Isnin, Ogos 31, 2009

SIRI SIRI KEBETULAN

DSC01067

Untuk memberi pembalasan kepada watak jahat di akhir cerita, penulis membuat dia dilanggar kereta yang kebetulan lalu ketika orang jahat melintas. Aku benci plot begini. Kalau mahu masukkan elemen kebetulan, masukkan banyak-banyak dari awal hingga akhir macam Forrest Gump dan Slumdog Millionaire. Baru seru.

Ena pelajar aku dan Lan kawan aku. Kebetulan mereka jatuh cinta. Lan orang Borneo dan Ena orang semenanjung. Susah Lan nak cari wakil jurucakap untuk menyatakan hasrat tetapi kebetulan aku ini orang semenanjung juga. Maka aku pinangkan Ena untuk Lan.

Beberapa bulan kemudian, Ena terima ijazah. Kebetulan Lan datang untuk buat kejutan. Pada malam hari Lan ajak aku ngeteh. Kebetulan Lan juga ajak Barber. Dah lama tak jumpa, rancak borak. Borak punya borak, Barber sedang buat urusan Projek Manager untuk Allesandro Scotti, Award Winning Photographer dan UN Goodwill Abassador. Barber akan anjurkan Bicara Photojournalism oleh Alessandro. Kebetulan projek Alessandro selama 3 minggu di JB adalah berkenaan Habitat Manusia, maka sesuai sangatlah aku tawar tayangan Bumbung Aku Lantai Orang sebagai penyeri majlis. Cerita tentang flat sewa murah di tengah bandaraya.

Secara amnya, khalayak yang datang teruja dengan ceramah Alessandro dan tayangan Bumbung Aku Lantai Orang. Alessandro juga suka Bumbung Aku Lantai Orang. Kebetulan, dia pernah menjadi jurnalis pengkritik filem di Festival Filem Cannes. Dia minta salinan DVD dan aku bagi kepada dia beberapa sampel projek wayang aku. Aku katakan ikutlah kalau balik Italia nanti, kalau mahu tayang mana-mana pun. Dia cuma perlu maklumkan sahaja. Kebetulan, dia ada kawan yang jadi pemilih filem-filem Asia untuk satu festival (Lupa festival yang mana). Dia akan tunjuk Bumbung Aku Lantai Orang kepada kawan itu. Aku teruja tetapi tidaklah meletakkan harapan tinggi sangat.

Hari kejadian sampai. Oleh kerana majlis bicara photojournalism dan tayangan itu mengambil masa lama. Tanpa disedari sudah  jam 12 tengah malam. 27 Ogos sudah berubah jadi 28 Ogos. Kebetulan itu harijadi aku. Aku tidak beritahu kawan-kawan lain, tetapi aku anggap kejadian itu sebagai hadiah harijadi yang baik. Apa lagi yang aku mahu, malam itu hampir sempurna. Acara ilmu dari UN Goodwill Abassador, tayangan Bumbung aku Lantai Orang, dan rakan-rakan jurufoto yang menyambung 4 meja makan untuk supper bersama.

Esoknya, Allessandro mahu tangkap gambar Universiti Selatan dan kebetulan aku kerja di situ. Aku tawar diri jadi guide. Malangnya, Allesandro dan Barber menghabiskan banyak masa di Pulai Spring (Shooting, bukan main golf) dan matahari meninggi ke jam 12 tengah hari. Cahaya tidak sesuai untuk fotografi. Tetapi mereka tetap datang ke Universiti Selatan dan aku bagi lawatan ringkas keliling kampus. Sebelum, berpisah mereka ajak aku ke sesi fotografi di 2nd Link pada waktu petang. Kebetulan, memang aku teringin nak tengok cara mereka berkerja. Aku setuju.

