Isnin, April 18, 2022

033 BASIKAL BIASA ORANG TUA

 Pastinya kalian biasa dengan lagu Sudirman Hidup Sederhana: Orang Biasa Basikal Tua. Namun begitu, hari ini aku nak kongsi tentang Basikal Biasa, Orang Tua. 

Pagi-pagi lagi aku sudah menghadapi jenaka atok-atok kerana aku sekarang ahli  whatsapp group Geng Basikal Pencen. Bagaimana aku boleh merelakan diri masuk whatsapp group basikal atok-atok ini? 

Beberapa kali aku bersama Geng Kuda Besi Senai berselisih dengan Geng Basikal Pencen di denai. Majoriti mereka ini pakcik-pakcik dan makcik-makcik dari Taman Teratai yang rajin berkayuh. Setiap kali terserempak, kami akan berhenti untuk bertanya khabar dan berbasa-basi. Juga, mereka kerap mengajak aku berkayuh dengan mereka. 

Aku bukan anti-kumpulan Basikal Pencen kerana usia mereka, tetapi aku agak keberatan turut serta kerana jumlah mereka yang ramai. Semasa aku berselisih dengan mereka di Jeram Kaki Gunung, kekuatan rombongan mereka 30 orang. Bahaya berkumpul ramai-ramai di era wabak ini.

(Editor: Bayangkan visual helaian kalendar dicarik-carik.) 

Masa berlalu dan sudah ramai orang mendapat suntikan vaksin dua dos. Akhirnya aku pun menyambut jemputan mereka untuk berkayuh di denai Pulai Perdana, satu denai yang asing bagi aku. 

Lagi pun pada hari tersebut  Geng Kuda Besi Senai berehat kayuh untuk pemulihan otot selepas kembara epik Hari Malaysia. Sesuai sangatlah aku menyantuni jemputan Geng Basikal Pencen. Orang berbudi, kita berbahasa. 

Kayuhan off road hari itu 22 km dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Sebagai penunggang tamu, aku perhatikan budaya Geng Basikal Pencen.

Geng Basikal Pencen besifat inclusive. Mulanya aku sangka aku dan Akak Kau sahaja orang asing dalam rombongan itu tetapi rupanya ada beberapa orang lain yang baru pertama kali berkayuh bersama mereka. Ada dua tiga orang pakcik beramah mesra dengan kami memastikan kami selesa. Bila sampai waktu rehat, mereka tawarkan bekal kuih yang mereka bawa.

Ada lima wanita dalam kumpulan itu justeru Akak Kau berasa selesa kerana ada kawan kaum hawa. Bolehlah mereka bersembang nak pakai baju warna apa dalam expedisi akan datang, merah jambu salmon atau hijau pucuk pisang. 

Ada juga beberapa orang muda dalam kumpulan itu tetapi mereka banyak diam. Orang tua bercakap, mereka dengar sahaja. Yang paling muda adalah budak lelaki 12 tahun kematian ayah. Pakcik-pakcik ini sentiasa mengawasi keselesaan dan keselamatan dia. Mungkin sedikit sebanyak pakcik-pakcik ini mengubat kerinduan dia kepada arwah ayahnya. 

Ada dua biji motosikal mengiringi rombongan itu. Motorsikal ini berperanan sebagai pengiring teknikal dan pembawa bekalan. Ada ketika, penunggang motorsikal bertukar tempat menggantikan penunggang basikal yang lelah. Kadang kala motorsikal itu menunda atau menarik basikal yang lemah untuk panjat bukit.

Basikal Pencen tidak prejudis terhadap jenama basikal. Malah tidak terdengar pun mereka flex jenama atau barangan basikal mereka. Basikal mahal dan murah diraikan. Jika ada kerosakan, mekanik kumpulan akan membantu. 

Geng ini ceria wataknya. Gurauan mereka tidak menyinggung hati tetapi boleh diramalkan punchlinenya. Kecindannya ala Bujang Lapok dan Do, Re, Mi. Sering kali, tukang lawak yang akan ketawa paling kuat dengan jenakanya sendiri. 

Kesabaran mereka pula amat tinggi dalam memastikan tiada yang tertinggal jauh. Penunggang baharu yang sedang bina kecergasan juga rasa selesa. Aku juga kena sabar dengan Whatsapp Group mereka yang 30% cerita basikal dan selebihnya, selamat pagi, jom ngeteh, menu tengah hari, sticker kelakar, dan lain-lain hal sewaktu dengannya. 

Aku kira mereka dalam usia yang sudah tidak sibuk mencari duit lagi. Mungkin hutang rumah dan kereta pun sudah habis bayar. Kegembiraan adalah bersarapan, mengeteh dan berkayuh bersama kawan-kawan. Mungkin tidak sepi bila dikelilingi ramai. Mungkin. 

Namun begitu. 

Sedikit sebanyak beban biasa aku menjadi orang tua kumpulan basikal terlepas hari itu. Aku tidak perlu ketuai bacaan doa perjalananan, cukup sekadar angkat tangan mengaminkan. 

Aku semakin selesa menyesuaikan diri dengan kumpulan Basikal Pencen ini. (Editor: Rasa kerasan kata orang Jawa.) Mungkin ini peralihan dari basikal sebagai tanda midlife crisis kepada end of life serenity. 

Kalian pasti menuduh ku merasa tua. Tidak, aku tidak terasa tua di sini. Malah sebaliknya aku rasa teramat muda di kalangan pakcik-pakcik ini. Al maklumlah ramai yang lebih tua dari aku. Ha ha ha. 🤣. 

(Editor: Eleh, dua tiga tahun je beza usia dengan penulis😩. Amacam lawak atok-atok aku? )

21/9/21




Tiada ulasan:

73 SUNGAI TELOR

  Peta Kayuhan Rakan-rakan di Strava. Kayuhan Ria Sungai Telor menawarkan yuran masuk RM10 untuk denai 20 km. Di kala yuran kayuhan lain rat...