Isnin, Ogos 30, 2010

BIRTHDAY WISH


Pada tarikh ulangtahun kelahiran aku kali ini, aku sedar bahawa adalah agak terlambat bagi aku untuk mati muda. Hi hi hi.

Aku sambut harijadi kali ini dengan beli hadiah untuk diri sendiri. DIY la tu. Aku beli, sepasang kasut basketball adidas, sebiji bola nike dan dua pasang t-shirt WWF. Bukan World Wrestling Federation tetapi World Wildlife Fund. Atas baju tertulis mesej, "Selamatkan Harimau." Ya. Harimau semakin pupus. Hi hi hi.

Berikut adalah senarai hadiah bithday wish aku untuk tahun depan yang aku mohon dari kalian mengikut kesesuaian, keikhlasan dan kebakhilan masing-masing.

RM1000000
Sebuah dewan basketball tertutup yang juga serbaguna. Jika kelak aku tidak boleh berlari lagi dan mula solat atas kerusi, aku boleh convert jadi panggung wayang atau tempat gig jika perlu. Kalau tidak pun sewakan untuk majlis-majlis perkahwinan.

RM100000
Satu unit apartment mengadap kolam renang kongsi.

RM10000
Macbook Pro bundled with photoshop and finalcut video editing sofware.

RM1000
Official Spalding NBA tournament basketball.

RM100
Senaskah buku tentang pengarah-pengarah filem legenda.

RM10
Nasi beriani gam dan bandung soda dua gelas.

 RM0
Doa agar aku bahagia dunia akhirat.

Oleh itu, mula berjimat dari sekarang.

Sabtu, Ogos 28, 2010

TAYANGAN PERDANA PEMANDU PELENCONG

Sempena 31 Ogos, mereka akan tayang filem Bukit Kepon. Bagaimana dengan 28 Ogos?

Sempena meraikan tanggal 28 Ogos, filem pendek Pemandu Pelencong arahan Tok Rimau dan Jimbo disiarkan dengan sarikata Bahasa Melayu untuk bahagian Bahasa Jepun. Enjoy!

Masa kami tayang di Maskara Shorties dulu, hanya mereka yang tahu Bahasa Jepun sahaja boleh nikmati bahagian itu. Tonton sekali lagi dengan kefahaman baru!




SINOPSIS
Pemandu Pelencong adalah sebuah kisah penipuan peringkat antarabangsa yang dilakukan oleh seorang kutu yang lemah dalam sejarah, ilmu alam dan pengetahuan am.

Filem ini dibuat dalam masa 24 jam. Ikuti cerita di belakang tabir pembikinan filem Pemandu Pelencong di SINI.

Trailer Penipu


PENGARAH
Tok Rimau adalah seorang penulis buku cerita di bawah label penerbitan indie Sindiket Sol-Jah. Manakala, Jimbo Tiram pula adalah front man kumpulan punk metal tepu Hellexist.

Bikin filem bukan periuk nasi mereka. Bikin filem adalah mangkuk mi segera mereka. Tok Rimau, Jimbo. Bergabung. Meletup! Jahanam! Ha! Ha! Ha!

Jumaat, Ogos 27, 2010

COMING SOON: PEMANDU PELENCONG

Esok, tayangan perdana Pemandu Pelencong kat blog gua. Mula jam 12 am, 28 Ogos 2010. (+sarikata bahagian yang ditutur dalam Bahasa Jepun)

Khamis, Ogos 26, 2010

HUJUNG NYAWA



30 minit selepas masuk waktu Isyak. 13 Mei 2020. Sebuah robot pembinaan 3 tan metrik buatan Israel  jenama X10N15 terkena jangkitan virus digital Galut.exe. Robot itu hilang kawalan dan mula menembak lazer ke arah semua objek bergerak. Robot  X10N15 yang sepatutnya berstesen di jalan Dewan Bahasa untuk menaikkan taraf jalan ke lorong 5 tingkat mengamuk memusnahkan semua harta benda dalam laluannya. Ia menuju ke Rumah Pena.

Di Rumah Pena, kebetulan pada masa itu Sindiket Sol-jah, kumpulan aktivis seni, sedang menganjurkan Malam Baca Naskah. Majlis itu dihadiri sekitar 500 peminat-peminat seni, kebanyakannya adalah wanita-wanita muda. Tarikan utama pada malam tersebut adalah persembahan The Parkison Reunion Poetic Metal Punk Band pimpinan Datuk Jimbo Ulu Tiram.