Dalam jam 5 petang, kami bertolak dari JB ke 2nd Link di Gelang Patah. Sabrina, isteri Alessandro juga ikut serta. Kebetulan nama pengarang jantung racun kalbu aku juga Sabrina. Sabrinamon. Dalam 5.30 petang, kami singgah di 7E untuk beli roti untuk berbuka. Sabrina tegur kami, "It's not time yet guys." Allessandro membei reaksi jenaka, "What are you? The religious authority? They just buy the stuff for later."

Dalam perjalanan, kami banyak borak pasal filem. Aku bagitahu Alessandro, dalam Bumbung Aku Lantai Orang, budak-budak nakal itu tidak akan memecah masuk ke dalam rumah cikgu jika mereka tahu dari awal rumah itu rumah cikgu. Cikgu amat dihormati di Malaysia. Luar sekolah pun, orang masih panggil Cikgu. Malah, lepas pencen pun gelaran Cikgu itu tidak lekang. Kebetulan Sabrina juga seorang Cikgu. Dan kebetulan seorang anak murid dia dahulu dari Malaysia. Apabila pulang ke Malaysia, anak muridnya ada mengirim baju ke Italia sebagai cenderahati. Katanya, anak muridnya mengaku sebagai anak Sultan di Malaysia. Tetapi diketawakan sahaja oleh rakan-rakan kelasnya.

Kami semua teruja. Andai kata pelajar Sabrina adalah anak Sultan Johor, banyak kerja boleh jadi mudah. Kami boleh tutup jalan raya untuk shooting. Mungkin kami ke sana ke mari dengan iringan siren polis. Aku? Aku mungkin dapat dana kerajaan negeri untuk bikin filem epik Si Bongkok Tanjung Puteri. Malangnya Sabrina tidak tahu Sultan negeri mana dan nama pelajar itu pun dia sudah lupa. Maka, aku pun melupakan sejarah alternatif yang aku fantasikan tadi.

Kami ikut jalan kampung dan menuju bawah jambatan 2nd Link yang menghubungkan Gelang Patah dengan Tuas di Singapura. Sesampainya di sana, Alessandro mengajak aku ke pelantar tiang kaki jambatan. Kebetulan, seorang nelayan baru pulang sedang berlabuh di situ. Barber dan Sabrina menunggu di darat. Lagipun Barber pernah ke situ beberapa kali. Aku dan Alessandro naik bot nelayan ke pelantar tiang kaki jambatan. Ada beberapa pengail sedang mengail di situ. Alessandro menangkap gambar yang perlu. Ketika pulang, dia menasihatkan aku untuk membuat tempat itu sebagai lokasi filem. Aku setuju tempat itu baik untuk lokasi filem tetapi aku belum ada cerita yang sesuai lagi.

Kami sampai ke darat tepat pada masanya. Kebetulan azan maghrib pun berkumandang. Aku dan Barber pun buka puasa. Berdiri je makan roti. "Picnic under a bridge," kata Sabrina. Alessandro terus menjalankan tugas menangkap gambar. Selepas habis sesi itu kami ke pusat bandar untuk shoot Masjid Kotaraya. Satu masjid yang unik dalam pusat membeli belah. Usai kerja sudah lewat malam, kami pun minum di sebuah kafe di jalan Dhoby. Ketika kami di sana, beberapa awek cun turun dari kafe tingkat atas. Aku melihat Barber. Barber melihat aku. Mungkinkah ada kebetulan lagi yang akan menyempurnakan takdir ini? Hi! Hi! Hi! Mungkin tidak. Jam sudah melewati dinihari. Harijadi aku sudah habis. Tiada lagi magis kebetulan.

Jumaat, Ogos 28, 2009

DIRGAHAYU TOK RIMAU




Tekanan. Ini hari istimewa. Gua mesti tulis entri yang bagus. Tekanan.

Majlis sambutan Hari Keputeraan gua disambut dengan sederhana. Gua dan kawan-kawan JB dengar ceramah perdana Photojournalism di Pertubuhan Arkitek Malaysia Wilayah Selatan oleh yang berbahagia Alessandro Scotti, duta United Nation. Penganjur mensyaratkan semua khalayak pakai kasut. Bila sampai tempat kejadian, semua mesti buka kasut sebelum masuk dewan sebagai tanda hormat kepada karpet dalam dewan. Cheh! Sia-sia gua bergaya dengan kasut kulit.

