Isnin, April 18, 2022

041 TIDUR MIKRO

 Awal-awal touring aku sering terjaga juga seperti tidurnya ayam. Lama kelamaan sudah terbiasa tidur khemah, hammock atau dorm jadi terlalu mudah tidurnya 

Ada juga kawan yang rasa mengantuk ketika kayuh. Duduk warung pun boleh tertidur, inikan pula bangku panjang bus stop. Malah ada yang masuk zon microsleep ketika kayuh.

Di Bachok kami sewa dorm tetapi aku berangan nak tidur dalam hammock di tepi pantai. Angan-angan tinggal angan-angan kerana sebelum jam 12 aku sudah hanyut. Kawan-kawan ajak ratah ikan bakar pun tak cukup untuk buat aku celik. Aku tertidur atas katil dorm dalam seluar basikal dengan gigi tak bergosok.

Esok paginya kami kayuh sarapan di Tok Bali dan pulang ke dorm. Jam 12.00 tengahari, kami kena checkout tetapi kami belum mahu bergerak lagi memandangkan cuaca terlalu panas.

Kami lepak di perkarangan dorm. Aku tertidur atas wakaf dan jaga bila terkejut dengan dengkur ku sendiri. Bila terjaga, aku dapati satu famili sedang berkelah makan tengahari atas wakaf yang sama. Patut la rasa macam mayat sedang diyasinkan.

Jauh perjalanan pulang dengan bas dari Bachok ke JB tidak terasa pun sebab aku membuta sebaik sahaja bas bergerak. Sekelip mata dah sampai JB. Laju betul. 

Kini aku di rumah, masih lagi mengantuk. Dalam keselesaan rumah, kadang-kadang tertidur hingga henpon jatuh ke lantai. Ringan betul roh aku selepas touring. Aku kena tune semula waktu tidur. Mungkin perlu kayuh bukit semula untuk dapatkan mode tidur-tidur ayam tu.


6/2/22



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...