Isnin, April 18, 2022

037 KAMPUNG BAMBU

 Bila sempadan di buka pasca-pkp, adik beradik kita boleh pulang ke kampung. Alhamdulillah, cuti Khamis lepas dapat kayuh dengan Anjang, Uteh dan Ucu (Yem) di Senggarang. Sambil kayuh sempatlah bersembang, bergurau, dan sindir menyindir. Macam adik beradik lain.

Anjang dan Uteh tidak kerap berkayuh maka mereka potong ikut jalan pintas 40 km sahaja daripada keseluruhan 60km kayuhan Senggarang bagi menggelakkan komplikasi kesihatan. Untuk aku dan Akak Kau (Ngah), 60km elok-elok untuk tahap kecergasan dan motivasi kami.

Aku tidak pernah kayuh lebih 60km dalam sehari. Aku takut tumbang macam seorang remaja yang turut berkayuh dengan kami waktu itu. Remaja itu pitam sekitar 10km pertama kerana melebihi had kecergasannya. Pujangga ada berpesan, bersukan melebihi tahap kecergasan diri mengundang kemudaratan.

Aku juga sudah mula pakai pemantau detak jantung. Ini teknologi dunia Ultraman. Bila lampu dada berkelip, itu maksudnya kena segera berhenti bergusti dengan raksasa. Kalau pemantau detak jantung berbunyi teet teet teet, itu maksudnya 170 detak per minit dan sudah sampai maksima kebolehan jantung seorang tua. Berehatlah.

Cuti Jumaat pula, kami kayuh dengan Alang, Uda dan Ucu dari Kulai ke Putuo Bamboo Village. Ucu yang merintis laluan 95% off-road itu. "20km sahaja, " katanya menyakinkan yang lain.

20 km Kulai-Putuo lebih getir dari daripada 60 km Senggarang Loop. Denainya berbukit bukau dan berpaya. Ada masanya denai tidak jelas kerana ditutupi belukar. Kami terserempak 3 ekor babi hutan sepanjang perjalanan. Uda yang paling kurang berkayuh antara kami, kejang betis teruk dalam perjalanan pulang.

Alang temankan Uda berehat, manakala aku, akak kau dan Ucu teruskan kayuhan pulang ke Kulai. Matahari sudah meninggi. Akak Kau dan Ucu tiba-tiba mengantuk. Aku syak kekurangan oksigen. Aku pula bonk tetapi terlalu ego untuk mengaku.

Ucu seakan-akan hilang arah. Heat map dalam app strava juga tidak membantu bila otak kita mengantuk. Aku kudeta tugas mencari arah pulang dan membawa kami kepada kesesatan yang lebih parah. Kami berpusing dalam lingkaran belukar yang sama.

Biasanya aku mengelak jalanraya waktu tengahari tetapi langit sudah mula mendung, tidaklah menyengat panasnya. Kami sepakat untuk merentas ke arah jalanraya Kulai-Kota Tinggi untuk menjimatkan masa.

Kami selamat sampai rumah di Kulai ikut jalanraya. Kami pesan dengan Alang dan Uda untuk cari jalan ke jalanraya terdekat. Aku dan Ucu datang dengan kereta untuk ambil mereka.

Alhamdulillah, semua selamat tetapi aku masih berdendam dengan denai Kulai-Putuo. Satu hari nanti aku nak ajak Ucu ulang berkungfu dengan laluan itu. Tolong ingatkan aku bawa yoko-yoko untuk sapu di betis dan peha.

Pengalaman ke Putuo Bamboo Village buat aku teringin tonton semula Crouching Tiger and Hidden Dragon (2000). 20 tahun dahulu aku tonton kerana cerita Kung Fu. Semalam, aku menontonnya kerana cerita cintanya. Betapa kawan masa mengubah sudut pandang.


7/11/21



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...