehingga aku tersembam. 

Maka, secara logiknya pasti kemalangan aku itu gurauan jin. (Hmmm kelakar juga aku berhujah logik tapi menuduh makhluk halus). 

Takpe, ini hari dia usik aku. Esok lusa aku datang pinggir hutan ini lagi, aku akan usik dia pula.


27 Mei 2021



022 Musim Basikal

 2020 menyaksikan ledakan penggunaan basikal. Fenomena ini ada kaitan dengan pandemik covid19. Orang tidak boleh lakukan apa yang biasa dilakukan seperti melancong, beraya, bermain bola dan sebagainya (yang bersifat rapat sosial), mula beralih kepada berbasikal. Maka, berbasikal yang besifat penjarakkan pun menjadi popular.

Aku berbasikal sejak umur 9 tahun lagi namun begitu 2020 dan 2021 ini tahun paling banyak berbasikal. Hujung 2020 aku membeli sebuah basikal commute kerana aku fikir cuma mahu menunggang petang-petang sekitar tempat kerja. Dan berbasikallah aku ke sana ke sini. Kemudian, aku mendapati aku lebih gemar berbasikal offroad.

Beberapa kali aku jatuh dan cedera bila menuruni denai tanah merah yang tidak rata. Maka, masanya untuk saya mencari sebuah basikal MTB. 

Begitu galaknya trending berbasikal, basikal yang aku inginkan sudah kehabisan stok di kedai-kedai. Aku pun memilih untuk membeli basikal terpakai. Selepas seminggu mencari akhirnya jumpa di FB sebuah MTB saiz M dengan tayar 27.5 x 2.25. Penjualnya adalah seorang pemuda lewat 20an. 

Kata pemuda yang menjual itu dia mahu membeli basikal lipat kerana kawan-kawannya bermain basikal lipat dan kurang yang bermain MTB. Bersama basikal MTB itu diberikan kepada aku helmet dan lampu basikal seolah-olah dia sudah berpatah arang dengan hobi berbasikal.

Terfikir aku, musim berbasikal sekarang ini akan tamat juga. Bagaimanakah sesuatu musim itu boleh mati? 


24/5/2022



021 Balik Rumah

 #021

Dalam pukul 1.30 tengah hari mak aku jerit, "Balik rumah!" Tapi masa itu aku jauh merayau, mana nak dengar. Punyalah leka merayau tangkap ikan longkang sampai lupa makan tengah hari. 

Mak akan pesan dengan budak-budak yang melintas, kalau nampak aku suruh balik makan. Itu dahulu, masa kecik-kecik. 

Masa anak kecik-kecik aku dahulu susah nak tinggal rumah. Sekarang mereka dah besar panjang boleh mandiri. Setakat sehari dua mereka boleh hidup dengan bahan dari peti ais. Mereka tidak merungut selagi wifi di rumah tip top! 

Sekarang, sejak main basikal ini aku kerap merayau lagi. Mula-mula masuk ladang kelapa sawit belakang rumah. Kemudian ke Kulaifornia, teroka jeram dan lombong sana pula.

Asyik masuk tempat sama pun bosan. Aku, akak kau, dan Yem teroka pantai timur pengerang pula. Beberapa kali juga ke situ khatamkan Tanjung Sepang hingga Tanjung Balau. 

Biasanya kami masuk petang Jumaat dan berkhemah di Punggai. Dari situ kami berkayuh sambil layan warung-warung kampung.

Jalan kampung tepi laut sangat nyaman. Pokok-pokok kelapa menari ditiup angin. Cahaya suria menyapa di celah-celah bunga lalang. Kereta tidak laju dan tidak banyak di jalanan, pulak tu jalan rata tidak berbukit-bukau. Sungguh seru. 

Malamnya layan ombak sebelum lelap. Esoknya, Sabtu, sebelum tengah hari kami bertolak balik.

Minggu lepas, kami di Punggai lagi. Kebetulan ada kawan-kawan camper 4WD juga berkhemah di situ. Leka juga sembang sampai ke petang.

Tiba-tiba anak aku hantar teks via telefon, "Cukup-cukup la tu. Baliklah rumah."

13 April 2021




Rabu, Februari 09, 2022

020 Kalau Berpacaran

 Bila anak meningkat dewasa kau tidak boleh anggap dia macam budak-budak lagi. Kau kena jadi kawan dia agar dia tidak berahsia dengan kau. 

Anak gadis aku yang kerja di Kuala Lumpur kerap juga menelefon akak kau. Dia melaporkan aktivitinya di sana. Dengan aku, dia cuma bercakap kalau nak minta duit. 

Satu malam, tiba-tiba sahaja akak kau hulurkan telefon, "Anak nak cakap dengan awak."

Sebagai seorang ayah, aku rasa gembira bila anak yang jauh di mata bertanya khabar.

"Papa, I am seeing someone."

Aku kaget sebentar mendengar kata-kata anak aku. Tiba-tiba terbayang hari pertama menatang dia sebagai bayi. 

Detik-detik dia mula bertatih. 

Kali pertama dia menyebut papa. 

Hari aku menyaksikan persembahan tadikanya. 

Hari-hari bertemu guru mengambil kad laporan sekolah.

Duduk melihat majlis konvokesyen.

Detik-detik penting itu terbayang macam trailer sebuah filem. Babak 1 dan 2, tanpa 3. Risau aku kalau ada plot twist.

Aku ikat kegusaran dan kebimbangkan aku. Aku simpulkan mati. Aku kumpul kesabaran dan masuk semula watak seorang ayah tua. Aku tanyakan soalan-soalan lazim. 

Macam mana kenal?

Orangnya solat tak?

Mak ayahnya ada lagi?

Kerja apa?

"Baru kenal hati budi. Kawan-kawan dulu. Belum declare pun lagi."

"Papa tiada halangan tapi jagalah batas-batas"

Kemudian aku nyanyi lagu Kalau Berpacaran. Akulah Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet sekali gus. Siap rap.

Kemudian akak kau bagi isyarat dia nak bercakap. Aku bagi telefon semula kepada dia.

Akak kau tanya soalan cepu emas, "Dia main basikal tak?"

Okay. Itu sahaja aku nak cerita.


Apr 4, 2021



105 BIKE CULTURE YALA

Bike Culture Yala, Thailand berlangsung pada 7 hingga 9 Ogos 2026. Aku bertolak dari Johor dengan kereta, membawa basikal menuju ke Kelantan...