Ceramah Alessandro Scotti disokong oleh foto-foto gig Jejak Narkotik di beberapa negara dan beberapa shots bandaraya Johor Bahru. Sambil dengar ceramah kami tanya soalan. Berterabur Bahasa Inggeris masing-masing. Ada sorang tu siap cucuk gua, minta alihbahasa soalan dia. Ha! Ha! Ha! Tetapi pun, Alessandro faham broken English. Antara soalan yang menarik:

Q: After shooting those violent conflicts, you are still alive?
A: Yes. Until now.


Ada satu gambar hitam putih yang paling melekat dalam kepala gua. Rasanya foto dari Colombia di mana pihak keselamatan membakar rampasan dadah jutaan dollar. Api menjulang naik dan asap berkepul-kepul. Dadah itu ambil masa lama juga nak hangus. Subjek foto adalah seorang pegawai keselamatan yang sedang ketawa lalok akibat terlalu lama berjaga memastikan bahan bakar tidak dicuri. Menarik. Gua nak mohon kerja anti-narkotik bahagian bakar-bakar ni.

Majlis ditutup dengan midnite show sebuah filem pendek Bumbung Aku Lantai Orang, wayang yang ditulis berdasarkan cerita dari blog gua. Ceritanya tentang pahit manis hidup di Flat Bukit Chagar (Arwah). Ini bertepatanlah dengan tugasan Alessandro Scotti di Johor Bahru untuk buat photo research habitat manusia di bandaraya ini.

Pasca Majlis, kami menjamu selera di restoran berdekatan. Bayar sendiri-sendiri.

p.s.
Lu tengok gambar kat atas. Dua-dua orang penting majlis adalah botak. Kalau lu tak botak, lu tahu la kedudukan lu. Sedar diri sikit okay.

Khamis, Ogos 27, 2009

MENJELANG HARI KEPUTERAAN GUA

Biasanya, mereka panggil jurufoto papan atas Malaysia dan kenakan bayaran kepada peserta. Tapi, itu tak chare kata orang Johor. Kami bukan mereka. Kami dapatkan jurufoto antarabangsa dari Bangsa-bangsa Bersatu dan bagi ceramah percuma. Ya. Masih ada benda yang percuma.

TETAPI, kami buat by invitation only. RSVP untuk kawan-kawan sahaja. Yang istimewa sahaja. Jika Kamu tidak dapat jemputan, bukanlah kerana kamu tidak istimewa. Jangan merajuk. Tempat amat terhad, maka kami terpaksa berpilih-pilih.


BORAK PHOTO
SPEAKER: ALESSANDRO SCOTTI
Award Winning Italian photojournalist and United Nation Goodwill Ambassador.

SCREENING : Short film -Bumbung Aku , Lantai Orang
by Dean Sham + Tok Rimau-JB very own Award Winning Independent Filmmakers.

ADMISSION : FREE (Limited to 30 person)

VENUE: Bangunan Rahsia, Johor Bahru (Kalau aku bagi tahu kau, aku kena bunuh kau lepas itu)
DATE: 27 AUG 2009

DRESS CODE : NO SLIPPER, NO SHORTS, RAMBUT BERSIKAT, KAMERA TAK YAH BAWAK...


Cheh! Siapa buat Dress Code ni? Aku bukan sahaja tak bersikat. Sikat pun aku tidak ada. Tak Chare betul. Ini mesti Yusri Radiohead nak kenakan aku. Nanti aku dan Alessandro boikot event ni, baru tahu.

Rabu, Ogos 26, 2009

BANTAHAN UMUM

Lelaki mencipta sesuatu apabila dia bosan. Contohnya, bom atom. Sempena hari raya yang dah dekat sangat ni, jangan bawa rakanwira atau suami anda ke shopping mall. Shopping la sendirian tanpa kami. (Klik ruang kosong di bawah)

Selasa, Ogos 25, 2009

BOLA SATU KEPADA BOLA DUA



Tadi bangun pagi banyak sangat ilham nak berblog. Dah mengadap laptop, termangu-mangu pula.

