Isnin, April 18, 2022

027 POLYGON SYNCLINE 5

Ada satu hamba Allah bertanya kepada aku, "Beskal apa patut saya beli bang?"

Aku pun bertanya semula, "Berapa belanjawan tuan?"

Setelah hamba Allah itu menyatakan kos hantaran yang dia sanggup keluar, aku pun meracun mindanya. Aku ceritakan jenis basikal yang patut dia beli. Aku perincikan ciri-ciri basikal tersebut dan kelebihannya berbanding basikal lain.

Aku berkhutbah panjang lebar tentang groupset, fork, dan material bingkai basikal yang bagus. Tiba-tiba aku tersedar bahawa memang bagus basikal yang aku cadangkan itu. 

Lantas, aku iklankan basikal lama di Facebook untuk dibuat modal pemula. Aku tanya-tanya kalau-kalau ada orang mahu jual basikal terpakai jenis idaman itu. Ada la seorang dari Kelantan tetapi harganya tidak jauh dari harga kedai.

Aku tanyakan pula kedai-kedai basikal berhampiran jika ada stok tersedia. Seperti yang dijangka basikal tersebut tidak ada dalam stok kerana kemerosotan bekalan basikal kebelakangan ini. Permintaan basikal melebihi kemampuan pengilang mengeluarkan bekalan. Dan ada berita angin kencang bertiup bahawa harga basikal bakal naik. 

Aku usha dalam shoppe. Ada pembekal di Selangor yang simpan stok. Terus aku pesan berbekalkan duit jual basikal lama dan kerja lebih masa. 

Pon! Pon! Hon lori G-dex menjerit depan rumah tiga hari kemudian. Sampai sudah kotak beracun tersebut. Aku keciwi. 

Aku menelaah youtube cara memasang basikal dari dalam kotak. Nampaknya mudah. Aku berjaya pasang sendiri. 

Aku ke Devil's Peak untuk ujian kayuhan. Satu kilometer pertama saddle mula menurun dan handle terputar tidak sejajar dengan tayar depan. Ini kesilapan biasa mekanik tidak bertauliah. Aku lupa ketatkan semua skru. Nasib baik aku bawa alat betukang untuk ketatkan skru. 

Berita baik, kayuhan pertama berjalan dengan lancar.  Kawan-kawan pun tumpang gembira sambil mencuba basikal aku. Ada yang mula berkira-kira nak buat pinjaman bank untuk modal pemula. 

Berita buruk, tanjakan pecah betis Devil's Peak masih tidak tertawan. Aku cuma naik taraf jentera, tapi betis aku masih yang lama dan tua. Kata orang kekuatan kayuhan itu 70% basikal dan 30% kederat. Nampaknya kena makan majun lepas ini. 

Sebenarnya, kalau nak cerita upgrade basikal tidak akan ada kesudahan. Lambat laun aku yakin, basikal baharu ini juga berhenti memuaskan aku. Aku pasti mahu yang lebih bagus lagi. 

Terfikir oleh aku, kereta sudah lama tidak gerak kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Mungkin elok jika aku jual kereta itu untuk buat modal beli basikal kayangan tahap dewa.

Oh Tuhan, jinakkanlah nafsu aku. Janganlah sampai aku termakan racun sendiri lagi.


27/8/21




Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...