Isnin, April 18, 2022

028 CROSSMAC AKAK KAU

Aku sudah beli basikal guna Facebook Marketplace sekali. Jual basikal pula, sudah sebanyak tiga kali. Aku mula faham pasaran basikal terpakai. Di sini, aku akan dedahkan rahsia jual beli di zaman norma baharu. (ed. #doneclickbait) 

Aku jual basikal bukan nak untung sangat tetapi aku sukalah jika basikal itu terus membahagiakan orang lain pula, sementara aku ada modal untuk basikal berikutnya. 

Sebelum letak harga basikal, kau kena buat bancian harga basikal jenis seumpama, baharu dan terpakai, di pasaran. Kalau nasib kau baik, harga basikal baharu naik di Shoppee dan bila kau menawarkan harga sedikit jatuh daripada harga beli sudah nampak murah dan menarik. 

Letak harga lebih tinggi daripada harga lantai kerana pembeli pasti akan tawar menawar. Kau tulis harga tetap pun masih mereka tawar menawar. Aku masak sangat dah. Mereka bagi alasan duit minyak datanglah, mereka masih belajarlah, dan nak beli susu anak. 

Biasa. 

Seterusnya, nyatakan tahun beli dan senaraikan spesifikasi basikal termasuk barang yang engkau sudah tukar. Features yang baik letak atas dan yang biasa-biasa kemudian. Jika ada kecacatan yang memudaratkan kayuhan, nyatakan juga. 

Sebut dengan jujur tujuan menjual adalah buat modal untuk naik taraf basikal. Jangan cuba meraih simpati memberi alasan seperti, "mahu beli susu anak." Aku sudah cuba, tidak laris pun jualan. 

Kemudian. 

Pilih empat lima foto iringan yang menunjukkan basikal kau berposing tepi tasik, jurang, bukit, pantai dan sungai. Foto ini akan meyakinkan pembeli tentang kebolehan basikal kau beraksi. Kalau basikal kau ringan, masuk sekali satu foto kau julang basikal sebelah tangan sambil hisap rokok. 

Steady. 

Pada aku leceh sikit kalau kena pos basikal. Kau terpaksa cabut basikal dan cari kotak yang sesuai. Aku lebih suka jual kepada orang yang boleh datang uji basikal. Kau pesan sama bakal pembeli, jika dia baru berjinak dengan basikal sila bawa seorang malim basikal bersama agar tiada dakwa dakwi kemudian hari jika tiada kepuasan hati.

Sekali peristiwa, bakal pembeli aku tidak dapat datang, lantas dia menghantar abangnya yang kurang berkemahiran. Semasa uji tunggang naik bukit, brader tu tukar gear dengan keras hingga tercabut rantai basikal. Dipaksanya juga basikal itu hingga rantai terselit antara lidi dan kaset. Aku terasa seperti anak aku dipukul oleh pakwenya. Terus aku angin dan batalkan niat mahu menjual basikal itu kepada dia.

Okay, itu selingan. Kita teruskan cerita jual basikal di Facebook. 

Jangan terus menjawab pertanyaan bakal pembeli yang pertama. Biar pertanyaan-pertanyaan masuk inbox 24 jam. Dengan cara itu kau boleh tahu jumlah permintaan terhadap basikal kau dan siapa yang berminat untuk beli. Kau  juga boleh memilih dengan siapa kau mahu menjual.

Setelah kata sepakat dipersetujui, bertemulah penjual dan pembeli. Biar dia uji tunggang basikal itu. Jika, dia tidak jadi beli janganlah kau berkecil hati. Itu adat berniaga. Pilih bakal pembeli berikutnya.

Jika yang datang itu setuju membeli, buatlah akad jual beli. Tangkap foto terakhir bersama pembeli dan basikal seumpama kau sebagai wali menyerahkan anak perempuan kepada suaminya. Doakan pembeli itu akan bahagia dengan basikalnya. 

Aku biasanya akan rasa sedih dan sayu, al maklumlah aku dan basikal ada sejarah berpetualang bersama. Namun begitu, bila basikal baharu sampai senyum kembali menghias bibir.

Sekian tips percuma menjadi pakar jualan online. Banyak lagi tips rahsia didedahkan jika anda masuk kelas berbayar saya. Ingat, biar tak hensem tapi kayuh. 😅


3/9/21



Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...