Isnin, April 18, 2022

044 HIDUP DALAM MIMPI

 "Abang hidup dalam mimpi saya," kata seorang lelaki asing yang menegur aku di Rantau Panjang. Ketika itu aku berehat menunggu matahari tergelincir dari umbun-umbun. Lelaki itu membelek-belek basikal aku. Dipicitnya pelana basikal. Dipetiknya lonceng. Dikiranya gear depan dan belakang. Akhirnya, dia mohon izin bergambar dengan aku sebelum beredar.

Ramai orang tanam impian buat kembara berbasikal tetapi mereka tidak mampu kerana pelbagai halangan. Mungkin mereka ada anak kecil di rumah. Mungkin mereka tidak dapat cuti. Mungkin pasangan mereka tidak sanggup ditinggalkan terlalu lama. Banyak lagi kemungkinan. Maka mimpi hanya tinggal mimpi.

Bukan seorang dua yang menyuarakan komen yang hampir sama dengan lelaki tersebut. Bila ditanya, mereka akui punya dua tiga biji basikal di rumah. Bila ada masa senggang, mereka akan menunggang. Tetapi untuk kembara panjang, terlalu banyak halangan. 

Kalau kau seorang bujang seperti Parktoy, kekangan anak isteri tidak ada. Maka dia lebih bebas untuk kembara.

Rezeki manusia berbeza-beza. 

Usia aku yang meningkat juga faktor yang membolehkan aku kembara. Anak-anak sudah besar dan boleh ditinggalkan. Macam ayam kampung, mereka pandai mencari makan sendiri dan pandai menjaga diri.

Aku mula berbasikal secara aktif kerana mahu menemani Akak Kau bersenam petang selepas kerja. Lama-kelamaan bagai burung terkena getah, aku terlekat. Kembara berbasikal ini pun asalnya mahu menemani Akak Kau sahaja tetapi sekarang terjebak juga. 

3 hari sebelum kembara Kuala Kangsar-Bachok, Akak Kau jatuh sakit. Oleh kerana tarikh dan perancangan telah dibuat, dia gagahkan juga untuk turut serta kembara walau sakitnya belum kebah. Dua hari pertama, dia berkayuh perlahan bersama peloton belakang. Aku rapat mengekorinya bagi memastikan keperluannya terjaga. 

Masuk hari ke tiga dia semakin pulih. Ketika Akak Kau berehat di dalam longkang tepi lebuhraya Timur-Barat, sebuah lori sayur meluru laju di jalan. Angin lori itu menolak basikal Akak Kau daripada tongkatnya, lantas rebah ke dalam longkang tempat dia berehat. Akak Kau tahan dengan kaki akan basikal itu daripada menimpanya. 

Selepas daripada itu, dia berkayuh laju di pelonton hadapan. Aku masih lagi berleha-leha santai di belakang. Aku lupa hari dan lupa diri.

Bila sampai ke tempat perkhemahan, akak kau sudah ada mood untuk bertegang urat dan bertepuk tampar. Sudah sihat 100% la tu.

Petang hari ke enam kami kayuh santai-santai di kawasan bendang Pasir Mas. Kami buat pelbagai gaya kerana layankan Pokjeng yang mengacu kamera filemnya. Dalam satu shot, kami membuat gaya atok dan opah di tepi sawah. Aku memakai kain pelekat sebagai selempang dan Akak Kau memakai kain batik  sebagai kerudung. Basikal kami bertongkat tetapi kami duduk dengan kaki berjuntai di jambatan sambil mencecah permukaan taliair. Aku kemaskan kerudung batik Akak Kau.

"Kita dapat adik baharu ni nanti," usik Parktoy.

Kalau betul ramalan Parktoy, terpaksalah kembara berbasikal  berehat. Kita berkayuh dari satu takdir ke takdir yang lain.

23/2/22



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...