Bila Robot  X10N15 merobohkan pagar elektrik dan masuk ke laman Rumah Pena, penonton jadi panik. Sindiket Sol-jah berjaya menyelamatkan para khalayak yang hadir dengan mengarah khalayak ke arah laluan rahsia bawah tanah. Terowong rahsia itu membawa khalayak ke Perhentian LRT Plaza Rakyat. Selamatlah lebih  kurang 500 orang.

Pun begitu, ahli-ahli Sindiket Sol-jah sendiri menjadi mangsa keganasan robot pembinaan, X10N15, tersebut. Gelombang bunyi mampat yang diarahkan ke bumi telah merobohkan laluan terowong rahsia sehingga membuat Sindiket Sol-jah terperangkap dalam Rumah Pena. Mereka terpaksa berdepan dengan Robot  X10N15 yang mula melepaskan tembakan membuta tuli.

Spyz, Opi, Jigo dan Azzam mati di tempat kejadian tertewas dengan lazer pemotong konkrit oleh Robot  X10N15 yang hilang kawalan itu. Sementara itu, Dean Sham, Vovin, Mat Jan dan Sinaganaga cedera parah.  Buah pinggang Dean Sham rosak tidak boleh digunakan lagi. Jantung Vovin jahanam tidak boleh berdegup normal. Hati Mat Jan terkoyak tidak boleh berfungsi. Dalam satu letupan, Sinaganaga tercampak keluar dari tingkap. Kepalanya pula terhantuk ke arca batu tepi Rumah Pena. Araca batu itu pecah tetapi tiada kecederaan luaran kelihatan. Namun begitu, Sinaganaga mula berkelakuan pelik. Dia hanya menyanyi lagu lama Patah Hati dalam mode loop.

Patah hatiku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Malam semakin larut. Aku dan Pipiyapong luka calar-calar tetapi tidak kritikal. Kami bebas bergerak dalam Rumah Pena tetapi tidak dibenarkan keluar. Robot  X10N15 menahan kami semua sebagai tebusan. Di luar, 10 lori anggota FRU sudah berkumpul.

Keadaan Dean Sham, Vovin dan Mat Jan adalah sangat kritikal dan boleh membawa ke maut. Pipiyapong meyakinkan aku agar kita bunuh sahaja Naga dan gunakan organ-organ tubuhnya untuk menyelamatkan yang tiga lagi. Bersungguh-sungguh Pipiyapong mendesak.
Patah hati ku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri tak tentu haluan
Kebetulan, Sinaganaga memang mempunyai banyak organ-organ cyborg kerana caruman insuran beliau membenarkan organnya ditukar dengan organ sintetik jika terjadi kemalangan. Rekod perubatannya menunjukkan- pada 2017 hatinya di tukar dengan hati mesin kerana satu kecederaan akibat dari  pergaduhan berebut tempat letak kereta. Buah pinggangnya pula di tukar mesin kerana terkena mercun pada 2018. Dan jantungnya memang mesin sejak 2015 kerana rosak terlalu banyak hisap rokok.

Pipiyapong terus berhujah bahawa kepala Naga sudah ting-tong sasau. Dia lebih baik mati menyelamatkan kawan-kawan dari hidup dalam keadaan gila. Sayang betul Pipiyapong kepada Dean Sham, Vovin dan Mat Jan yang nyawa-nyawa ikan itu.

Aku diam serba salah dalam panik penuh dilema. Aku memikirkan jasa Sinaganaga dalam Sindiket Sol-jah dan arena seni peringkat nasional terlalu berharga untuk dibunuh.
Ku harap janjimu
Bahagia selalu
Sayang
Rupanya patah
Rupanya patah di tengah jalan
Pipiyapong berhujah lagi, "Hidup dalam nostalgia adalah hidup yang tidak kacip. Lagi pun 3 nyawa lebih penting dari 1 nyawa." Logik matematik itu tidak dapat aku sangkal. Aku akur, ya 3 nyawa lebih penting dari 1.

Aku yang mempunyai lesen kontraktor F pembedahan organ mesin terpaksa mengorbankan 1 nyawa bagi menyelamatkan 3 nyawa lain. Sekali libas ke tengkuk dengan kaki mikrofon, satu nyawa telah melayang meninggalkan dunia yang penuh sandiwara ini.

Hanya satu sudu meja darah terpercik ke dinding Rumah Pena.

