
Atas permintaan ramai, Tok bagi juga resepi rahsia turun temurun ni kepada engkau. Jangan engkau bagi Colonel Saunders pula, nanti dia komersialkan di Amerika. Amerika juga yang kaya. Lepas tu dia serang negara Pak Arab. Kasihan Pak Arab.
Kawan-kawan yang budiman, Tok dapat ilmu mengurut dan membidan melalui mimpi. Ada seorang tua berjanggut putih dan berkuda putih datang turun dari Gunung Ledang datang ajar Tok. Kalau Puteri Gunung Ledang yang datang, seru la juga sesi pembelajaran. Pak Tua itu mengajar membosankan. Untuk hilangkan rasa mengantuk, Tok main sms masa dia mengajar.
Berbalik kepada mauduk kita yang sebenar, Resepi Ikan Cencaru. Buat karangan tidak boleh lari tajuk kata cikgu. Nanti kena tolak markah. Sebenarnya Tok dapat ilmu memasak ini bukanlah sama dengan cara Tok dapat ilmu mengurut dan membidan. Lepas mimpi masuk kuliah Pak Tua, Tok bangun tidur dan pergi dapur. Orang bangun tidur mesti lapar. Tok tengok orang tengah sibuk masak. Jurukamera sedang sibuk ambil gambar untuk segmen resepi untuk majalah. Nampaknya, hari itu makan tengah hari jejak jam 3 petang. Setiap langkah, ambil gambar. Ikan belum siang, snap! Ikan dah siang, snap! Alamat hilang siang jadi malam, menunggu lauk yang tidak masak-masak. Gila lapar.
Sambil Tok merungut lapar dan melayan dangdut dalam perut, Tok tengok la chef masak. Oleh kerana daya pemerhatian dan pengamatan Tok adalah tahap super dan lebih Bio-Zip, maka tahulah Tok cara memasak Cencaru Sumbat. Mula-mula sekali, bahan-bahan yang diperlukan boleh dibeli di pasar dengan harga pasaran. Biasak la.
3 ekor ikan cencaru saiz sejengkal setengah. Jangan suruh adik engkau yang tadika beli. Jengkal dia pendek. Nanti dia beli anak ikan.
Lagi pun, dia bukan tahu bezakan ikan cencaru, kembung, jeket, termenung dan ikan noorkumalasari. Nanti dia salah beli pula. Oh ya! Kalau engkau mahu macho, beli ikan yu. Mmm... tetapi ini resepi cencaru sumbat. Abaikan ikan yu.
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih dan 2 inci halia (5 cm bagi mereka yang lahir-lahir sahaja sistem dah metrik). Tumbuk bahan-bahan ini guna lesung. Kalau tiada lesung, guna batu giling. Kalau tidak ada batu giling guna pengisar elektrik. Kalau tidak ada juga, gunalah penumbuk taekwondo yang engkau belajar di Ko-Kurikulum tu. Tumbuk hingga lumat. Macho tu.
Kalau rajin, tumbuk dengan 10 biji cili merah. Dan jika malas, tambah sahaja 2 sudu besar cili boh dari paket. Tetapi kalau sakit perut, jangan ngadu kat Tok pula.
Campurkan garam secukup rasa. Kalau mahu lebih adventurous, masukkan Sunquick perasa limau nipis dan mayonaise secukup rasa. Tidak cukup adventurous? Masukkan serbuk kopi dan kayu manis serbuk secukup rasa. Amik engkau! Macho tu.
Masa aku di perantauan dulu, bila tiba giliran aku masak, aku bubuh ikut spontan je. Bahan-bahan yang ada dalam peti ais, aku kocok ikut suka hati. Di Texas susah cari bahan-bahan macam kat Malaysia ni. Jadinya kena kreatif bereksperimen. Selagi bahan itu bahan asas makanan, tidak matinya orang yang makan. Sekali itu, aku masukkan ubat gigi dua camca dalam resepi untuk mengurang asid dalam perut. Untuk pengetahuan, ubat gigi kaya dengan alkali dan garam floride. Lepas makan tidak perlu berus gigi. Jimat masa. Ha! Ha! Ha!
Alamak. Lari tajuk lagi.
Gunakan minyak secukup rasa untuk menggoreng bahan yang engkau sudah tumbuk lumat tadi. Bila bau dah naik kira dah siap la tu. Atau dua tiga orang dah bersin, kira mantap la tu. Angkat masukkan dalam mangkuk.
Kemudian, siang ikan tadi menggunakan pisau Rambo. Walaupun Tok buat kerja perempuan di dapur, kemachoan mesti di jaga. Hiris belah belakang ikan dan sumbat bahan-bahan yang berupa sambal bergoreng tadi. Engkau boleh pilih sama ada mahu goreng atau mahu bakar ikan itu. Kalau ikut Tok, bakar lagi seru. Lebih macho. Kita boleh main dengan api dan bara. Asap banyak. Kita boleh berfantasi tentang kombat. Masak secukup rasa.
Siap! Kalau mahu sedap lagi, sediakan cicah air asam atau kicap berbawang dan cili. Tetapi Tok layan TV masa chef bikin cicah ni. Jadi, tidak boleh kongsi dengan engkau cara-caranya. Pandai-pandai lah.
Bila semua sudah siap, hias ikan itu dengan baringkan dia atas daun salad. Snap. Dia atasnya letak hirisan lemon. Snap. Untuk lebih macho, letak atas daun pisang sahaja. Jangan tunggu sejuk nanti ikan tu dah keras. Elok makan masa panas. Baca doa makan dan baham dengan nasi putih. Fuhhhhhhhhhhhhhhhhh!
Lepas makan jangan lupa, puji chef. Yang, masakan you memang sedap! Marvelous! Dia pun suka hati. Bila chef suka hati, engkau akan dapat extra bonus malam nanti. Yabedabedu!