Kata Michael Jordan, kalau kau serius mahu jadi pemain basketball yang handal, kau kena tidur dengan basketball. Bukan tidur dan buat benda tak senonoh dengan bola tu. MJ, nama kawan-kawan rapat beri kepada Michael Jordan, kata semasa baring menunggu mata lelap lambung bola ke arah siling sambil jari mencuit bola sebelum ia berlepas bagi membuat bola berpusing. Jangan sampai bola tu kena siling. Nanti bising, mak marah. Biarkan graviti tarik bola tu ke bawah. Pastikan bola tu jatuh atas muka. Mmm... sambut la. Sambut dengan tangan, jangan sambut dengan muka. Teruskan latihan sehingga kau boleh baling bola dengan cara itu walau dalam keadaan pejam mata.

Aku? Aku tak pula buat sesi latihan MJ. Nanti teman tidur marah. Hi hi hi. Tapi kalau kau pergi bilik air aku, kau akan jumpa bola basketball. Sepanjang bulan puasa ni, bola tu duduk dalam bilik air. Bukan. Bukan aku main bola dalam bilik air. Sebelum Ramadhan mula, minggu lepas court basketball aku kotor penuh debu. Pengunjung-pengunjung tapak pesta konvo, kehabisan parking dan park kereta atas court basketball. Tak hormat langsung. Oleh kerana musim hujan minggu lepas maka berlumpur dan berdebulah court. Bola aku kotor. Oleh itu, sambil-sambil mandi, basuh bola (Kalau tulis dalam bahasa Inggeris, kelakar ni).

Ada lagi bola tu di situ. Tidak jemur lagi.

Isnin, Ogos 24, 2009

I'M A GREAT PRETENDER

Untuk jadi pelakon, engkau mesti boleh menghayati watak. Kalau kau betul-betul handal macam aku, kau juga boleh mengubah muka kau jadi macam watak itu. Gambar-gambar di atas menunjukkan Tok berubah menjadi Azzam Supardi (Penulis & Pelukis Kartun yang dikehendaki oleh Polis). Sekarang cuba tengok orang yang duduk sebelah kau. Lihat kad pengenalannya, mungkin itu adalah Tok Rimau sedang menyamar.

Jumaat, Ogos 21, 2009

TEASER PEMBURU BUAYA DARAT



"Cut!!!! Aku nak aksi stunt mantap. Gaduh macam wrestling. Ini macam gay sedang bersedap-sedap apa hal," bentak tuan pengarah. Aku la tuan pengarah tu.

Khamis, Ogos 20, 2009

KARYA



Cuaca tidak berapa cantik semalam. Mendung. Tapi syukorlah hari tak hujan. Cuma wayang yang Tok bikin tidak berapa nak cantik.

Pakaian untuk pelakon semua okay, cuma but dengan tumit tinggi milik seniwati tercabut tapak. Kami balut dengan masking tape dan sembur dengan cat hitam. Nampak macam rugged la pulak. Tapi still dia boleh maintain catwalk. Itu yang penting.

Masa tidak berapa nak cukup. Jurusolek nak berkarya. Tok pun nak berkarya. Macam mana nak mula shoot kalau artis tak siap muka lagi. Alahai. Tok terpaksa mendesak hasil karya untuk kesegeraan. Sebenarnya, you can't rush art. Tapi apa boleh buat, bajet dan masa terhad. Kena kawtim juga sikit-sikit.

Apa pun, kerja sama mantap dari cast n crew walaupun Tok cuma mampu bagi sarapan, makan tengah hari dan sedikit kasih sayang sebagai upah. Ha! Ha! Ha! Jangan serik okay.

