Selasa, Februari 09, 2010

3 LAWAN 3



Beep. Beep. Beep. Spalding hantar SMS, "Jumpa di Muzium nanti."

Bulan lepas aku nampak iklan, 3-on-3 Basketball Tournament di Kompleks Sukan. Aku buat tidak tahu. Tidak khabarkan pun kepada kawan-kawan gelanggang aku, kawan-kawan basketball yang main setiap hujung minggu.

Tahun lepas aku dan kawan gelanggang masuk kejohanan dalam kategori Non-Chinese. Perkauman betul format ini.

Format ini wujud dengan andaian Cina lagi handal main basketball berbanding kaum lain di Malaysia. Kami pun terpedaya dengan propaganda yang sama. Andaian kami, jika kami bersaing sesama bangsa, lebih mudah untuk menang.

Apa yang kami lepas pandang adalah Non-Chinese juga bermakna Arab, Kazakstan, Iran dan lain-lain bangsa yang belajar di Universiti Selatan akan masuk kategori ini. Memanglah kami kalah teruk lagi lengit. Nasib baik kami bagi nama team kami Roti Tampal Goyang, bukan Lenjan Maut, Beruang Brutal dan nama-nama lain yang menggambarkan ketangkasan dan kehandalan.

Itu tahun lepas.

Pun begitu masa kejohanan berlangsung tahun lepas, pemain-pemain Melayu yang dalam main kategori terbuka tidak kurang hebatnya. Pada pendapat aku Melayu main basketball lebih mirip dengan mainan Negro berbanding dengan Cina yang main ala Mat Salleh. Melayu main basketball macam bersilat. Banyak bunganya. Fancy. Sedang Cina pula main tegak macam Tae Kwon Do. Straightfoward. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Tapi ini semua generalisasi. Tidak semua Cina pandai main basketball. Dan, tidak semua Melayu pandai main takraw. Kita tinggalkan isu perkauman ini di luar. Semoga baju batik 1Malaysia dapat menyelesaikannya.

Minggu lepas, tahun ini, Abang Halim telefon aku. Dia perlu seorang lagi ahli untuk mencukupkan team 4 orang untuk 3-on-3. Seorang itu rizab. Aku tidak boleh kata NO kepada Abang Halim. Bukan kerana dia persuasive, tetapi kerana dia lebih tua dari aku. Umurnya 50. Malulah aku yang lebih muda tidak menyahut cabaran.

Maka, lengkaplah satu pasukan bola keranjang. Aku, Mik, Zizan dan Abang Halim. Jumlahkan usia kami semua, 152 tahun. Sedangkan ahli team lain semua bawah 30an. Kalau jumlahkan usia ahli team lain, lebih kurang 100 tahun maksimum.

Setelah undi dicabut, kami berada dalam kumpulan D. Lawan-lawan kami adalah The Xtremes dan The Wonder Boys. Kedua-dua team ini adalah campuran Cina dan Melayu tetapi majoriti Melayu. Aku kenal mereka. Mereka adalah wakil universiti dan kolej-kolej untuk basketball. Aku tepuk dahi mengeluh. Kami telah menempah maut saiz XXL.

Abang Halim daftarkan nama team kami sebagai Blast From The past. Huh! Kalau kalah pun tak malu sangat. Kan?

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Game kami menentang The Xtremes pada pukul 11 pagi. Dan menentang The Wonder Boys pula pada pukul 2 petang. Ya, matahari terpacak di langit. Gelanggang terbuka. Memang masak rentung.

Aku jadi gabra.

Dalam sesi warming up, aku lontar-lontar bola ke dalam keranjang. Memanjang tak masuk. Aku bertambah gabra.

Game pertama, Blast From The Past vs. The Xtremes. Mereka memang tangkas, tepat dan laju. Separuh masa pertama kami kena 6-0. Kami macam hilang arah. Semua skills ke laut. Keranjang macam tidak mahu telan bola kami.