Pembedahan yang mesti dilakukan aku segerakan tanpa lengah-lengah sementara organ-organ mesin dalam tubuh arwah masih panas.

Buah pinggang, jantung dan hati milik Dean Sham, Vovin dan Mat Jan berjaya digantikan dengan organ-organ mesin terpakai. Aku tampal luka pembedahan mereka dengan binding tape. Aku arahkan mereka buat senaman warm up kerana ada perjuangan yang belum selesai.

Tepat 12 tengah malam, Aku, Dean Sham, Vovin dan Mat Jan dan aku berjaya mengalahkan robot pembinaan 3 tan X10N15 buatan Israel dengan cara merempuh robot itu dengan kereta lumba Pipiyapong bagi menolaknya ke dalam kolam ikan air tawar di hadapan Rumah Pena. Mati lintar pintaslah Robot  X10N15 itu. Sejurus dengan itu tenaga kecemasan  Robot  X10N15 menghidupkan alat kemusnahan kendiri. Satu ledakan kuat bergema mengegarkan Kuala Lumpur meninggalkan lubang sedalam 10 kaki di halaman Rumah Pena.

Kami, kemudiannya segera menghantar Sinaganaga ke hospital.

Ya, Naga masih hidup. Yang aku bunuh untuk dapatkan alat organ ganti bukan Sinaganaga tetapi Pipiyapong. Aku terpaksa bunuh Pipiyapong kerana kerana dia terlalu yakin dengan falsafah 3 nyawa lebih penting dari 1. Maka, organ yang berdenyut-denyut dalam tubuh Dean Sham, Vovin dan Mat Jan adalah organ Pipiyapong. Pipiyaponglah wira yang menyelamatkan mereka. Kerana Pipiyaponglah mereka bernafas sekarang ini.
Hendak diulang... Hendak diulang
Resah menanggung
Sayang
Kenanglah jangan
Kenanglah jangan disebut pun jangan
Ramai yang tidak tahu sekitar 2019, aku telah memasukkan organ-organ mesin ke dalam tubuh Pipi. Jantungnya rosak kerana kretek. Buah pinggangnya rosak kerana kemalangan antara kereta sukan dan sebuah proton saga rosak tingkap. Hatinya pula, dia cabut sendiri dan jual kerana dia amat memerlukan lensa baru untuk kameranya. Organ-organ inilah yang aku pindahkan kepada Dean Sham, Vovin dan Mat Jan.

Setibanya di hospital, Sinaganaga dibawa ke ICU. Otaknya dikaran bertubi-tubi sehingga blackout Kuala Lumpur. Tetap otaknya tetap tidak pulih. Dia hanya terus menyanyi. Tinggallah dia dalam pusat tahanan pesakit mental dilayan oleh jururawat yang muda-muda belaka. Tetapi itu tiada makna lagi bagi Sinaganaga. Sia-sia aku memilih membunuh Pipiyapong, bukan Sinaganaga.

Terakhir sekali aku dibenarkan melawatnya, dia masih begitu. Masih mendendang lagi yang sama sambil memandang ke langit.
Hancur hatiku
Di dalam nestapa
Mengenangkan nasib
Mengenang nasib diriku malang
2030, Sindiket Sol-jah dibubarkan secara rasmi. Pun begitu kumpulan-kumpulan serpihan Sindiket Sol-jah tetap aktif. Sol-dadu pimpinan Daniel kini sedang buat jelajah Australia dengan konsert puisi mereka. Sol-mate pula ke timur tengah dengan jelajah album kompilasi Nasyid di bawah pimpinan Marini. Tidak ketinggalan kumpulan Boy So-lace yang diketuai oleh Gunx sekarang berada di pendalaman Amazon membuat tayangan wayang pacak di bawah label Lipstick Shorties. Mereka dikhabarkan ditaja oleh korporat Lancome Cosmetic.
Maksud hatiku
Maksud hatiku
Bahagia bersama
Sayang
Apakan daya
Diriku miskin
Harta tak punya
Dean Sham kini berusaha membikin filem panjang pertamanya dalam dokumentari. Filem itu bertajuk Malam Di Kuala Lipis: Gerakan Indie 1980-2020. Dean Sham masih lagi memohon dana dari Finas dan World Bank untuk membuat filem tersebut yang dijangka bakal memakan belanja US$20 Billion.