Selasa, Ogos 18, 2009

BERDEBAR TUNGGU ESOK

Pelakon pembantu dan pelakon tambahan sms kata depa tak ada baju sesuai untuk shooting esok. Kelam kabut Tok. Nak pi bundle dan last minit sangat.

Apa lagi, bongkar gerobok cari baju. Mmm... kalau tak jumpa, Tok tukar skrip buat Wrestling je. Tak payah pakai baju.

CONTOH KARANGAN DAPAT F++.

Aku spray invisible machine semalam. Putih untuk villain dan hitam untuk hero. Mmm... sepatutnya villain la hitam. Tapi pada aku rona hitam represents old tech dan white represents new tech. PC klon aku warna hitam jadi tukun untuk labah-labah buat sarang. Aku pakai MacBook putih. Tak la putih sangat sekarang, ada stain coklat atas keyboard. Bau spray paint tak hilang lagi. Pekat. Betul la warning prop master semalam, jangan spray dalam opis. Aku buka tingkap untuk hilangkan bau.

Esok nak shoot. Skrip dah 10 kali edit. Still developing. Still evolving. Selagi tak burn DVD, selagi tu tak siap cerita. Ada je nak alter sana-sini.

Esok shoot. Harap-harap cuaca cerah. Lately, hujan sekejap sekejap. Langit muram je. Merajuk dengan sapa ntah.

Sabtu, Ogos 15, 2009

GOOGLE CADANGKAN

Bila aku taip perkataan dalam kotak carian, Google meneka dan mencadangkan sesuatu yang berkaitan. Algorithm membuat ramalan dan mencadangkan berdasarkan carian popular pengguna-pengguna seluruh dunia. Maka, aku cuba taip soalan lazim dan Google mencadangkan seperti berikut:





  




Ganjil juga apa yang popular dalam carian Google ni.

Rabu, Ogos 12, 2009

CERITA ORANG SEBELAH


Kawan anak orang itu rumah sebelah sana. Bawak anjing gaduh punya. Bukan anjing biasa tau. Anjing gaduh punya. Hati wa tarak senang tau. Sakit hati.
Kawan anak orang itu rumah sebelah sana. Lu tau la itu budak bawak Vios malam-malam. Pipe bising punya. Vroom! Wa sudah tidur sudah mimpi pun bangun jugak. Hati wa tarak senang tau. Sakit hati.
Kawan anak orang itu rumah sebelah sana. Bawak anjing jalan pukul 3 pagi. Anjing dia sudah gaduh sama Lucky.  Lucky masuk hospital. Kaki sudah patah. Tulang terkeluar. Tak boleh baik punya. Tak boleh sembuh. Esok mahu hantar lagi kasik potong. 3 kaki pun takpe. Boleh jalan. Tapi slow ahhh. Hati wa tarak senang tau. Sakit hati.
Kawan anak orang itu rumah sebelah sana.Wa pigi tanya dia tau. Gua tarak takut gengster. Senai gua tak kisah punya. Gua sorang dia empat orang. Aiyaaa! Wa tadak takut punya.  Apa hal, dari Kulai sampai Senai bawak anjing jalan? Adik Lucky mati kena tembak dengan Bandaraya, wa sedih tapi tak nampak. Boleh lupa. Ini Lucky, hari-hari wa balik kerja kena tengok. Mandikan dia. Tengok kaki dia kudung nanti. Hati wa tarak senang tau. Sakit hati.
Aiyaaaa! Lucky tak ada ong.

Selasa, Ogos 11, 2009

TAJUK KALAU TERBALIK JADI KUJAT

Walaupun pakcik dah umur 40, pakcik tak lupa mana pakcik letak kereta di Skudai Parade. Ha ha ha.

Hari ini aku nak engkar nasihat aku sendiri tentang blogging. Balik kepada mantra lama, blog aku sukahati aku. Bangun pagi. Gosok gigi dan mandi. Cuci kereta. Jumpa calar sejengkal kat pintu. Mmm... daki dunia.

Batalkan semua temujanji petang ni. Aku nak ambil minah cun yang ngorat aku kat airport.