Separuh masa kedua kami lebih stabil. Aku rizab. Pun begitu, pemain lawan telah melanggar lutut Zizan. Lututnya dislocated. Dia merengkok di tepi gelanggang menahan sakit. Perlahan-lahan Mik tarik tegakkan kaki Zizan. Dia tidak boleh main lagi. Kami usung dia ke tepi. Aku masuk semula.

Pada wisel penamat, skor 13-6. Aku skor 3 mata. Kalah tapi tidak teruk sangat.

Menunggu game yang berikutnya, kami mengeluh. Dengan 3 orang tanpa rizab, kami memang tidak ada harapan untuk menang. Apatah lagi ke peringkat suku akhir. Keputusan perlawanan antara The Xtremes dan The Wonderboys menunjukkan The Wonderboys lebih kuat. Kami baru kalah dengan The Xtremes, sekarang perlu berlawan dengan pasukan yang mengalahkan the Xtremes pula.

Masak.

Abang Halim ceria sahaja. Dia tidak menampakkan tanda-tanda ketakutan. Katanya, "Relax la.Kita buat biasa-biasa seperti kita main setiap pagi Sabtu dan Ahad. Kita main bukan untuk menang sangat. Kita main untuk seronok-seronok keluar peluh dan melepaskan tekanan hari-hari kerja."

Abang Halim betul. Kalau menang pun cuma dapat hamper. Tujuan asal kami masuk tournament ini adalah suka-suka sahaja.

Pritttttttttttt! Wisel game kedua bermula. Abang Halim dan Mik banyak main dalam bulatan. Mereka lebih laju dan lebih mahir berbanding aku. Lagi pun, aku takut dengan The Wonder Boys. Mereka main agak kasar. Aku ada kecederaan sukan lama yang membebel di buku lali dan lutut. Aku tidak mahu cederakan diri.

Aku main di luar bulatan. Jika tidak open, aku pass. Jika open, aku shoot. Polisi dan strategi ringkas. Tidak membebankan. Aku tidak peduli pun kedudukan skor. Aku main macam biasa-biasa.

Prittttttttttt! Wisel penamat ditiup. Kedudukan terikat 10-10. Aku sahaja skor 6 mata dari luar bulatan. Not bad for a Blast From the Past.

Wajah The Wonder Boys nampak gabra. Malulah kalah dengan orang tua. Kawan-kawan mereka sudah gelak-gelak di luar gelanggang.

Kemenangan akan ditentukan oleh free throw sebagai tie breaker.

Ringkaskan cerita, kami kalah untuk tie breaker. Mereka lebih tepat lontarannya.

Aku high five Abang Halim, Mik dan Azizan yang jalan tempang tapi masih menyokong di tepi gelanggang.

Aku cari redup bayang pokok dan duduk menyandar. Aku togak air dari botol untuk rawat dehydration. Aku lap peluh. Aku buka kasut basketball aku. Aku gerakkan jari-jari kaki. Aku tanggalkan guard lutut dan buku lali.  Sebelah kanan dan kiri. Aku berlunjur dan stretch kaki aku.

Dan aku ambil telefon bimbit dari beg sukan.

Aku taip satu SMS, "Aku tidak mahu pergi muzium. Kalau kau nak jumpa aku, kau datang jumpa aku. Bukan aku yang datang jumpa kau." Aku tekan reply hantar kepada Spalding.

Orang tua-tua kalau tulis SMS tak pandai ringkaskan perkataan. Terbiasa tulis ayat penuh.

5 ulasan:

Alan berkata...

tahniah tok!

patungcendana berkata...

hehehe...aku suuka Blast from the past...

next time nak main basketball, ajak aku.

Masy berkata...

patot laa abang gua suka tulis penuh2. dia dah tua rupanya hmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmm

jo berkata...

takut-takut pun masih boleh bagi 6 out of 10..





cayalah!

Bukan Sepet berkata...

Salut lu tok!

(bangun)

(ok, dah duduk balik)

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...