KUALA NERANG: Tiga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai dekat sini, menerima satu hingga dua jahitan di kepala selepas didakwa diketuk dengan kasut tumit tinggi oleh seorang guru wanita.[Metro 26 Feb. 2007.]
Adalah amat malang bagi seseorang, bukan guru sahaja, cuba mendisiplinkan orang lain ketika kemarahannya sedang memuncak. Ini akan melahirkan tindakan tidak rasional yang bahaya. Jika hendak mendisiplinkan orang, sebaiknya kalian redakan kemarahan dahulu.
Berikut adalah nasihat-nasihat ulama tentang cara mengubati marah:
1. Kata Nabi, “Apabila kamu berasa marah, maka hiruplah air dan biarkan air itu di dalam mulutmu sehingga kemarahanmu reda.”
2. Jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, dan jika sedang duduk, maka hendaklah berbaring.
3. Berwuduklah. Sebaik-baiknya lakukan solat sunat.
4. Marah itu datangnya dari syaitan. Oleh itu, mintalah perlindungan dari Allah seperti membaca kalimah taawuz.
5. Sibukkan diri dengan mengingati Allah. Misalnya, berzikir dan berselawat.
6. Maafkan orang yang menyebabkan kemarahan itu.
Ada juga orang menyalurkan kemarahan dengan berkemas dan memberus bilik air. Ini adalah teknik "meditasi" yang positif.
Aku, kalau marah, akan cuba berdiam diri kerana risau aku akan mencarut jika bercakap.
Tapi aku pun manusia biasa. Guru biasa.
Baru-baru ini, beberapa murid aku yang terdiri dari bakal-bakal guru telah mencetuskan kemarahan aku kerana tidak membawa buku teks. Aku pun menyindir dalam keluhan,
"I wish I had worn heels today."
Beberapa murid yang otaknya yang melebihi 2000 C.C. ketawa mendengar sindiran aku.
Ada juga murid-murid yang terpinga-pinga. Mungkin mereka dari golongan 70 C.C. Marah aku bertukar menjadi kasihan. Aku pun bertanya, "Awak faham tak apa yang saya cakap tadi?"
Semua diam. Takut memberi jawapan yang salah. Ada juga yang tunduk mengelakkan hubungan mata dengan aku.
"Kamu," aku mengajukan telunjuk kepada salah seorang dari mereka, memberi isyarat memaksa jawapan.
"Saya tahu Encik. Encik nak pakai kasut tinggi."
"Kenapa?" aku menggunakan kaedah Socrates mencungkil jawapan yang aku mahu.
"Mungkin Encik mahu lebih tinggi."
Aku ketawa mendengar jawapan. Begitu juga mereka yang dari golongan 2000 c.c. ke atas. Kemarahan aku sudah tiada. Aku geleng kepala dan terus mengajar seperti biasa, membiarkan yang terpinga-pinga terus terpinga-pinga. Mungkin bila sudah pulang dan berbaring di hostel nanti, baru mereka dapat.
Rujukan:
Marah Cetuskan Konflik dan Peperangan.
Kes ‘cikgu ganas’ 2007
LAWATAN SAMBIL BELAJAR
FOTO: Dinner KESYUKURAN kru filem KIRI & MALING. April 25, 2007, Venue : Damai Village Restaurant, Johor Malaysia.