Telefon Nad. Kata kat dia aku tak boleh ambil dia untuk projek Pemburu Buaya Darat. Mungkin dalam projek lain okay. Dia terima dengan hati terbuka. Ada hikmah katanya. Aku suka attitude dia.

Mmm... nak tulis apa lagi? Oh nak nyatakan emosi berdebar aku menjelang projek Pemburu Buaya Darat. Pelakon dah cukup. Dua tiga orang akan buat dua watak. Nak save bajet. Then... esok malam mula rehearsal. Reading and blocking.

Nak tahu sinopsis Pemburu Buaya Darat? Kalau cerita ni masuk Astro, kau tekan butang Info kat remote. Nanti sinopsis tulis, "Sebuah cerita menarik untuk tatapan semua." Ntah apa-apa ntah. Selalunya RTM la gagal bagi sinopsis kat Astro. Berapa kali lagi nak rebranding ntah. Kalau sikap tak ubah, tukar la logo banyak kali mana pun. Sama je.

Isnin, Ogos 10, 2009

HARI MENULIS SECARA SUKAHATI


Hari ini aku nak tulis macam tahun pertama aku jumpa blog dulu. Dulu sangat. Zaman Tok Kadok. Entah-entah ada pembaca belum lahir lagi.  Zaman tu, tulis je sesuka hati. Apa yang terlintas, tulis je. Hari ni sarapan nasi lemak dan karipap kentang 3 biji. Aku lebih suka karipap keledek. Lebih manis. Dan minum teh tarik.

Benda apa ek yang aku baru beli. Mmm... aku baru beli seekor monyet. Monyet solar kepala goyang. Ala yang letak kat dashboard kereta tu. Ramai orang letak bunga solar. Aku tengok kat Giant, RM10. Tapi aku jumpa monyet solar kepala goyang cuma RM6.90 kat IOI Mall. Terus sambar. Lagi pun bajet unik la sebab orang lain bunga, aku punya monyet. Sejak bila aku pakai perkataan "bajet" ni?

2 minggu lagi dah puasa. Orang sibuk buat kenduri tahlil. Ada gak sibuk buat kenduri kahwin. Aku pula sibuk main basketball. Nanti dah puasa, cuti main. Raya pun orang sibuk beraya. Ada cuti dua bulan main basketball. Boroi perut aku kang kalau tak lari-lari kejar bola. Aku tak pandai lari-lari jogging tanpa kejar apa-apa. Tak ada matlamat.

Okay. Cukup.

Selasa, Ogos 04, 2009

TEORI TIMBAL BALAS


Sekali peristiwa, Hud singgah pejabat aku di Johor Bahru. Dia parking kereta bersama kereta-kereta lain depan bangunan pejabat.

"Hud, mana satu kereta lu?"
"Teka."

Aku pun lihat kereta-kereta yang berderet. Hud dari Kuala Lumpur, pastinya kereta dia pangkal W.

"Fuh! Kereta baru besar nak mampus."

Hud tersenyum bangga. Orangnya kecil tinggi paras ketiak aku tetapi kereta 4WD besar gedobo.

"Wa tahu kenapa lu beli kereta besar ni."
"Kenapa?"
"Compensation theory. Lu nak cover kekurangan lu dengan menunjuk kelebihan."
"Sialan lu. Ade ke kata wa kurang."

Kami ketawa berjemaah.

"Wa tahu kenapa lu kutuk wa."
"Kenapa?"
"Lu cemburu."

Kami ketawa berjemaah lagi. Tidak tinggi darjat seseorang yang merendahkan orang lain. Tak gitu?

Isnin, Ogos 03, 2009

JANGAN KATUP MATA DAN JANGAN CUBA BAYANGKAN

 
Aku kata dengan Opi, aku sedang menyelam membersihkan bawah kapal dari lekatan teritip. Opi pun bertanya, "pakai swimming trunk tak?"
Aku jawab, "Tak pakai. Swimming trunk masih basah di jemuran."

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin