Isnin, April 18, 2022

038 MABUK DARAH

 Mangsa mengelak kon tetapi terlanggar rintangan kayu lalu jatuh. Walaupun ada luka di lutut dan siku, pengayuh MTB Polygon itu masih boleh mengayuh basikal 100m ke tempat terang berlampu. Aku tidak nampak kejadian asal itu kerana aku jauh paling belakang bertugas sebagai sweeper. 

Bila aku sampai di kawasan lampu terang, seorang penunggang basikal jenis velo sedang memberi rawatan dengan menyapu ubat kuning kepada luka mangsa. Mangsa masih boleh tersengih dan bergurau. 5 minit kemudian mata mangsa kuyu langsung tertutup. Badannya longlai dan dia rebah tetapi sempat disambut oleh penunggang lain.

Aku sedikit panik.

Poof! Seekor setan keluar bertenggek di bahu kiri ku. Dia berbisik, "Padan muka kau. Kenapalah aku gatal mulut menerima tanggungjawab jadi pengurus acara basikal ini?"

Aku menoleh ke kiri.

"Kau happy sendiri dengan besi di celah kelengkang tu sudah la. Kenapa kau nak buat acara basikal beramai-ramai ini?" setan menyambung. 

Aku tidak kenal kesemua 46 peserta kayuhan malam ini. Baru tadi aku jumpa mereka masa aku bagi taklimat keselamatan di garis permulaan. Lantas, aku tanyakan kepada kawan mangsa keadaan luka itu. Kawannya kata luka ini calar sedikit sahaja tetapi mangsa jenis mabuk darah.

Hemophobia atau mabuk darah adalah ketakutan tidak rasional terhadap darah. Aku ada seorang kawan yang bercita-cita mahu jadi doktor tetapi di dalam kelas biologi dia pitam ketika membedah katak. Justeru, beliau sedar diri bahawa beliau menghidapi hemophobia dan membatalkan niatnya untuk menjadi doktor. MTB Polygon ini juga sama, mangsa pitam bila melihat darah meleleh keluar dari lukanya sendiri. 

Poof! Satu malaikat perlahan-perlahan mengepak sayap mendarat di bahu kanan ku. Dia berbisik, "Kau sudah rancang semampunya. Ini satu kemalangan."

Aku menoleh ke kanan.

Betul kata malaikat. Aku sudah kayuh uji jalan bersama crew aku. Aku sudah buat dan kongsi video taklimat keselamatan, dan ulang taklimat sekali lagi secara lisan di garis permulaan. Aku sudah kongsi peta laluan penuh dan laluan pintas jika penunggang tidak larat kayuh keseluruhan 20 km yang dirancang.

Setan tadi menarik cuping telinga kiri aku dan menjerit, "Kau lalai! Kau terlalu memikirkan kudapan kopi dan karipap di checkpoint akhir. Kau tiada perancangan untuk kemalangan seperti ini. Nasib baik budak Velo tu bawa ubat."

Malaikat mencelah,"Jika kau tidak rela jadi pengurus, pasti ada orang lain akan jadi..."

Eh... Malaikat ini menunding macam bersengkokol dengan setan. 

"...Orang lain itu mungkin lebih teruk pengurusannya dari kau," sambung malaikat.

15 minit kemudian balutan luka mangsa siap kemas. Mangsa sudah boleh bangun dan tersenyum. Dia boleh meneruskan kayuhan.

Poof! Poof! 

Selain dari kes pitam pada malam itu, ada kejadian peloton sesat dan peserta melawan arus jalanraya. Mungkin mereka tidak kaji peta laluan yang aku kongsikan sebelum kayuhan.

Semasa makan karipap dan minum kopi, aku berbincang dengan seorang crew aku. Dia menyuarakan perlunya first aid kit dan tambahan crew untuk mengawal lalu lintas dan peserta. Aku setuju dengan pendapatnya.

Crew itu bertanya, "Ada lagi ke setan dan malaikat itu?"

Aku jawab, "Mereka sudah hilang."

Aku pula yang bertanya, "Macam mana kau tahu setan dan malaikat itu datang?"

Dia jawab, "Kau lupa ke, aku kan pengurus acara sebelum kau."

Kami akan buat post-mortem meeting dan rancang acara selanjutnya dengan lebih kemas lagi. Insyaallah.

28/9/21




Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...