Khamis, Disember 13, 2007

MONSUN




Amaran: Catatan ini tidak mesra pembaca.



.....

Pernah terpegang DVD filem belanjawan raksasa, Dragon Wars? Letak semula DVD itu. Janganlah membazir duit upah membanting tulang untuk membelinya. Kalian mungkin teruja dengan poster naga-naga bertempur di tengah bandar Malaikat, tetapi percayalah itu hanya ilusi halwa mata. Tidak semua yang cantik itu baik. Kesan khas itu tidak dapat sembunyikan cerita yang hanyir sampai ke langit ke tujuh.


Cucuh sahaja duit hijau kalian dengan kretek Djarum, itu lebih seru dari menonton Dragon Wars. Korea Selatan, pembikin Dragon Wars, patut menumpukan tenaganya kepada komedi romantik. Itu kekuatan mereka.

Juga. Petualangan aku petang semalam semasa monsun mengeraskan ototnya lebih berbaloi untuk dikenang dari bersengkang mata menonton Dragon Wars.

Semalam, tiga adiwira kebosanan di markas kerana musim bunga popi belum tiba. Dua anti-hero terlibat, seorang jenis Faustian dan seorang lagi Byronic. Dan yang ketiga adalah hero archetype persis Superman. Tinggi, kacak dan murah senyuman. Senyumannya melimpah tetapi tidak meruah. Sentiasa terkawal.

Ketika awan sarat mengandung dan menggores ledakan-ledakan listrik, ketiga-tiga hero ini pergi ke gerai mencari teh tarik kurang manis gelas besar dan cucur udang berkuah kacang di Taman Teratai. Sekonyong-konyong, bocorlah langit. Titis-titis air berebut-rebut menyahut panggilan graviti.

Kami terpaksa meninggalkan meja yang mula basah dengan tempias. Teh tarik kurang manis bertambah tawar bercampur jus langit. Berdirilah kami menanti awan berhenti menangis.

.....
Dean Sham pun berfalsafah, "Hujan ini membersihkan dosa dan noda dunia." Ringkas sahaja falsafahnya.

Aku pun menjawab, "Ya. Kaulah orang pertama yang perlu mandi dengan air hujan ini." Aku menunding ke arah hujan lebat.

Dean Sham kata, "Ha! Ha! Bukan aku seorang sahaja. Engkau dan aku perlu bersiram dengan monsun hujung tahun ini."
....

Superman senyum sahaja. Tanda setuju.

Dunia terlalu kotor. Langit belum puas dengan cuciannya. Dia tidak mahu mengalah. Mungkin langit yakin bahawa bumi perlu angkat hadas besar.

Ada meja kosong yang kering di gerai sebelah. Kami sambung pesan teh o limau dan karipap panas. Kami tetapkan masa bertenang dan masa untuk panik. Kami mesti pulang ke markas.

Masa untuk panik pun tiba tetapi hujan masih menyimbah bumi. Tiada tanda dia akan berehat memerah awan. Lantas, kami pun berlari menempuh hujan, berpayungkan tapak tangan masing-masing. Kelam kabut menyusup ke perut Honda. Enjin dihidupkan dan gear ditolak. Kami mula membelah hujan. Waktu hujan lebat begini, simpang jalan mula bertukar menjadi kolam. Lebuh raya mula berjerawat seperti medan ujian senjata. Kereta-kereta mula tersadai di tepi jalan merajuk kesejukan. Tapi kereta kami gagah menuju pintu masuk markas yang hujung.

Monsun ini lebih ganas dari yang di sangka. Sebahagian markas kami dilanda banjir kilat. Padang bertukar menjadi laut. Pintu masuk ke markas kelemasan. Ada Toyota Corrolla putih mati enjin separuh terjerumus ke dalam air deras berwarna teh tarik. Pemandunya terkial-kial menolak tetapi sia-sia kerana mengundur ke belakang bermakna mendaki bukit. Apa aku buat? Aku rakamkan foto dia dengan telefon mudah alih. Sibuk aku menekan punat telefon. Ini scoop!

Klik!

Klik!

Klik!

Dean Sham pun bekata, "Jom kita tolong."

Aku simpan telefon dalam saku dan berkata, "Jom!"

Ini cerita hero. Hero mesti bantu orang. Kami membuka kasut dan menghampiri lelaki dalam kecemasan itu. Lelaki itu seorang Arab.

Dia berkata, "I thought I could pass through. But I got stuck."

Aku pun menjawab seperti aku, "You need a boat for that (flood)." Sambil ketawa.

Dia tidak ambil hati. Dia tahu kami datang untuk membantu. Kami dorong kereta itu keluar dari air yang keruh.

Mula-mula Arab itu kata , "Thank you." Kemudian dia kata "Terimakasih." Dia mahu pastikan kami tahu bahawa pertolongan kami dihargai.

Aku jawab, "It's okay. It's our pleasure to help you. You'd do the same."

Jika dia ada blog, pastinya dia menukilkan betapa budimannya rakyat Malaysia. Jika dia seorang alim, pastinya dia mendoakan kesejahteraan kami berdua. Semoga jauh dari api neraka.
Kami pulang ke dalam kereta sedikit basah. Kami khabarkan kepada Superman yang dari tadi hanya menunggu di dalam kereta, "Kami ini Samaritan yang bagus. Kami kan masuk syurga."

Superman menghidupkan Hondanya lalu berkata sinis, "Jangan terlalu yakin, korang banyak dosa yang perlu ditebus."

Dia membuat belok U untuk menuju ke pintu pangkal markas. Pintu pangkal markas juga tenggelam. Ujian kami belum selesai. Kami cuba pintu tengah pula. Banjir juga tetapi boleh dilalui oleh kenderaan sedan. Kami masuk dan berlegar dikawasan markas untuk memantau keadaan banjir. Serius. Tahap kod amaran merah jambu ni. Bank Muamalat tempat aku selalu pergi bayar hutang pun dinaiki air hingga ke paras lutut. Pun begitu pejabat kami tidak dinaiki air.

Bila senja mula melabuhkan langsir merah di kaki langit, hujan mula reda. Monsun mula simpati kepada kami yang tidak keruan hanya kerana air berlebihan.
.......................................

Aku jarang buat entri panjang sebegini. Biasanya aku buang kemaruk ayat aku dan hanya ambil bahagian yang italic sahaja agar entri menjadi lebih langsing, sedap dipandang dan mesra pengguna. Tapi hari ini bukan hari biasa. Malas mahu siang lemak keluar dari dagingnya. Pandai-pandailah kalian menghadamnya.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR
1. Astro Kirana Short Film Award - Top 10 bukan rezeki aku. Mereka belum bersedia untuk aku.

2. Paras air di U*M di paras kod amaran merah jambu. Baca kat SINI.

19 ulasan:

rasso berkata...

Alahai.... Kampus kita banjir....
Cuti-cuti pun makin sibuk sekarnag ek...
Huhuhu

blackpurple @ jowopinter berkata...

Banjir. Ada kata pesta. Ada kata bencana.

DeanSham berkata...

tok,

itu baru banjir sikit. Yang lebih parah monsun di hati sebab musim bunga belum tiba lagi.

alahai!

u l t r a b a e berkata...

banjir? nasib baik dah habis belajar..

hmm..bandar tenggara banjir x tok?

u l t r a b a e berkata...

dah tengok yang paras air u*m melepasi kod merah jambu tu..last year punya hujan pun sungai/longkang tu deras yang amat.sempatla snap air terjun mini jadian..tapi tak sehebat kali ini.

paling tak boleh terima at the same time (last year) ada romeo n juliet amik gambar posing2 kat air banjir tu dlm renyai2 hujan..kot nak memori daun pisang pun kan..ishkk...

فيصل berkata...

tima kasih tok rimau... :)
tu la pengalaman tahun ni..
banjir.. sib baik aku tak balik awal.. kalo tak.. memang susah nak snap.. basah kuyup kamera..
tu pun tangkap masa hujan renyai..
hehe..

Tok Rimau berkata...

Rasso,
Nanti balik U*M jangan lupa bawa pelampung.

Black,
Banjir = ujian.

Dean,
Alahai! Sekarang musim hujan. Hujan ini akan menyuburkan tanah untuk musim bunga popi.

Bae,
Bandar Tenggara okay. Jangan berangan nak ponteng sekolah pulak. Biar la romeo n juliet dgn memori daun pisang mereka. Bae cemburu ke?

Faizal (betul ke ni. Jawi akau tak terer sangat),
Engkau bergambar dgn tudung sambil makan karipap? Anyway, terjadinya banjir ini kerana U*M adalah premier engineering university yg mendabik dada dgn kepakaran perancang bandar, saliran dan tanah. Kita akan diuji dgn kepakaran kita.

Tok? Pakar cakap. Esok akan diuji kerana mulut celupar tak insuran.

dugongsenyum berkata...

Kat sini banjir tu takde lagi, tapi hari2 hujan selesema jadinya. Snifff sniff snifff

mangosteenskin berkata...

tak mesra pembaca? tak apa, aku suka.

lupa. salam tok rimau.

sepatutnya salji turun tapi kerana kita di khatulistiwa maka yang jatuh cuma ais cair.

deynarashid berkata...

walaupun hujan dan banjir, namun tok masih mampu menjadi seorang hero. sangat hebat. dan tahniah. tak semua org memiliki bakat semulajadi sebegitu. hehe..

rasso berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
rasso berkata...

Photo journalisme....
Ceit! Pelampung plak... Harap krismas nanti airport senai tak banjir...

irdhi_hayati berkata...

klu dulu tempat sy selalu banjir, n kwn2 dr negeri tok selalu ckp mcm ni, best nye korang main banjir yer..skrg mesti dierorg dh x ckp mcm tu :)

Tok Rimau berkata...

Dugong,
Jangan main hujan. Makan salap vick tu. Sapu pada roti.

Mango,
Jika mereka boleh tunaikan salji kepada produk pelancongan, kenapa tidak kita niagakan banjir ini?

Big Giant Free Waterworld for The Whole World!

Sofea,
Reluctant Hero to precise.

Rasso,
JIka plane tidak mahu berhenti di Senai, tekan loceng dan terjun payung.

Irdi,
Sekarang kami pun boleh tengok gadis-gadis menyingsing kain. >:-)

spyz berkata...

semoga bank muamElat hilang semua data hutang kau..

sinaganaga berkata...

DeamSham,
Yuki sudah mula turun di utara. Musim bunga? Lambat le lagi tu. Hak hak hak.

Mata air masyukkkkkk! Ha ha.

A t i Q a h berkata...

kat Arab x pernah banjir,sebab tu dia tak boleh nak 'budget'..ehehehe

Lily Abdullah berkata...

yup...yup...mari kita sama2 fikirkan bagaimana menjadikan banjir sebagai produk pelancongan. Pastu kita hantar proposal kat Tok Nan :)

hakim dirani berkata...

Saya ingat pak arab memang payah sikit berasa dengan seseorang.

he he, saya yang bergaul dengan arab setiap hari ini tidak lagi hairan kenapa mereka sangat suka ngan orang Malaysia, mungkin kerana orang yang baik hati dan prihatin macam tok. :)

69 Hujan dan Lumpur

Main MTB ni seronok tapi kena berani kotor kerana lumpur dan tahi lembu. Lebih-lebih lagi jika kau main di musim hujan. Masa aku main di kaw...