Peristiwa hitam itu membuat Vovin hilang nafsu terhadap jalan-jalan melihat negara orang. Dia berazam untuk melakukan sesuatu yang pernah dibincangkan bersama Pipiyapong ketika mereka bujang, mendaki gunung Everest. Kali terakhir aku melihat dia adalah ketika dia menyorong kerusi rodanya ke arah perut pesawat Air India di KLIA. Tahun 2035. Itu pun melalui siaran tertunggak Buletin TV3. Sejak dari itu tiada khabar berita lagi.

Tahun 2040. Mat Jan juga membawa diri. Khabarnya dia ke pendalaman pulau Papua menghabiskan sisa hidupnya mengajar bahasa Inggeris di sana. Dia begitu yakin bahawa bahasa Inggeris adalah kunci ilmu. Dengan kemahiran bahasa Inggeris, dapatlah anak-anak pulau itu membaca buku-buku akademik dan memajukan diri mereka. Mat Jan bagai lilin membakar diri dalam hutan belantara itu. Jauh dari hiruk pikuk moden.
Ingin ku petik
Bintang yang tinggi
Sayang
Tanganku hangus
Tanganku hangus disambar petir
Harian Metro ada menulis di muka depan tentang kelibat Pipiyapong di Lima, Peru. Aku tidak hairan, ikon Pipiyapong dengan logo stensil Pipiyapong sedang menghisap rokok memang popular serata dunia. Lebih popular dari ikon Che Guevara. Ramai anak-anak muda dunia meletakan Pipiyapong sebagai idola. Mereka terikut-ikut dengan fesyen dan gaya hidup Pipiyapong. Jika surat khabar melaporkan nampak seribu Pipiyapong pun, aku tidak hairan. Tetapi gossip tinggal gossip. Kuburnya ada di Kuala Lipis dibalut kain kuning jadi keramat.

Aku? Umur aku menjangkau satu abad. Sisa-sisa hidup aku dalam penjara. Aku dipenjarakan kerajaan kerana membunuh Pipiyapong. Aku menunggu hukuman seterusnya. Jika permohonan pengampunan yang aku hantar kepada yang di Pertuan Agung tidak diperkenan, maka aku akan dihukum gantung sampai mati tanggal 31 Ogos 2060. Merdekalah aku dari beban rasa besalah kerana membunuh sahabat ku sendiri.

......
Cerita-cerita lain dari siri Mesin Masa.
Fdaussamad: 2060
Pipiyapong: 2060
Sinaganaga: Pasca Apokalips
Jimbo : Back To The Future 4
4Shared Download:  Mp3 Patah Hati nyanyian Sudirman.


......
p.s.
Sebenarnya, ini adalah plot asal sambungan Pewaris Dukun Diraja. Cuma, aku olah semula untuk sesuaikan keadaan semasa.

Rabu, Ogos 25, 2010

KASUT HITAM TOK RIMAU


RM54. Nike LEBRON 7 PLAYGROUND (LBJ) Basketball - Red/Black - Size 7

  • LeBron endorsed design in cushioned rubber for ultimate grip and feel in an outdoor ball.
  • Soft-touch cushioned rubber cover for ultimate grip and feel for the outdoor game.
  • Wraparound Panel construction eliminates intersecting channels on sides of the ball so making it easier for players to find a shooting groove and providing more consistent touch and shot rotation.
  • Moulded deep-channel design gives easier hand alignment and ball control.
  • Rotationally wound butyl carcass / Superior shape retention.


RM199.  Adidas G08273 Attack Feather
Untuk mengelakkan kecederaan kaki seorang pemain bola keranjang perlu memiliki kasut yang selamat. Stay light on your feet and take over the game with this adidas basketball shoe. The Attack Feather's durable low weight design and feathered construction delivers multidirectional superiority. Low weight meets high performance. The Attack Feather has engineered the support you need to stay on your toes and keep you opponents on the defensive. Feathered construction allows for ultimate performance in multidirectional sports.

Selasa, Ogos 24, 2010

PEWARIS DUKUN DIRAJA - Bahagian 4

Kita sudah tahu setakat ini bahawa Dang Kaseh adalah pewaris dukun diraja melalui maklumat dia tahu petua berlari di pantai dan dia mencuri geliga. Dan lembaga yang mengejarnya adalah Jembalang paya yang geliganya dicuri. Kita tahu juga kaseh memakai baju kurung kedah + kain batik ketat. Kita sambung dari situ.

