Selasa, April 19, 2022

047 BONK-KAK

Aku sudah akrab dengan denai Jeram Rahsia Umum. Ia macam halaman rumah sendiri. Di sinilah aku melatih diri untuk mengayuh bukit bukau sehingga bukit ini akhirnya aku anggap seperti busut sahaja. Malah, tidak kurang ramainya kawan-kawan newbies yang aku scam di laluan ini.

Maka, bagai orang mengantuk diberi bantal aku sambut panggilan penyertaan oleh Grebelution  untuk acara kayuhan Iftor in the Jungle. Kacang pisang goreng ni. Aku bawa beg sangkut di bahu dengan bekalan juadah 3kg banyaknya. Aku tidak bawa pun penyembur krem kerana denai ini taman mainan aku.

Secara keseluruhannya, 13 pengayuh bergerak ke Jeram Rahsia Umum untuk berbuka puasa di dalam hutan di kaki Gunung Pulai. Perjalanan 20 km itu bermula dari Bazar Ramadan Taman Sri Pulai.

5.30 petang. Di puncak bukit pertama, aku mula menghela dan menghembus nafas macam kerbau kena sembelih. Letihnya lain macam. Aku ketinggalan jadi pengayuh paling belakang antara 13 pengayuh.

"Ah.. mereka muda dan gelojoh," helah bela diri aku.

6.00 petang. Bukit kedua, aku sudah turun menyorong basikal di tanjakan. Terasa aib mendorong basikal di halaman sendiri. Berat beg yang tadinya 3kg sekarang terasa 10kg di pundak. 

"Apasal jauh sangat kali ini," getus aku. 

6.30 petang. Bukit ketiga, aku campak basikal di tebing bukit. Aku amankan penafasan aku. Aku tunggu detak jantung turun ke paras tenang. Terdetik dalam hati aku untuk buka puasa. Bekal botol air tebu yang dibawa mula mengenyit mata menggoda.

"Kalau aku pitam di sini kira batal puasa ke?" 

7.00 petang. Tanda-tanda simpul biawak mula terasa di betis dan peha. Berdenyut-denyut otot aku. Ketika sampai di jeram, kawan-kawan lain sudah siap menjerang air dan menghidang makanan menunggu azan Maghrib.

"Nafas ku kencang. Otot ku kembang. Kepala ku terbang. Aku bimbang rasa nak tumbang! Bang bilal bang!" (Editor: Rap la pulak)

7.11 malam. Waktu berbuka bagi daerah Kulai dan sewaktu dengannya. Aku yang biasanya cukup setengah botol air mineral sahaja di denai ini, kini menogak 4 botol air. 

Sepatah dua sahaja aku larat menyampuk kawan-kawan berbual ketika berbuka. Selebihnya aku diam melayan kelesuan. 

Bangkit dari duduk pun mengundang vertigo di kepala. Oleh itu, aku duduk setempat sahaja sambil menyuap bekal kuih dan nasi kerabu perlahan-lahan.

8.30 malam. Kami berkemas untuk pulang. Aku risau tidak larat mengayuh ke pangkal jalan. 

Purnama 15 Ramadan bersinar menghias dada langit. Angin malam menghembus lembut kulit. Cengkerik bernyanyi memecah kesunyian. Seekor kelap kelip terbang melintas.

Dalam perjalanan, ada rakan kayuh terpaksa berhenti sebab diduga simpulan biawak. Seorang lagi, bocor tiubnya. Oleh kerana masing-masing menunggu yang lain, gerombolan kami tidaklah terpisah jauh. 

"Alhamdulillah!  Dapatlah aku peluang berehat menarik nafas." 

Pun begitu, akulah orang terakhir tiba dengan ditemani sweepers, Cabi dan Mijer. Tapi syukor, aku tidak perlu turun dan tolak basikal di jalan pulang seperti pergi tadi.

Kami singgah di mamak untuk moreh. Selepas itu barulah tenaga aku datang semula. Barulah sedap sembang kerana tidak cemas lagi.

Nampaknya kesan Covid pada penafasan dan kecergasan aku lebih serius daripada yang di sangka. Momentum kayuhan sudah menjunam teruk kerana hiatus kayuhan ketika kuarantin. Mendaki bukit dalam keadaan berpuasa patut aku elakkan dalam masa terdekat.

Back to square one. Lepas raya aku mesti latih tubuh aku perlahan-lahan untuk kembali ke tahap optima selayaknya seorang pengayuh tahap haji Banjaran Titiwangsa.

Atau, aku tukar hobi sahaja. Berapa harga kekili, spinning reel dan batang joran Shimano sekarang?

19/4/22

Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...