.....
Dari belakang batu meluncur sebatang tombak ke udara. Tombak itu panjangnya 5 kaki. Tangkainya diperbuat dari kayu cengal  dan matanya dari logam 7 jenis. Ini bukan tombak sebarangan. Ianya jenis yang diasap kemiyan setiap malam Jumaat dan dimandikan air limau setiap malam Selasa. Dari hiasan dan ukiran di atas tombak, tahulah kita ini tombak milik hulubalang besar.

Tombak ini meluncur mencari sasaran. Sasarannya adalah lembaga bulat gergasi yang kita kenal sebagai Jembalang Paya. Zasssssss!

(Bersambung)

Isnin, Ogos 23, 2010

USAHAWAN KUBURAN


Kepada orang-orang yang kampungnya di Johor dan tidak sempat ziarah kubur, sila contact gua. Gua amik upah ziarah kubur kawasan Johor. Caj berpatutan.

Syawal dan Ramadhan adalah bulan mulia untuk kapitalis. Budak lepas SRP jerawat masih belum kering pun dah berniaga besar-besaran di param jual air paip campur warna. (Param = Pasar Ramadan la dik. Budak-budak muda bukan tahu sangat bahasa orang tua ni.) Bisnes kuih sekarang dah mula hantar samples. Tauke-tauke perabot dan alat letrik dan pasang khemah atas jalanraya depan kedai.  Tukang-tukang jahit tak menang tangan. Baju-baju siap mula berbaris depan kedai. Sana-sini Sale, gua cakap lu.

Inilah masa untuk kaya.

Lagi pun pendatang-pendatang asing dari Indonesia dan Bangladesh tu cuti sebab kilang tutup sempena raya. Mereka boleh buat part time dengan gua.

Sabtu, Ogos 21, 2010

PEWARIS DUKUN DIRAJA - Bahagian 3

Dang Kaseh tidak mati akal dalam saat genting itu. Dia menyeluk tangan kanannya ke dalam leher baju kurung Kedah bertikam belut. Lantas menyentap keluar sesuatu. Dari dalam baju kurung Kedah bertanah kuning dan bercorak bunga-bunga senduduk kecil itu dikeluarkan satu rantai tangkal dari kain hitam.

"Wahai Datuk Jembalang Paya, aku tahu asal usul engkau. Lahir di Paya Bakau. Hidup di Paya Bakau," Dang Kaseh berseru sambil tangannya menghulur kalung tangkal kain.

Lembaga bulat bertentakel itu kiam sebentar seolah-olah mendengar.

"Aku minta maaf. Aku minta ampun wahai Datuk  Jembalang Paya. Ini di dalam tangkal ini Batu Geliga Telus Mata. Aku pulangkan kepada engkau wahai Datuk Jembalang Paya. Ambillah semula. Jangan apa-apakan aku," Dang Kaseh merayu.

Lembaga itu mengaum membuka mulutnya mempamerkan gigi-giginya yang tajam bersusun macam  parut kelapa (Parut Kelapa Mesin) pada langit-langit, pada lidah, pada gusi. Pendek kata isi dalam mulutnya penuh gigi-gigi. Suara ngauman lembaga itu bergema seluruh semesta.

Lembaga itu nampaknya tidak dalam mood untuk berunding. Jika engkau jadi lembaga itu, engkau juga tidak ada mood untuk berunding. Engkau tidak mungkin boleh maafkan orang yang memukau engkau di waktu malam ketika engkau sedang lena tidur. Engkau tidak mungkin boleh maafkan orang yang mencungkil mata engkau dari soketnya. Dan itu sahaja mata yang engkau ada. Walaupun mata itu rabun, ianya punya keistimewaan melihat dan merawat penyakit-penyakit ghaib.

Kalau engkau jadi lembaga yang bergelar Jembalang Paya, apa akan engkau buat kepada manusia yang kurang ajar merampas Geliga Telus Mata dengan mencungkilnya dari engkau? Apa?

(Bersambung)

Jumaat, Ogos 20, 2010

PERKARA2 TERSUSUN RAPI


Kadang kala kita akan jumpa website yang mengkhayalkan. Contohnya web Things Organized Neatly.

Khamis, Ogos 19, 2010

PEWARIS DUKUN DIRAJA - Bahagian 2

Di dalam keadaan cemas itu Dang Kaseh terlupa akan pesan petua dari ayahandanya bahawa jika berlari di pantai, hendaklah berlari di atas pasir yang basah. Petua ini amat berguna untuk bersilat di pantai juga.

Dalam keadaan dia terteleng kepala melihat lembaga yang meligan, kakinya hilang kawalan kerana terbenam di dalam pasir kering yang lembut bagai tepung. Kain batik yang diikat kemas tetapi terlalu ketat tidak membantu untuk dia mengawal imbangan tubuh. Dia jatuh tersembam tertiarap muka ke pasir. Butir-butir pasir pantai melekat ke wajah getirnya yang basah dek keringat.


Untuk terus lari tidak sempat lagi, Dang Kaseh segera memusingkan badan menghadap musuhnya. Kelibat lembaga bulat setinggi sepuluh kaki itu semakin amat dekat. Bayang-bayangnya yang terbina dari pancaran matahari dhuha sudah pun menyentuh kaki Dang Kaseh.

Lembaga itu berdiri megah menanti masa untuk menerkam. Tubuhnya adalah bola besar yang tidak sempurna bulatnya. Kulitnya kelihatan lembut dan hampir lut sinar bagai kulit obor-obor, menampakkan organ dalamnya yang hitam. Di atas kulitnya ada rongga-rongga yang banyak seakan makhluk ini mempunyai  vagina yang beratus. Dari dalam rongga-rongga itu mula keluar tangan atau kaki seperti tentakel obor-obor.  Mula-mula pendek, kemudian semakin panjang. Jelas kelihatan di hujung helai tentakel itu ada kuku sebatang semacam jarum keluli.

(bersambung)

Isnin, Ogos 16, 2010

PEWARIS DUKUN DIRAJA - Bahagian 1

Aku nak buat cerpen bersiri. Layan. Aku akan mulakan cerpen ini babak cemas.

........

Nafas Dang Kaseh tercungap-cungap. Lariannya semakin perlahan tetapi digagahkan juga mengangkat kakinya yang semakin lemah.

Peluhnya mengalir membasahi dahi dan menitik jatuh ke pasir pantai.

Kaseh menoleh ke belakang. Lembaga yang mengejarnya masih ada. Semakin dekat.

...
Bersambung.

Ahad, Ogos 15, 2010

C3RK45 / CERKAS


Cerkas adalah koleksi cerita-cerita ringkas nukilan Sindiket Sol-jah (termasuk aku) feat. Mukhsen_X. Pun begitu, memahami cerita-cerita ringkas tidaklah mudah. Tulisan aku dalam Cerkas merupakan tulisan aku yang paling susah difahami. Oleh itu, aku ingin membantu dengan memberi beberapa panduan tentang tajuk-tajuk yang aku bawa dalam Cerkas.
  1. Kerajaan Laut - Karangan ini merupakan teks ucapan orang kanan kepada guru ajaran sesat
  2. Nota Di Wiper Mesin Masa - Kunci kepada memahami teks ini adalah memahami kepentingan tarikh nota ini ditulis.
  3. Bertemu Tuhan - Naskah ini adalah komentar sosial tentang rangkaian sosial.
  4. Cuti Sakit - Untuk membuktikan kamu layak ambil cuti bila ada saudara meninggal dunia, kamu perlukan laporan kematian yang dibuat di balai polis. 
  5. Berus Gigi Bermotor- Kisah romantis dua pasangan di dalam bilik air.
  6. Ada Apa Dengan Nama - Jika pembaca dapat menjawab dari mana datang kekayaan yang diwarisi oleh Wan Iqbal, maka selesai masalah.
  7. Magnum Opus - Ini adalah sebuah karya loop di mana penulis menyindir tulisannya sendiri.
  8. Cintanya Di Planet Merah- Cubaan penulis menulis secara grafik tentang mantan kekasih yang berpaling arah dalam bentuk fiksyen sains.
  9. Awang- Akhirnya, Sultan memerintahkan Awang mempertahankan kota dari serangan musuh. Dan pembaca perlu tahu frasa di bawah:
wabihi nastainu billahi = dengan pertolongan Allah
si tambang denak = ayam pemikat
Selama enggang mengeram, selangkas betik berbuah, semasak buah rambai = satu masa yang lama
sepeliuh=sedepa tangan
dondon= sama warna dan corak
 Cerkas cuma Rm15. Lebih murah dari dua ketul Big Mac. Beli secara online di http://sol-jah.blogspot.com/

Rabu, Ogos 11, 2010

KEMASKINI KILAT

1. Gua dapat SMS misteri dari Indonesia.
Salamualaikum Pak Ricky, gue minat banget ama penulisan blog pak ricky, gua juga udah perkenalin blog pak ricky ama temen2 gue..gue rasa blog bapak bagus sekali  nech.. harap ama bapak mampu beri pencerahan ama gw.
Gua pejam mata dan guna telepati. Gua nampak bayangan seorang cewek, Dian Sastrowardoyo. :-)

2. Sehari sebelum Ramadhan gua main basketball. Main gila-gila punya. Bekal sebulan untuk sepanjang cuti bola Ramadhan. Buku lali kanan gua terseliuh. :-(

3. Malam 1 Ramadhan terawih 8 rakaat. Siang 1 Ramadhan - hujan. Astro interupted. Tiada TV. Layan Facebook, banyak foto makanan. :-(

Isnin, Ogos 09, 2010

DATOK HARIMAU


Gua ke Kuala Lumpur hujung minggu lepas untuk tujuan Maskara Shorties. Gua bermusafir dengan Syed Syahrul Zarizi dan menumpang rumah Man Kunang di Shah Alam.

Man Kunang dan keluarga melayan kami dengan baik.

Sepanjang di sana, Man Kunang dan Syed memanggil gua dengan nama Tok.

Apabila kami telah pulang, Man Kunang melaporkan pertanyaan isterinya, "Abang panggil yang botak tu Tok, Tok. Dia tu berpangkat Datok ke? Sultan mana yang bagi anugerah?"

Hi Hi Hi. Keliru orang dibuatnya. Itu pasal nak tukar nama kepada Ricky.

Rabu, Ogos 04, 2010

MAK UDIN SAYANG IT

This is Malaysian answer to the Old Spice Man viral video.



Dan jawapan dari Udin anak Mama.

Selasa, Ogos 03, 2010

7 DALIL KENAPA MESTI KE MASKARA SHORTIES

 
Maskara Shorties merupakan sebuah festival filem tanpa untung dan amat daif penganjurannya. Urusetianya hanya 10 ahli sindiket dan bajetnya cuma air liur untuk memujuk orang di sana sini dan meyakinkan kawan-kawan untuk menyumbang. Pun begitu, kami bangga dengan projek ini kerana:
  1. Inilah satu-satunya festival filem pendek yang berbumbung langit dan bertikar bumi. Boleh tonton sambil baring.
  2. Festival filem ini dijalankan secara marathon, mula selepas maghrib dan tamat bila embun jantan mula turun. Nak kencing pun tak sempat.
  3. Yang hantar filem bukan calang-calang pembikin, termasuklah dua karyawan yang pernah menang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia. Biar betul!
  4. Kita ada filem-filem antarabangsa di mana pembikinannya melibatkan Jepun, Singapura, Indonesia, Cambodia, Australia dan Amerika Syarikat. Lu tak boleh pergi luar negeri, gua bawak luar negeri kepada lu.
  5. Kita ada filem tempatan dari pembikin filem indie yang tidak pernah pergi sekolah filem dan guna bajet sendiri untuk bikin filem. Orang-orang kemaruk ni filem mereka entah apa-apa ntah. Itu yang kita suka.
  6. Kita ada bakat-bakat muda dari sekolah-sekolah filem dan industri perfileman yang bakal menempah nama di masa akan datang. Ni memang pergi sekolah punya budak.
  7. Kita ada Tok Rimau. Ya, gua ada kat situ jadi tukang tukar DVD. Gua hidup tak lama, lawati sementara ada. Jangan lupa bahawa Maskara adalah berkenaan kawan-kawan yang kita suka. Percuma!
Terimaksih kepada semua yang terlibat. Kita jumpa nanti di Maskara Shorties bertempat di Rumah Pena pada 7.45 malam, Sabtu. 7 Ogos 2010. Anjuran Sindiket Sol-jah. Bam! Bam! Bam!

Isnin, Ogos 02, 2010

QUIT SMOKING LAGI

Sampoerna A dalam kotak baru rasa macam sial. Gua tengok kat kotak, ada alamat pengimpot. Kawasan Perindustrian Oakland , Seremban. Celaka. Kat Seremban ada Oakland! Poser betul.

Gua nak yang original. Yang seludup terus dari Indonesia.

Dah dua hari dah gua tak hisap rokok. Gua quit smoking tanda bantah!

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...